FLORES TIMUR: Nahas gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di timur Indonesia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa menurut pihak berkuasa Indonesia.

Jurucakap Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG), Hadi Wijaya berkata, gunung berapi yang meletus pada pukul 11.57 malam waktu tempatan (15:57 GMT) pada Ahad itu telah “memuntahkan” lava, abu dan batu panas.
Kata Hadi kepada Reuters, selepas gunung berapi itu meletus, berlaku gangguan elektrik, kemudian hujan yang disertai guruh dan kilat mengakibatkan penduduk panik.
Susulan itu, pihak berkuasa telah meningkatkan tahap gunung berapi kepada tahap empat atau tahap tertinggi. Agensi tersebut mencadangkan agar penduduk yang berada dalam radius tujuh kilometer (4.35 batu) mesti dipindahkan.
Lava dan batu panas mengalir dan bertebaran ke penempatan terdekat kira-kira empat kilometer (dua batu) dari kawah, membakar dan merosakkan rumah, kata Hadi.

Sementara itu, pegawai tempatan di kawasan Flores Timur, Heronimus Lamawuran berkata sekurang-kurangnya seorang telah meninggal dunia sehingga Isnin petang dan letusan itu telah menjejaskan tujuh buah kampung.
“Kami mula memindahkan penduduk pagi ini ke kampung-kampung lain kira-kira 20 kilometer (13 batu) dari kawah,” Katanya.
Tambah Heronimus lagi, kampung-kampung yang paling dekat dengan gunung berapi tersebut diliputi abu tebal pada pagi Isnin.
Associated Press melaporkan bahawa gunung berapi Lewotobi Laki-Laki itu meletus pada tengah malam Ahad, mengeluarkan abu perang tebal setinggi 2,000 meter (6,500 kaki) dan abu gunung berapi panas. Sebuah kampung berdekatan terjejas sementara beberapa buah rumah termasuk sebuah biara biarawati Katolik terbakar.
Pihak berkuasa pengurusan bencana berkata maklumat mengenai mangsa dan tahap kerosakan masih dikumpulkan, dan media tempatan melaporkan lebih ramai orang terperangkap dalam rumah yang runtuh.

Indonesia terletak di “Lingkaran Api Pasifik”, kawasan dengan aktiviti seismik aktif yang terletak di beberapa plat tektonik.
Letusan ini tercetus susulan beberapa siri letusan gunung berapi yang berbeza di Indonesia.
Pada bulan Mei, gunung berapi meletus di Gunung Ibu di pulau terpencil Halmahera menyebabkan pemindahan tujuh buah kampung.
Gunung berapi Ruang di Sulawesi Utara juga meletus pada bulan Mei, menyebabkan pihak berkuasa memindahkan lebih 12,000 orang.
Selepas hujan lebat pada 11 Mei, banjir kilat dan aliran lava sejuk di Gunung Marapi, Wilayah Sumatera Barat, meliputi beberapa kawasan berdekatan, mengorbankan lebih 60 nyawa.