27.1 C
Kuala Lumpur
Friday, August 8, 2025
Utama Blog Laman 403

15 permainan zaman dahulu yang pasti akan mengamit memori zaman kecil anda

0

Kini teknologi sudah semakin maju dan membangun sehingga hampir kesemua aspek kehidupan menerima kesan ekoran kemajuan tersebut. Hal ini termasuklah permainan kanak-kanak hari ini. Jika dilihat pada permainan mereka kini pasti anda dapat melihat perubahan dan semestinya berbeza ketika zaman kecil kita.

Berikut adalah beberapa permainan kanak-kanak zaman dahulu yang pasti akan mengundang nostalgia lama. Tentunya ramai antara anda yang mempunyai cerita dan kenangan tersendiri apabila melihat kesemua permainan ini…

  1. Pernah main dengan permainan burung ini? Cabaran utamanya ialah bagaimana untuk menyeimbangkannya di atas jari supaya tidak jatuh.

2. Masih ingat dengan permainan air ini? Berapa ramai antara anda yang berjaya memasukkan gelung kecil ke dalam rod yang ada di situ?

3. Baik mengaku cepat! Siapa yang pernah meletakkan ang syiling mereka di dalam gantungan kunci ini?

4. Siapa yang memiliki pensil warna sebanyak ini dialah yang akan menjadi orang paling popular di kelas. Mana tidaknya, satu kelas akan datang ke mejanya untuk meminjam!

5. Siapa yang pernah berangan seolah-olah dia sedang menyanyi di atas pentas menggunakan mikrofon ini?

6. Permainan yang paling tidak menggunakan modal yang banyak. Apa yang penting dapat mengenakan orang lain!

7. Tipulah kalau anda kata guru-guru sekolah anda tidak pernah menggunakan kapur berwarna-warni seperti ini…

8. Pasti ramai yang pernah berebut mainan ini dengan adik-beradik yang lain!

9. Bayangkan permainan seperti ini sudah boleh membuatkan kita terhibur suatu ketika dahulu…

10. Tutup lampu dan biarkan cahaya ini yang menerangi bilik…

11. Bola berbulu yang sering menjadi rebutan

12. Ular air yang tidak akan boleh dapat ditangkap

13. Askar perang paling kebal!

14. Melekit dan boleh melekat di dinding. Lekatkan pada dinding dan tarik semula.

15. Kadang-kadang pergi ke McDonalds bukan hendak makan tetapi teruja dengan permainan yang ada!

Dahulu, permainan seperti inilah yang sering dimainkan. Tanpa gajet dan internet zaman kecil kita menjadi jauh lebih mengembirakan dan penuh dengan memori manis untuk dikenang sehingga kini.

Lelaki tempatan temui bom tinggalan Perang Dunia Kedua tertanam di kawasan sekitar rumah

0

LABUAN: Sebutir bom lama yang masih aktif ditemui oleh seorang pekerja kontraktor yang sedang membersihkan kawasan di sekitar rumah di Simpang 11, Kampung Jawa pada Khamis, 28 Januari lalu.

SinarHarian

Bom lama jenis UOX ‘Ariel Bom’ terbabit dipercayai adalah sisa tinggalan dari Perang Dunia Kedua dan ditemui pada jam 1.39 petang oleh seorang lelaki tempatan yang berusia 50 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintenden Mohd Ibrahim Mohd Ghani dalam satu kenyataannya pada Jumaat menyatakan bahawa objek yang kelihatan seperti kepingan besi itu telah dikeluarkan dari dalam tanah sebelum dikenal pasti sebagai sebutir bom yang telah berkarat.

SinarHarian

“Pegawai penyiasat bersama Unit Pemusnah Bom mengesahkan objek itu ialah sebutir bom lama dan masih aktif dengan berat kira-kira 35 kilogram dan ukur lilit 43 sentimeter serta panjang kira-kira 61 sentimeter,” tambahnya lagi.

Beliau dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa anggota polis yang bertugas diarahkan mengawal kawasan tersebut bagi memastikan tiada gangguan berlaku sehingga bom itu dimusnahkan pada 29 Januari.

Restoran piza di Thailand ini cipta kelainan, jual piza tanpa bahagian tengah dan 100% kerak roti piza sahaja!

0

Sesetengah orang, apabila memakan piza, mereka tidak gemar bahagian kerak piza yang cenderung mempunyai tekstur yang lebih keras dan tidak berinti.

Walau bagaimanapun, sebuah rangkaian restoran terkenal di Thailand yang menjual piza, The Pizza Company 1112 ini nampaknya berfikir di luar kotak apabila mereka menghasilkan piza tanpa bahagian tengah dan hanya 100% bahagian kerak piza sahaja!

The Pizza Company 1112/Facebook

Wah, ini memang betul pertama kali dalam sejarah!

Piza yang dinamakan double cheeseburger crusts ini bagaimanapun bukanlah hanya kerak roti piza yang kosong semata-mata seperti kebanyakan piza yang lain. Tetapi yang istimewanya, piza yang diperkenalkan ini mempunyai inti burger keju bersaiz mini yang ‘disembunyikan’ di dalam kerak piza yang disambung-sambung bagi membentuk sebuah bulatan.

Secara khususnya, piza ini mempunyai sebanyak 12 biji burger keju mini yang disembunyikan di dalamnya dan idea ini sememangnya idea bernas untuk santapan seisi keluarga!

The Pizza Company 1112/Facebook

Tambahan pula, dengan setiap pembelian piza ini, pelanggan akan turut dihidangkan dengan sos tomato biji sawi dan sos tomato sebagai pencelup.

Dengar sahaja sudah boleh terliur dibuatnya!

Bukan itu sahaja, satu set hidangan ini hanya dijual pada tanda harga 189 baht sahaja atau di dalam tukaran mata wang tempatan, satu set piza yang unik ini hanya bernilai RM26 sahaja. Memang berbaloi betul untuk ciptaan piza yang lain dari yang lain ini!

Kami yakin, dengan keluaran piza sebegini, pasti ramai pelanggan yang mahu mencubanya!

Ubah suai bilik air dengan hanya RM500, lelaki ini transformasikan bilik air yang membosankan kepada bilik air yang kelihatan mewah!

0

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0. yang dilaksanakan pada tahun 2020 lagi kita sudah banyak kali disajikan dengan perkongsian aktiviti pengisian masa lapang yang banyak memberi inspirasi kepada warganet yang menyaksikannya.

Nampaknya, dalam pelaksanaan PKP 2.0. ini juga kita bakal menyaksikan lagi beberapa aktiviti pengisian masa lapang yang dikongsikan di laman sosial. Dan, Khairul Redzwan adalah salah seorang daripadanya.

Khairul Redzwan/Facebook
Khairul Redzwan/Facebook

Baru-baru ini, Khairul ada memuat naik kiriman di laman Facebooknya yang berkongsi pengalamannya mengubah suai bilik air di rumahnya yang kelihatan agak lama dan membosankan kepada sebuah bilik air yang bercirikan mewah.

Khairul Redzwan/Facebook

Menurut Khairul, dia mendapat inspirasi dan belajar cara-cara untuk mengecat jubin melalui laman YouTube, perkongsian di laman kumpulan Facebook seperti Tukang Apa Hari Ini serta Kami Suka Deko Deko.

Dengan menggunakan peruntukan lebih kurang RM500, Khairul mengambil masa selama lebih kurang 26 hari (proses kerja hanya dilakukan pada hujung minggu sahaja) untuk menyiapkan projek ini sepenuhnya, dan hasilnya memang memuaskan hati!

Khairul Redzwan/Facebook

Berikut adalah senarai pecahan harga seperti yang disiarkan oleh laman SAYS:

  • 2.5 Nippon Tile Primer + Hardener: RM180
  • 5L Oval Green Nippon EA4 Finish Epoxy + Hardener: RM140
  • 1L White Nippon EA4 Finish Epoxy + Hardener: RM45
  • Peralatan mengecat (berus, thinner, pita pelekat, filler dan lain-lain): RM50
  • Pam tangki air: RM35
  • Peralatan untuk membaiki pintu kayu yang sudah reput (aluminium, cat minyak): RM50
  • Dekorasi dalaman (belian di Eco Shop dan Lazada): RM100
Khairul Redzwan/Facebook
Khairul Redzwan/Facebook
Khairul Redzwan/Facebook

Memang nampak lain sungguh bilik air yang sudah siap diubah suai ini!

Pilihan warna hijau gelap ini juga dalam masa yang sama memberi suntikan mewah dan eksklusif pada bilik air yang dahulunya kelihatan biasa sahaja. Pilihan bijak!

Terperangkap dalam mesin basuh yang berputar lebih daripada sejam, haiwan comel ini tetap bertahan untuk hidup

0

Kata pepatah ada berbunyi berpantang maut sebelum ajal dan itulah yang dialami oleh seekor feret apabila dia terselamat walaupun berada di dalam mesin basuh selama lebih daripada satu jam!

Kejadian tersebut berlaku di Leeds, United Kingdom, apabila seekor feret dikatakan termasuk ke dalam mesin basuh milik tuannya. Apa yang lebih mendebarkan mesin basuh tersebut sedang berpusing selama 100 minit.

Gambar Hiasan/PhotoAC

Jika difikir-fikir bagaimana agaknya haiwan sekecil itu boleh bertahan hidup di dalam mesin basuh yang penuh dengan air dan bekalan oksigen yang rendah. Tidak hanya itu, mesin basuh tersebut juga sedang berpusing!

BBC melaporkan bahawa feret yang diberi nama Bandit berusia 2 tahun itu mengalami masalah paru-paru dan lebam seluruh badan selepas kejadian tersebut. Mujur, vaterinar cepat bertindak dan nyawa Bandit dapat diselamatkan.

BBC

Menurut pakar bedah veterinar, David Massey keadaan Bandit sangat teruk ketika mula-mula sampai di klinik namun selepas beberapa jam mendapatkan rawatan Bandit mula menunjukkan perubahan yang lebih baik.

Bagi yang tertanya-tanya bagaimana Bandit boleh termasuk ke dalam mesin basuh, menurut pemiliknya, Jackie Redfern memberitahu bahawa Bandit menyelinap masuk ketika tiada sesiapa pun yang sedar.

Ekoran kejadian yang menimpa haiwan peliharaan, Redfern menasihati orang ramai untuk memeriksa mesin basuh mereka sebelum menggunakannya.

Sehingga hari ini, Bandit masih dalam proses pemulihan dan dijaga oleh beradik, Mikey. Redfern juga memberitahu bahawa Mikey berubah menjadi pendiam selama dua hari setelah Bandit mengalami kecederaan.

Namun selepas Bandit pulang setelah menerima rawatan, Mikey terus bangun dan terus berada di sisi adiknya.

Ratusan etnik Rohingya di kem pelarian Indonesia hilang, dipercayai diseludup masuk ke Malaysia

0

JAKARTA – Ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, kata pihak berkuasa negara itu.

Hanya 112 pelarian masih tinggal di kem itu yang terletak di Lhokseumawe, Aceh berbanding 400 etnik Rohingya yang tiba di negara itu antara Jun dan September tahun lalu.

Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat mengesahkan kedudukan pelarian minoriti Islam dari Myanmar itu.

Bagaimanapun, menurut ketua pasukan petugas Rohingya di Lhokseumawe, Ridwan Jamil, pelarian terbabit disyaki menghubungi penyeludup untuk membawa mereka menyeberangi Selat Melaka menuju ke Malaysia.

“Buat masa ini, kami tidak tahu ke mana mereka pergi, namun mereka boleh melepaskan diri jika mendapat peluang kerana memang itu matlamat mereka (untuk ke Malaysia),” katanya.

Baru-baru ini, sekurang-kurangnya 17 etnik Rohingya dari kem pelarian Lhokseumawe dan puluhan lagi disyaki penyeludup, ditahan polis beberapa ratus kilometer di selatan bandar Medan.

Menurut pihak berkuasa, bandar berkenaan kerap dijadikan lokasi persinggahan untuk menyeludup masuk ke Malaysia.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Mitra Suryono, berkata semua etnik Rohingya itu sudah diminta untuk kekal di kem masing-masing berikutan risiko tinggi jika melakukan perjalanan berkenaan.

“Namun, mereka tetap pergi walaupun kami berulang kali memaklumkan mengenai bahaya dan risikonya, terutama jika menggunakan khidmat penyeludup.

Sekadar Gambar Hiasan | Twitter

“Kita perlu ingat bahawa kebanyakan mereka memiliki saudara-mara di negara lain seperti Malaysia dan ini mungkin antara sebab mereka meneruskan perjalanan,” katanya.

Kumpulan hak asasi menyalahkan kerajaan Indonesia yang mengurangkan kawalan keselamatan secara drastik di kem pelarian apabila etnik Rohingya diletakkan di bawah pemantauan UNHCR bulan lalu.

Walaupun Indonesia tidak menandatangani konvensyen antarabangsa mengenai pelarian, langkah itu dilihat membelakangkan tanggungjawab melindungi mereka, kata Pengarah Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.

Dalam perkembangan lain, pasukan National Task Force (NTF) Malaysia telah bersiap siaga di perairan Selat Melaka, bagi mengusir lebih 200 pelarian Rohingya yang dipercayai hilang dan sedang menuju ke Malaysia. 

Komander National Task Force Malaysia, Laksamana Madya, Datuk Aris Adi Tan Abdullah, berkata pihaknya sudah sedia maklum mengenai situasi di Lhokseumawe, Aceh dan NTF kini sudah mempertingkatkan kawalan di perairan negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Pendekatan utama kita sekiranya bertembung dengan kumpulan pelarian ini adalah langkah pencegahan iaitu mengusir mereka keluar dari memasuki perairan negara dalam memastikan sebarang cubaan penularan pandemik COVID-19 dapat dipatahkan demi keselamatan rakyat di negara kita,” katanya.

Dua jiran bergelar Datuk, Datuk Seri berbalah di hadapan rumah disebabkan helikopter ‘curi’ perhatian netizen

0

Bukan semua jiran boleh melihat jiran mereka yang lain memarkir helikopter di perkarangan rumah.

Apatah lagi ia diparkir bersebelahan beberapa kereta dan motosikal mewah, seolah-olah ia adalah satu perkara yang biasa, mungkin juga boleh membuat jiran lain berasa iri hati atau tidak puas hati.

Dalam satu insiden di sebuah taman perumahan mewah di Puchong, sebuah helikopter yang diparkir di perkarangan rumah mewah menjadi punca pertelingkahan dua jiran.

Paparan Skrin | Twitter

Perbalahan mereka tular menerusi klip video yang memaparkan helikopter itu yang nampaknya sedang diparkir di perkarangan sebuah rumah mewah.

Helikopter itu milik seorang jiran yang bergelar Datuk Seri dan jiran yang memulakan pergaduhan itu juga bergelar Datuk.

Punca perbalahan mereka tidak jelas, tetapi kedengaran butiran yang paling menarik perhatian dalam video itu adalah ia mengenai helikopter yang diparkir di rumah Datuk Seri berkenaan.

Kedengaran perbualan yang menjadi pertelingkahan dalam video itu, “Hello Datuk Seri, awak parkir kereta, motosikal dekat rumah, ini sekarang parkir helikopter.”

Paparan Skrin | Twitter

Sebelum mereka menjerit dan tarik-menarik, pemilik helikopter bergelar Datuk Seri itu menjawab, “ Kenapa? Saya tidak boleh parkir helikopter depan rumah saya sendiri kah Datuk?”

Perbalahan itu berterusan sebelum seorang pemuda berbaju hitam keluar dari rumah mewah itu dan meleraikan tarik-menarik kedua-dua Datuk itu.

Paparan Skrin | Twitter

Sementara itu, Ketua Polis Serdang Razali Abu Samah ketika dihubungi berkata, Datuk Seri berkenaan tidak melakukan kesalahan undang-undang dengan meletakkan helikopter miliknya di rumahnya sendiri.

“Semua baik sahaja. Mereka berdua sahabat dan apa yang berlaku hanyalah perselisihan faham. Tidak ada kesalahan kesalahan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, tiada laporan polis yang dibuat berikutan insiden itu, manakala kedua Datuk dan Datuk Seri terbabit telah berdamai serta saling bermaafan ekoran ia hanyalah salah faham.

“Selagi dia boleh bertahan,” Bapa ini hanya mampu kirim RM30 terakhirnya buat duit belanja anak di universiti

0

Ketika anak orang lain berasa selesa berada di menara gading, terdapat anak orang lain juga sedang berjuang dengan sanggup mengikat perut sambil belajar bersungguh-sungguh ketika berada di tempat yang sama. 

Seorang pengguna Twitter, Azlan Shah @azlanshahnk baru-baru ini berkongsi pengalamannya bertemu dengan seorang bapa yang sanggup berkorban wang ringgit terakhir di poket sendiri demi memelihara pendidikan anak lelaki yang sedang melanjutkan pengajian di universiti.

Pada 21 Januari, ketika dia sedang bersenam, Azlan disapa oleh seorang pengawal keselamatan yang sudah berusia dan bertanya sama ada dia mempunyai akaun CIMB.

Gambar Hiasan | Pexels

Ketika Azlan menjawab dia ada akaun bank itu, pak cik pengawal ini bertanya bolehkah Azlan membantunya memindahkan wang ke dalam akaun anaknya dan dia akan memberikan wang tunai kepadanya. 

Azlan bertanya berapa banyak wang yang perlu dipindahkannya, dan pak cik itu memintanya untuk memindahkan RM30.

Azlan kemudian ingin tahu berapa lama anaknya itu dapat bertahan dengan hanya diberi wang belanja RM30?

Jawab pak cik itu, “Selagi dia boleh bertahan. Dia kata ada kena beli buku sekarang. Kalau habis, dia akan minta lagi. Saya betul-betul tengah ketat sekarang.”

Gambar Hiasan | Pexels

Azlan bertanya sama ada anaknya itu mendapat biasiswa atau bantuan pinjaman kerajaan, dan pak cik itu berkata tidak ada kerana dia menanggung sendiri pendidikan anaknya.

Kata Azlan, “Sebahagian kita, RM30 adalah kos harian untuk memesan penghantaran makanan tetapi sebahagian orang lain, itu adalah kos perbelanjaan yang dihantar oleh ibu bapa mereka untuk bertahan selama beberapa minggu atau bahkan berbulan.”

Gambar Hiasan | Pixabay

Azlan mengakhiri bebenangnya dengan menulis, situasi seperti ini akan terus mengingatkan kita untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada kerana kita tidak pernah tahu apa yang sedang dilalui oleh orang lain.

Wang belanja RM30 tidak banyak, yang semestinya menjadi rungutan buat ramai orang pada hari ini, tetapi keperitan dan pengorbanan yang ditanggung oleh seorang bapa untuk mendapatkan RM30 demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemberi nafkah keluarga benar-benar menyentuh hati dan menginsafkan.

Garang macam harimau! Kucing yang fobia terhadap veterinar ini serang doktor yang merawatnya bagai tiada hari esok

0

Ramai yang sedia maklum bahawa kucing adalah salah satu spesies haiwan yang sangat garang jika mereka sedang berasa marah. Kucing lazimnya akan mengekspresikan rasa marah mereka dengan mengeluarkan kesemua kukunya yang tajam dan mengeluarkan bunyi ancaman serta sentiasa bersiap sedia untuk menyerang musuh.

Tugay İnanoğlu/YouTube

Istanbul, seekor kucing yang pernah mengalami kemalangan dan terpaksa tinggal lama di sebuah pusat veterinar sebelum ini bagaimanapun secara tidak sengaja telah membina rasa fobia dalam dirinya terhadap semua yang berkaitan dengan veterinar.

Tidak kiralah doktor yang sedang merawat, pembantu doktor, mahupun ubat yang akan diberikan kepadanya sekalipun. Semuanya akan membuat Istanbul berasa teramat marah dan takut.

Tugay İnanoğlu/YouTube
Tugay İnanoğlu/YouTube

Seorang doktor yang ditugaskan untuk memberi vaksin tahunan kepada Istanbul bagaimanapun telah merakam sesi rawatannya bersama Istanbul dan video tersebut telah dimuatnaik di laman YouTube di saluran Tugay İnanoğlu.

Menerusi video yang berdurasi 10:08 ini, dapat dilihat bagaimana Istanbul menolak sekeras-kerasnya rawatan yang diberikan kepadanya. Daripada saat pertama Istanbul dikeluarkan daripada sangkar sementaranya, Istanbul tanpa berselindung menunjukkan rasa marahnya kepada doktor yang cuba untuk merawatnya.

Tugay İnanoğlu/YouTube

Dengan mata yang penuh dengan api kemarahan, Istanbul menyerang apa sahaja yang menyentuh tubuh badannya. Syukurlah, doktor yang bertugas telah bersiap sedia dengan sarung tangan keselamatan yang dibuat khas bagi mengelak cakaran kucing.

Sepanjang masa bermula minit ke 3:05 Istanbul dikeluarkan dari sangkar, Istanbul tanpa henti terus-terusan menyerang doktor yang bertugas dengan harapan supaya sesi tersebut terpaksa dibatalkan.

Tugay İnanoğlu/YouTube
Tugay İnanoğlu/YouTube

“Istanbul benar-benar membuatkan kami mempunyai masa yang sukar,” luah doktor berkenaan tentang situasi yang dialaminya itu.

Berdasarkan video yang dimuatnaik, doktor tersebut bersama dengan pembantunya memakan masa lebih kurang 5 minit untuk menyelesaikan rawatan kepada Istanbul. Dan kami pasti, tempoh masa itu mungkin terasa seperti 5 jam buat mereka kerana Istanbul memang lain dari yang lain. Terlalu garang!

Tonton video penuhnya di sini:

Tugay İnanoğlu/YouTube

Sehingga entri ini dihasilkan, video yang dimuatnaik pada 3 Julai 2020 ini telahpun meraih sehingga lebih dari 3 juta tontonan, lebih dari 42,000 sukaan dan lebih dari 4,000 komen.

Kenyataan The Epoch Times terhadap tindakan YouTube

0

Pada 20 Januari 2021, pihak YouTube didapati telah menyekat bayaran untuk akaun saluran The Epoch Times tanpa amaran awal atau penjelasan yang khusus.

Pihak kami yakin bahawa segala kandungan bebas yang dimuat naik telah memenuhi kriteria platform YouTube dan bersedia untuk bekerjasama dengan platform tersebut bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.

Gambar hiasan. (Unsplash)

Walau bagaimanapun, pihak kami berasa prihatin terhadap arah yang diambil oleh YouTube dalam beberapa bulan terakhir ini, yang kelihatan semakin membataskan kebebasan ekspresi dan kebebasan bersuara.

Pengasas The Epoch Times adalah orang China-Amerika yang melarikan diri dari komunis China dan menyokong hak Pindaan Pertama mereka di Amerika Syarikat untuk mewujudkan sebuah organisasi berita yang bebas dan tanpa sekatan. Kami percaya bahawa kebebasan bersuara adalah tonggak masyarakat bebas dan kunci untuk republik Amerika Syarikat semakin berkembang.

Langkah penapisan baru-baru ini oleh syarikat teknologi besar di Amerika Syarikat telah mengejutkan dunia. Imej negara Amerika Syarikat sebagai pemimpin kebebasan sedang dipertaruhkan. Kami berharap syarikat terkemuka seperti YouTube tidak akan menghancurkan harapan penduduk dunia yang menjadikan Amerika Syarikat sebagai contoh untuk kebebasan.