Bulan purnama terbesar 2024 akan menerangi langit pada malam 17 Oktober dalam fenomena angkasa paling jarang berlaku di mana ia akan membuat kemunculan bersama komet buat tatapan para pencinta astronomi.
Dikenali Hunter’s Moon, diambil nama sempena musim memburu orang Asli Amerika pada musim luruh, bulan purnama ini akan berada 222,055 batu (357,363 km) dari Bumi pada malam 17 Oktober, “yang mengorbit lebih dekat daripada jarak Bumi-ke-Bulan yang berpurata 239,000 batu (384,633 km) — menjadikannya supermoon,” menurut Planetarium Adler di Chicago, Amerika Syarikat.
Walaupun supermoon ini tidaklah lebih besar, ia kelihatan seperti itu kerana jaraknya yang hampir dengan Bumi. Ini biasanya berlaku hanya tiga atau empat kali setahun.
Tahun ini terdapat kelainan di lokasi tertentu di Amerika Syarikat apabila komet Tsuchinshan-Atlas yang masih berlegar melintasi bumi akan memukau pemerhati bintang di Hemisfera Utara selepas membuat kemunculan di Hemisfera Selatan pada hujung minggu.
Bulan secara rasmi akan menjadi penuh pada 7:26 pagi waktu tempatan Amerika Syarikat pada 17 Oktober. Bagaimanapun, bulan akan mencapai “supermoon”, ketika berada di titik terdekatnya dengan Bumi, atau disebut perigee pada 8:48 malam waktu tempatan Amerika petang Rabu, 16 Oktober.
Ia diklasifikasikan sebagai “supermoon” kerana akan menjadi kira-kira 30 peratus lebih cerah daripada bulan purnama sederhana memandangkan orbitnya yang lebih dekat dengan Bumi.
Sementara itu, komet Tsuchinshan-Atlas muncul buat pertama kali dan telah ditemui oleh Balai Cerap Purple Mountain di China pada 9 Januari 2023 juga oleh Asteroid Terrestrial-impact Lost Alert System (ATLAS) di Afrika Selatan pada 22 Februari 2023.
Komet ini muncul dekat semula pada 12 Oktober dan berada paling hampir dengan Bumi pada 14 Oktober bermagnitud kecerahan 2.1, dikatakan paling cerah ketika ia melalui berhampiran Bumi dan akan dapat dilihat sehingga akhir bulan ini, menurut NASA.
Walau bagaimanapun, apabila hari berlalu, komet ini akan kelihatan lebih malap dan menjadi lebih sukar untuk dilihat dengan mata kasar. Ini kerana komet akan menjadi semakin tinggi di langit pada setiap malam ke malam apabila ia bergerak menjauhi matahari dan keluar dari sistem suria.
Pada malam Rabu, 16 Oktober pencinta astronomi berpeluang melihat komet ini apabila ia muncul di langit kira-kira 45 minit selepas matahari terbenam. Ahli astronomi berkata untuk pemandangan terbaik, mereka perlu berada di luar sejurus selepas matahari terbenam dengan melihat tepat di atas ufuk.
Dan sementara cahaya supermoon mungkin menghilangkan sebahagian daripada ekor komet, ia masih berbaloi untuk dilihat selepas matahari terbenam, Bill Cooke dari NASA memberitahu Associated Press.
“Kebanyakan ahli astronomi tidak menyukai bulan purnama kerana cahaya terangnya mengganggu pemerhatian objek lain. Jadi agak sukar bagi kami untuk memperkatakannya secara puitis walaupun ia adalah supermoon terbesar pada 2024,” katanya.
NASA berkata komet itu kali terakhir melalui Bumi pada 80,000 tahun lalu dan mungkin tidak akan kembali kerana data terkini menunjukkan laluannya mungkin membawanya keluar dari sistem suria pada jarak terjauh sama sekali.