27.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 22, 2025
Utama Blog Laman 8

Taufan Bebinca badai Shanghai dalam ribut paling kuat melanda sejak 1949

0

Taufan Bebinca membadai Shanghai pada pagi 16 September, menyebabkan hab kewangan China itu terhenti seketika.

Taufan Bebinca ialah ribut Kategori 1 apabila ia melanda Shanghai pada kira-kira jam 7:30 pagi waktu tempatan dan merupakan taufan tropika paling kuat sampai ke metropolitan itu sejak kejadian Taufan Gloria pada 1949, tahun revolusi komunis China, dengan kelajuan angin tertinggi 151 kph (94 mph) membadai bandar berpenghuni 25 juta orang itu. 

Sekurang-kurangnya seorang cedera, dan bekalan elektrik terputus di ratusan rumah, menurut pihak berkuasa.

Gambar Hector Retama/ AFP/Getty Images

Menjelang ribut, bandar itu membatalkan kira-kira 1,400 penerbangan; kapal yang berpatah balik; sekolah diarah tutup, taman, perniagaan, dan destinasi pelancongan mengeluarkan amaran merah taufan, memberi amaran kepada penduduk tentang angin kencang dan hujan lebat. Lebih 400,000 orang telah dipindahkan dari kawasan berisiko, dan pihak berkuasa cuaca menjangkakan hujan lebat melebihi 53 cm antara 16 September dan 18 September.

Menjelang petang 16 September, lebih 10,000 pokok telah tumbang akibat ribut, dan banyak jalan ditutup kepada lalu lintas atau mempunyai sekatan kelajuan. Sekurang-kurangnya 132 ekar tanah ladang ditenggelami air.

Lebih 60,000 petugas kecemasan dan anggota bomba berada di lapangan bagi bantuan menyelamat di Shanghai.

Taufan itu bagaimanapun semakin melemah apabila ia bergerak ke pedalaman, meliputi sebahagian wilayah Jiangsu, Anhui, dan Zhejiang kini sudah melepasi Shanghai.

Shanghai terletak di bahagian pantai, tetapi kebanyakan ribut tropika cenderung membadai ke daratan lebih jauh.

Tangkap Layar / YouTube

Awal bulan ini, ribut Kategori 4 melanda Hainan, sebuah pulau di selatan tanah besar China, dan Hong Kong, ketika ia melanda Asia Tenggara.

Taufan Yagi menyebabkan sekurang-kurangnya 74 kematian di Burma, di mana berpuluh-puluh lagi masih hilang. Empat kematian dilaporkan di Hainan, sekurang-kurangnya 10 di Thailand, 20 di Filipina, dan lebih 230 di Vietnam, dengan puluhan lagi dilaporkan masih hilang.

Di Filipina, ribut mengakibatkan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk seorang wanita hamil. Anak sungai yang melimpah juga menyebabkan kematian akibat lemas dan renjatan elektrik, menurut pegawai. Air di Empangan Ipo di utara Manila naik hampir ke tahap bahaya.

Tanah runtuh juga menyebabkan kemusnahan di Vietnam, di mana satu kampung di pinggir Hanoi ditenggelami air sehingga hampir tenggelam keseluruhannya, dengan sebuah lagi kampung kecil di utara dihanyutkan sepenuhnya.

Taufan Yagi adalah taufan terkuat yang melanda Vietnam dalam beberapa dekad dan menyebabkan keruntuhan infrastruktur kritikal. Dalam satu kejadian, sebuah jambatan keluli di atas Sungai Merah runtuh, menyebabkan kereta, trak dan motosikal hanyut ke dalam sungai.

Feri bawa 567 penumpang ke Langkawi tersangkut beting pasir, tiga patah balik akibat cuaca buruk

0

Sebuah feri membawa seramai 567 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi dilaporkan telah terkandas dalam kejadian pada petang Isnin, 16 September.

Memetik Sinar Harian, feri tersebut dipercayai tersangkut pada beting pasir, kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Perlis.

Facebook

Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, menjelaskan insiden berlaku akibat cuaca buruk melibatkan hujan lebat serta angin kencang.

Keadaan angin kuat telah menolak feri yang menyebabkan ia terpesong dari laluan asal, lalu tersangkut di kawasan beting pasir.

Dr Baharin turut mengesahkan semua penumpang feri yang berlepas dari terminal Kuala Perlis pada jam 2.30 petang berada dalam keadaan selamat.

“Ketika ini, kerja untuk memindahkan mangsa sedang diusahakan, bagaimanapun kami menghadapi kesukaran dan kami dibantu oleh Maritim Malaysia untuk lakukan pemantauan.

“Kerja pemindahan mangsa agak sukar kerana jumlah yang ramai bagaimanapun kita masih menunggu air laut pasang,” katanya dalam kenyataan itu.

Facebook

Beliau juga memaklumkan bahawa pelayaran feri ke Langkawi dijangka akan disambung semula pada jam 8 malam.

Dalam perkembangan terbaru, Dr Baharin memaklumkan feri Bahagia 168 yang terkandas lebih 8 jam selamat tiba di Langkawi kira-kira jam 10.40 malam.

Katanya, feri itu dapat bergerak selepas berjaya ditarik bot tunda dan meneruskan perjalanan ke Langkawi pada jam 9.05 malam, lapor Astro Awani.

Facebook

Dr Baharin turut memaklumkan tiga trip feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terpaksa berpatah balik akibat ribut pada 16 September.

Jadual yang terjejas melibatkan feri yang membawa 120 penumpang pada jam 1.30 tengah hari, 149 penumpang pada jam 2 petang serta feri dengan 410 penumpang yang berlepas pada jam 2.30 petang.

Anak badak air berusia dua bulan tular di Thailand

0

Seekor anak badak air yang dinamakan Moo Deng berusia dua bulan menjadi bualan orang ramai terutama di Thailand ketika ini.

BBC

Anak badak air betina ini telah menarik ramai pengunjung di sebuah zoo berhampiran bandar Pattaya.

Menurut Zoo Terbuka Khao Kheow, bilangan pengunjung zoo tersebut meningkat dua kali ganda sejak kelahiran Moo Deng pada Julai lalu.

Walau bagaimanapun, pengarah zoo menggesa orang ramai supaya berkelakuan baik ketika melihat Moo Deng.

Hal ini disebabkan tular video yang menunjukkan terdapat pengunjung yang tidak berkelakuan baik terhadap haiwan berkenaan.

BBC

“Tingkah laku ini bukan sahaja kejam tetapi juga berbahaya,” Kata Narongwit Chodchoi dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam talian.

“Kita mesti melindungi haiwan-haiwan ini dan memastikan mereka mempunyai persekitaran yang selamat dan selesa.”

Video di media sosial menunjukkan beberapa orang pengunjung bukan sahaja membaling kerang malah menyimbah air ke arah Moo Deng sebagai cubaan untuk mengejutkannya daripada tidur.

Narongwit berkata pihak zoo telah memasang kamera CCTV di sekitar kawasan kurungan dan mengugut tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak melayan Moo Deng dengan baik.

Selain itu, Narongwit turut mengingatkan bahawa masa terbaik untuk melawat Moo Deng adalah ketika ia terjaga.

BBC

Badak air pygmy yang berasal dari Afrika Barat diklasifikasikan sebagai “terancam” oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Di samping itu, pakar percaya terdapat kurang daripada 3,000 ekor yang tinggal di alam liar.

Sejak kelahiran Moo Deng, 128 daripada 150 hantaran media sosial terakhir zoo tersebut adalah mengenainya.

“Saya tidak boleh berhenti fikir tentang Moo Deng – saya memikirkannya sepanjang hari,” Kata seorang pengguna di X.

Seorang lagi berkata, “Saya tidak tahu apa-apa yang berlaku di dunia sekarang kecuali tentang Moo Deng.”

Selain itu, pelbagai barangan termasuk gabungan baju dan seluar bertemakan anak badak air, kini boleh dibeli di zoo dan dalam talian.

Jenama lain yang turut menumpang populariti Moo Deng adalah Sephora yang mengeluarkan produk kecantikan “Soft Pop Powder Blush” berharga THB 1,590 ($47.70; £36.30).

BBC

Ternyata populariti Moo Deng bukan sahaja menarik perhatian orang tempatan Thailand, malah televisyen antarabangsa seperti All-NIppon News Network dari Jepun juga turut membuat liputan mengenainya.

Malah Kedutaan Diraja Thailand juga didapati menyambut baik situasi semasa mengenai Moo Deng di saluran media sosial mereka. “Dia sangat bertenaga dan penampilannya yang comel amat menenangkan,” Kata pihak kedutaan di X pada Khamis.

Sesetengah individu berkebolehan istimewa dapat membaca ekspresi kucing

0

Dalam satu tinjauan terbaru, mereka yang mahir memahami isyarat kucing kebanyakannya muda dan individu perempuan—tetapi apa yang mengejutkan, mereka tidak semestinya pemilik kucing.

Setiap kali pengasuh kucing menghantar kepada Georgia Mason dan suaminya, gambar dua anak kucing coklat mereka Sylvie dan Luke, Mason berkata, “kami biasanya bersetuju jika kucing kami kelihatan ceria atau merengus atau cemas.”

Menurut kajian yang dijalankan dan diketuai oleh Mason, ahli biologi tingkah laku di Universiti Guelph di Kanada, menunjukkan seseorang yang boleh secara konsisten mentafsir kod ekspresi kucing tergolong dalam kerabat khas: Penjinak atau pembisik kucing atau “cat whisperer”.

Gambar National Geographic

Untuk penyelidikan, Mason dan rakan sekerjanya melakukan tinjauan dalam talian dan menjemput pengguna internet (kelab peminat terbesar kucing) untuk mengambil bahagian. Seramai 6,329 peserta dari 85 negara menonton antara dua hingga 20 video pendek ekspresi kucing, dan kemudian menjawab jika mereka fikir kucing itu tertekan atau gembira. Pengguna rawak ini mendapat purata 11.85 daripada 20 rating yang betul—lebih baik daripada kebetulan, tetapi tidaklah banyak.

Tetapi kira-kira 13 peratus daripada peserta tinjauan adalah luar biasa mahir membaca emosi kucing, mendapat markah sekurang-kurangnya 15 daripada 20 betul, yang boleh digelar penjinak kucing. Mereka yang melaporkan diri terdiri daripada wanita dan muda, serta mempunyai pengalaman veterinar profesional kebanyakannya berkemungkinan mendapat markah yang baik.

Agak mengejutkan buat Mason, soal pemilikan kucing tidak memberi kesan ke atas keupayaan untuk mentafsir emosi kucing.

Pada manusia, ekspresi wajah adalah bentuk komunikasi manusia yang utama-jika kurang dihargai, kata Mason, yang kajiannya diterbitkan dalam edisi November jurnal Animal Welfare. Dan penyelidikannya menunjukkan bahawa pelbagai haiwan, daripada tikus kepada anjing hingga kepada kuda, juga “membuat ekspresi wajah yang jelas menyampaikan bagaimana perasaan mereka,” katanya.

Satu kajian yang diterbitkan pada 2019 mendapati kucing juga tidak terkecuali, sambil membayangkan bahawa manusia boleh memahami bentuk komunikasi kucing yang halus, terutamanya dengan ekspresi wajah.

Kucing perengus

Gambar Hiasan / Pixabay

Untuk mengetahuinya, Mason dan rakan-rakannya di Pusat Kajian Campbell untuk Kebajikan Haiwan di universiti itu beralih ke tempat simpanan terbesar di dunia untuk video tingkah laku kucing: YouTube.

Para saintis menjejaki rakaman kucing selama berjam-jam dengan set kriteria yang sangat spesifik: Klip di bawah empat saat yang jelas menunjukkan wajah kucing—mata, muncung dan mulutnya—dalam situasi di mana haiwan peliharaan itu jelas rileks atau kecewa. 

Penceritaan atau deskripsi video membantu pasukan untuk melihat konteks video, dan, tidak menghairankan, banyak kucing yang kecewa apabila melawat doktor haiwan. (Para penyelidik mengelakkan video di mana kucing memaparkan telinga belakang yang disematkan atau taring terdedah, yang sudah menjadi tanda ketakutan kucing paling dikenali.)

Mereka akhirnya menyelesaikan 40 video pendek, 20 menunjukkan anak kucing gembira dan 20 menunjukkan yang bermasalah. Setiap kumpulan dibahagikan lagi kepada kucing yang aktif dan berehat supaya pergerakan kucing itu tidak memihak kepada keputusan. Pasukan itu juga menyelinap masuk klip video yang memaparkan kucing mereka sendiri sebelum memuktamadkan tinjauan dan memuat naiknya di media sosial.

Gambar Hiasan / Pixabay

Di sebalik penemuan penjinak si bulus yang menarik, kajian itu juga mendedahkan seseorang individu itu adalah lebih baik melihat emosi positif dalam diri kucing berbanding emosi negatif—contohnya, lebih 85 peratus responden meneka dengan betul bahawa kucing Mason, Luke, berpuas hati.

Mikel Delgado, pakar tingkah laku kucing di Universiti California, berkata kajian penyelidikan “menunjukkan bahawa seseorang itu boleh mengenal pasti keadaan emosi kucing daripada maklumat yang sangat terhad.”

Delgado menambah kajian ini adalah “permulaan yang baik” untuk memecahkan komunikasi kucing, tetapi berhati-hati berbanding mengenal pasti keadaan emosi kucing berdasarkan satu maklumat. “Masih banyak yang perlu kita fahami tentang bahasa badan kucing,” kata Delgado, yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu.

Sebagai contoh, bahasa badan seperti kedudukan ekor dan telinga juga merupakan isyarat yang berkaitan dengan perasaan kucing.

Mencari isyarat

Gambar National Geographic

Untuk kajian masa depan, Mason berharap untuk mengetahui bagaimana sebenarnya penjinak kucing menjadi amat bagus dalam perkara yang mereka lakukan. Sebagai contoh, menunjukkan dengan tepat isyarat khusus yang dibaca manusia dalam ekspresi wajah haiwan peliharaan boleh membantu profesional veterinar dan pemilik kucing untuk “perbualan kucing” dengan lebih baik.

Dan jangan sampai kita manusia berfikir kawan si bulus kita itu hanya menunjukkan wajah gembira supaya kita akan membuka satu lagi tin tuna, Mason menambah kucing mungkin menggunakan ekspresi ini semasa berinteraksi antara satu sama lain.

Kesimpulannya? “Kucing adalah ekspresif,” kata Mason, “walaupun para si bulus biasanya dianggap golongan sukar difahami.”

Pearly Tan-M Thinaah juara Terbuka Hong Kong

0

HONG KONG: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memberikan hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Malaysia 16 September apabila muncul juara menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di Terbuka Hong Kong 2024.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum hari ini 15 September, Pearly-Thinaah berada di prestasi terbaik apabila mereka berjaya menampilkan permainan yang cukup menyakinkan dan memilih untuk bermain secara menyerang untuk menang straight set 21-14, 21-14 dalam masa 38 minit sahaja.

Pasangan negara yang berada dalam momentum tertinggi itu memilih permainan agresif di set pertama dengan melakukan pukulan kencang berselang-seli dengan bola ‘drop’ .

Tindakan itu berjaya memerangkap Sheng Shu-Tan Ning terutama di depan jaring sambil dibantu dengan kesilapan mudah dari lawan mereka untuk terus mendapatkan mata demi mata dan memenangi set berkenaan.

Tersentak dengan kekalahan itu, pilihan kedua dari China itu cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun Pearly-Thinaah tidak membenarkan perkara itu berlaku dengan terus mengekalkan gaya permainan pantas mereka.

Strategi itu berjaya mendapatkan lima mata berturut-turut dan terus menjarakkan kedudukan selesa dengan berada 10 mata di depan.

Keyakinan beregu negara itu semakin terserlah selepas berjaya menangkis segala serangan demi serangan dari Sheng Shu-Tan Ning dan mereka sendiri tidak banyak melakukan kesilapan mudah sekali gus menutup permainan dengan kemenangan yang penuh bermakna buat pasangan negara itu.

Untuk rekod, kejuaraan itu juga membolehkan mereka menebus kekecewaan tahun lalu apabila tewas di pentas akhir selain dikecewakan di peringkat sama pada Terbuka Korea bulan lalu.

Malah beregu kelapan dunia itu juga berjaya menamatkan penantian hampir dua tahun untuk muncul juara selepas kali terakhir di Terbuka Perancis pada Oktober 2022.

Ini adalah pertemuan kelima mereka tahun ini dan itu adalah kemenangan pertama Pearly-Thinaah ke atas Sheng Shu-Tan Ning selepas tewas empat kali sebelum ini.

MetMalaysia keluar amaran ribut petir, hujan lebat di sembilan negeri

0

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan buah negeri di Semenanjung Malaysia sehingga jam 11 malam, 14 September.

Menurut kenyataan MetMalaysia, ramalan tersebut berdasarkan tanda-tanda ribut petir dan intensiti hujan yang dijangka lebih sejam.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya.

Menerusi amaran tersebut, seluruh negeri Perlis bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang manakala di Kedah, ia hanya melibatkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling.

Di Perak pula, daerah Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim dijangka bakal terkesan.

Di sebelah pantai timur, ribut petir dan hujan lebat yang melanda negeri Kelantan melibatkan daerah Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah, manakala Terengganu hanya di daerah Marang, Dungun dan Kemaman. Pahang hanya melibatkan daerah Raub, Temerloh, Maran dan Kuantan.

Manakala ribut petir berserta hujan lebat turut dijangka melanda Hulu Selangor di Selangor, Jasin di Melaka serta Tangkak dan Muar di Johor.

Terdahulu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara. Amaran tersebut berkuatkuasa bermula 13 September hingga 18 September 2024.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah dari 13 hingga 18 September 2024.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut serta angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat perancangan awal bagi perjalanan dan berhati-hati ketika memandu. Elakkan berada di kawasan titik panas kepala air dan berisiko banjir.

10 jam terkandas dalam perjalanan dari Selangor ke Pulau Pinang

0

BUTTERWORTH: Seorang pekerja swasta berkongsi pengalaman 10 jam terkandas dalam perjalanan dari Selangor ke Pulau Pinang pada Jumaat.

HARIAN METRO

Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Sasha, 34, dia yang bercadang pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang dari Selangor terpaksa menempuh kesesakan selama 10 jam.

“Saya dan suami memilih untuk bertolak malam kerana selalu tidak sesak, tetapi sangkaan meleset apabila kenderaan terlalu banyak dan ada beberapa laluan ditutup kerana penyelenggaraan jalan.”

“Bayangkan kami bertolak sekitar 11 malam (semalam) dan tiba di rumah ibu bapa saya hampir 9 pagi tadi, ini pertama kali saya tempuh kesesakan luar biasa seperti ini.”

“Kebetulan cuti sekolah termasuk cuti Hari Malaysia dan Maulidur Rasul maka peluang ini diambil untuk membawa keluarga bercuti dan menghadiri pelbagai majlis,” Katanya.

Terdahulu, tular insiden kesesakan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang apabila kenderaan dilaporkan beratur hampir dua jam untuk memasuki bahagian pulau.

Sementara itu, pengguna media sosial meluahkan rasa lega mengambil keputusan pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).

“Pada mulanya fikir nak memandu, tetapi sebab cuti ini sekejap sahaja, jadi saya tempah tiket ETS sejak dua bulan lalu. Maka tak perlu tempuh kesesakan dan sampai tepat pada masanya,” Katanya.

Peningkatan jumlah kenderaan dari luar berbanding kebiasaan yang menjadikan aliran trafik menghala utara terutama di Pulau Pinang dilaporkan sesak teruk ketika ini.

Berdasarkan beberapa perkongsian di media sosial, kesesakan itu berlaku berkemungkinan disebabkan orang ramai mengambil kesempatan bercuti di negeri ini sempena sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul termasuk cuti sekolah.

Insiden buli doktor di Sabah, MMA gesa segera ambil tindakan

0

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung insiden buli doktor di Sabah.

BH ONLINE Gambar: Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata kelewatan siasatan akan mengganggu perkhidmatan di fasiliti kesihatan yang berkenaan di negeri itu.

Dalam pada itu, Dr Kalwinder turut menegaskan bahawa tindakan yang diambil kerajaan dalam kes tersebut mesti menghantar mesej yang jelas dan tegas kepada pembuli bahawa apa juga bentuk buli dalam penjagaan kesihatan tidak akan ditoleransi.

“Jika kakitangan perlu mengambil cuti untuk menyertai siasatan, pengganti sementara yang sesuai perlu diatur.”

“MMA sedia membantu pihak berkuasa jika memerlukan maklumat lanjut. Apa yang penting adalah memastikan siasatan yang menyeluruh dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersalah, dan terhadap sesiapa yang didapati melindungi pembuli,” Katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, BH melaporkan terdapat beberapa orang doktor di hospital kerajaan di Sabah mengalami gejala buli secara lisan dan fizikal apabila dihambur perkataan kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.

Selain itu, mereka sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional petugas kesihatan terbabit diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.

Pembuli pula bagaikan mempunyai kekebalan apabila tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka, selepas aduan kepada pihak atasan, bahkan ketua jabatan memberi amaran akan menukarkan doktor yang mengadu dibuli ke unit lain.

Susulan itu, pada Selasa lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang gejala buli dalam kalangan pengamal perubatan, terutama membabitkan doktor.

Beliau mahu mana-mana kakitangan KKM yang pernah mengalami atau tahu mengenai insiden buli dalam kalangan warga kementerian itu untuk melaporkan insiden terbabit, termasuk melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA).

Mengulas lanjut, Dr Kalwinder berkata, kes buli berkenaan sudah dirujuk oleh pihaknya kepada KKM selepas menerima laporan daripada mangsa.

MMA juga meminta semua kakitangan penjagaan kesihatan untuk menggunakan saluran yang ditetapkan seperti SiSPAA atau platform Bantuan Doktor MMA bagi melaporkan kes buli.

“Tindakan melaporkan kejadian itu penting untuk memastikan tindakan yang sesuai dapat diambil dan tidak perlu takut untuk tampil ke hadapan,” Katanya.

Lebih separuh Gen Z gagal atasi masalah tekanan, tidak gembira di tempat kerja

0

Lebih 60 peratus pekerja Generasi Z (Gen Z) tidak dapat mengatasi tekanan berkaitan kerja, membawa kepada keletihan melampau sehingga mengakibatkan mereka kerap bertukar kerja, menurut laporan.

Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor, seterusnya melambatkan pertumbuhan industri, memetik laporan Utusan Malaysia.

Pakar Psikologi Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata kekurangan sifat daya saing adalah antara punca utama generasi ini mengalami keletihan melampau (burnout), yang akhirnya mengehadkan potensi mereka untuk pencapaian lebih baik.

Gambar Hiasan / Pexels

“Gen Z perlu berdaya saing dan memupuk ketahanan diri yang kukuh bagi menghadapi cabaran sebenar dunia luar. Burnout adalah sesuatu yang dialami oleh semua orang, cuma keupayaan untuk mengatasinya bergantung kepada individu terbabit.

“Generasi muda hari ini, paling mudah untuk mengadaptasi kecanggihan teknologi semasa, sepatutnya mereka menggunakan kemudahan ini secara lebih berhemah dan cekap, tidak seperti zaman dahulu apabila semuanya perlu dilakukan sendiri secara manual.

“Jika Gen Z mempunyai daya ketahanan yang tinggi, ini secara tidak langsung akan melatih mereka dengan kemahiran berfikir secara rasional,” kata Dr Mariani.

Menurut laporan Business Insider 2023, pekerja Gen Z berkemungkinan menukar kerjaya sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang hayat kerja mereka, dan hampir dua pertiga akan meninggalkan majikan masing-masing dalam tempoh dua tahun akan datang.

Gambar NST

Walau bagaimanapun, Laporan Wellness at Work 2024 mendedahkan golongan Milenial paling banyak terjejas akibat keletihan, dengan 69 peratus mengalami keletihan, diikuti oleh Gen Z pada tahap 64 peratus.

Gen Z merujuk kepada mereka yang lahir antara Januari 1995 dan Disember 2003, manakala Milenial ialah mereka yang lahir antara Januari 1983 dan Disember 1994.

Sementara itu, Dr Mariani menambah kekurangan ketahanan fizikal dan mental Gen Z menyebabkan mereka kerap bertukar pekerjaan.

Beliau berkata walaupun gaji tidak dinafikan menjadi faktor memilih kerjaya, ada yang bertukar kerja kerana tidak mampu menangani tekanan di tempat kerja dan jika tidak ditangani dengan lebih awal, golongan ini akan terus mengalami burnout tanpa mengira di mana mereka bekerja.

Gambar Hiasan / Pexels

“Adalah penting untuk mencari penyelesaian kepada tekanan yang dihadapi, dan mereka memerlukan sistem sokongan yang kuat daripada keluarga dan rakan,” katanya.

Mengenai dakwaan Gen Z bersikap “manja” dan tidak tahan menerima kritikan di tempat kerja, Dr Mariani menjelaskan personaliti seseorang itu bermula dengan didikan ibu bapa dan pengaruh persekitaran.

“Segelintir ibu bapa mungkin terlalu memanjakan anak-anak mereka yang mungkin boleh menyebabkan remaja hari ini cepat melatah apabila menerima kritikan atau teguran lalu tidak tahan tekanan.

Jadi, kita tidak boleh simpulkan mana-mana generasi sebagai bersikap manja atau sebagainya, kerana ia bergantung kepada cara didikan dan pengaruh persekitaran,” katanya.

Gambar Utusan Malaysia

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Mohd Effendy Abdul Ghani berkata Gen Z membesar dengan pelbagai pilihan, terutamanya mendapat akses kepada maklumat yang meluas melalui kemudahan teknologi.

Tambahnya, generasi ini lebih terdedah kepada tekanan jika mereka bekerja dalam persekitaran yang tidak memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

“Gen Z sering berhadapan tekanan kerana tuntutan pekerjaan yang tinggi, jangkaan keseimbangan kehidupan peribadi dan kerja, kurang pengalaman kerja, dan ketidaktentuan ekonomi. Persekitaran kerja yang kompetitif, budaya kerja tegas, dan kekurangan peluang untuk berkembang juga menyumbang kepada tekanan ini,” kata Mohd Effendy.

Gempa bumi 4.7 magnitud gegarkan kawasan Los Angeles

0

CALIFORNIA: Satu gempa bumi berkekuatan 4.7 magnitud yang berpusat di Malibu, California telah menggegarkan kawasan Los Angeles pada Khamis.

ABC NEWS

Perkara tersebut disahkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (U.S. Geological Survey).

Satu gegaran susulan pada skala 2.8 magnitud telah direkodkan di Malibu dua minit selepas gempa bumi pertama. Gegaran berkekuatan 3.4 magnitud juga dicatatkan 12 minit selepas gempa yang pertama.

Menurut pejabat Gabenor Gavin Newsom dalam satu kenyataan, Sistem Amaran Awal Gempa Bumi California “memberikan pemberitahuan awal kepada jutaan penduduk California”.

Pejabat Perkhidmatan Kecemasan Gabenor (Cal OES) menganggarkan jutaan orang menerima amaran kecemasan tanpa wayar hasil daripada kerjasama awam-swasta antara kerajaan negeri dan Google, yang telah mengintegrasikan perisian amaran ke dalam sistem operasi telefon bimbit Android.

Telefon di kawasan yang terjejas menerima notifikasi daripada aplikasi MyShake negeri, yang menghantar 425,217 amaran. Selepas gempa bumi itu, terdapat lebih daripada 20,000 muat turun baharu aplikasi tersebut dalam tempoh hanya tiga jam.

Selain daripada amaran kecemasan yang dihantar, California juga menggunakan teknologi untuk mengautomatikkan tindakan perlindungan seperti membuka pintu balai bomba, menghentikan lif, menutup injap air dan gas serta menutup pintu pagar jambatan dan memberi notifikasi kepada kakitangan di sekolah dan pusat perubatan, menurut kenyataan Cal OES.

“Walaupun negeri ini sedang berdepan dengan kebakaran hutan, kita mesti sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan bencana lain. Terima kasih kepada sistem Amaran Awal Gempa Bumi, jutaan orang di California Selatan menerima amaran di telefon bimbit mereka sebaik sahaja gegaran bermula,” Kata Newsom dalam satu kenyataan.

Sistem Amaran Awal Gempa Bumi California menggabungkan aplikasi telefon pintar dengan kaedah penghantaran amaran dan pemberitahuan tradisional yang dikenali sebagai Wireless Emergency Alerts (WEA).

ABC NEWS

Sistem gempa bumi ini menggunakan penderia pergerakan tanah di seluruh negeri untuk mengesan gempa sebelum manusia dapat merasainya, menurut pejabat gabenor. Di bawah pimpinan negeri, “50 peratus lebih banyak penderia telah dipasang sejak program ini dilancarkan, menjadikan sistem lebih tepat dan mampu menghantar amaran dengan lebih pantas,”

Tiada kerosakan besar dilaporkan, kata Jabatan Bomba Los Angeles.