29 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 5, 2025
Utama Blog Laman 5

Adly perjelas kaedah pengambilan sebenar PLKN 3.0

0

SUNGAI PETANI: Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dalam satu kenyataan memperjelaskan peserta sebenar PLKN 3.0 yang dijadualkan bermula Januari 2025.

BERNAMA

Menurut Adly, orang ramai resah akibat timbul salah faham mengenai had umur yang ditetapkan untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tersebut.

“Fokus kita tahun hadapan ialah lepasan SPM, contohnya lepas SPM tak boleh hadir sebab beberapa kekangan, (maka) dia boleh hadir hingga usia 35 tahun, itu mengikut akta.”

“Tetapi, fokus kita ialah pelajar lepasan SPM, saya rasa di situ ada salah faham tentang kaedah pengambilan. Memang ada keresahan… mereka kata umur 30 sudah bekerja, tidak timbul isu, kita meletakkan akta tujuannya agar mereka diberi sedikit kelonggaran,” Katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di sini.

Tambah Adly lagi, bermula Januari tahun hadapan, sebanyak 1,000 orang peserta terlibat dengan PLKN dan akan ditempatkan di dua buah kem latihan.

“Dari segi modul pula akan ada penambahbaikan yang kita buat berdasarkan PLKN sebelum ini. Bagi kita apa yang penting apabila mereka keluar PLKN, selain ada semangat jati diri, mereka juga mempunyai kemampuan dan keupayaan yang tinggi untuk memastikan mereka berjaya dalam bidang masing-masing,” Katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan kekerapan kapal dari luar terutamanya China masuk ke perairan negara seperti yang tular baru-baru ini, Adly berkata masyarakat tidak perlu gusar dengan keselamatan dan keupayaan pertahanan di perairan negara.

“Saya ras tak perlu gusar, ini amalan biasa dan kita dah sampaikan maklumat ini ke Parlimen bahawa ia sebahagian daripada kerjasama dua hala kita. Mana-mana kapal yang nak berlabuh di Malaysia kena buat permohonan kepada kita,” Katanya.

Sepanjang Oktober sahaja, Malaysia telah menerima kunjungan dari negara seperti Amerika Syarikat (USA), Itali, Jerman, Rusia dan China menurut Adly.

“Kita memang agak kerap terima (kedatangan kapal lain), kadang-kadang sebulan dua tiga kali kapal dari pelbagai negara. Ini amalan Malaysia sebagai negara berkecuali dan kita terbuka untuk menerima rakan-rakan pertahanan kita, tetapi mereka mesti melalui proses-proses ditetapkan,” Kata Adly.

Terdahulu, Adly menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM140,000 kepada 28 orang usahawan veteran ATM dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang yang terlibat dalam perniagaan seperti perkhidmatan, elektrik, pembuatan, makanan dan peruncitan.

“Hingga kini terdapat 161 usahawan veteran ATM telah menerima geran SPKLB dengan nilai keseluruhan berjumlah RM805,000.”

“Saya harap dengan bantuan ini mereka akan dapat meningkatkan mutu keusahawanan mereka dalam konteks meningkatkan peralatan dan produktiviti, bagi membantu menambah pendapatan mereka,” Katanya.

PLKN 3.0 dilaksanakan bermula Januari 2025

0

ALOR GAJAH: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sah dilaksanakan bermula Januari 2025 secara berperingkat.

BERNAMA

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, program rintis itu melibatkan kira-kira 500 orang peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang.

Kemudian, program itu akan diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

“Pada tahun hadapan, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk memulakan PLKN 3.0. Kalau ikut perancangan awal (bermula) pertengahan 2025 tetapi terdapat keperluan untuk dilaksanakan lebih awal.”

“Kita tumpukan di dua kem untuk dijadikan projek perintis PLKN 3.0 sebelum dilaksanakan secara lebih besar pada Jun tahun hadapan,” Katanya kepada pemberita di Hutan Percha di sini hari ini.

Adly berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Peringkat Melaka yang turut dihadiri Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Kata Adly lagi, jumlah peserta PLKN 3.0 akan ditambah pada pengambilan Jun dengan menyasarkan peserta berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebelum ini, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata menerusi Projek Jiwa Murni di negeri ini, sebanyak 10 buah rumah golongan asnaf dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibaik pulih dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas dengan peruntukan RM138,500.

Pembaikan berkenaan melibatkan lima buah rumah di Parlimen Alor Gajaha dan lima lagi di Parlimen Tangga Batu tambah Adly.

“Program Jiwa Murni ini dilaksanakan selari dengan pengukuhan Teras 4 Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 iaitu memperkukuh kerjasama awam dan tentera serta perintah ulung Panglima Tentera Darat di dalam Teras Kelima iaitu keutuhan hubungan tentera dan awam.

“Projek ini wajar diteruskan sebagai sebahagian daripada inisiatif MADANI Kementerian Pertahanan, sejajar usaha kementerian mengangkat visi Malaysia yang ‘ihsan’, iaitu bersama-sama dengan agensi lain memperjuang keperluan masyarakat yang kurang bernasib baik terutamanya di luar bandar,” Kata Adly.

Intipati Belanjawan 2025

0

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada jam 4.00 petang 18 Oktober 2024.

Turut mengiringi beliau adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar Ibrahim / Facebook

Berikut antara intipati Belanjawan 2025:

  • Ekonomi negara dijangka berkembang kukuh antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025.
  • Unjuran kadar defisit 3.8 peratus pada 2025 berbanding anggaran 4.3 peratus pada tahun ini.
  • Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan rakyat.
  • Kutipan hasil diunjur semula lebih tinggi kepada RM322 billion pada 2024 berbanding RM308 billion.
  • Jumlah hutang baharu semakin menurun, diunjur berjumlah RM80 bilion pada 2025 berbanding RM85 bilion pada 2024.
Anwar Ibrahim / Facebook

Cukai Jualan dan Perkhidmatan

  • Cukai jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barangan premium yang diimport antaranya ikan salmon dan avokado.
  • Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif, tidak membebankan rakyat.
  • Kerajaan menjangkakan kutipan hasil bagi 2025 terus meningkat kepada RM340 bilion.
  • Cukai Jualan tidak akan dikenakan bagi barangan makanan asas digunakan rakyat, hanya membabitkan barangan bukan keperluan asas seperti produk premium diimport.
  • Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial, antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.
  • Peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa pada 1 Mei 2025.
@bernamadotcom/X

Penyasaran Subsidi 

  • Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025, dengan penjimatan akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.
  • Subsidi petrol RON 95 bakal dipotong sebanyak RM8 bilion untuk golongan T15.
  • Harga RM 2.05/liter akan kekal buat 85 peratus rakyat.
@anwaribrahim/X
  • Penyasaran subsidi Pendidikan dan Kesihatan.
  • KPDN dan JKDM akan disediakan RM60 juta untuk terus membenteras ketirisan wang rakyat.
  • Kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, tanggungan subsidi elektrik masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat yang dianggar berjumlah RM12 bilion.
  • Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan, tertinggi antara negeri masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.
@bernamadotcom/X
  • Kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop perluasan dan kadar cukai dikenakan.
  • Mulai 2025, kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta.
  • Peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta tahun depan berbanding RM338 juta.
  • Kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM melaksanakan siasatan dan mengambil tindakan tegas bagi membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan.
  • RM200 juta disediakan kepada Jabatan Audit Negara, sesuai dengan peranan lebih besar bagi memulakan pengauditan.
  • Kerajaan bercadang memperluas asas cukai secara progresif, memperkenal cukai dividen pada kadar dua peratus bagi pendapatan dividen lebih RM100,000 diterima pemegang saham individu mulai tahun taksiran 2025.

Bantuan STR, SARA dan JKM

STR dan SARA

  • Untuk tahun 2025, kerajaan akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
  • Manakala penerima SARA diperluas kepada 4.1 juta penerima, di mana penerima STR kategori isi rumah akan dikreditkan sebanyak RM100 sebulan ke dalam kad pengenalan. Bantuan akan mula dikreditkan pada April 2025.
  • Penambahan peruntukan membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4600 berbanding RM3700.
  • Kadar baharu bagi kategori bujang dinaikkan kepada RM600.
PARLIMEN MALAYSIA / YouTube

Elaun JKM

Kadar bantuan kebajikan bulanan juga dinaikkan seperti berikut:

  • Bantuan Kanak-kanak Keluarga Termiskin

Berusia 6 tahun dan ke bawah – RM250 (2024 : RM200)

Berusia 7 sehingga 18 tahun – RM200 (2024 : RM150)

  • Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 (2024: RM500)
PARLIMEN MALAYSIA / YouTube

Gaji minimum 2025 dinaikkan kepada RM1700

  • Dalam Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
  • Selain itu, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
PARLIMEN MALAYSIA / YouTube

Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam dan Pesara – Februari 2025

  • Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 akan disalurkan kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
  • Bantuan ini turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.
  • Bantuan akan disalurkan pada bulan Februari 2025.

Syarikat Mula Niaga

  • National Fund-of-Funds (NFOF) akan ditubuhkan di bawah Khazanah yang beroperasi mulai November 2024 dengan dana RM1 bilion.
  • KWAP di bawah Dana Perintis menyediakan RM1 bilion untuk turut menyokong aktiviti syarikat mula niaga tempatan.
  • Cradle Fund diperuntukkan RM65 juta bagi membantu syarikat mula niaga berpotensi untuk berkembang ke peringkat serantau dan global.
@bernamadotcom/X

SejaTi MADANI

  • Peruntukan keseluruhan RM1 bilion disediakan untuk Ikhtiar Sejati MADANI.
  • RM600 juta untuk merancakkan ekonomi pedesaan di kampung-kampung, bandar-bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli.
  • RM200 juta bagi memperluas Kampung Angkat MADANI.
  • RM100 juta untuk universiti awam turut melaksana Kampung Angkat MADANI serta institusi TVET.
  • RM100 juta ringgit untuk memperkasa komuniti PPR di seluruh negara.

Keselamatan siber, musibah dan bencana

  • Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan RM20 juta.
  • Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan digubal.
  • Peruntukan RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
  • Kerajaan berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta.

Tanggungjawab fiskal dan pengurusan hutang

Hutang akan terus meningkat selagi tidak dikurangkan defisit.

Langkah-langkah tegas dan berperingkat telah diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten.

Pencapaian dan tantangan ekonomi

  • Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus, ketimbang 4.2 peratus suku pertama.
  • Pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar ini terendah sejak Januari 2020.
@bernamadotcom/X
  • Tahap inflasi Ogos 2024 menurun 1.9 peratus setelah tiga bulan berturut-turut berada pada paras 2 peratus.
  • Kerajaan mencipta sejarah tahun lalu apabila meraih pelaburan diluluskan RM329.5 bilion – tertinggi pernah direkodkan.
  • Ringgit diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia.

Fenomena Hunter’s Moon menerangi langit bersama komet Tsuchinshan-Atlas, peluang jadi saksi sekali seumur hidup

0

Bulan purnama terbesar 2024 akan menerangi langit pada malam 17 Oktober dalam fenomena angkasa paling jarang berlaku di mana ia akan membuat kemunculan bersama komet buat tatapan para pencinta astronomi.

Dikenali Hunter’s Moon, diambil nama sempena musim memburu orang Asli Amerika pada musim luruh, bulan purnama ini akan berada 222,055 batu (357,363 km) dari Bumi pada malam 17 Oktober, “yang mengorbit lebih dekat daripada jarak Bumi-ke-Bulan yang berpurata 239,000 batu (384,633 km) — menjadikannya supermoon,” menurut Planetarium Adler di Chicago, Amerika Syarikat.

Asahi Astro LIVE / YouTube

Walaupun supermoon ini tidaklah lebih besar, ia kelihatan seperti itu kerana jaraknya yang hampir dengan Bumi. Ini biasanya berlaku hanya tiga atau empat kali setahun.

Tahun ini terdapat kelainan di lokasi tertentu di Amerika Syarikat apabila komet Tsuchinshan-Atlas yang masih berlegar melintasi bumi akan memukau pemerhati bintang di Hemisfera Utara selepas membuat kemunculan di Hemisfera Selatan pada hujung minggu.

Bulan secara rasmi akan menjadi penuh pada 7:26 pagi waktu tempatan Amerika Syarikat pada 17 Oktober. Bagaimanapun, bulan akan mencapai “supermoon”, ketika berada di titik terdekatnya dengan Bumi, atau disebut perigee pada 8:48 malam waktu tempatan Amerika petang Rabu, 16 Oktober.

Planetarium Negara / Facebook

Ia diklasifikasikan sebagai “supermoon” kerana akan menjadi kira-kira 30 peratus lebih cerah daripada bulan purnama sederhana memandangkan orbitnya yang lebih dekat dengan Bumi.

Sementara itu, komet Tsuchinshan-Atlas muncul buat pertama kali dan telah ditemui oleh Balai Cerap Purple Mountain di China pada 9 Januari 2023 juga oleh Asteroid Terrestrial-impact Lost Alert System (ATLAS) di Afrika Selatan pada 22 Februari 2023. 

Komet ini muncul dekat semula pada 12 Oktober dan berada paling hampir dengan Bumi pada 14 Oktober bermagnitud kecerahan 2.1, dikatakan paling cerah ketika ia melalui berhampiran Bumi dan akan dapat dilihat sehingga akhir bulan ini, menurut NASA. 

Komet Tsuchinshan-Atlas dirakam secara langsung oleh Subaru Telescope di Maunakea, Hawaii, Amerika Syarikat pada 16 Oktober 2024. (Asahi Astro LIVE / YouTube)

Walau bagaimanapun, apabila hari berlalu, komet ini akan kelihatan lebih malap dan menjadi lebih sukar untuk dilihat dengan mata kasar. Ini kerana komet akan menjadi semakin tinggi di langit pada setiap malam ke malam apabila ia bergerak menjauhi matahari dan keluar dari sistem suria.

Pada malam Rabu, 16 Oktober pencinta astronomi berpeluang melihat komet ini apabila ia muncul di langit kira-kira 45 minit selepas matahari terbenam. Ahli astronomi berkata untuk pemandangan terbaik, mereka perlu berada di luar sejurus selepas matahari terbenam dengan melihat tepat di atas ufuk.

Dan sementara cahaya supermoon mungkin menghilangkan sebahagian daripada ekor komet, ia masih berbaloi untuk dilihat selepas matahari terbenam, Bill Cooke dari NASA memberitahu Associated Press.

Asahi Astro LIVE / YouTube

“Kebanyakan ahli astronomi tidak menyukai bulan purnama kerana cahaya terangnya mengganggu pemerhatian objek lain. Jadi agak sukar bagi kami untuk memperkatakannya secara puitis walaupun ia adalah supermoon terbesar pada 2024,” katanya.

NASA berkata komet itu kali terakhir melalui Bumi pada 80,000 tahun lalu dan mungkin tidak akan kembali kerana data terkini menunjukkan laluannya mungkin membawanya keluar dari sistem suria pada jarak terjauh sama sekali.

Liam Payne, bekas ahli One Direction ditemui maut terjatuh dari tingkat tiga hotel

0

Bekas ahli kumpulan One Direction, Liam Payne dilaporkan maut di sebuah hotel di Buenos Aires, ibu negara Argentina, pada Rabu, 16 Oktober waktu tempatan.

Memetik laporan media antarabangsa, Liam yang berusia 31 tahun ditemui meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga hotel berkenaan.

@MTV / X

Menurut pegawai keselamatan, pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Pihak polis memaklumkan, ketika panggilan diterima, laporan menyebut tentang “seorang lelaki agresif yang mungkin berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol”.

Anggota polis Argentina berkumpul di luar hotel di Buenos Aires, lokasi Liam Payne ditemukan maut pada 16 Oktober 2024. (Gambar AP)

Petugas ambulans kemudian mengesahkan kematian penyanyi itu, yang ditemui di patio teres dalaman hotel.

Liam Payne berkongsi kemasyhuran global sebagai sebahagian daripada kumpulan pop One Direction yang telah dibubarkan, bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.

Mendiang Liam Payne (dua dari kanan) bersama ahli kumpulan popular British One Direction (dari kiri) Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.

Kumpulan pop popular British itu bermula selepas menduduki tempat ketiga dalam rancangan bakat X Factor versi British pada 2010.

One Direction berpecah pada 2016 kerana ahlinya meneruskan projek berbeza termasuk kerjaya solo.

Taufan Milton bergerak ke Atlantik selepas badai Florida

0

FORT PIERCE: Taufan Milton yang telah melemah tetapi masih berbahaya meninggalkan Florida, Amerika Syarikat pada awal Khamis, selepas menyebabkan jalan raya dan rumah dilanda banjir, menumbangkan pokok serta talian elektrik, yang memutuskan bekalan kuasa kepada jutaan penduduk.

Sekurang-kurangnya 11 orang maut selepas taufan itu membadai merentasi pantai barat negeri itu pada petang Rabu, 9 Oktober waktu tempatan, menurut kenyataan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas.

Gambar The Epoch Times / Joe Raedle / Getty Images

Kematian membabitkan lima mangsa di daerah St Lucie, manakala tiga lagi di Volusia dan dua di St Petersburg dengan punca kematian dikenal pasti akibat puting beliung, katanya.

Manakala di daerah Polk, seorang kakitangan penyelenggaraan jalan raya disahkan maut selepas dilanggar kenderaan rakan sekerjanya ketika mengalihkan pokok tumbang. 

Gambar USA TODAY

Taufan Milton melanda pantai barat Florida dikategori sebagai Taufan Kategori 3 dengan kelajuan angin sehingga 193 kilometer sejam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), sebelum kehilangan kekuatannya ketika melintasi bahagian tengah negeri tenggara AS itu.

Menjelang waktu matahari terbit pada Khamis, Milton telah diturunkan kepada Taufan Kategori 1 ketika ia bergerak ke Lautan Atlantik. Kelajuan angin maksimum yang berterusan adalah 150 kilometer sejam.

Gambar The Epoch Times / John Falchetto / AFP / Getty Images

Sistem ribut besar itu terus membawa hujan lebat, angin yang merosakkan, dan banjir kilat. Media AS menunjukkan gambar jalan raya pada waktu malam bertukar menjadi sungai di Bandar Tampa, St. Petersburg dan Sarasota.

Jumlah hujan antara 20 hingga 35 sentimeter melanda bahagian tengah hingga utara semenanjung Florida pada Khamis, 10 Oktober.

Gambar USA TODAY

“Hujan ini membawa risiko banjir kilat dan banjir bandar yang dahsyat dan mengancam nyawa, serta banjir sungai yang sederhana hingga besar,” kata agensi mengenai taufan itu.

Milton menghasilkan 19 puting beliung ketika ia menghampiri Florida dari Teluk Mexico pada petang Rabu. Sheriff Keith Pearson dari Daerah St. Lucie dipetik oleh media tempatan sebagai berkata beberapa kematian berlaku akibat puting beliung, namun tidak memberikan jumlah korban yang tepat.

Gambar The Epoch Times / Julio Cortez / AP

Pasukan penyelamat dan pegawai kerajaan berkata tahap kemusnahan sepenuhnya tidak akan diketahui sehingga waktu siang.

Sementera itu, Gabenor Florida Ron DeSantis, menyifatkan kesan ribut itu agak ketara tetapi tidak seburuk yang diramalkan sebelum ini.

Gambar The Epoch Times / Giorgio Viera / AFP / Getty Images

Taufan Milton menjejaskan komuniti yang masih terkesan akibat Taufan Helene dua minggu lalu, yang mengorbankan 237 orang di Florida dan beberapa negeri tenggara lain.

Sementara itu, pakar taufan, Michael Lowry, berkata 126 amaran puting beliung dikeluarkan Perkhidmatan Cuaca Nasional di seluruh negeri kelmarin, jumlah tertinggi pernah dikeluarkan dalam sehari sejak 1986.

Kebakaran babit 4 kilang, 3 pekerja warga asing cedera

0

ISKANDAR PUTERI: Tiga pekerja warga asing cedera dalam kebakaran membabitkan empat unit kilang, termasuk gudang logistik dengan berlaku beberapa letupan di Kawasan Perindustrian SILC dekat Iskandar Puteri, Johor pada pagi 10 Oktober.

Kebakaran telah menyebabkan tiga pekerja warga Bangladesh dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami 30 peratus melecur tahap pertama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, enam lagi pekerja di kilang terbabit tidak mengalami kecederaan.

Azahan Safetyman / Facebook

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 11.33 pagi.

“Enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) melibatkan Iskandar Puteri, Larkin, Skudai, Pekan Nenas, Pontian Baharu dan Sebana Cove bagi memadamkan kebakaran di kawasan tersebut.

“Sebaik menerima panggilan tersebut pasukan keluaran operasi (PKO), melibatkan tiga jentera fire rescue tender, dua unit jentera perkhidmatan penyelamatan, perawatan, kecemasan, satu unit jentera foam tender, satu water tanker 20,000 liter, satu pacuan empat roda Hilux dan satu jentera compact fire rescue tenders (CFRT), dari kesemua BBP berkenaan dihantar ke lokasi.

“Setibanya PKO ke lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang seperti yang dilaporkan. PKO kemudiannya bertindak membuat pemadaman di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Majoriti

Liew Chin Tong / Facebook

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Faiz Suleiman berkata, satu daripada kilang itu dipercayai ada menyimpan bahan kimia dan menyebabkan letupan.

“Terdapat tiga unit kilang yang terbakar. Salah satunya ada penyimpanan bahan kimia termasuk ‘thinner’. Memang ada letupan berlaku, tetapi tiada kecederaan kepada anggota kita (bomba),” katanya.

Sejumlah 39 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran itu.

Gudang logistik mengalami kerosakan 80 peratus manakala tiga kilang milik syarikat kimia 90 peratus terbakar.

Azahan Safetyman / Facebook

Terdahulu, tular beberapa video dan gambar memaparkan berlaku kebakaran di kawasan tersebut.

Orang awam yang berada di lokasi kejadian juga turut mendakwa beberapa pekerja kilang di kawasan yang terjejas berkemungkinan cedera parah ekoran tular satu video memaparkan dua orang lelaki yang melecur di seluruh anggota badan.

Comel reaksi pak cik, pelanggan tukar lukisan cantiknya untuk nasi lemak curi perhatian ramai 

0

Nasi lemak sememangnya hidangan terkenal di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang mesti dicari setiap hari. Sehinggakan pelancong yang berkunjung ke negara ini pun ramai yang sudah jatuh cinta dengan keenakan rasa nasi lemak.

Baru-baru ini, seorang pelanggan cuba menukar lukisannya dengan sebungkus nasi lemak, dan reaksi terkejut pak cik pemilik gerai nasi lemak di pasar malam telah menerima komen warganet yang berkata, “Reaksinya comel secomel lukisan itu!”

@yeebiiyaya / Instagram

Pelanggan itu seorang gadis Cina yang dikenali @yeebiiyaya telah mencabar dirinya untuk membuat 100 lukisan makanan di seluruh Malaysia dengan berkongsi videonya di Instagram apabila dia bertanya kepada pak cik pemilik gerai nasi lemak dan isterinya, dengan harapan dapat menukar lukisannya dengan sebungkus nasi lemak.

Ketika itu, pak cik yang sibuk membungkus nasi lemak dan melayan pelanggan mendengar permintaan @yeebiiyaya yang ingin menukar lukisan dengan nasi lemak, wajahnya nampak terkejut dan bingung tetapi sangat comel.

@yeebiiyaya / Instagram

Kemudian @yeebiiyaya menunjukkan lukisan kartunnya yang telah siap dan dibingkai, pak cik berubah reaksi menjadi sangat teruja selepas melihatnya dan spontan berkata, “Cantiknya..” dan amat gembira menerima hadiah itu untuk bersetuju ditukarkan dengan nasi lemak.

@yeebiiyaya / Instagram

Ditanya mengapa mereka memilih untuk menjual nasi lemak, pemilik gerai dan isterinya berkata kerana mereka menampilkan kelainan dengan menjual nasi lemak asli. 

Memandangkan tidak ramai orang yang menjual nasi lemak asli, mereka berharap untuk meneruskan perniagaan untuk pelanggan mencuba sendiri kelazatan nasi lemak tradisional.

“Kami berasal dari kampung dan berharap lebih ramai pelanggan dapat merasainya,” kata mak cik.

Pak cik turut mencelah dengan ekspresi lucu, “Kami orang kampung telah lama berniaga sejak kami muda.”

@yeebiiyaya / Instagram

Lukisan itu ditukar dengan tiga bungkus nasi lemak, membuatkan @yeebiiyaya turut berasa teruja dan gembira.

Pak cik yang comel kelihatan menari untuk menarik perhatian lebih ramai pelanggan membeli nasi lemak.

Gerai nasi lemak itu yang dikenali Nasi Lemak 9 Sudu terletak di Pasar Malam Taman Segar di Cheras, Kuala Lumpur.

Warganet memuji hasil lukisan kartun @yeebiiyaya dan berkata, reaksi pemilik gerai sangat comel selepas melihat dan menerima lukisan gerai nasi lemaknya.

Gempa bumi magnitud 5.7 landa Selat Cook, New Zealand

0

WELLINGTON: Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter melanda Selat Cook berhampiran ibu kota New Zealand, Wellington, kata pusat pemantau seismik kerajaan GeoNet pada Ahad, 6 Oktober tetapi laporan awal menunjukkan tiada kecederaan atau kerosakan ketara.

Gempa bumi pada 5:08 pagi waktu tempatan pada Ahad, 6 Oktober melanda 25 kilometer barat Wellington pada kedalaman 30 kilometer.

@geonet / X

Lebih 37,000 orang telah melaporkan merasakan gegaran itu, sebahagiannya sehingga ke utara Auckland di Pulau Utara, menurut kenyataan GeoNet.

GeoNet berkata tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa bumi itu.

@geonet / X

Jurucakap Bomba dan Kecemasan New Zealand berkata perkhidmatan itu tidak menerima sebarang panggilan untuk bantuan.

Sementara, Radio New Zealand milik kerajaan memaklumkan tiada kerosakan besar atau kecederaan yang dilaporkan.

Remaja lumpuh akibat dipaksa lakukan “squat” 1,000 kali oleh guru

0

Seorang remaja di China disahkan lumpuh akibat dipaksa melakukan “squat” 1,000 kali oleh guru semasa menyertai kem musim panas.

ODDITY CENTRAL

Baru-baru ini, Puan Lu, ibu kepada remaja lelaki berusia 13 tahun dari Jining, di Wilayah Shandong, China itu mendedahkan anak lelakinya didiagnosis dengan rhabdomyolysis yang menyebabkan kecacatan sepanjang hayat.

Menurut Puan Lu, perkara tersebut dikesan berpunca ketika anaknya itu menyertai kem musim panas selama tujuh hari.

Pada awal program semuanya berjalan lancar sehinggalah tiba hari graduasi, Puan Lu dan suami menatap foto anaknya yang bermata merah dan sedih. Suaminya turut menyedari salah satu kaki anak mereka kelihatan lemah. Mereka bertanyakan hal tersebut kepada pihak penganjur kem musim panas namun diberitahu bahawa remaja itu dalam keadaan baik sahaja.

Namun apabila Puan Lu dan suami datang untuk menjemput anak mereka, barulah mereka menyedari betapa seriusnya keadaan remaja itu. Remaja berkenaan sedang menunggu di kerusi kerana dia hampir tidak dapat berdiri.

Remaja lelaki itu menceritakan hal yang berlaku sebelum graduasi, yang mana salah seorang guru menangkapnya yang sedang bercakap dengan kanak-kanak lain semasa latihan. Disebabkan itu, guru tersebut mengarahkannya untuk melakukan “squat” sebanyak 1,000 kali sebagai hukuman.

Tanpa berlengah, remaja lelaki itu menurut perintah guru dan setelah mencapai 200 “squat”, dia jatuh akibat mengalami kesakitan otot. Melihatkan keadaan itu, guru tersebut tidak langsung membantu sebaliknya menendang dan membiarkan remaja itu merangkak di lantai dalam kesakitan. Remaja itu hanya dibantu untuk bangun dan duduk di kerusi apabila majlis graduasi bermula dan itu pun disebabkan ibu bapa sudah mula tiba.

Remaja itu mengadu sakit dan bapanya meminta salah seorang guru kem untuk menemaninya ke hospital berdekatan bagi memeriksa kaki anaknya itu. Di hospital, doktor mengatakan remaja itu hanya mengalami kekejangan otot biasa dan diberikan ubat sapu.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa hari, remaja lelaki itu mengadu sakit hingga dia tidak dapat berjalan atau tidur pada waktu malam. Puan Lu dan suaminya terus membawa anak mereka ke Hospital Perubatan Jining di mana doktor mengesahkan anak kesayangan mereka itu menghidap rhabdomyolysis.

Untuk makluman, rhabdomyolysis adalah keadaan yang mengancam nyawa yang biasanya disebabkan oleh senaman berintensiti tinggi dalam tempoh masa yang singkat. Ia menyebabkan pemecahan otot rangka yang cepat dan jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan hati dan buah pinggang.

PUBLIC HEALTH MALAYSIA

Bagi kes remaja lelaki ini, dia mengalami rhabdomyolysis disebabkan oleh jumlah “squat” yang dilakukan terlalu banyak. Keadaannya begitu serius sehingga doktor mendudukkannya di kerusi roda. Selepas 13 hari menjalani rawatan di Hospital Perubatan Jining, remaja itu dibenarkan keluar namun tidak pulih sepenuhnya.

Kini remaja itu berusia 14 tahun dan dia masih tidak dapat menjalani kehidupan normal. Tambah Puan Lu, berkemungkinan besar anaknya itu tidak akan dapat melibatkan diri dalam sebarang aktiviti fizikal yang serius. Otot kaki anaknya kini telah mengecut dan dia juga mengalami kerosakan hati dan buah pinggang.

Puan Lu berkata selepas kejadian buruk yang menimpa anak mereka, mereka cuba berhadapan dengan penganjur kem bagi membincangkan mengenai penyeksaan fizikal yang dialami oleh remaja terbabit.

Walaupun pada mulanya semua orang menafikan sebarang salah laku, namun apabila kanak-kanak lain mengesahkan cerita remaja itu, barulah pihak penganjur mengaku mengenai hukuman fizikal tersebut. Selepas perbincangan, ibu bapa remaja dan pihak pengajur kem mencapai kata sepakat untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.