Hendak dikatakan Malaysia sedang bergerak menuju negara maju, tetapi masalah air terdengar berada di mana-mana yang ternampak seperti agak sukar untuk diselesaikan. Negara dengan kadar taburan hujan yang banyak di sepanjang tahun, tetapi ramai penduduk sering mengadu rumah mereka selalu ketiadaan air.
Bagi mereka yang tidak pernah mengalami mungkin tidak dapat merasakan kesengsaraannya, rumah tiada bekalan air selama berhari-hari dan berminggu-minggu. Lebih menyakitkan hati apabila masalah berlarutan selama berbulan-bulan dan bil pula dikenakan surcaj walaupun tiada air yang sempurna telah dibekalkan.
Seperti dalam satu insiden kekecohan yang berlaku di Sabah baru-baru ini. Tular menerusi satu rakaman siaran langsung di media sosial berkenaan masalah gangguan bekalan air yang berlaku di University Utama Condominium (UUC) Telipok, Sabah.
Rakaman dalam Facebook itu memaparkan seorang wanita telah datang ke pejabat pengurusan UUC berkenaan dan meminta penjelasan bagaimana meter kediaman mereka dibaca memandangkan tiada bekalan air sempurna yang diterima selama berbulan-bulan.
Wanita ini datang dalam keadaan marah, sedih dan hampa di hadapan kaunter pejabat pengurusan kerana terpaksa membayar bil air walaupun rumahnya tiada bekalan air.
Wanita dikenali sebagai Ruby RJ itu menjelaskan mengapa bayaran terpaksa ditanggung penduduk UUC pada kadar yang tinggi sedangkan air yang mereka terima hanya beberapa minit atau jam dalam masa sehari.
Dalam video berkenaan, pihak pengurusan cuba menjelaskan mengapa bayaran dikenakan, di mana penjelasan itu agak tidak masuk akal pada pandangan wanita ini kerana kata petugas berkenaan walaupun tiada air, meter akan tetap bergerak.
Turut menjadi misteri ialah apabila terdapat surcaj dikenakan kepada pengguna, yang tidak dapat dijelaskan oleh pihak pengurusan UUC, sehingga membuatkan wanita ini menjerit-jerit di hadapan kaunter kerana terpaksa membazirkan wang titik peluh sendiri untuk perkara yang tidak patut dibayar.
Wanita ini juga menunjukkan bukti bahawa pihak pengurusan UUC hanya membuka atau menyalurkan air ke kediaman penduduk dalam masa 40 minit pada jam 10 malam.
Dan masalah itu menurutnya telah berlarutan sejak 6 bulan yang lalu. Keadaan semakin menjadi mendesak dan menimbulkan kemarahan penduduk apabila air yang dibekalkan semakin berkurangan dan pihak pengurusan hanya menyediakan lori yang membawa tangki air di tempat letak kereta.
Katanya, lebih menyedihkan terdapat penghuni yang sedang mengandung terpaksa mengambil air di tempat letak kereta dan mengangkut air tersebut ke tingkat atas kediaman.
Rakaman video siaran langsung tersebut turut menunjukkan petugas dalam pejabat pengurusan UUC berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa dan tertunduk diam ketika mendengar wanita ini menyatakan keluhannya dalam keadaan marah dan menangis kerana tahap kesabarannya bersama penghuni lain telah tidak dapat dipendam lagi.
Tonton video di sini.