Isu serangga yang mahu berumah tangga di dalam kereta sering menjadi masalah yang dihadapi oleh pemilik kereta.
Tambahan kalau pemilik kereta mempunyai anak kecil yang suka makan dan minum di dalam kereta sehingga meninggalkan sisa yang tidak dibersihkan, mengundang serangga seperti lipas mendapatkan makanan.
Bagi menyelesaikan masalah ini, pelbagai petua telah dikongsikan warganet seperti meletakkan air manis semalaman di dalam kereta untuk memerangkap lipas atau menggunakan daun pandan untuk menghalaunya serta pelbagai cara lain.
Menerusi perkongsian yang telah dimuat naik oleh Kushairi Borhanudin di laman Facebook Tukang Apa Hari Ini, beliau mendedahkan pengalamannya berjaya membasmi lipas di dalam kereta dengan hanya bermodalkan RM8.
“Saya beli Fumakilla Vape ni dekat 99 Speedmart, RM7.90 lebih kurang. Sembur dua tiga das bawah seat kereta. Buat waktu malam sebelum tidur,” katanya melalui perkongsian yang telah dibuat.
“Pagi-pagi collect hasil. Puas hati kutip sekor-sekor. Banyak juga saya jumpa yang tengah bertelur nak meluaskan ummah lipas,” dedahnya.
Diharap perkongsian ini mampu menyelesaikan masalah serangga di dalam kereta anda.