Seorang lelaki warga emas dari Sebuyau, Sarawak dilaporkan tidur di kaki lima di Kuching semata-mata ingin menunggu wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Bantuan wang tunai itu disampaikan oleh pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri memandangkan lelaki berkenaan tidak mempunyai akaun bank.
Keadaan itu membuatkan lelaki terbabit meninggalkan Sebayau untuk ke Kuching, berbekalkan sedikit wang. Dia juga tidak mampu membayar penginapan sementara menunggu bantuan BPN diproses.
Menurut sumber, lelaki berusia 73 tahun bernama Akau Rabi tersebut menempuh sejauh 110 kilometer dari kampungnya untuk ke Kuching.
Tidak membawa wang yang banyak, Akau kemudian mengupah ‘van sapu’ sebanyak RM40 untuk menghantarnya di lokasi berkenaan.
Akau nekad untuk ke pejabat LHDN memandangkan dia tidak memiliki akaun bank meskipun dia sendiri tidak pasti bilakah wang bantuan itu akan diagihkan.
Menurut Akau, orang di kampungnya ada memberitahu bahawa wang BPN boleh diambil pada penghujung bulan Januari.
Namun oleh kerana tiada maklumat tepat mengenai tarikh sebenar pengagihan itu, maka Akau mengambil keputusan untuk tidur di kaki lima selama 5 hari.
“Dengan wang tunai yang sedikit, agak sukar untuk saya kerana saya tidak mampu membelanjakannya hari-hari untuk pengangkutan dari Sebuyau ke Kuching”.
Akau juga tidak boleh pulang ke rumah kerana masih belum lagi menerima wang bantuan. “Pilihan yang saya ada hanyalah untuk tidur di kaki lima”.
Sehubungan dengan itu, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi kemudiannya membangkitkan isu mengenai prosedur pengagihan bantuan yang memudahkan penduduk luar bandar.
“Di kampungnya tiada ATM. Dia kena ambil sendiri di Pejabat LHDN Kuching. Bayangkan dengan usia lanjut dia tidur di tepi jalan”.
“Makan minum tidak menentu kerana wang saku yang sedikit. Berbaloi ke dia datang ke Kuching? Buatlah sesuatu. Permudahkan rakyat. Jangan banyak syarat”, tulisnya di Facebook.
Benarlah, kisah sebegini hanya diketahui setelah tular di media sosial sahaja. Diharapkan agar perkara ini mendapat perhatian kerajaan sewajarnya.