KUALA LUMPUR: JPJ panggil semula kira-kira 35,000 model kenderaan di bawah siri 3/2024 membabitkan empat syarikat pengeluar kenderaan iaitu Toyota, Mercedes-Benz, Suzuki dan Honda.
Antara model kenderaan Toyota yang terbabit adalah Vios tahun pengeluaran Mac 2023 hingga Februari 2024, manakala Suzuki pula Model V-STRO800DE tahun pengeluaran 2023 dan model Burgman Street EX tahun pengeluaran 2024.
Sementara itu, motosikal Honda pula membabitkan model CBR250RR, CBR250S3A tahun pengeluaran 2022. Bagi jenama Mercedes-Benz pula, kenderaan yang terbabit adalah model A 200, A 250, A 250 4MATIC, AMG 45 S 4MATIC, AMG CLA 45 S 4MATIC, B 200, CLA 200 COUPE dan CLA 250 COUPE yang semuanya dikeluarkan pada tahun 2017-2024.
Menurut JPJ, sejak Julai 2024 hingga September 2024, aktiviti pemanggilan semula produk sedang dijalankan oleh pihak pengeluar kenderaan berkenaan.
Tambah JPJ lagi, pengeluar kenderaan itu akan menghubungi pemilik kenderaan tersebut untuk membuat penetapan tarikh temu janji serta membawa kenderaan untuk pemeriksaan sekali gus menjayakan aktiviti yang sedang dijalankan itu.
JPJ menjelaskan bahawa aktiviti pemanggilan semula produk itu penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku yang disebabkan oleh kecacatan pada struktur atau peralatan yang terdapat pada kenderaan berkenaan.
“Keselamatan kenderaan juga adalah penting bagi menjamin pemanduan dan keselesaan pemilik semasa dalam perjalanan.”
“Semestinya, pemilik tidak mahu memandu dengan masalah teknikal yang berpotensi membahayakan, mengancam nyawa dan pengeluar akan membuat pemulihan tanpa sebarang kos kepada pemilik,” Kata JPJ dalam makluman di laman media sosial rasmi.
JPJ berharap kerjasama antara pemilik kenderaan dan pengeluar dapat menjayakan aktiviti pemanggilan semula itu serta dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.