27.7 C
Kuala Lumpur
Friday, July 25, 2025
Utama Blog Laman 395

Sayang mahu buang, wanita ini kongsi hasil transformasi kerusi usang hingga tampak seperti baharu

0

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat banyak aktiviti yang kita boleh lakukan di rumah. Misalnya, mencantikkan rumah.

Itulah yang dilakukan oleh seorang wanita yang berkongsi hasil kerjanya di laman Facebook menerusi nama akaun Nur Azwani.

Menurut perkongsiannya, Azwani telah mengubahsuai sepenuhnya kerusi lama dan usang menjadi kerusi ‘baharu’!

“Ini hasil PKP minggu lepas. Suami cakap buang sahajalah. Saya cakap boleh guna lagi”, tulisnya di laman Tukang Apa Hari Ini.

Nur Azwani/Facebook

Oleh kerana sayang terhadap kerusi yang dirasa boleh ‘diselamatkan’ itu, maka Azwani mengambil keputusan untuk mengubahsuainya sendiri.

Ya, semua dilakukan sendiri oleh wanita hebat tersebut. Di bawah ini foto sebelum kerusi itu..

Nur Azwani/Facebook

Dan ini pula kerusi itu yang telah diberi nafas baru. Cantik bukan? Macam tidak percaya kerusi seusang itu masih boleh diselamatkan.

Nur Azwani/Facebook

Ramai pengguna lain memuji tindakan Azwani dan mengatakan bahawa kebiasaannya, para isteri akan buang sahaja barangan jika diarahkan suami.

Ia bertentangan dengan Azwani yang mencari jalan untuk memperbaiki dan mentransformasikan barangan yang sudah usang hingga kelihatan sebegini.

Nur Azwani/Facebook

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. PKP ternyata memberi masa untuk kita mencari idea untuk berinovasi dan melakukan sesuatu yang baru bukan?

Jiran tergamak abai anjing hingga mati, lelaki penyayang ini ambil tanggungjawab untuk menguburkannya

0

Membela haiwan peliharaan bukanlah tiket untuk kita berseronok sahaja, ia sebaliknya memerlukan pengorbanan, masa, kasih sayang dan dedikasi yang tinggi.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, seorang pengguna bernama Angel Teng berkongsi kisah pilu tentang seekor anjing milik jirannya.

“Jiran saya ada membela seekor anjing. Waktu pertama kami melihatnya, anjing itu lari ke rumah kami dan meminta makanan. Kami kemudian memulangkan semula anjing itu ke rumah jiran”.

Jiran Angel kemudiannya difahamkan telah mengikat anjing itu. “Anjing itu akan menangis pada setiap hari’, tulis Angel.

Beberapa bulan selepas itu, anjing terbabit dilihat kerap datang ke rumahnya – sama ada untuk bermain mahupun untuk meminta makan. “Tetapi semalam anjing itu tidak datang langsung”.

“Anjing itu tidak datang mencari kami semalam dan kami tidak melihatnya pada pagi ini. Bapa saudara saya kemudiannya mencari dan mendapati anjing itu telah mati”.

Angel Teng/Facebook

Rupanya, anjing tersebut telah dibuli dan diserang oleh anjing yang lebih besar daripadanya. Bapa saudara Angel kemudian memberitahu jiran mereka bahawa anjingnya itu sudah mati.

Malah mereka turut mengetahui bahawa jiran tersebut sebenarnya sudah lama membiarkan sahaja anjing malang itu di padang dan terus mengabaikannya.

“Kenapa kamu buang anjing kamu di padang? Jika kamu tidak mahu bertanggungjawab, saya akan ambil dan menguburnya”, kata bapa saudara Angel. Jirannya itu kemudian menjawab, “Jika kamu mahu, ambillah!”.

Angel Teng/Facebook

Bapa saudara Angel kemudian menggali lubang di belakang rumah mereka dan meletakkan anjing itu di dalamnya. Lelaki itu juga membuang kolar anjing itu dan berulang kali mengusap kepala anjing tersebut.

Angel Teng/Facebook

Menurut Angel, kedengaran juga bapa saudaranya membisikkan pada anjing bahawa dia (anjing) perlu ‘pergi’ dengan tenang.

Angel Teng/Facebook

Situasi itu membuatkan Angel berasa terpanggil untuk mengingatkan pemilik haiwan peliharaan untuk menjaga mereka sebaik mungkin.

“Kamu perlu melayannya dengan baik, jaga mereka sebaik mungkin. Jangan berlaku kejam dan berfikir bahawa cukup sekadar bagi makan sahaja. Haiwan tahu apa yang berlaku sebenarnya..”.

“Jika kamu dengan mudah mengabaikan mereka, jadi kenapa pilih untuk membela mereka pada awalnya?”. Benar kata Angel, sayangilah haiwan peliharaan masing-masing ya!

Kesanggupan ‘rider’ Foodpanda dayung perahu, hantar makanan kepada pemancing buat warganet kagum

0

Penghantar makanan merupakan satu profesion yang agak penting buat masa ini. Tatkala pandemik masih lagi bermaharajalela, servis ini dilihat mampu menggerakkan ekonomi khasnya dalam industri makanan dan minuman.

Aspek permintaan juga membuatkan perkhidmatan sebegini makin rancak ditawarkan. Orang ramai berasa lebih mudah dengan hanya memesan sahaja makanan.

Maka kita lihat lebih banyak medium yang digunakan penghantar makanan – paling biasa menaiki motosikal, ada yang berjalan kaki, menaiki basikal dan juga perahu!

Pradit Saengdee/Facebook

Itulah yang berlaku di Thailand baru-baru ini seperti yang tular di Facebook, di mana penghantar makanan Foodpanda membuat penghantaran dengan menaiki perahu.

Situasi itu sebenarnya dikongsikan oleh seorang pengguna, Pradit Saengdee yang juga merupakan penghantar makanan yang dimaksudkan.

Pradit Saengdee/Facebook

“Kini Foodpanda mempunyai perkhidmatan penghantaran menerusi laluan air”, tulis kapsyen pada perkongsian tersebut.

Berdasarkan foto-foto yang dikongsikannya, jelas kelihatan Pradit memakai helmet ketika mengendalikan perahunya.

Pradit Saengdee/Facebook

Difahamkan bahawa pesanan makanan berkenaan dibuat oleh beberapa pelanggan yang sedang memancing. Sibuk memancing, lapar pula. Jadi mereka pun pesan makanan dengan Foodpanda.

Sebenarnya perahu yang dinaiki Pradit dilengkapi dengan enjin namun ketika menghampiri pelanggan, Pradit mula mematikan enjin lalu mengayuh perahu menggunakan pendayung.

Pradit Saengdee/Facebook

Mungkin tidak mahu aktiviti memancing pelanggannya itu terganggu barangkali. Kesanggupannya dalam berkhidmat untuk masyarakat tidak kira situasi benar-benar mengagumkan.

Syabas Pradit!

Berbekalkan RM7.90, lelaki ini kongsi cara berkesan bunuh semua lipas dalam kereta

0

Antara serangga perosak yang paling dibenci rata-rata daripada kita adalah lipas. Kotor, berbau busuk malah ia boleh terbang membuatkan kita cukup benci makhluk kecil ini.

Tidak kira di rumah atau di mana-mana sahaja, lipas sering kali ada. Di dalam kereta misalnya, turut ada lipas kecil yang bermaharajalela. Kita saja yang tidak menyedarinya.

Khushairi Borhanudin/Facebook

Apatah lagi jika sisa makanan kanak-kanak di dalam kereta tidak dibersihkan. Pasti kawanan lipas di dalam itu seronok.

Oleh kerana itu, seorang pengguna Facebook, Khushairi Borhanudin berkongsi cara yang digunakannya untuk ‘melenyapkan’ lipas-lipas kecil di dalam kereta.

“Kereta ada anak kecil macam ini la, Kinderjoy la, ‘cikedis’ la, ais krim tumpahlah. Semua diadun sebati atas seat dan lantai kereta”, tulisnya.

Keadaan itulah yang membuatkan lipas datang ke dalam kereta serta beranak pinak di dalamnya. Maka dengan itu, dia muncul dengan satu penyelesaian.

“Saya beli Fumakilla Vape ni di Speedmart. RM7.90 lebih kurang. Sembur dua tiga kali bawah seat kereta. Buat waktu malam sebelum tidur”, tambahnya lagi.

Khushairi Borhanudin/Facebook

Kemudian pada keesokan paginya, akan ada bangkai-bangkai lipas kecil ini di dalam kereta. “Puas hati kutip seekor-seekor”.

Meninjau di ruangan komen, ternyata ramai juga pengguna lain yang turut berkongsi keberkesanannya, antaranya :

Khushairi Borhanudin/Facebook
Khushairi Borhanudin/Facebook
Khushairi Borhanudin/Facebook

Jadi, buat mereka yang mengalami masalah yang sama, bolehlah cari Fumakilla Vape di kedai selepas ini, bukan?

MDKS tawar RM3 untuk setiap tikus yang ditangkap, tidak kira hidup atau sudah mati

0

Tiada siapa yang mahu persekitaran kediaman yang kotor dan dipenuhi dengan haiwan perosak seperti tikus. Bukan sahaja merosakkan barangan malah ia juga membawa penyakit.

Pembiakan tikus di kawasan persekitaran tempat tinggal kita seharusnya ditangani bersama, tidak boleh berharap pada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja.

Menyedari akan hakikat itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) baru-baru ini ada mengumumkan bahawa RM3 akan diberikan untuk seekor tikus – tidak kira hidup ataupun mati.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS)/Facebook

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi, MDKS menjelaskan bahawa usaha itu dijalankan bersempena Kempen Kawalan Tikus 2021.

Difahamkan juga bahawa kempen tersebut akan berlangsung hingga 30 November akan datang.

Seperti yang telah dinyatakan tadi, setiap seekor tikus (sama ada hidup ataupun telah mati) bersamaan dengan RM3.

Foto hiasan/Harian Metro

Serahan tikus berkenaan pula boleh dibuat pada setiap hari Isnin dan juga Jumaat.

Penduduk tempatan boleh menyerahkan tikus di Jabatan Kesihatan dan Persekitaran bertempat di No. 19, Jalan Semarak 1/5, 45000 Kuala Selangor.

Bagi sesiapa yang mahukan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS di talian 03-32812235.

Orang-orang di Kuala Selangor apa lagi, ayuh tangkap dan ‘claim’ duit anda. lagi banyak tangkapan, lagi untung! Persekitaran pun jadi lebih bersih.

Barangan tiruan pelbagai jenama dijual secara dalam talian berjaya dirampas KPDNHEP di Kota Kinabalu

0

KOTA KINABALU – Operasi penjualan barangan tiruan pelbagai jenama secara dalam talian berjaya ditumpaskan di bandaraya ini selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah menyerbu sebuah premis dan merampas 2,926 unit barangan tiruan bernilai RM101,860.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sabah, Georgie Abas, berkata tujuh orang yang terlibat dalam penjualan barangan tiruan berkenaan turut ditahan dalam serbuan pada 8 Februari, bagi membantu siasatan.

Menurutnya, sebanyak 2,926 kasut sukan, beg dan jersi yang mempunyai jenama seperti Nike dan Adidas telah dirampas semasa serbuan dilakukan, yang bernilai RM 101,860.

KPDNHEP-Negeri Sabah / Facebook

“Antara barangan yang dirampas ialah kasut jenama Nike pelbagai saiz sebanyak 1,445 kotak, kasut jenama Adidas (370 kotak), baju jersi jenama Adidas dan Nike (871 helai) serta beg jenama Adidas dan Nike (240 unit),” kata Georgie Abas dalam kenyataan pada 9 Februari.

Georgie Abas berkata, serbuan dilakukan susulan risikan selama seminggu di lokasi berkenaan serta pihaknya menjejak barangan itu secara dalam talian di mana ia dijual.

Katanya, stok barangan tiruan iaitu kasut, beg dan pakaian tiruan disimpan di tingkat satu sebuah premis perniagaan yang menjual barangan berjenama.

Menurutnya, barangan tiruan berkenaan tidak dipamerkan di premis kedai tingkat bawah, yang kelihatan mereka menjalankan perniagaan yang sah.

“Siasatan kami mendapati bahawa barang tiruan itu hanya dijual secara dalam talian,” kata Georgie Abas.

KPDNHEP-Negeri Sabah /Facebook

Berdasarkan keterangan pekerja yang bekerja di tingkat bawah, mereka memberitahu kesemua barangan tiruan itu berasal dari pembekal dari Singapura.

“Mereka juga memberitahu kami bahawa mereka baru beroperasi pada bulan Februari dan menggunakan media sosial untuk menjual barangan itu di Kota Kinabalu,” katanya.

Pemilik premis disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah, yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 untuk setiap barang, atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

SKMM beri J&T amaran susulan video tular pekerja campak bungkusan pelanggan

0

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil serius akan video dan foto tular menunjukkan pekerja syarikat kurier membaling barangan pelanggan baru-baru ini.

SKMM dalam pada itu turut meminta agar syarikat berkenaan menjelaskan insiden tersebut. Dalam kenyataannya, SKMM walau bagaimanapun tidak menamakan syarikat yang dimaksudkan.

SKMM

Menurut SKMM, syarikat kurier yang gagal melindungi hak pengguna bakal dikenakan hukuman denda dan penjara.

Sungguhpun begitu, syarikat kurier J&T pada 7 Februari lalu ada mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Menurut J&T, video yang tular itu disebabkan oleh salah faham antara pekerja syarikatnya mengenai bonus tahunan.

Syarikat tersebut juga turut memberi jaminan pampasan untuk bungkusan yang rosak kepada para pelanggannya.

“Semua kurier yang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 untuk patuh akan syarat peraturan yang ditetapkan dalam melindungi hak pengguna”.

Jika pemegang lesen ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari, mereka akan didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Twitter

Dalam pada itu, SKMM juga turut meminta agar pengguna mengetahui dan memahami kontrak sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penghantaran.

“Pengguna perlu menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran”. 

Jika tidak berpuas hati, pengguna boleh membuat aduan kepada SKMM menerusi portal berserta maklumat agar tindakan susulan boleh dibuat.

“Tak perlu rasa malu,” Lelaki berjiwa murni ini beli 100 bungkus tuala wanita untuk diagihkan kepada yang memerlukan

0

Tiada apa yang perlu dimalukan oleh seorang lelaki ketika membeli tuala wanita sama ada dalam kuantiti kecil atau secara pukal kerana kaum wanita memahami niat dan hasrat murni anda bagi tujuan membantu.

Seperti lelaki dari Pulau Pinang ini membuat keputusan untuk membeli 100 bungkus tuala wanita demi tujuan membantu wanita yang memerlukan, di samping bagi memberi kesedaran bahawa kaum lelaki juga boleh membantu kaum wanita untuk membelikan barangan keperluan yang wajib ini.

Pada 5 Februari, Mohamad Farid @adek_farid, 32 tahun memuat naik gambar dirinya di Twitter yang sedang berada di sebuah pasaraya dengan sebuah troli dipenuhi berbungkus-bungkus tuala wanita pakai buang.

@adek_farid/Twitter

“Ok selesai. Pengalaman buat pertama kalinya dalam hidup saya. Pada mulanya rasa malu yang amat, tetapi saya agak berani diri juga, ” kapsyen bersama gambar itu.

“Demi membantu wanita di luar sana dalam musim PKP,” jelas Mohamad Farid.

Pengasas Pertubuhan Ziarah Amal Kampung To Kampung (K2K) ini berkata beliau membeli tuala wanita pakai buang untuk disumbangkan kepada golongan gelandangan, ibu tunggal dan mereka yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Batu Kawan di Pulau Pinang.

Menurutnya, 100 bungkusan tuala wanita itu telah dibeli hasil sumbangan dan kutipan dana orang ramai juga penderma untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukannya pada 7 Februari.

“Ini pertama kalinya saya mengambil inisiatif untuk membeli dan menyumbangkan tuala wanita,” katanya kepada Harian Metro.

“Sebelum ini, saya ada melihat beberapa individu melakukan inisiatif ini tetapi mereka terdiri daripada kalangan wanita,” tambahnya.

Twitter

“Jadi, saya mengambil inisiatif sendiri untuk melakukannya kerana saya menyedari bahawa tuala wanita adalah keperluan wajib buat semua wanita,” kata Mohamad Farid.

Mohamad Farid menambah bahawa itu adalah pengalaman pertamanya membeli tuala wanita dan tipulah sekiranya dia berkata yang dia tidak berasa malu.

“Terutama kerana saya membelinya dalam kuantiti besar, beberapa individu kelihatan menjenguk hairan ketika saya berada di premis itu,” katanya.

“Namun, niat saya yang sebenar adalah untuk membantu wanita yang memerlukan, terutama dalam tempoh PKP, jadi saya mengetepikan rasa malu itu. Proses pembelian itu mudah kerana saya dibantu oleh rakan wanita yang pergi membeli-belah bersama saya,” jelasnya.

Twitter

Mohamad Farid menambah beliau berhasrat untuk meneruskan inisiatif ini di masa hadapan dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada individu lain di luar sana, terutama kaum lelaki.

“Saya percaya banyak NGO di luar sana yang secara aktif mengumpul dana dan menyampaikan sumbangan, jadi tuala wanita boleh menjadi salah satu barang keperluan penting untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan sebagai tambahan kepada keperluan asas,” katanya.

Syabas kepada Mohamad Farid atas sikap prihatin dan kemurahan hatinya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Pemilik kereta tayar ‘kangkang’ di Malaysia akan berhadapan denda RM2,000 atau penjara 6 bulan jika sabit kesalahan – PDRM

0

Pemilik kenderaan yang menggunakan tayar dengan rim terkeluar dari badan kereta atau ‘hellaflush’ boleh berhadapan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.

Menerusi laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak mereka menjelaskan trend mengubah suai kereta dengan tayar kangkang atau ‘hellaflush’ kini semakin giat menjadi ikutan oleh segelintir pemilik kenderaan, dan ia merupakan satu kesalahan trafik yang serius.

Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police )/ Facebook

Jelas PDRM, pengubahsuaian itu boleh mengakibatkan sistem pemanduan terjejas disebabkan sistem jalinan keselamatan mengalami kegagalan selain brek tidak dapat berfungsi dengan cekap, yang mampu merisikokan nyawa pemandu serta pengguna jalan raya lain.

Tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya pemilik kenderaan masih berdegil menggunakan tayar kangkang.

Oleh kerana bimbang semakin ramai pengguna yang mengubahsuai kereta mereka seperti itu, PDRM akan mengambil tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang menggunakannya di atas jalan raya.

Gaya pengubahsuaian tayar itu semakin berkembang pesat dan menjadi trend ekoran ia berasal dari kejohanan kereta ‘drift’, yang diadakan di gelanggang atau litar yang khas. 

Sekadar Gambar Hiasan / Unsplash

Pemilik kenderaan akan memodifikasi tayar menjadi lebih rendah dan lebar terkeluar, yang dikenali ‘hellaflush’.

Oleh kerana di Malaysia juga terdapat pemilik kenderaan yang kurang arif atau berpura-pura tidak tahu dengan peruntukan undang-undang lalulintas dan trafik di Malaysia, ada antara mereka telah mengubahsuai kenderaan secara ekstrim dengan pilihan tayar kangkang ke atas kereta mereka.

Sekadar Gambar Hiasan / Unsplash

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 6, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan  170/59 , iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi daripada enam bulan.

Kehilangan tuan akibat kemalangan, kedua-dua anjing ini akhirnya gembira semula walaupun terpaksa berpisah seketika kerana kecederaan

0

Bukan mudah untuk berhadapan dengan kematian mereka yang tersayang lebih-lebih ahli keluarga sendiri. Kesedihan itulah yang dihadapi oleh dua ekor anjing ini, Tonka dan Little P apabila mereka kehilangan tuan mereka buat selamanya.

Namun kesakitan mereka pastinya lebih memeritkan apabila mereka berdua terlibat dalam kemalangan yang sama sehingga mengorbankan tuan mereka, Kris Busching.

The Dodo/Facebook

Semuanya berlaku apabila mereka bertiga dikatakan terjatuh dari tebing ketika mereka sedang mendaki. Mereka berdua dikatakan setia di sisi mayat tuannya sehinggalah ada yang menemukan mereka.

The Dodo/Facebook

Kedua-dua anjing itu kemudian dibawa ke hospital. Tonka mengalami patah pada kedua-dua kaki hadapannya menyebabkan dia tidak boleh berjalan. Keadaan tersebut membuatkan P seolah-olah risau. Dia sepertinya tahu ada perkara buruk yang menimpa abangnya.

The Dodo/Facebook

Memandangkan Tonka mengalami kecederaan dan tidak boleh bermain mereka berdua terpaksa dipisahkan buat sementara waktu. Tonka kemudian dibawa ke rumah keluarga angkat baru.

The Dodo/Facebook

Keadaan ini sangat sukar bagi Tonka dan P. Mereka bukan sahaja terpaksa terpisah seketika tetapi mereka perlu menyesuaikan diri selepas Kris meninggal dunia memandangkan mereka sudah hidup bersama selama bertahun-tahun lamanya.

The Dodo/Facebook

Tidak lama kemudian mereka ditemukan semula di rumah keluarga angkat yang sama dan sejak itu mereka tinggal bersama dengan pasangan Brandon dan Heilea. Hari itu adalah hari yang paling penting buat mereka sekeluarga kerana Tonka dan P akhirnya disatukan semula dan mendapatkan keluarga baru.

The Dodo/Facebook

Heilea kemudian menceritakan pengalamannya menjaga Tonka dan P. Menurutnya kedua-dua beradik itu sangat suka berpelukan menunjukkan mereka sangat gembira kerana dapat tinggal bersama semula.

The Dodo/Facebook

Walau bagaimanapun, kadangkala mereka kelihatan seperti merindukan Kris. Tonka akan mula menyalak dan kemudian disertai oleh adiknya.

The Dodo/Facebook
The Dodo/Facebook
The Dodo/Facebook

Hari-hari mereka yang seterusnya sangat mengembirakan. Setelah pelbagai pengalaman pahit yang dilalui Tonka dan Little P akhirnya menemukan kebahagiaan mereka semula.