SUNGAI PETANI: Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dalam satu kenyataan memperjelaskan peserta sebenar PLKN 3.0 yang dijadualkan bermula Januari 2025.
Menurut Adly, orang ramai resah akibat timbul salah faham mengenai had umur yang ditetapkan untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tersebut.
“Fokus kita tahun hadapan ialah lepasan SPM, contohnya lepas SPM tak boleh hadir sebab beberapa kekangan, (maka) dia boleh hadir hingga usia 35 tahun, itu mengikut akta.”
“Tetapi, fokus kita ialah pelajar lepasan SPM, saya rasa di situ ada salah faham tentang kaedah pengambilan. Memang ada keresahan… mereka kata umur 30 sudah bekerja, tidak timbul isu, kita meletakkan akta tujuannya agar mereka diberi sedikit kelonggaran,” Katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di sini.
Tambah Adly lagi, bermula Januari tahun hadapan, sebanyak 1,000 orang peserta terlibat dengan PLKN dan akan ditempatkan di dua buah kem latihan.
“Dari segi modul pula akan ada penambahbaikan yang kita buat berdasarkan PLKN sebelum ini. Bagi kita apa yang penting apabila mereka keluar PLKN, selain ada semangat jati diri, mereka juga mempunyai kemampuan dan keupayaan yang tinggi untuk memastikan mereka berjaya dalam bidang masing-masing,” Katanya.
Sementara itu, mengenai dakwaan kekerapan kapal dari luar terutamanya China masuk ke perairan negara seperti yang tular baru-baru ini, Adly berkata masyarakat tidak perlu gusar dengan keselamatan dan keupayaan pertahanan di perairan negara.
“Saya ras tak perlu gusar, ini amalan biasa dan kita dah sampaikan maklumat ini ke Parlimen bahawa ia sebahagian daripada kerjasama dua hala kita. Mana-mana kapal yang nak berlabuh di Malaysia kena buat permohonan kepada kita,” Katanya.
Sepanjang Oktober sahaja, Malaysia telah menerima kunjungan dari negara seperti Amerika Syarikat (USA), Itali, Jerman, Rusia dan China menurut Adly.
“Kita memang agak kerap terima (kedatangan kapal lain), kadang-kadang sebulan dua tiga kali kapal dari pelbagai negara. Ini amalan Malaysia sebagai negara berkecuali dan kita terbuka untuk menerima rakan-rakan pertahanan kita, tetapi mereka mesti melalui proses-proses ditetapkan,” Kata Adly.
Terdahulu, Adly menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM140,000 kepada 28 orang usahawan veteran ATM dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang yang terlibat dalam perniagaan seperti perkhidmatan, elektrik, pembuatan, makanan dan peruncitan.
“Hingga kini terdapat 161 usahawan veteran ATM telah menerima geran SPKLB dengan nilai keseluruhan berjumlah RM805,000.”
“Saya harap dengan bantuan ini mereka akan dapat meningkatkan mutu keusahawanan mereka dalam konteks meningkatkan peralatan dan produktiviti, bagi membantu menambah pendapatan mereka,” Katanya.