Seorang YouTuber sensasi berjaya memperdaya pembuli siber dan pengikut setianya selama hampir dua tahun selepas sambil diam-diam kehilangan berat badan dengan jumlah yang sangat besar.
YouTuber Nikocado Avocado atau nama sebenarnya Nicholas Perry, mempunyai 4 juta pengikut di YouTube, menjadi terkenal apabila kandungan video makanannya dalam genre ‘Mukbang’ di mana dia dan tetamu videonya menikmati hidangan makanan dengan jumlah berlebihan.
‘Raja Mukbang’ Nikocado telah menjadi pencipta kandungan video di YouTube selama lebih tujuh tahun dan apabila dia mula mempunyai fizikal yang jauh lebih langsing, sekurang-kurangnya berbanding penampilannya dalam video kedua terakhirnya.
Video itu dikongsi hanya tiga bulan lalu, di mana Nikocado berkata dia telah “menghentikan perjalanan kehilangan berat badannya.”
Walau bagaimanapun, Nikocado menarik perhatian para penonton dalam video terbaharu yang dikongsi pada 7 September apabila menampilkan wajah baharu, yang nampaknya lebih langsing dengan kehilangan berat badan sebanyak 250 paun (113 kilogram) dalam masa 7 bulan.
Video yang mengejutkan itu, bertajuk “Two Steps Ahead”, telah mendapat perhatian lebih 30 juta tontonan sehingga kini, bermula dengan Nikocado memakai kepala patung panda gergasi dan semasa dalam karakter, lelaki itu memberitahu penonton, “Saya sentiasa dalam dua langkah ke hadapan.”
Nikocado menambah, “Ini telah menjadi eksperimentasi sosial terbesar sepanjang hidup saya. Ia membimbangkan, ia menarik, ia mencengkam hati ketika memerhatikan mereka semua yang tidak sihat dan keliru berkeliaran di internet untuk mencari cerita, idea, persaingan di mana mereka berasa digalakkan, dilibatkan.”
Nikocado meneruskan dengan berkata dia kini telah bangun dari “mimpi yang sangat panjang” di mana memandangkan telah kehilangan “250 paun berat badannya.”
“Rasa macam baru semalam orang hina saya gemuk, banyak penyakit, hodoh, membosankan dan macam-macam lagi,” katanya.
“Walaupun mereka hina, saya tetap berjaya menjadi seorang yang lebih baik daripada mereka,” tambah Nikocado.
Dalam video lain, bertajuk “hi.” di saluran YouTube yang berasingan Nikocado Avocado 2, Nikocado, bersama burung kakak tua peliharaannya, mempunyai sikap yang lebih mesra di mana dia menerangkan hanya secara ringkas bagaimana telah berjaya melakukan penurunan berat badan itu.
Sebelum mukbang dengan sepinggan besar spageti keju pedas, Nikocado menjelaskan bahawa dia tidak membuat video dalam masa dua tahun dan hanya berkongsi kandungan video lama dengan rakaman awal demi mengekalkan salurannya secara konsisten sambil turut konsisten menjaga kesihatannya.
Pendedahan terbesar Nikocado Avocado sejak itu telah menjadi tular dengan ramai penonton terpegun menyaksikan perubahannya dengan apa yang mereka disifatkan sebagai kisah tergempar dalam sejarah YouTube.
Susulan penampilan baharu Nikocado dalam video itu, pengikut setianya rata-rata telah memuji usahanya yang kini telah berjaya mengamalkan gaya hidup sihat dan mencetuskan inspirasi kepada yang lain untuk berazam menjadi kurus sepertinya.
Bagaimanapun, ada juga yang tidak dapat menerima imej terbaru Nikocado sehingga ada yang sanggup menuduhnya telah mengambil barang terlarang untuk menjadi kurus.
Youtuber berusia 32 tahun kacukan Ukraine-Amerika itu membuka saluran YouTube Nikocado Avocado pada tahun 2014. Kandungan awalnya berkisar tentang kehidupan pengamal vegetarian dan persembahan biola.
Bermula 1 September 2016, selepas berasa kecewa dengan komuniti vegetarian, Nikocado mengumumkan tidak lagi mahu menjadi YouTuber vegetarian, sebaliknya mula merakam video mukbang apabila video pertamanya menerima sambutan baik dengan 50,000 tontonan dalam masa beberapa minggu.
Namun, akibat makan berlebihan dalam siri mukbang yang meraih populariti telah menyebabkan badannya semakin mengembang pernah mencecah 163kg yang menarik perhatian ramai peminatnya. Selebriti internet itu turut menjadi sasaran pembuli siber yang berterusan mengecam penampilan kurang sihatnya itu.
Dalam satu temu bual dengan sebuah majalah pada 2019, Nikocado mengakui bahawa dia mengalami gangguan libido akibat tabiat makan berlebihan. Pada September 2021, Nikocado mendakwa dia mengalami patah tulang rusuk selepas mengalami batuk teruk.
Nikocado berkata dia kini hanya akan bersiaran di saluran kedua dan membayangkan ura-ura untuk berkongsi lebih lanjut mengenai kisah perjalanannya menurunkan berat badan pada minggu-minggu akan datang.
Tonton video di bawah: