KUALA LUMPUR: Rangka warga emas ditemukan dalam rumah di sebuah pangsapuri di Kepong yang dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.
Mayat lelaki warga emas berusia 60-an tersebut ditemui anaknya yang mencarinya di rumah berkenaan lantaran tidak dapat dihubungi sejak 2020.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pihak polis menerima laporan daripada anak mangsa pada 5 September lalu.
“Berdasarkan laporan, pengadu sampai di rumah mendapati pintu dalam keadaan berkunci.”
“Selepas memecahkan pintu kelihatan mayat ayahnya sudah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka,” Katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Sukarno berkata, soal siasat mendapati mangsa tinggal berseorangan selepas bercerai dengan ibu pengadu dan kali terakhir pengadu berhubung dengan bapanya pada 2020.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga namun tempoh kematiannya tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai penemuan rangka warga emas di sebuah rumah.
Menerusi mesej tular, mangsa dikatakan pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk mahu pulang ke kampung sebelum kehilangannya.
“Sehinggakan semalam (5 September) anak arwah datang mencari dan pihak pengurusan terpaksa mengumpil kunci untuk melihat keadaan rumah.”
“Ramai terkejut kerana tiada sesiapa yang mengetahui dan tiada bau busuk di kawasan berkenaan,” tulis mesej tular berkenaan.