Turki mungkin merupakan ‘syurga’ buat haiwan jalanan. Mereka dilayan dengan sangat baik oleh penduduk tempatan.
Mereka sudah pasti hidup dengan gembira di sana. Oleh sebab itulah, haiwan di sana tidak kiralah yang terbiar mahupun dibela, akan juga melayan manusia sebaiknya seperti kisah anjing ini.
Seekor anjing di Istanbul, setia menunggu tuannya di luar sebuah hospital selama hampir seminggu, hinggalah pemiliknya itu dibenarkan keluar daripada hospital.
Menurut sumber, pemilik anjing berkenaan menerima rawatan pada bahagian otaknya. Keadaan itu membuatkan anjingnya bernama Boncuk setia menunggunya.
Kesetiaan Boncuk menunggu ternyata membawa kebahagiaan, di mana anjing bersaiz kecil itu akhirnya disatukan semula dengan tuannya, Cemal Senturk.
Laporan media tempatan mendedahkan bahawa Cemal telah dibawa ke hospital pada 14 Januari lalu selepas mengalami embolisme otak.
Boncuk pada ketika itu dilihat mengikuti ambulans dan menunggu sahaja di luar pintu masuk hospital tersebut. Itulah rutinnya pada setiap pagi.
Malah, kakitangan hospital turut memberinya makan. “Boncuk tidak mendatangkan bahaya buat sesiapa. Semua sedar akan hubungan antara anjing itu dan tuannya”, kata Pengarah Komunikasi, Fuat Ugur.
Anak perempuan Cemal difahamkan sudah cuba untuk membawa Boncuk pulang ke rumah namun Boncuk masih kembali ke hospital.
Pada ketika Cemal akhirnya dibenarkan keluar, Boncuk sangat girang dan berjalan di sebelah kerusi roda Cemal sambil melompat meminta usapan dan menggoyangkan ekornya.
“Ia menjadikan seseorang itu sangat gembira. Boncuk sangat dekat dengan kami seperti keluarga sendiri dan membawa kebahagiaan”, ujar Cemal.