28.3 C
Kuala Lumpur
Monday, September 15, 2025
Utama Blog Laman 62

Taruh nyawa demi selamatkan anak wanita buta yang terjatuh ke landasan kereta api, keberanian lelaki ini terima pujian dan anugerah

0

Mayur Shelke menerima pujian dan digelar wira sebenar yang berani mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Pada hari kejadian, kanak-kanak itu sedang memimpin ibunya yang buta apabila secara tiba-tiba dia telah terjatuh ke landasan kereta api di Stesen Keretapi Vangani di Thane, India.

Rakaman CCTV menunjukkan budak lelaki itu berjalan di sepanjang platform bersama ibunya yang OKU cacat penglihatan.

Facebook

Ketika mereka menghampiri trek untuk melihat kereta api yang akan tiba, budak lelaki itu tiba-tiba terjatuh dari platform.

Ibunya kelihatan terpinga-pinga dan terkejut sambil tercari-cari anaknya ketika kereta api dilihat semakin menghampiri dan kanak-kanak itu menjerit cuba bergegas keluar dari landasan.

Facebook

Namun syukur, jeritan cemas kedua ibu dan anak ini didengari pekerja kereta api Mayur Shelke yang kemudian melihat budak itu telah terjatuh ke landasan, dan tanpa berfikir panjang dengan pantas berlari ke arahnya.

Sambil memecut menuruni trek, dia segera merangkul budak itu dan menolaknya semula ke atas platform.

Facebook

Lelaki itu kemudian berjaya menarik dirinya ke platform beberapa saat sebelum kereta api berlalu laju, lantas dengan penuh kesyukuran telah menyelamatkan mereka berdua daripada kejadian membabitkan nyawa yang tidak diingini.

Mereka dibawa pergi ke tempat yang selamat oleh orang ramai yang turut berlari ke platform itu untuk membantu.

Facebook

Mujur, tiada siapa yang cedera dalam kejadian hampir tragis itu.

Kisah Mayur Shelke menjadi wira telah mendapat perhatian Kementerian Keretapi India kerana keberaniannya. Insiden itu berlaku beberapa tahun lalu, tetapi telah menjadi tular semula pada bulan Mac tahun ini selepas bekas pemain kriket India VVS Laxman memuat naik rakaman CCTV itu di platform X.

Facebook

Kementerian Keretapi India telah mengumumkan hadiah wang tunai untuk Mayur kerana keberaniannya, namun dia telah mendermakan sebahagian daripadanya untuk pendidikan kanak-kanak itu.

Facebook

“Saya mendapat tahu bahawa budak itu dari latar belakang miskin dan mereka tidak mampu untuk memberinya pendidikan. Memandangkan saya menyelamatkan budak itu, saya memutuskan untuk menderma separuh daripada wang anugerah untuk masa depannya yang cerah,” kata Mayur Shelke.

Tonton video di sini.

Rai awal rasa sudah menang, atlet luncur kasut roda Korea Selatan tewas 0.01 saat kepada Taiwan di Sukan Asia

0

Atlet berkumpulan Korea Selatan dalam acara luncur kasut roda 3 kilometer (km) terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sebaik tamat perlumbaan akhir yang mencuri perhatian di temasya Sukan Asia 2023.

Pelumba akhir, Jung Cheol-won dilaporkan tewas dengan perbezaan masa 0.01 saat kepada pelumba Taiwan, Huang Yu-lin apabila meraikan kemenangan terlalu awal.

Atlet terbabit dilihat berdiri sambil meraikan kedudukannya yang berada di hadapan, sekali gus membolehkan pesaingnya melunjurkan kaki ke arah garisan penamat.

Gambar Yonhap News

Berdasarkan catatan akhir, kontinjen daripada Korea Selatan mencatatkan masa 4:05:702 sementara lawan mereka merekodkan masa perlumbaan 4:05:692.

Perbezaan berkenaan menyaksikan atlet Korea Selatan, iaitu Cheol-won, Choi In-ho dan Choi Gwang-ho gagal membawa pulang pingat emas.

Cheol-won mengakui dirinya sudah melakukan kesilapan sehingga merugikan pasukannya serta negaranya dalam acara itu, lapor Yonhap News.

“Saya meminta maaf kepada rakan sepasukan serta penyokong yang tidak berhenti memberikan sorakan kepada kami. Kami sudah berusaha keras dengan sedaya upaya, tetapi ini adalah salah saya,” katanya.

Gambar AP

Kegagalan untuk muncul sebagai pemenang pingat emas menyaksikan ketiga-tiga wakil Korea Selatan itu terpaksa menjalani latihan ketenteraan mandatori.

Bagaimanapun, ia sama sekali tidak memberi kesan terhadap jumlah pengumpulan pingat buat Korea Selatan yang berjaya meraih 42 pingat emas, 59 perak dan 89 gangsa secara keseluruhan di tempat ketiga pada akhir temasya.

Sukan Asia Hangzhou 2022 melabuhkan tirainya pada Ahad, 8 Oktober dengan menyaksikan China muncul juara buat kali ke-11 berturut-turut dengan pungutan 201 pingat emas. Jepun yang menduduki tempat kedua dengan 52 emas akan menjadi tuan rumah seterusnya di Aichi-Nagoya pada 2026.

“Senang hidup tak perlu kerja keras,” Duit hasil mengemis lelaki ini buat ramai rasa cemburu

0

Bersedekah merupakan amalan mulia dan patut diamalkan sekiranya seseorang itu berkemampuan.

Kita akan mendapat banyak manfaat dan pahala daripada bersedekah kerana ia dapat melatih diri dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Malangnya, pada hari ini ramai peminta sedekah di pelbagai tempat awam yang mengemis meminta wang dengan tubuh badan mereka yang sihat tidak mahu bekerja.

X

Sampai ada yang sanggup marah-marah, memaki dan bertindak kasar jika kita tidak memberikan wang kepada mereka. 

Dengan muka kasihan dan penampilan kelihatan daif, pasti akan ada orang yang memberikan wang kepada mereka.

Baru-baru ini, tular sebuah video di laman X apabila seorang lelaki mengira wangnya didakwa hasil mengemis telah mendapat perhatian ramai.

X

Lelaki itu duduk di tepi tangga dan mengira wangnya.

Dia kemudian mengeluarkan beberapa bungkusan makanan daripada kainnya, malah dia juga siap mengira wang difahamkan hasil daripada kerjaya mengemis.

Jika dilihat, beberapa wang kertas RM1, RM5 dan RM10 disusun dan dia terus menyimpannya di dalam poket.

X

“Senang dia buat kerja. Kerja meraih simpati orang,” komen seorang netizen.

Antara reaksi dan komen para pengguna X:

“Bang pinjam 100 dulu bang. Gaji minggu depan ni bang..”

“Annual income dia mesti pengguna AMEX!”

“Korang percaya tak kalau kita cakap income diaorang ni lagi besar daripada kita semua, malahan ada kalangan mereka ni boleh tinggal di hotel mewah.”

“Lebih suka bagi sedekah dekat tukang isikan minyak di petrol pam, rider makanan, mak cik cleaner, budak-budak muda kerja kutip pinggan di food court, atau penjaja yang jual makanan kita tak ambil baki. Mereka ni yang layak dapat duit ekstra..”

Jadi fikir dahulu sebelum anda mahu bersedekah. Pastikan di saluran dan tempat yang betul, bukan yang salah tempat dan salah orang yang macam ini.

Malaysia teliti langkah Indonesia haram TikTok Shop – Fahmi Fadzil

0

Pada 4 Oktober lalu, TikTok Indonesia membuat keputusan rasmi untuk menamatkan urus niaga di pasaran e-dagangnya, TikTok Shop, untuk mematuhi peraturan tempatan baharu.

Menurut CNBC, langkah itu dibuat selepas Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa diadakan peraturan di media sosial. Beliau berkata kemasukan platform sedemikian telah menyumbang kepada penurunan jualan untuk perniagaan domestik dengan kebanjiran pasaran import asing.

Kementerian Perdagangan Indonesia telah menetapkan tarikh akhir seminggu untuk TikTok menjadi aplikasi kendiri, tanpa sebarang ciri e-dagang, atau ditutup. TikTok membalas dalam satu kenyataan dengan mengatakan bahawa keutamaan mereka adalah untuk terus mematuhi peraturan dan undang-undang tempatan.

Gambar Hiasan / Unsplash

“Oleh itu, kami tidak lagi akan menyediakan transaksi e-dagang di TikTok Shop Indonesia menjelang 17:00 GMT +7, 4 Oktober, dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan di masa hadapan,” kata TikTok.

Ia dinyatakan dalam artikel oleh The New York Times bahawa Indonesia adalah pasaran kedua terbesar TikTok di dunia, dengan kira-kira 125 juta pengguna.

Pada hari Sabtu, 7 Oktober, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan Malaysia akan meneliti langkah pengharaman yang diambil oleh kerajaan Indonesia.

Bagaimanapun, menurut Bernama, Fahmi berkata pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai tindakan itu. Pada masa sama, beberapa kedai besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga bagi produk yang dijual melalui platform tersebut.

“Ramai rakyat Malaysia menggunakan platform TikTok Shop untuk menjual barangan, jadi saya akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kementerian melihat asas tindakan yang diambil oleh kerajaan Indonesia.

“Saya rasa TikTok perlu tampil memberi penjelasan, kerana antara sebab TikTok Shop diharamkan di Indonesia adalah kerana isu harga pemangsa yang mengancam usahawan tempatan di Indonesia,” kata Fahmi.

Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil.

Selain itu, Menteri itu juga menyatakan TikTok perlu memberikan penjelasan mengenai isu perlindungan data peribadi yang menjadi kebimbangan orang ramai ketika membeli-belah di platform tersebut.

“Saya rasa semua platform media sosial akan mengkaji gelagat pengguna, bermula daripada perkara yang kita suka, perkara yang kita kongsi, perkara yang kita beli dan perkara yang kita tonton.

“Jadi ada beberapa isu yang perlu diteliti oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) dan SKMM terutama berkaitan aspek kepenggunaan atau perlindungan data peribadi.

“Oleh itu, saya akan menghubungi TikTok tidak lama lagi untuk membincangkan isu ini,” kata Fahmi.

Kerajaan bakal perkenal PLKN 3.0 dengan pendekatan baharu latihan di kem tentera untuk lepasan SPM

0

Kerajaan akan mengembalikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dimansuhkan pada 2018.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata program latihan kali ini adalah selama 45 hari, di mana pelatih akan menjalani latihan di kem tentera di seluruh negara.

“Kita sedang melihat untuk menghidupkan semula PLKN tetapi dengan ‘template’ baharu dan bukannya ‘template’ lama, yang mana PLKN dahulu dilakukan di banyak kem.

Sekadar Gambar Hiasan

“Dengan pendekatan baharu ini, kita percaya kos menjalani PLKN dapat dikurangkan daripada RM500 juta setahun kepada tidak melebihi RM100 juta setahun,” kata Mohamad Hasan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober.

Menteri berkenaan menyatakan PLKN 3.0 akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Mohamad Hasan berkata Fasa 1 akan dijalankan di peringkat sekolah, melibatkan pelajar Tingkatan Empat dengan tumpuan untuk mempertingkatkan program badan beruniform sedia ada.

Fasa 2 ialah latihan selama 45 hari, diadakan selepas pelajar menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan (Gambar Bernama)

“Kita menyasarkan untuk mewujudkan kesinambungan dalam PLKN 3.0, di mana kita boleh meningkatkan modul kurikulum sedia ada untuk pelajar Tingkatan Empat di sekolah menengah, supaya mereka bersedia untuk fasa kedua, yang melibatkan menjalani latihan di kem tentera.

“Itu sebab cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Hasan berkata kertas kerja template itu masih perlu dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelulusan.

“Kita percaya PLKN memberi manfaat dari segi memupuk kesetiaan terhadap negara dalam kalangan anak muda, disiplin diri tinggi dan semangat jati diri yang kuat tetapi kita juga mahukan template baharu bagi memastikan kita tidak berbelanja secara berlebihan,” kata Menteri Pertahanan itu.

Beliau menambah pendekatan baharu itu boleh mengurangkan kos kerana ia akan diadakan di kem tentera sedia ada dengan menggaji anggota tentera sebagai tenaga pengajar dalam kemudahan ini.

Mohamad Hasan berkata, selepas pelatih menamatkan latihannya, mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.

Sekadar Gambar Hiasan

“Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan menjalani latihan asas dan rekrut semula.

“Mereka yang sudah masuk IPTA boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain. Di universiti wujud badan uniform yang memberikan mereka peluang untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu menjadi bomba, RELA pun memang boleh sebab sudah sedia ada pengalaman,” jelasnya.

PLKN, yang mula diperkenalkan pada 2004, merupakan program tiga bulan yang bertujuan untuk melatih remaja berusia 18 tahun yang dirangka dari seluruh negara untuk memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam persekitaran berbilang kaum. Bagaimanapun, program tersebut telah dimansuhkan pada 2018 berikutan kos operasi yang tinggi.

Lapan fakta menarik bakal isteri Putera Mateen, Dayang Anisha

0

Pada malam 7 Oktober lalu, kerajaan Brunei Darussalam mengumumkan Putera idaman kesayangan ramai dan anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bakal melangsungkan perkahwinan dengan Dayang Anisha Rosnah Adam.

Berita itu ternyata disambut baik oleh seluruh rakyat dan juga netizen yang tidak putus-putus memberikan ucapan tahniah kepada pasangan diraja ini.

X

Memiliki paras tampan dan tubuh sasa, sudah pasti anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz ini menjadi perhatian ramai.

Terutamanya tentang siapa gerangan yang bakal menjadi suri hati Putera berusia 32 tahun yang menjadi idaman ramai wanita ini.

Berikut adalah trivia mengenai wanita cantik bernama Dayang Anisha Rosnah Adam yang turut dikenali dengan nama Anisha Isa Kalebic yang dikongsikan Gempak:

X

1. Pengantin perempuan merupakan cucu kepada penasihat Sultan yang berpengaruh di Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Dato Awang Isa Awang Ibrahim.

2. Datuknya juga merupakan seorang Manteri, iaitu golongan pembesar diraja, dengan gelaran ‘Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja’.

3. Pada November 1974 hingga Januari 1984, datuk Anisha juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Syarikat Penerbangan Royal Brunei yang diasaskannya.

4. Abang kandung Anisha yang dikenali dengan nama Danial Deen Isa Kalebic merupakan rakan rapat Putera Mateen.

Abang Dayang Anisha, Daniel Deen Isa Kalebic (kiri) / X

5. Anisha adalah graduan universiti berprestij di England dan memiliki perniagaan fesyennya sendiri diberi nama Silk Collective.

6. Pemilik wajah cantik ini juga dikatakan memiliki perniagaan bersama rakan baiknya yang diberi nama Aunthentirary yang merupakan perniagaan sektor pelancongan.

7. Tidak hanya memiliki wajah yang cantik, Anisha juga suka memasak. Malah wanita anggun ini juga memiliki akaun Instagram yang didedikasikan khas untuk hobi memasaknya.

Kali terakhir Anisha memuat naik video adalah tentang cara membuat kek pandan.

8. Sama seperti bakal suaminya, Anisha juga seorang yang suka bersenam dan bersukan. Memang nampak secocok pasangan Putera Mateen dan Dayang Anisha yang juga merupakan rakan rapat sejak kecil.

X

Khabar angin mengenai hubungan cinta Putera Mateen dengan Dayang Anisha bermula sejak 2018. Gambar Putera Mateen dan Dayang Anisha menghadiri beberapa acara bersama pernah tular sebelum ini.

Istiadat perkahwinan pasangan diraja ini akan berlangsung selama 10 hari bermula dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024.

Majlis akad nikah pasangan ini dijadual akan berlangsung pada 11 Januari dan Majlis Bersanding Pengantin Diraja akan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari 2024.

Gangguan bekalan air di 338 kawasan di Lembah Klang pada 10 Oktober

0

KUALA LUMPUR – Bermula 9 pagi, Selasa (10 Oktober) sebanyak 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual.

Gangguan itu susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Katanya, kerja penyelenggaraan dijangka akan siap pukul 7 malam pada hari sama dan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya 12 tengah hari pada 12 Oktober.

Gambar Hiasan / Unsplash

“Bekalan air juga dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat selepas kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air sudah distabilkan,” kata Air Selangor dalam kenyataan pada 7 Oktober.

Sebanyak 37 kawasan terjejas di Petaling, Kuala Lumpur (201) dan Hulu Langat (100).

Air Selangor juga memaklumkan, lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis yang kritikal.

Gambar Hiasan / Unsplash

Syarikat itu juga menasihatkan pelanggan yang terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya.

Turut dimaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Kerajaan Negeri Sarawak rancang beri pendidikan tertiari percuma untuk anak Sarawak menjelang 2026

0

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pendidikan tertiari percuma untuk anak-anak Sarawak di universiti milik kerajaan akan dilaksanakan menjelang 2026.

Semasa penutupan Pesta Benak 2023 di Sri Aman, Abang Johari berkata beliau yakin dapat melaksanakan rancangan itu dalam tempoh tiga tahun memandangkan kemampuan kukuh ekonomi negeri untuk tujuan itu.

Menurut The Borneo Post, beliau menyebut negeri itu memperoleh hasil sebanyak RM12 bilion pada 2022, dan terdapat tanda-tanda ia mungkin melebihi angka itu pada tahun ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. (Gambar Fail Sarawakku /Facebook)

“Berdasarkan pengiraan saya untuk tahun ini, kita mungkin boleh pecahkan rekod tahun lepas. Tahun ini mungkin lebih baik dari 2022,” katanya.

“Saya boleh komited pada 2026 kerana ekonomi kita akan lebih kukuh pada masa itu,” tambahnya.

Premier Sarawak itu juga berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) negeri untuk membuat kajian terhadap pelaksanaan pendidikan percuma itu.

“Kita mempunyai menteri MEITD Datuk Roland Sagah Wee Inn dan timbalannya Datuk Dr Annuar Rapaee untuk mengkaji penyediaan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Sarawak di universiti milik kerajaan negeri,” katanya sambil menambah beliau berasa yakin untuk melihat pelaksanaan itu akan menjadi kenyataan menjelang 2025 atau 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Gambar Borneo Network

Kini, terdapat lima universiti milik kerajaan negeri iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-Cats, dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs).

Abang Johari berhasrat menyediakan pendidikan tinggi percuma bagi memastikan lebih ramai anak jati Sarawak yang berkelayakan mampu memanfaatkan teknologi baharu untuk memacu pembangunan negeri, lapor Borneo Network.

Beliau menambah baki sumber Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak akan ditujukan untuk membiayai pendidikan belia Sarawak dan juga memantapkan ekonomi serta pembangunan infrastruktur negeri.

Lelaki ini naik bengang bila pembeli ‘online’ lebih suka komen bungkusan dan penghantaran berbanding ‘review’ membina berkaitan produk

0

Membeli-belah secara dalam talian pada hari ini sudah menjadi perkara kebiasaan, dan sebagai pembeli dan penjual dalam platform itu, terdapat beberapa etika yang perlu diamalkan serta dihormati.

Baru-baru ini tular sebuah video di TikTok memaparkan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan kelakuan pembeli dalam talian yang selamba meninggalkan ‘review’ produk yang tiada kaitan.

Lelaki ini mengeluh sambil berpesan tolonglah ulas produk yang dibeli, bukan main komen saja hal lain yang tidak berkaitan.

TikTok

Kebiasaannya, kita perlu meninggalkan ulasan atau ‘review’ produk berserta gambar atau video selepas menerima barang yang dibeli. Namun, ramai dilihat memberi ‘review’ dengan perkara yang tidak berkaitan.

Malah, lelaki itu juga mengatakan ramai yang suka ‘review’ bungkusan dan penghantaran berbanding produk yang dibeli.

“Boleh tak kalau beli barang online dalam aplikasi macam Shopee ke apa, kau review elok-elok boleh tak? Kalau kau beli baju, kau review bajulah. Bukan yang plastik postage tu, pakai baju ambil gambar, ataupun komen baju kain tebal sama macam dalam gambar, warna sama.”

“Kalau beli kasut, test ok size ngam, material cantik, ringan sedap pakai. Bukannya ambil gambar telinga kau, ambil gambar meja tempat kerja, kau faham tak apa itu review?”

“Kalau beli seluar, pakai di kaki tu ambil gambar. Selesa kain sedap. Bukan ambil gambar plastik komen barang dah sampai, thank you cepat sangat. Kau ni review barang ke review courier? Aku tak faham lah,” katanya.

TikTok

Dia juga menasihati kepada penjual supaya membalas komen negatif dengan cara yang baik. 

Tambahan lagi, dia juga tidak berpuas hati kerana seluar yang baru dibeli sangat nipis dan panas bila dipakai.

“Brother ni mewakili semua rakyat Malaysia,” komen seorang pengguna TikTok selepas video itu menjadi tular dengan lebih 4.8 juta tontonan.

Setuju dengan pendapat dan saranannya, pembeli patut meninggalkan ulasan produk yang baik, bersama rating jujur yang berkaitan barang dibeli supaya mereka sama-sama dapat menambah baik, membantu serta membangun dunia perniagaan.

Festival Pertengahan Musim Luruh diraikan warga Malaysia di Johor Bahru mempromosikan pertukaran budaya

0

Menjelang Perayaan Pertengahan Musim Luruh, Pusat Beli-Belah Toppen di Johor Bahru, Malaysia, mengadakan Festival Pertengahan Musim Luruh yang berlangsung selama sebelas hari untuk meraikan hari itu dan mempromosikan pertukaran budaya.

Perayaan tradisional itu turut dihadiri dan diraikan oleh ahli kerabat diraja bersama pelbagai kaum di Malaysia.

Gambar oleh Steven Fan/The Epoch Times

Sambutan itu telah berlangsung bermula 14 hingga 24 September, anjuran bersama Pusat Beli-belah Toppen, Tianyi Culture dan Maxima Value. 

Semasa sambutan berkenaan, beberapa persembahan menarik oleh kumpulan antarabangsa turut berlangsung, termasuk Pancaragam Tian Guo, kumpulan gendang pinggang dan persembahan muzik tradisional Vietnam, yang telah mewujudkan suasana meriah.

Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times

Acara ini telah menampilkan dengan sepenuhnya kepentingan kepelbagaian budaya, sikap saling memahami budaya lain, dan menggalakkan pertukaran budaya di kalangan rakyat. 

Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times

Justeru, acara itu telah berjaya menarik minat orang ramai untuk memeriahkan penyertaan, malah mengalu-alukan kehadiran kerabat diraja untuk sama-sama meraikan perayaan tradisional berkenaan. 

Jemputan kenamaan yang hadir termasuklah YB Datin Faridah Salim iaitu isteri YBM Tunku Dato’ Hassan, YM Tunku Hamidah Putri, YM Ungku Ibrahim Bin YBM Ungku Dato’ Hj Faizal dan Dato’ Wong Siew Poh.

Gambar oleh Steven Fan/The Epoch Times

Encik Cai yang merupakan konduktor Pancaragam Tian Guo berkata, “Sungguh menggembirakan apabila kami melihat peserta dari pelbagai negara, seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Singapura, membuat persembahan bersama dalam majlis yang bertuah ini.”

“Muzik tidak dinafikan memberi kesan yang berkuasa terhadap kesihatan kita. Harian Metro sebelum ini telah menemu bual Pancaragam Tian Guo, yang memfokuskan kepada perkongsian konsep ‘muzik menggalakkan kesihatan’.

Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times

Budaya Cina tradisional kuno

Untuk memperkenalkan budaya Cina kuno yang kaya dan berwarna-warni kepada warga tempatan, penganjur secara khusus mempromosikan karya seni dan karya Shen Yun. Jenama terkenal ini menyerlah dan mempromosikan budaya tradisional Cina yang sebenar.

Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times

Salah satu acara kemuncak dalam festival ini ialah Sesi Perkongsian Shen Yun, yang memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam tentang budaya ketuhanan.

Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times

Pada masa yang sama, aktiviti dalam festival berkenaan turut merangkumi pertandingan deklamasi puisi Tang, pertandingan kaligrafi Cina, pertandingan mewarna, pertandingan melukis, pertandingan nyanyian dan pertandingan permainan alat muzik, dan lain-lain, membolehkan orang ramai menunjukkan bakat mereka di samping menggalakkan mereka untuk memahami dengan lebih mendalam budaya Cina tradisional.

Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times

Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau Pesta Kuih Bulan di Toppen Mall ini adalah salah satu contoh sikap saling hormat-menghormati dan pemahaman budaya yang memberi inspirasi.

Dan kehadiran beberapa ahli kerabat diraja yang terhormat juga menyerlahkan kepentingan untuk menegakkan nilai sejagat yang dikongsi bersama serta berfungsi sebagai simbol harapan dan perpaduan.