Sesetengah orang, apabila memakan piza, mereka tidak gemar bahagian kerak piza yang cenderung mempunyai tekstur yang lebih keras dan tidak berinti.
Walau bagaimanapun, sebuah rangkaian restoran terkenal di Thailand yang menjual piza, The Pizza Company 1112 ini nampaknya berfikir di luar kotak apabila mereka menghasilkan piza tanpa bahagian tengah dan hanya 100% bahagian kerak piza sahaja!

Wah, ini memang betul pertama kali dalam sejarah!
Piza yang dinamakan double cheeseburger crusts ini bagaimanapun bukanlah hanya kerak roti piza yang kosong semata-mata seperti kebanyakan piza yang lain. Tetapi yang istimewanya, piza yang diperkenalkan ini mempunyai inti burger keju bersaiz mini yang ‘disembunyikan’ di dalam kerak piza yang disambung-sambung bagi membentuk sebuah bulatan.
Secara khususnya, piza ini mempunyai sebanyak 12 biji burger keju mini yang disembunyikan di dalamnya dan idea ini sememangnya idea bernas untuk santapan seisi keluarga!

Tambahan pula, dengan setiap pembelian piza ini, pelanggan akan turut dihidangkan dengan sos tomato biji sawi dan sos tomato sebagai pencelup.
Dengar sahaja sudah boleh terliur dibuatnya!
Bukan itu sahaja, satu set hidangan ini hanya dijual pada tanda harga 189 baht sahaja atau di dalam tukaran mata wang tempatan, satu set piza yang unik ini hanya bernilai RM26 sahaja. Memang berbaloi betul untuk ciptaan piza yang lain dari yang lain ini!
Kami yakin, dengan keluaran piza sebegini, pasti ramai pelanggan yang mahu mencubanya!