PHU THO: Tiga orang pertama berjaya diselamatkan selepas insiden jambatan di Vietnam runtuh, manakala sekurang-kurangnya 13 masih hilang.
Media tempatan, VnExpress melaporkan Jambatan Phong Chau yang merentangi Sungai Merah itu dianggarkan runtuh pada pukul 10 pagi Isnin, dipercayai kesan Taufan Yagi yang melanda baru-baru ini.
Insiden jambatan runtuh itu telah menyebabkan beberapa buah kenderaan terjunam ke dalam sungai sekali gus memutuskan hubungan antara daerah Lam Thao dan Tam Nong.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Ho Duc Phoc yang tiba di lokasi bagi mengarahkan operasi menyelamat, siasatan awal mendapati sekitar 10 buah kereta dan dua buah motosikal terjunam ke dalam sungai, dengan 13 orang masih hilang. Phoc menambah, jumlah mangsa akan dikemas kini dari masa ke masa.
Phoc juga berkata, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk membina jambatan pontun (jambatan sementara yang disangga atau digalang dengan pontun) di lokasi tersebut.
Hal ini bertujuan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar selain mengehadkan aliran air sebelum mereka berbincang mengenai pembinaan jambatan baharu.
Bercakap kepada VnExpress, Leftenan Jeneral Pham Duc Duyen, Pesuruhjaya Politik Wilayah Ketenteraan 2 mengatakan bahawa pihak tentera telah mengerahkan beberapa buah bot di sepanjang tebing sungai untuk mencari mangsa dan setakat ini mereka berjaya menyelamatkan tiga orang.
Mereka sedang bekerjasama rapat dengan polis tempatan untuk mengerahkan bot penyelamat. Namun, arus yang kuat dan deras menyukarkan usaha menyelamat.
“Jumlah kematian dan orang hilang masih belum dapat dipastikan kerana rakaman kamera tidak jelas menunjukkan berapa ramai orang yang berada di dalam setiap kenderaan,” Kata Duyen.
Salah seorang mangsa yang terselamat, Phan Truong Son, lelaki berusia 50 tahun dari Komuniti Huong Noi menceritakan bahawa dia sedang dalam perjalanan apabila terdengr bunyi kuat.
Sebelum sempat bertindak, Son jatuh ke dalam sungai bersama motosikalnya. “Ia terasa seperti jatuh ke dasar sungai,” Katanya sambil menambah bahawa dia menggunakan semua tenaganya untuk berenang ke permukaan tetapi begitu letih sehingga hampir tidak boleh bernafas dan berfikir dia mungkin tidak akan selamat.
Son walau bagaimanapun berjaya berpaut pada pokok pisang dan diselamatkan oleh beberapa orang di atas bot yang berdekatan.
Son yang mengalami kecederaan pada tisu lembut kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Tam Nong di wilayah tersebut. Sementara dua lagi mangsa yang terselamat turut menjalani ujian di pusat perubatan itu.
Nguyen Minh Hai, 33, seorang lagi mangsa yang terselamat berkata dia sedang menunggang motosikal bersama Bui Quy Trong, 33, yang membonceng di belakang ketika dia menyedari jambatan itu mula bergegar. Sesaat kemudian, jambatan itu runtuh.
“Paras air sungai tinggi, dan arus lebih kuat daripada yang pernah saya lihat. Nasib baik kami jatuh atas penampan, jadi kami terselamat dan dapat meminta bantuan daripada penduduk tempatan yang menarik kami naik,” Kata Hai.
Trong pula berkata dia mendengar bunyi “boom” kuat dari belakang,namun tidak sempat berpaling sebelum kedua-duanya bersama motosikal terjunam dari jambatan.
Selepas itu, sebuah lori kontena yang datang dari arah bertentangan juga jatuh dan terus dihanyutkan oleh arus yang kuat. “Saya ingat saya akan mati. Tapi nasib baik, motosikal kami tersangkut pada jambatan, kira-kira 4-5 meter dari arus deras,” Kata Trong.
Menurut Jabatan Pengangkutan Phu Tho, hujan lebat dan banjir yang disebabkan oleh Taufan Yagi menyebabkan paras air Sungai Merah meningkat. Arus yang kuat mengubah topografi dasar sungai di sekitar jambatan, menyebabkan salah satu tiang jambatan runtuh dan dua bahagian utama jambatan turut terjunam.
Jambatan Phong Chau dibina dan mula beroperasi pada tahun 1995. Ia diperbuat daripada besi dan konkrit bertetulang pra-tegangangan dengan struktur kekal, direka untuk menampung kapasiti beban sebanyak 18 tan. Jambatan ini terdiri daripada lapan rentang dengan dua rentang yang runtuh diperbuat daripada rangka keluli mudah sepanjang 64 meter, yang dihasilkan di Bulgaria.
Ngo Duc Sau, timbalan pengerusi Jawatankuasa Rakyat Daerah Lam Thao, berkata runtuhan tersebut berlaku ketika cuaca buruk dan paras air sungai yang tinggi. “Kami masih belum mengesahkan jumlah mangsa kerana pihak berkuasa sedang menyemak rakaman kamera dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” Kata Sau.
Pihak berkuasa telah mengepung kawasan jambatan dan menjalankan siasatan mengenai punca runtuhan tersebut. Sau menambah bahawa keadaan jambatan tersebut telah mengalami kemerosotan sejak kebelakangan ini.