Penghantar makanan merupakan satu profesion yang agak penting buat masa ini. Tatkala pandemik masih lagi bermaharajalela, servis ini dilihat mampu menggerakkan ekonomi khasnya dalam industri makanan dan minuman.
Aspek permintaan juga membuatkan perkhidmatan sebegini makin rancak ditawarkan. Orang ramai berasa lebih mudah dengan hanya memesan sahaja makanan.
Maka kita lihat lebih banyak medium yang digunakan penghantar makanan – paling biasa menaiki motosikal, ada yang berjalan kaki, menaiki basikal dan juga perahu!
Itulah yang berlaku di Thailand baru-baru ini seperti yang tular di Facebook, di mana penghantar makanan Foodpanda membuat penghantaran dengan menaiki perahu.
Situasi itu sebenarnya dikongsikan oleh seorang pengguna, Pradit Saengdee yang juga merupakan penghantar makanan yang dimaksudkan.
“Kini Foodpanda mempunyai perkhidmatan penghantaran menerusi laluan air”, tulis kapsyen pada perkongsian tersebut.
Berdasarkan foto-foto yang dikongsikannya, jelas kelihatan Pradit memakai helmet ketika mengendalikan perahunya.
Difahamkan bahawa pesanan makanan berkenaan dibuat oleh beberapa pelanggan yang sedang memancing. Sibuk memancing, lapar pula. Jadi mereka pun pesan makanan dengan Foodpanda.
Sebenarnya perahu yang dinaiki Pradit dilengkapi dengan enjin namun ketika menghampiri pelanggan, Pradit mula mematikan enjin lalu mengayuh perahu menggunakan pendayung.
Mungkin tidak mahu aktiviti memancing pelanggannya itu terganggu barangkali. Kesanggupannya dalam berkhidmat untuk masyarakat tidak kira situasi benar-benar mengagumkan.
Syabas Pradit!