26.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 5, 2025
Utama Blog Laman 4

Kucing jalanan Malaysia, Baby dinobat juara dunia

0

Seekor kucing jalanan bernama Baby milik pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus berjaya mencuri perhatian dunia apabila dinobatkan sebagai juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa (FIFe World Winner Show 2024) yang diadakan di Oslo, Norway pada 3 November lalu.

Kucing betina berusia sembilan tahun itu yang mewakili Malaysia berjaya memikat hati juri dengan kejinakan, ketenangan, dan sifat manja yang ditonjolkannya sepanjang penilaian.

Baby mengalahkan ribuan pesaing lain dari seluruh dunia untuk meraih gelaran juara dalam pertunjukan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (FIFe).

The Official Site of Kelab Kucing Malaysia (KKM) / Facebook

Menurut Rooaida, Baby hanyalah kucing baka biasa yang diambil dari jalanan dan dipeliharannya sehingga kini.

“Baby telah diberi pendedahan dan latihan sejak awal untuk berinteraksi di khalayak ramai, termasuk menyertai pelbagai pertunjukkan kucing tempatan. 

“Saya dan suami kerap membawa Baby menyertai pertunjukkan dalam negara supaya dia lebih terbiasa dengan persekitaran ramai. Ini membantu memupuk sifat manja dan jinak dalam diri Baby,” kata Rooaida kepada Berita Harian.

Tambahnya, penyertaan kali kedua ini nyata berbaloi apabila juri tertarik dengan keunikan Baby dan aspek-aspek lain yang memenuhi piawaian pemarkahan.

Rooaida Mohd Darus / Facebook

Ini adalah penghargaan terbaik diterimanya kerana Baby perlu bersaing dengan 1,500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukan itu.

“Bulu Baby yang cantik serta dandanan rapi disempurnakan sendiri Shaharudin turut menjadi faktor penarik kepada para juri dan penonton,” kata Rooaida.

Meskipun Baby hanya kucing jalanan tanpa baka istimewa, perwatakan unik Baby memenuhi kriteria pemarkahan yang ketat.

Lebih istimewa, Baby turut bersaing dalam pusingan akhir pertandingan bagi merebut gelaran juara mutlak dengan seekor lagi kucing jantan bernama Miko, yang juga dimiliki pasangan itu.

Selain Baby, Malaysia turut menghantar lapan ekor kucing lain, termasuk empat kucing baka British Shorthair, tiga kucing jalanan, dan seekor kucing Bengal.

The Official Site of Kelab Kucing Malaysia (KKM) / Facebook

Turut mengiringi delegasi Malaysia dalam pertunjukan itu Timbalan Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Habil Hussain, dan Setiausaha Agongnya, Muhammad Hasbullah Ibrahim.

Sementara itu, Muhammad Hasbullah menjelaskan, kucing-kucing yang berdaftar di bawah KKM dan menyertai siri pertunjukan FIFe di peringkat tempatan berpeluang melayakkan diri untuk bertanding di peringkat global.

Beliau menambah, acara tahunan berprestij ini bertujuan menggalakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menyayangi haiwan peliharaan dan memeliharanya dengan lebih baik.

Moo Deng pilih Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47

0

Keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 telah memuktamadkan Donald Trump kembali ke Rumah Putih buat kali kedua sebagai Presiden AS ke-47. 

Semasa rakyat AS keluar mengundi, anak badak air dari Thailand yang terkenal, Moo Deng, meramalkan bekas presiden Donald Trump akan kembali ke Rumah Putih.

Moo Deng yang comel menjadi sensasi Internet dengan gelagatnya yang menghiburkan di Zoo Terbuka Khao Kheow, Chonburi dengan cepat menjadi bahan meme di media sosial dan memacu pelbagai produk dagangan. 

Gambar Xinhua

Kini, Moo Deng telah meramalkan kemenangan untuk Republikan, Donald Trump berbanding Demokrat, Kamala Harris.

Dihidangkan dengan dua hidangan buah yang diukir dengan nama calon yang bertanding, anak badak air yang berumur empat bulan itu memilih Trump, dalam video yang dimuat naik dalam talian oleh zoo tersebut.

@TheInsiderPaper/X

Moo Deng menjadi popular di Amerika Syarikat, selepas pelawak Bowen Yang beraksi lucu dengan menyarung kostum haiwan comel itu dalam sketsa komedi Saturday Night Live

Badak air comel berusia tiga bulan itu juga mengalahkan kedua-dua Trump dan Harris dalam satu tinjauan presiden tidak rasmi yang dijalankan oleh The Tonight Show, dengan meraih 93 peratus undi.

Walaupun kebolehan Moo Deng dalam meramal masih belum banyak diuji, ada pelbagai haiwan lain menjadi terkenal selepas meramalkan keputusan acara dunia, dan yang paling terkenal ketika sotong gurita bernama Paul tepat meramalkan keputusan Piala Dunia.

Tonton video di bawah:

Pengarah ‘State Organs’: PKC cuba ganggu-gugat tayangan filem yang menerima sambutan hebat

0

Filem dokumentari dari Kanada “State Organs”, yang telah memenangi beberapa anugerah dan bakal menempah tiket pencalonan untuk Filem Dokumentari Terbaik Anugerah Oscar 2025, mula ditayangkan serentak di pawagam di 15 bandar di Taiwan mulai Oktober 2024.

Bagaimanapun, pawagam yang mengambil bahagian telah menerima ancaman dan ugutan bunuh daripada sumber yang tidak diketahui. Siapa yang begitu takut dengan tayangan filem ini? 

Polis Taiwan menerima laporan surat ancaman

Poster filem dokumentari State Organs arahan Raymond Zhang. (Gambar ihsan Rooyee Films / The Epoch Times )

Sebelum dan selepas tayangan filem dokumentari “State Organs” di Taiwan pada 1 Oktober, polis Taiwan terus menerima beberapa laporan surat ancaman dan ugutan hasil aduan daripada pemilik pawagam.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Jenayah (CIB), Kementerian Dalam Negeri Taiwan pada 9 Oktober menyebut, “Baru-baru ini, pawagam dan teater yang menjadualkan tayangan filem dokumentari “State Organs” arahan pengarah kelahiran China, Raymond Zhang telah menerima e-mel berbaur ancaman secara lisan dan bertulis. Ancaman yang bertujuan mencegah tayangan filem berkenaan serta membahayakan ketenteraman awam. Kaedah jenayah dalam kes ini menggunakan pelbagai e-mel dengan identiti serta lokasi berbeza berupa surat ancaman ugutan ke pawagam di Taichung, Kaohsiung, Pingtung, Yilan dan beberapa outlet media di Taipei, dengan butiran dalam e-mel berkenaan mendakwa mereka mendapat ancaman bom dan bunuh.

Seperti yang dapat dilihat daripada e-mel ancaman yang didedahkan oleh media Taiwan, ugutan itu termasuk: “Sila batalkan tayangan “State Organs”. Jika “State Organs” ditayangkan, kami akan menceroboh masuk ke dalam teater dan pawagam lalu menembak semua orang, “Semua pawagam yang menayangkan filem ini akan digodam dengan pencurian data menyeluruh. Staf pawagam berkemungkinan berada dalam bahaya satu demi satu dan ini bukan gurauan,” dan sebagainya.

Pihak penganjur juga menerima ancaman bom: “Kami telah menggunakan ammonium nitrat untuk membuat 7 bahan letupan dan telah meletakkannya di pawagam Taiwan. Jika anda tidak mahu kami mengaktifkan bahan letupan ini, sila batalkan tayangan “State Organs” dengan serta-merta. Jika anda berkeras mahu menayangkan filem ini, jangan menuding jari ke arah kami kerana mengubah pawagam menjadi neraka berdarah.”

Selepas insiden ancaman itu, polis Taiwan mengambil tindakan dengan mengetatkan kawalan dan pemeriksaan rapi ke atas teater dan pawagam. Selepas mengesahkan tiada terdapatnya bahan letupan, teater yang terbabit dibenarkan mengadakan tayangan seperti biasa. Siasatan awal CIB Taiwan mendapati pihak mereka memperoleh IP dari luar negara dan suspek menggunakan proksi VPN untuk melakukan jenayah terbabit. Sanli News melaporkan berdasarkan maklumat yang diperolehi CIB bahawa ia adalah teknik gangguan yang biasa digunakan oleh penjenayah siber berpangkalan di China.

Sementara itu, Pengarah Raymond Zhang berkata, “Sebenarnya, saya hanya mengetahui filem “State Organs” menerima ancaman bunuh apabila ia ditayangkan di pawagam Taiwan dan selepas ia didedahkan oleh media Taiwan. Ia mungkin kerana filem itu dilancarkan secara rasmi dalam talian dan impaknya agak besar, jadi bukan sahaja pawagam yang menayangkan filem itu terancam, tetapi agensi kerajaan di pelbagai daerah dan bandar juga terancam, media juga terancam, malah ramai pengguna dalam talian juga terancam.”

Pengarah Zhang memperkenalkan “State Organs” dengan tayangan pratonton pertama di Taiwan pada 15 Julai. Pada masa itu, pasukan penerbitan filem termasuk Dr. Zheng Zhi, seorang saksi yang telah mengambil bahagian dalam penuaian organ, dan seorang lagi saksi yang ditemu bual dalam filem, Dr. Wang Zhiyuan mengadakan lawatan ke Taiwan, dan mereka memberi keterangan secara langsung ketika sidang media di Perundangan Yuan Taiwan mengenai undang-undang bagi memerangi penuaian organ hidup.

Pada masa itu, mereka datang untuk mempromosikan protonton filem dokumentari berkenaan kepada pegawai agensi kerajaan, pemimpin media, serta beberapa selebriti dan pempengaruh popular masyarakat. Beberapa media arus perdana utama di Taiwan turut mengadakan temu bual dan laporan, dengan lebih 2.5 juta orang menonton wawancara berkenaan dalam talian. Bermula dari 1 Oktober, “State Organs” ditayangkan di pawagam terpilih di 15 bandar di Taiwan.

Ancaman PKC menjadi pengiklanan percuma untuk filem “State Organs”

Pada ketika berhadapan ancaman bunuh, walaupun beberapa teater membatalkan tayangan tertentu kerana kebimbangan keselamatan, kebanyakan teater memilih untuk meneruskan tayangan selepas polis menolak ancaman itu. Ahli politik dan rakyat Taiwan telah menyatakan sokongan mereka terhadap filem berkenaan.

Pengarah Zhang berkata, “Selepas melihat reaksi rakyat Taiwan di media, serta reaksi media, teater, dan pelbagai agensi kerajaan, termasuk jabatan polis, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebebasan dan demokrasi di Taiwan.”

Zhang menambah, “Ancaman bunuh sebenarnya memainkan kesan propaganda yang hebat terhadap filem ini. Ramai rakyat Taiwan sangat marah dan merasakan bahawa kebebasan dan demokrasi Taiwan boleh dipengaruhi dan diganggu gugat oleh kuasa luar. Jadi lebih ramai orang dalam kerajaan, teater, media dan warga maya, semua menyokong filem ini dengan cara mereka sendiri, dan saya juga mendengar beberapa pengarah terkenal Taiwan membantu mengesyorkan filem ini kepada semua, yang membuatkan saya berasa sangat berbesar hati. Pada masa ini, tayangan telah dijadualkan sehingga Disember, dan lebih banyak tayangan sedang ditambah.”

Pengarah Zhang juga berkata, “Filem saya mendapat sambutan hebat daripada penonton. Saya meninggalkan banyak ruang kosong dan imaginasi untuk penonton dalam filem itu. Selepas menonton filem ini, penonton akan membuat kesimpulan mereka sendiri. Dan kesimpulan ini akan membolehkan mereka membuat pilihan sendiri tentang peristiwa itu, dan akhirnya bertindak dengan pemikiran mereka sendiri, jadi ini sebenarnya merupakan pengalaman teater yang lengkap.”

Pada masa kini, masyarakat antarabangsa secara amnya telah memberikan lebih perhatian kepada ancaman PKC, maka “State Organs”, sebuah filem yang mendedahkan jenayah PKC, telah menarik perhatian ramai. Zhang berkata, “Apabila filem itu ditayangkan di Middletown, New York, Amerika Syarikat pada hari pertama, penonton memberi respons dengan begitu bersemangat, malah pemilik teater mengatakan bahawa beliau tidak pernah melihat penonton yang begitu ramai selepas pandemik. Kerana teater yang dikhaskan tidak dapat memuatkan semua penonton, malah dengan menambah lebih banyak kerusi, namun ia masih tidak mencukupi. Akhirnya, beliau terpaksa menambah pawagam untuk menampung jumlah kehadiran penonton.”

Filem dokumentari State Organs mula ditayangkan serentak di pawagam di 15 bandar di Taiwan mulai Oktober 2024. (Gambar oleh Song Bilong / The Epoch Times)

Apakah yang ditakuti oleh PKC?

“State Organs” adalah filem dokumentari yang mengisahkan dua anak muda, Yun Zhang dan Shawn Huang yang hilang secara misteri semasa dasar PKC yang menguatkuasakan penganiayaan terhadap Falun Gong. Semasa proses yang sukar untuk mencari keberadaan keduanya, keluarga mereka mendapat tahu kebenaran mengenai kejahatan pihak berkuasa yang menjalankan pengambilan organ manusia secara paksa. Filem ini mendedahkan jenayah negara yang dikuasai PKC melalui pelbagai testimoni dan wawancara eksklusif.

Filem “State Organs” telah memenangi Anugerah Leo Kanada 2023 untuk Pengarah Terbaik dan Muzikal Terbaik; Anugerah Filem Seni 2024; Anugerah Emas Kecemerlangan Filem Global A.S. dan Anugerah Dokumentari Hak Asasi Manusia Terbaik Festival Filem Manhattan. Filem itu kini bakal bersaing untuk Anugerah Oscar 2025 bagi Filem Dokumentari Terbaik.

Mengapa PKC menghalang tayangan “State Organs”? Raymond Zhang percaya bahawa ini adalah kerana PKC takut bahawa dunia akan mengetahui kebenaran tentang PKC melalui filem, dan lebih takut mereka yang tertipu akan bangkit untuk menyelamatkan diri dan menjauhi PKC.

Zhang menyebut: “Apabila saya menamatkan temu bual dengan Dr. Zheng Zhi, beliau memberitahu saya dengan linangan air mata bahawa beliau telah hidup dalam ketakutan yang melampau setiap hari. Setiap hari beliau merasakan seolah-olah seseorang mengejarnya dan mengalami mimpi buruk. Setelah semuanya selesai, beliau merasakan seolah-olah nyawa dan jiwanya telah diselamatkan.”

Pengarah Zhang berkata: “Lagipun, saya dilahirkan dan dibesarkan di tanah besar China. Dua perkara yang saya mempunyai pengalaman peribadi secara mendalam ialah: satu ialah PKC biasanya memerintah dengan cara menipu, dan satu lagi ialah mereka menggunakan ugutan dan ancaman untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat untuk mengekalkan pemerintahan.” Zhang merasakan, “Pada tahap spiritual, semakin jauh daripada PKC, semakin selamat anda dan semakin bahagia hidup anda.”

Orang Kanada tidak mahu negara mereka menjadi seperti China

Pada 25 Jun 2024, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat sebulat suara meluluskan Akta Perlindungan Falun Gong, menghendaki Parti Komunis China menghentikan penganiayaan terhadap Falun Gong, dan meminta kerajaan A.S. untuk bergabung tenaga dengan masyarakat antarabangsa bagi mempromosikan sekatan ke atas penganiayaan secara ketat terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah kemanusian seperti berhenti terlibat dalam pengambilan organ. Malah, Kanada juga telah meluluskan rang undang-undang untuk memerangi pengambilan organ secara haram, tetapi tiada hasil konkrit dapat dilihat dalam pelaksanaannya.

Penyusupan PKC berada di mana-mana. Menurut laporan daripada perkhidmatan perisikan Kanada, Parti Komunis China campur tangan dalam pilihan raya persekutuan pada 2019 dan 2021. 

Pengarah Zhang merasakan: “Oleh kerana Kanada adalah negara liberal dan demokratik dengan kerajaan yang dipilih, saya tidak fikir orang Kanada mahu negara mereka ditadbir seperti di China, dan mereka tidak akan menerima penggunaan penipuan dan ketakutan sebagai cara untuk menguruskan negara, maka saya fikir rakyat Kanada mesti membuat pilihan mereka sendiri dengan betul sambil mengenal pasti sifat sebenar PKC.

Memperkatakan mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh filem “State Organs” dalam membantu orang awam memahami sifat dan ancaman PKC, Pengarah Zhang berkata: “Selepas pembunuhan beramai-ramai ketika Perang Dunia Kedua, ramai orang berkata, jika saya tahu bahawa ini berlaku, saya pasti akan melakukan sesuatu mengenainya. Kekejaman pengambilan organ manusia sekarang ini sebenarnya lebih kejam daripada pembunuhan beramai-ramai dalam Perang Dunia Kedua. Kita masih mempunyai masa dan peluang untuk menghentikan jenayah terhadap kemanusiaan ini daripada terus berlaku.”

“Sekiranya semua orang boleh mengambil sedikit peranan dengan bertindak memberitahu saudara-mara dan rakan-rakan mereka, penggubal undang-undang wilayah mereka, anggota kongres, dan senator mereka tentang beberapa fakta sebenar yang mereka lihat dan dengar dalam filem, maka sebenarnya mungkin kita boleh bersama-sama menjadikan masyarakat di China lebih selamat serta dunia lebih aman dan stabil,” tambahnya.

“Biar saya memberitahu anda satu cerita. Ketika kami mengadakan sidang akhbar di Perundangan Yuan di Taiwan pada hari itu, seorang penggubal undang-undang Taiwan berkata dengan penuh emosi: “Pada tahun 2006, apabila topik pengambilan organ pertama kali didedahkan, dua anak muda mengadakan sidang akhbar di bilik yang sama seperti kita hari ini, mendedahkan kejahatan yang tidak pernah dilihat di dunia hari ini. 18 tahun kemudian, pada tahun 2024, kedua-dua anak muda ini masing-masing menjadi presiden dan naib presiden Taiwan.” Ini adalah era di mana kebaikan dan kejahatan yang hebat wujud bersama, dan ia juga merupakan detik kritikal bagi setiap penonton untuk memilih masa depan cerah mereka sendiri dan menulis pengakhiran cerita mereka sendiri,” kata Pengarah Zhang.

Pada 14 Oktober 2006, (dari kiri ke kanan) ahli perundangan Tian Qiujun, Xiao Meiqin, Lai Qingde, penyiasat Kanada dan ahli kanan Parlimen David Kilgour, penterjemah dan peguam hak asasi manusia David Matas pada sidang akhbar mendedahkan penuaian organ di China. (Gambar The Epoch Times)

Akhir kata, Raymond Zhang berharap rakan-rakan yang belum berpeluang akan menonton filem “State Organs”.

“Tayangan sedang dijadualkan di Amerika Syarikat, dan akan ditayangkan di beberapa negara lain, termasuk Jepun dan Perancis, “State Organs” dijadualkan tayangan di Kanada tidak lama lagi. Pada masa yang sama, ia kini boleh ditonton pada beberapa platform penstriman berbayar utama, termasuk Google, Amazon, Microsoft, Apple TV, dan sebagainya, juga pada platform penstriman utama di Amerika Utara. Terdapat juga versi Cina di beberapa platform dalam talian tanpa bayar terpilih.

Tonton video di bawah:

“Malunya manusia,” Anjing terjun ke laut demi mengutip sampah buang ke tong sampah

0

Kajian Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) mencadangkan bahawa lebih 40 peratus permukaan air telah tercemar teruk.

Penyelidik berkata bersamaan 2,000 lori sampah penuh dengan plastik yang dibuang ke lautan, sungai, dan tasik di dunia. 

Manakala sisa plastik sahaja telah menyumbang kepada 80 peratus daripada semua pencemaran laut dan air.

Facebook

Mungkin kini anjing lebih faham untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dan pencemaran bumi angkara tangan manusia, kepada manusia itu sendiri.

Dan inilah saat yang menyentuh hati apabila seekor anjing nampaknya rela membantu mengutip serta mengumpul sisa pencemaran dari laut di China.

Facebook

Anjing coklat itu sanggup terjun dan menyelam ke dalam air laut beralun ombak untuk mengutip sampah yang hanyut naik ke pantai di Shandong pada 3 November.

Rakaman video tular menunjukkan anjing itu berenang ke arah cawan Styrofoam terapung. Mungkin dia geram dan sakit hati melihat terdapat banyak sampah yang dibuang merata sehingga mencacatkan pemandangan indah di pantai.

Facebook

Dia kemudian berenang kembali ke tebing dan menaiki tangga untuk membuang sampah yang mencemarkan laut itu ke dalam tong sampah yang disediakan.

Facebook

Perakam video berkata dengan kapsyennya: “Anjing ini lebih bersikap kemanusiaan berbanding kita. Dia anjing tersangat pintar yang menjaga alam sekitar.”

Facebook

Rasa malunya menjadi manusia kerana kita yang membuang sampah merata-rata dan mencemarkan alam sekitar, tetapi anjing pula yang mengutip sampah dan membersihkannya untuk kita.

Tonton video di sini.

Modal kurang RM10, perkongsian cara basmi lipas ‘berumah’ dalam kereta ini mungkin berguna

0

Isu serangga yang mahu berumah tangga di dalam kereta sering menjadi masalah yang dihadapi oleh pemilik kereta.

Tambahan kalau pemilik kereta mempunyai anak kecil yang suka makan dan minum di dalam kereta sehingga meninggalkan sisa yang tidak dibersihkan, mengundang serangga seperti lipas mendapatkan makanan.

Kushairi Borhanudin / Tukang Apa Hari Ini / Facebook

Bagi menyelesaikan masalah ini, pelbagai petua telah dikongsikan warganet seperti meletakkan air manis semalaman di dalam kereta untuk memerangkap lipas atau menggunakan daun pandan untuk menghalaunya serta pelbagai cara lain.

Menerusi perkongsian yang telah dimuat naik oleh Kushairi Borhanudin di laman Facebook Tukang Apa Hari Ini, beliau mendedahkan pengalamannya berjaya membasmi lipas di dalam kereta dengan hanya bermodalkan RM8.

Kushairi Borhanudin / Tukang Apa Hari Ini / Facebook

“Saya beli Fumakilla Vape ni dekat 99 Speedmart, RM7.90 lebih kurang. Sembur dua tiga das bawah seat kereta. Buat waktu malam sebelum tidur,” katanya melalui perkongsian yang telah dibuat.

“Pagi-pagi collect hasil. Puas hati kutip sekor-sekor. Banyak juga saya jumpa yang tengah bertelur nak meluaskan ummah lipas,” dedahnya.

Diharap perkongsian ini mampu menyelesaikan masalah serangga di dalam kereta anda.

Trump sifatkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2024 ‘kemenangan besar-besaran untuk demokrasi dan kebebasan’

0

WEST PALM BEACH: Bekas Presiden Donald Trump mengisytiharkan kemenangan Pilihan Raya Amerika Syarikat 2024 yang memihak kepadanya sebagai “kemenangan luar biasa untuk rakyat Amerika” semasa berucap kepada ratusan tetamu dan sukarelawan kempen yang meraikannya di Pusat Konvensyen Palm Beach County, Florida pada jam 2:30 pagi waktu tempatan pada 6 November.

Dikelilingi oleh keluarga, kakitangan kempen dan sekutunya, Trump berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Amerika atas penghormatan luar biasa kerana dipilih sebagai presiden ke-47 anda, dan presiden ke-45 anda.”

Bekas Presiden Donald Trump disertai oleh keluarganya ketika dia mengisytiharkan kemenangan tidak rasmi Pilihan Raya Presiden 2024 di West Palm Beach, Florida pada 6 November 2024. (Gambar oleh John Fredericks/The Epoch Times)

Trump berkata beliau percaya akan memenangi Michigan, Arizona, Nevada, dan Alaska, selain unjuran kemenangan di negeri-negeri medan tempur Carolina Utara, Georgia, Pennsylvania, dan Wisconsin. Jika itu berlaku, beliau akan memperoleh 315 undi Electoral College, jauh melebihi jumlah minimum 270 undi yang diperlukan.

Trump naik ke pentas sebaik sahaja beliau menjadi pemenang Pilihan Raya Presiden 2024, menurut Decision Desk HQ.

Calon naib presiden, Senator JD Vance (R-Ohio), memberitahu, “Saya fikir kita baru sahaja menyaksikan kemunculan semula politik terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.”

Bekas presiden itu bertanding dalam pemilihan semula dengan menentang dua calon Parti Demokrat yang berasingan—pertama Presiden Joe Biden, kemudian Naib Presiden Kamala Harris—dan menghadapi halangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, termasuk tuduhan jenayah dan cubaan membunuh.

Trump menggelar keputusan pilihan raya itu sebagai “mandat berkuasa yang belum pernah terjadi sebelumnya” kerana Parti Republikan bakal bersedia untuk mengawal kedua-dua dewan Kongres sebagai tambahan kepada jawatan presiden.

Trump berkata gerakan “Jadikan Amerika Hebat Sekali Lagi” akan naik ke “tahap berkepentingan baharu kerana kita akan membantu negara ini pulih.”

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada berjuta-juta rakyat Amerika yang bekerja keras di seluruh negara yang sentiasa menjadi nadi dan jiwa pergerakan yang sangat hebat ini,” katanya.

Ganjaran untuk mereka ialah “kami akan melakukan tugas yang terbaik.”

Trump berjanji kepada setiap rakyat: “Saya akan berjuang untuk anda, untuk keluarga anda, dan masa depan anda. Setiap hari saya akan berjuang untuk anda dan dengan setiap nafas dalam badan saya. Saya tidak akan berehat sehingga dapat memberikan Amerika yang kuat, selamat dan makmur yang layak diterima oleh anak-anak anda dan anda yang layak.”

Trump mengulangi frasa yang telah beliau gunakan semasa berkempen, dengan mengatakan beliau akan menyambut “zaman keemasan Amerika.”

Beliau berharap penyokongnya akan melihat kembali pada pilihan raya 2024 dan melihat bahawa membuang undi itu adalah salah satu “detik yang sangat penting” dalam hayat mereka.

“Ini akan selamanya diingati sebagai hari rakyat Amerika menguasai semula negara mereka,” kata Trump.

Trump berkata ramai orang memberitahunya bahawa nyawanya terselamat daripada bakal pembunuh supaya beliau boleh “memulihkan Amerika kepada hebat.” Sambil berkata beliau akan memenuhi misi itu dengan bantuan rakyat Amerika.

“Saya akan membawa setiap auns tenaga, semangat, dan perjuangan yang saya ada dalam jiwa saya untuk tugas yang anda amanahkan kepada saya,” kata Trump.

Beliau meminta rakyat  mengetepikan perbezaan politik berikutan kempen yang penuh perbalahan.

“Sudah tiba masanya untuk meletakkan bahagian empat tahun lalu di belakang kita. Sudah tiba masanya untuk bersatu, dan kita akan mencuba,” katanya sambil menambah, “Kejayaan akan membawa kita bersama.”

Bekas Presiden Donald Trump disertai oleh keluarganya ketika dia mengisytiharkan kemenangan tidak rasmi Pilihan Raya Presiden 2024 di West Palm Beach, Florida pada 6 November 2024. (Gambar oleh John Fredericks/The Epoch Times)

Ketika penyokong Trump berkumpul di Florida, Cedric Richmond, pengerusi bersama kempen Harris–Walz naik ke pentas di Washington, D.C., untuk memaklumkan bahawa naib presiden Harris tidak akan tampil berucap pada malam itu.

“Kita masih ada undi untuk dikira. Masih berbaki negeri yang belum dipanggil,” kata Richmond. “Kami mahu berjuang untuk memastikan setiap undi dikira, setiap suara telah diutarakan, jadi anda tidak akan mendengar daripada naib presiden malam ini.”

Tinjauan oleh Edison Research menunjukkan Trump meraih keuntungan undi yang signifikan dengan pengundi warga Hispanik Amerika dan pengundi muda.

Kemenangan Trump menjadikannya hanya presiden kedua dalam sejarah Amerika Syarikat yang berjaya menuntut semula jawatan itu selepas kalah dalam bidaan pertamanya untuk pemilihan semula. Grover Cleveland adalah presiden pertama yang memenangi penggal kedua tidak berturut-turut pada tahun 1892 selepas kalah pada tahun 1888.

Semasa pasukan peralihan Trump bersedia untuk mengambil Rumah Putih, rakyat negara itu boleh mengharapkan perubahan besar dalam cara kerajaan Amerika Syarikat mengendalikan hal ehwal luar negara, dasar percukaian dan imigresen haram.

Tentera Korea Utara di Rusia tiada pengalaman berperang

0

Kira-kira 10,000 orang tentera Korea Utara yang dihantar ke Ukraine, Rusia rupa-rupanya tiada pengalaman berperang.

THE GUARDIAN

Selepas spikulasi berlegar berminggu-minggu Nato dan Pentagon akhirnya mengesahkan tentera Korea Utara tersebut kebanyakannya berkumpul berhampiran sempadan Ukraine di Kursk, di mana pasukan Kremlin bergelut untuk menangkis serangan Ukraine.

Semasa “pertempuran berskala kecil” pada Selasa lalu, Menteri Pertahanan Ukraine, Rustem Umerov mengesahkan tentera dari Korea Utara itu terkena tembakan artileri Ukraine.

Nampaknya masih terlalu awal untuk melihat bagaimana “pakatan darah” Rusia-Korea Utara akan mengubah dinamik konflik ini. Setiausaha negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, berkata Rusia telah melatih mereka menggunakan artileri, dron dan “operasi infantri asas, termasuk membersihkan parit yang menunjukkan bahawa mereka sepenuhnya berhasrat untuk mengetengahkan pasukan ini dalam operasi barisan hadapan”.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pula berkata, “Pertempuran pertama dengan tentera Korea Utara telah membuka bab baru ketidakstabilan di dunia.”

Namun menurut Kim Jong-un, tiada seorang pun daripada tenteranya yang berjumlah kira-kira 1 juta yang dikatakan “terkuat di dunia” itu pernah menyaksikan peperangan. Mereka ini akan bertempur di kawasan yang tidak dikenali, dengan senjata baru dan berpakaian seragam Rusia yang mereka hanya tahu sedikit mengenainya.

Walaupun ketibaan tentera Korea Utara mengurangkan tekanan ke atas Rusia untuk merekrut lebih ramai rakyatnya sendiri, pakar percaya dividen ketenteraan untuk Kremlin akan terhad.

Terdapat juruterbang Korea Utara yang bertugas semasa perang Vietnam dan negara itu menyediakan penasihat tentera dan anggota tentera udara kepada Mesir semasa Perang Yom Kippur pada 1973, serta bantuan ketenteraan kepada Syria.

Korea Utara walau bagaimanapun tidak bertempur dalam perang besar sejak awal tahun 1950-an, apabila konflik tiga tahun antara Utara dan Selatan berakhir dengan gencatan senjata yang tidak menyelesakan tetapi tiada perjanjian damai.

Pakar mengatakan bahawa tentera kendalian Kim Jong-un itu kebanyakannya dipercayai berusia belasan tahun atau awal 20-an, yang telah dilatih di kawasan pergunungan Korea Utara dan tidak mempunyai pengalaman berperang di medan perang yang luas dan rata Ukraine.

Rusia nampaknya telah melengkapkan lebih daripada 7,000 orang tentera Korea Utara yang ditempatkan berhampiran sempadan dengan Ukraine dengan mortar 60mm, senapang AK-12, mesingan, senapang penembak tepat, peluru berpandu anti-kereta kebal berpandu dan pelancar bom tangan anti-kereta kebal, serta peralatan penglihatan malam, kata agensi berita Yonhap, memetik agensi perisikan Ukraine.

“Penempatan ini adalah bersejarah bagi Korea Utara, yang sebelum ini menghantar kumpulan penasihat atau pakar ke luar negara tetapi tidak pernah menghantar pasukan darat yang besar,” Kata Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, sebuah badan pemikir AS, dalam siaran dalam talian.

Pasukan Korea Utara di Rusia dipercayai termasuk kira-kira 500 orang pegawai dan sejumlah kecil jeneral, serta anggota Kor Storm, pasukan elit yang lebih terlatih – dan diberi makan – berbanding kebanyakan rakan mereka yang kurang dilengkapi dan terdedah dengan penyakit dan kekurangan zat makanan.

Pada tahun 2017, seorang askar Korea Utara yang melarikan diri dalam keadaan panik melintasi sempadan – hampir tidak selamat daripada beberapa tembakan daripada pihaknya sendiri – didapati oleh doktor Korea Selatan yang menyelamatkannya mempunyai cacing usus sepanjang 27 sentimeter selain parasit lain yang ditemui dalam sistem tubuhnya.

Kandungan perutnya mencerminkan diet yang buruk – jagung yang lebih murah menggantikan nasi – dan ini untuk seorang sarjan yang dikatakan berasal daripada pengawal sempadan yang agak elit. Penyelidik Korea Selatan pada tahun 2015 mencatatkan kadar hepatitis B dan C kronik, tiberkulosisi dan parasit yang tinggi dalam kalangan pembelot Korea Utara.

Jika mereka terselamat, askar yang dipindahkan boleh mendapat manfaat ketika mereka berada di barisan hadapan Ukraine, menurut bekas askar Korea Utara yang berkata ramai akan melihat keberangkatan mereka sebagai satu kebanggaan. Ia juga akan menjadi peluang untuk mendapatkan wang tambahan dan, mungkin, memastikan rawatan yang lebih baik untuk keluarga mereka yang, menurut perisikan tentera Korea Selatan, telah dipindahkan secara beramai-ramai ke lokasi yang tidak diketahui demi merahsiakan penempatan tersebut.

“Mereka terlalu muda dan tidak akan memahami sepenuhnya apa maksudnya,” kata Lee Woong-gil, bekas anggota Kor Storm yang membelot ke Korea Selatan pada tahun 2007. “Mereka hanya akan menganggapnya sebagai satu penghormatan kerana terpilih untuk ke Rusia daripada kalangan askar Korea Utara yang ramai. Tetapi saya fikir kebanyakan mereka tidak mungkin kembali hidup-hidup.”

Kebanyakan gaji mereka akan terus kepada rejim – mungkin ratusan juta dolar dalam mata wang asing yang dikatakan menjadi sebahagian daripada perjanjian yang dicapai oleh Kim dengan Vladimir Putin musim panas ini. Bergantung pada berapa lama konflik ini berlarutan dan bilangan askar Korea Utara yang terlibat, perjanjian pertahanan bersama mereka boleh merangkumi pemindahan teknologi senjata Rusia yang canggih sebagai balasan untuk peluru, peluru berpandu dan personel Korea Utara.

Laporan tentang askar yang mati dan cedera tidak akan memberi kesan besar kepada tentera Korea Utara – media negara itu mendakwa bahawa bulan lalu seramai 1.4 juta orang telah memohon untuk menyertai atau kembali ke tentera dalam tempoh seminggu. Tetapi kerugian besar akan memberi tamparan hebat kepada Kim jika berita itu berjaya melepasi mesin propaganda negara yang dikawal ketat.

“Kim Jong-un sedang mengambil risiko besar,” kata Ahn Chan-il, bekas leftenan pertama tentera Korea Utara yang kini mengetuai Institut Dunia untuk Kajian Korea Utara, sebuah badan pemikir di Seoul. “Jika tiada jumlah mangsa yang besar, dia akan mendapat apa yang dia mahukan hingga tahap tertentu. Tetapi keadaan akan berubah banyak jika ramai tenteranya mati dalam pertempuran.”

Minggu-minggu seterusnya akan mendedahkan sekiranya benar tentera upahan yang ditawarkan oleh Kim kurang bersedia dan hanya untuk memperkayakan dan menguatkan rejimnya.

Choi Jung-hoon, bekas leftenan pertama dalam tentera Korea Utara yang kini mengetuai kumpulan aktivis di Seoul, berkata hatinya “sakit” ketika melihat video yang dikeluarkan oleh Ukraine yang menunjukkan tentera muda Korea Utara berbaris untuk mengambil pakaian seragam tentera Rusia dan peralatan mereka bulan lalu.

“Tiada seorang pun yang akan berfikir mereka pergi ke Rusia untuk mati,” kata Choi. “Tetapi saya fikir mereka adalah mangsa meriam kerana mereka akan dihantar ke tempat yang paling berbahaya. Saya pasti mereka akan terbunuh.”

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

0

Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik beberapa jam sebelum pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

Korea Selatan dan Jepun melaporkan peluru berpandu yang dihalakan ke perairan antara Semenanjung Korea dan Jepun pada awal 5 November itu telah mendarat di luar Zon Ekonomi Eksklusi (EEZ) Jepun.

Menurut Ketua Staf Bersama (JCS) Korea Selatan, peluru berpandu jarak dekat itu ditembak dari kawasan Sariwon di wilayah Hwanghae Utara Korea Utara pada kira-kira pukul 7.30 pagi waktu tempatan.

Ketua Staf Bersama (JCS) menganggarkan bahawa peluru berpandu itu telah melintasi kira-kira 400 kilometer ke arah pantai timur Semenanjung Korea, tetapi tidak menyebutkan berapa banyak butir peluru berpandu yang telah dilancarkan.

Kementerian Pertahanan Jepun juga telah mengesan pelancaran dan menyatakan bahawa peluru itu jatuh ke dalam Laut Jepun berhampiran pantai timur Semenanjung Korea, di luar Zon Ekonomi Eksklusi (EEZ) Jepun. Laut Jepun juga dikenali sebagai Laut Timur di Korea Selatan.

Tambah kementerian itu lagi, sekurang-kurangnya tujuh butir peluru berpandu telah mencapai ketinggian maksimum 100 kilometer dan melintasi kira-kira 400 kilometer.

Perdana Menteri Jepun, Ishiba Shigeru, berkata negaranya akan bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan untuk menganalisis pelancaran peluru berpandu berkenaan dan meningkatkan pengawasan “sebagai persediaan untuk keadaan yang tidak dijangka.”

Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat berkata mereka sedar tentang pelancaran tersebut dan menggesa Korea Utara untuk menghentikan tindakan “haram dan tidak stabil” berkenaan.

“Walaupun kami telah menilai bahawa kejadian ini tidak menimbulkan ancaman segera kepada kakitangan, wilayah, atau sekutu kami, kami akan terus memantau keadaan,” Menurut satu kenyataan pada 4 November.

Tentera Amerika Syarikat mengecam pelancaran tersebut dan menegaskan semula “komitmen kukuh” mereka terhadap pertahanan Jepun dan Korea Selatan.

Terdahulu, Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mencapai ketinggian 7,000 kilometer (kira-kira 4,350 batu) seperti yang dilaporkan oleh Jepun.

Pada trajektori yang lebih rata, ini bermaksud jangkauan potensi lebih daripada 15,000 kilometer (kira-kira 9,321 batu), yang mana meletakkan mana-mana bahagian daratan utama Amerika Syarikat dalam jangkauan.

Sebelum pelancaran ICBM, penggubal undang-undang Korea Selatan memberi amaran bahawa Korea Utara telah menempatkan pelancar untuk ICBM, yang boleh dilancarkan sekitar masa pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 5 November.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Sean Savett, dalam satu kenyataan pada 30 Oktober berkata, Amerika Syarikat bersedia mengambil langkah dalam memastikan keselamatan mereka dan sekutu mereka, Korea Selatan dan Jepun terjamin.

Savett menyifatkan ujian peluru berpandu itu sebagai “pelanggaran terang-terangan” beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB, yang meningkatkan ketegangan dan risiko menstabilkan rantau ini.

Pejabat Hal Ehwal Awam Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat melaporkan selepas pelancaran ICBM, Amerika Syarikat menerbangkan pengebom jarak jauh B-1B di rantau tersebut pada 3 November semasa latihan bersama tentera udara Korea Selatan dan Jepun sebagai tanda kekuatan.

Nahas gunung berapi Lewotobi Laki-Laki korbankan 10 nyawa

0

FLORES TIMUR: Nahas gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di timur Indonesia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa menurut pihak berkuasa Indonesia.

Jurucakap Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG), Hadi Wijaya berkata, gunung berapi yang meletus pada pukul 11.57 malam waktu tempatan (15:57 GMT) pada Ahad itu telah “memuntahkan” lava, abu dan batu panas.

Kata Hadi kepada Reuters, selepas gunung berapi itu meletus, berlaku gangguan elektrik, kemudian hujan yang disertai guruh dan kilat mengakibatkan penduduk panik.

Susulan itu, pihak berkuasa telah meningkatkan tahap gunung berapi kepada tahap empat atau tahap tertinggi. Agensi tersebut mencadangkan agar penduduk yang berada dalam radius tujuh kilometer (4.35 batu) mesti dipindahkan.

Lava dan batu panas mengalir dan bertebaran ke penempatan terdekat kira-kira empat kilometer (dua batu) dari kawah, membakar dan merosakkan rumah, kata Hadi.

Sementara itu, pegawai tempatan di kawasan Flores Timur, Heronimus Lamawuran berkata sekurang-kurangnya seorang telah meninggal dunia sehingga Isnin petang dan letusan itu telah menjejaskan tujuh buah kampung.

“Kami mula memindahkan penduduk pagi ini ke kampung-kampung lain kira-kira 20 kilometer (13 batu) dari kawah,” Katanya.

Tambah Heronimus lagi, kampung-kampung yang paling dekat dengan gunung berapi tersebut diliputi abu tebal pada pagi Isnin.

Associated Press melaporkan bahawa gunung berapi Lewotobi Laki-Laki itu meletus pada tengah malam Ahad, mengeluarkan abu perang tebal setinggi 2,000 meter (6,500 kaki) dan abu gunung berapi panas. Sebuah kampung berdekatan terjejas sementara beberapa buah rumah termasuk sebuah biara biarawati Katolik terbakar.

Pihak berkuasa pengurusan bencana berkata maklumat mengenai mangsa dan tahap kerosakan masih dikumpulkan, dan media tempatan melaporkan lebih ramai orang terperangkap dalam rumah yang runtuh.

Indonesia terletak di “Lingkaran Api Pasifik”, kawasan dengan aktiviti seismik aktif yang terletak di beberapa plat tektonik.

Letusan ini tercetus susulan beberapa siri letusan gunung berapi yang berbeza di Indonesia.

Pada bulan Mei, gunung berapi meletus di Gunung Ibu di pulau terpencil Halmahera menyebabkan pemindahan tujuh buah kampung.

Gunung berapi Ruang di Sulawesi Utara juga meletus pada bulan Mei, menyebabkan pihak berkuasa memindahkan lebih 12,000 orang.

Selepas hujan lebat pada 11 Mei, banjir kilat dan aliran lava sejuk di Gunung Marapi, Wilayah Sumatera Barat, meliputi beberapa kawasan berdekatan, mengorbankan lebih 60 nyawa.

Remaja maut terkena renjatan elektrik semasa cas telefon dalam bas

0

Seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral di Butterworth pada 1 November.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Gambar Orang Awam / BH Online

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, berkata insiden itu disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun jam 7.40 malam.

“Hasil pemeriksaan polis terhadap tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit berpandukan keadaan penghujung kabel cair serta peranti terbabit turut berada dalam keadaan panas.

“Temubual terhadap pemandu bas mendakwa mangsa menaiki bas ekspres untuk ke KL Sentral pada jam 6 petang namun 10 minit kemudian, seorang penumpang memaklumkan kepada pemandu bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.

Gambar Orang Awam / Bernama

“Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada 2 November.

Mengulas lanjut, Anuar berkata hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja lelaki itu maut akibat renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.