Membela haiwan peliharaan bukanlah tiket untuk kita berseronok sahaja, ia sebaliknya memerlukan pengorbanan, masa, kasih sayang dan dedikasi yang tinggi.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, seorang pengguna bernama Angel Teng berkongsi kisah pilu tentang seekor anjing milik jirannya.
“Jiran saya ada membela seekor anjing. Waktu pertama kami melihatnya, anjing itu lari ke rumah kami dan meminta makanan. Kami kemudian memulangkan semula anjing itu ke rumah jiran”.
Jiran Angel kemudiannya difahamkan telah mengikat anjing itu. “Anjing itu akan menangis pada setiap hari’, tulis Angel.
Beberapa bulan selepas itu, anjing terbabit dilihat kerap datang ke rumahnya – sama ada untuk bermain mahupun untuk meminta makan. “Tetapi semalam anjing itu tidak datang langsung”.
“Anjing itu tidak datang mencari kami semalam dan kami tidak melihatnya pada pagi ini. Bapa saudara saya kemudiannya mencari dan mendapati anjing itu telah mati”.

Rupanya, anjing tersebut telah dibuli dan diserang oleh anjing yang lebih besar daripadanya. Bapa saudara Angel kemudian memberitahu jiran mereka bahawa anjingnya itu sudah mati.
Malah mereka turut mengetahui bahawa jiran tersebut sebenarnya sudah lama membiarkan sahaja anjing malang itu di padang dan terus mengabaikannya.
“Kenapa kamu buang anjing kamu di padang? Jika kamu tidak mahu bertanggungjawab, saya akan ambil dan menguburnya”, kata bapa saudara Angel. Jirannya itu kemudian menjawab, “Jika kamu mahu, ambillah!”.

Bapa saudara Angel kemudian menggali lubang di belakang rumah mereka dan meletakkan anjing itu di dalamnya. Lelaki itu juga membuang kolar anjing itu dan berulang kali mengusap kepala anjing tersebut.

Menurut Angel, kedengaran juga bapa saudaranya membisikkan pada anjing bahawa dia (anjing) perlu ‘pergi’ dengan tenang.

Situasi itu membuatkan Angel berasa terpanggil untuk mengingatkan pemilik haiwan peliharaan untuk menjaga mereka sebaik mungkin.
“Kamu perlu melayannya dengan baik, jaga mereka sebaik mungkin. Jangan berlaku kejam dan berfikir bahawa cukup sekadar bagi makan sahaja. Haiwan tahu apa yang berlaku sebenarnya..”.
“Jika kamu dengan mudah mengabaikan mereka, jadi kenapa pilih untuk membela mereka pada awalnya?”. Benar kata Angel, sayangilah haiwan peliharaan masing-masing ya!