Kata pepatah ada berbunyi berpantang maut sebelum ajal dan itulah yang dialami oleh seekor feret apabila dia terselamat walaupun berada di dalam mesin basuh selama lebih daripada satu jam!
Kejadian tersebut berlaku di Leeds, United Kingdom, apabila seekor feret dikatakan termasuk ke dalam mesin basuh milik tuannya. Apa yang lebih mendebarkan mesin basuh tersebut sedang berpusing selama 100 minit.

Jika difikir-fikir bagaimana agaknya haiwan sekecil itu boleh bertahan hidup di dalam mesin basuh yang penuh dengan air dan bekalan oksigen yang rendah. Tidak hanya itu, mesin basuh tersebut juga sedang berpusing!
BBC melaporkan bahawa feret yang diberi nama Bandit berusia 2 tahun itu mengalami masalah paru-paru dan lebam seluruh badan selepas kejadian tersebut. Mujur, vaterinar cepat bertindak dan nyawa Bandit dapat diselamatkan.

Menurut pakar bedah veterinar, David Massey keadaan Bandit sangat teruk ketika mula-mula sampai di klinik namun selepas beberapa jam mendapatkan rawatan Bandit mula menunjukkan perubahan yang lebih baik.
Bagi yang tertanya-tanya bagaimana Bandit boleh termasuk ke dalam mesin basuh, menurut pemiliknya, Jackie Redfern memberitahu bahawa Bandit menyelinap masuk ketika tiada sesiapa pun yang sedar.
Ekoran kejadian yang menimpa haiwan peliharaan, Redfern menasihati orang ramai untuk memeriksa mesin basuh mereka sebelum menggunakannya.
Sehingga hari ini, Bandit masih dalam proses pemulihan dan dijaga oleh beradik, Mikey. Redfern juga memberitahu bahawa Mikey berubah menjadi pendiam selama dua hari setelah Bandit mengalami kecederaan.
Namun selepas Bandit pulang setelah menerima rawatan, Mikey terus bangun dan terus berada di sisi adiknya.