26.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 11, 2025
Utama Blog Laman 17

Murid sekolah rendah di Sandakan maut dalam kes keracunan makanan terbaru

0

SANDAKAN: Seorang murid Tahun 4 di sebuah sekolah rendah di Sandakan, Sabah, meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan pada 25 Julai lalu, yang terbaru dalam siri kes keracunan makanan di seluruh negara.

Mohd Mifzal Anaqi Rizal, 10, pelajar di Sekolah Kebangsaan Taman Rimba Sandakan juga pelatih bola sepak di bawah akademi bola sepak sekolah berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook rasmi mereka, akademi itu berkata Mohd Mifzal, yang pernah mewakili akademi itu dalam kategori bawah 10 tahun, meninggal dunia di rumahnya.

Gambar Daily Express

Sementara itu, ADUN Sekong Alias ​​Sani berkata beliau akan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sama ada kematian Mifzal disebabkan makanan yang tercemar atau kekurangan air bersih di Sandakan.

Dalam perkembangan terbaru, Daily Express melaporkan kematian Mohd Mifzal akibat keracunan makanan telah disahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, bagaimanapun ia berpunca daripada makanan yang dibeli oleh bapanya, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Asits Sanna pada Ahad, 28 Julai.

Jelasnya, keracunan makanan Mohd Mifzal bukan disebabkan makanan dari sekolahnya, kerana ibunya turut mengalami simptom yang sama.

Siri kes keracunan makanan di seluruh negara hangat diperkatakan baru-baru ini.

Gambar Hiasan

Ini termasuk satu kes di Gombak, Selangor, yang membawa kepada kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Kes itu menyaksikan 82 orang, termasuk dua yang maut, mengalami keracunan makanan daripada makanan yang disediakan pada satu majlis di sebuah sekolah di Gombak.

Kejadian sama dilaporkan bulan lalu membabitkan 90 pelajar dan sembilan kakitangan sekolah di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor serta 91 pelajar di sebuah sekolah rendah di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah beberapa hari lalu.

Awal bulan ini, 28 pelajar SM Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di George Town, Pulau Pinang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat keracunan makanan selepas mereka memakan hidangan ayam tandoori di sekolah mereka.

Olimpik Paris: Tang Jie-Ee Wei kejutkan pasangan No 2 dunia

0

PARIS: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar satu lagi kejutan buat Malaysia apabila berjaya menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping untuk mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selaku juara Kumpulan D, dalam perlawanan pagi tadi, waktu tempatan.

Pertarungan selama 70 minit di Porte de La Chapelle Arena itu menyaksikan beregu campuran negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu meraih kemenangan menakjubkan 17-21, 21-15, 21-16.

Gambar OCM

Setelah tewas di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bangkit menggegar venue pertandingan yang dibanjiri kira-kira 8,000 penonton seawal 8.30 pagi waktu tempatan, dengan mempamerkan permainan terbaik mereka untuk mendominasi dua set berikutnya.

Berdasarkan format perlawanan, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan berdepan naib juara kumpulan dan hanya akan diketahui dalam undian esok, selepas semua aksi peringkat kumpulan acara beregu selesai.

Naib juara Terbuka Switzerland dan Thailand Masters itu memulakan kempen pada Sabtu dengan menewaskan pasangan Singapura Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12, sebelum meraih kemenangan kedua mengatasi wakil Amerika Syarikat Vinson Chiu-Jennie Gai 21-15, 24-22.

Gambar Reuters

Mengenai kemenangan hari ini, Ee Wei berkata keberanian mereka untuk melawan secara berhabis-habisan menentang Yan Zhe-Dong Ping tanpa mempedulikan status juara bertahan seteru mereka itu, berjaya mengubah keputusan ‘atas kertas’.

“Sebagai juara bertahan, permainan mereka sangat baik dan menyukarkan kami. Tapi kunci kejayaan kami adalah percaya satu sama lain dan komunikasi yang baik dalam gelanggang, kita tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Ee Wei.

“Mereka beregu utama dunia dan mempunyai kualiti permainan sangat bagus. Tapi kali hari ini, kita tidak terlalu ikutkan perasaan apabila ketinggalan seperti dulu, kita lawan balik dengan mereka,” tambahnya.

Dong Ping merangkul pingat emas di Tokyo 2020 bersama gandingannya ketika itu Wang Yi Lyu, yang mengumumkan persaraan tahun lalu kerana kecederaan.

Sementara itu, Tang Jie berkata mereka tidak mahu terlalu teruja dengan kemenangan hari ini tetapi mahu meneruskan momentum kemenangan mereka di peringkat suku akhir kelak.

“Pada perlawanan hari ini, kita cuba cari bagaimana cara untuk mengatasi kehebatan mereka, dan strategi kita berjalan lancar hingga menang. Kita akan gunakan sehari rehat esok untuk pemulihan dan mempersiapkan diri untuk perlawanan suku akhir nanti,” katanya.

Penganjur Olimpik Paris mohon maaf atas sebarang kelemahan upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024

0

Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 pada 28 Julai berkata pihaknya “amat menyesali” atas sebarang kelemahan yang berlaku semasa upacara pembukaan temasya sukan berprestij tersebut sambil menafikan sebarang niat untuk “tidak menghormati” mana-mana agama selepas menerima aduan daripada kumpulan agama di Perancis dan beberapa negara lain.

Beberapa kumpulan Katolik dan biskop di Perancis telah mengkritik dengan apa yang mereka lihat sebagai “adegan yang mencemuh dan mengejek agama Kristian” dalam persembahan pada 26 Julai yang dikoreografi oleh pengarah kreatif Thomas Jolly.

Gambar CBS

Kontroversi dan kecaman tertumpu kepada persembahan yang melibatkan para penari dan seorang DJ yang seolah-olah memaparkan adegan “The Last Supper”. 

“Jelas sekali tidak ada niat untuk menunjukkan rasa tidak hormat terhadap mana-mana kumpulan agama,” kata jurucakap Sukan Olimpik Paris 2024 Anne Descamps kepada para wartawan dalam kenyataannya.

“Sekiranya terdapat sebarang kesalahan dan kelemahan, kami sudah tentu benar-benar menyesalinya,” tambah beliau.

Gambar CBS

Sementara itu, Thomas Jolly menafikan mengambil inspirasi daripada “The Last Supper” untuk upacara perasmian selama hampir empat jam itu, yang berlangsung dalam hujan lebat di Sungai Seine.

Adegan itu, bertujuan untuk menggalakkan sikap toleransi terhadap identiti seksual dan jantina yang berbeza, yang turut menampilkan pelakon Perancis Philippe Katerine.

“Ideanya adalah untuk mengadakan pesta besar-besaran yang dikaitkan dengan dewa-dewa Olympus,” kata Jolly.

Video rasmi upacara pembukaan Paris 2024 telah pun dipadam dari akaun Olympics kerana menerima terlalu banyak komen negatif.

Memetik Dailymail UK, para pengguna media sosial dilihat berkongsi tangkap skrin yang menunjukkan video tersebut juga telah dipadam di semua akaun media sosial Olympics.

Bukan setakat itu, tayangan persembahan pembukaan itu juga tidak lagi kelihatan di saluran YouTube Olympics meskipun terdapat liputan tentang sukan sebelum dan selepas upacara pembukaan.

Tangkap Skrin YouTube

Ramai yang menyelar gimik pembukaan yang memaparkan persembahan Drag Queen iaitu lelaki berpakain wanita yang kononnya ingin mengetengahkan nilai-nilai Perancis tentang kebebasan, persaudaraan dan kesaksamaan.

Tidak hanya itu, penganut agama Kristian juga turut mengecam penutup persembahan itu yang didakwa mencipta parodi ‘woke’ berhubung lukisan Leonardo da Vinci, “The Last Supper” yang dikaitkan dengan makan malam terakhir Jesus bersama sahabat-sahabatnya.

Malah, ada segelintir individu yang berpendapat video persembahan pembukaan acara terbabit tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.

Selain itu, acara pembukaan terbabit juga digelar sebagai yang terburuk pernah diadakan penganjur Olimpik kerana ia berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

Para penonton mendakwa tidak disediakan tempat duduk berbumbung menyebabkan mereka terpaksa berdiri dalam keadaan basah kuyup.

@runews / X

Pembukaan tirai acara itu juga dicemari oleh beberapa kesilapan, termasuk masalah nama negara tersalah umum dan bendera Olimpik yang secara tidak sengaja dinaikkan secara terbalik.

Dalam kenyataan permohonan maaf pada 28 Julai itu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut memohon maaf kepada Korea Selatan selepas delegasi mereka dilabelkan sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) dalam siaran langsung semasa acara pembukaan temasya sukan itu di Sungai Seine.

Lelaki tidak dikenali minta izin petik daun kari depan rumah pemilik, tinggalkan dahan hampir tiada apa

0

Kadang kala ada manusia tidak memahami maksud pepatah “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa” dan itulah yang terjadi kepada Vicky.

Dalam hantaran Facebook tularnya, Vicky Liang baru-baru ini berkongsi pertemuan mengejutkan dengan seorang lelaki ‘luar biasa’ yang memetik daun kari yang ditanam di luar rumahnya di Klang. 

Secara kebiasaan, Vicky akan membiarkan jiran-jirannya memetik sendiri tangkai daun kari mengikut keperluan masing-masing selepas mendapat kebenaran dan keizinannya.

Facebook

Bagaimanapun, pada malam 24 Julai, Vicky terkejut melihat lelaki itu memetik sedahan besar daun kari dari pokoknya. Untuk menjelaskan apa yang berlaku, lelaki itu telah meminta kebenaran daripada anak lelaki Vicky sebelum dia memetik daun kari berkenaan, tetapi tidak seorang pun yang menjangka lelaki itu tergamak boleh mengambil sebanyak itu.

Apabila Vicky keluar untuk memeriksa pokok karinya, dia terkejut apabila ia hanya tinggal dahan kosong dengan beberapa tangkai dan helai daun kari sahaja yang tinggal.

“Dia ada keberanian datang memberitahu yang dia meninggalkan saya dengan beberapa batang daun kari di atas pokok itu,” kata Vicky dalam hantarannya.

Vicky kemudian meminta lelaki itu membayar RM10 untuk daun kari yang diambilnya, yang mana lelaki itu meminta diskaun RM5 kerana merasakan harganya terlalu mahal.

“Jika anda fikir bayarannya terlalu banyak, jadi jangan datang ke sini lagi lain kali,” kata Vicky.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Menanam daun kari bukan satu proses yang mudah. Menurut Gardener’s Path, ia boleh mengambil masa sehingga 2 tahun sebelum anda boleh mula menuai daunnya, dan berdasarkan pohon kari tanaman Vicky, nampaknya dia telah menghabiskan masa melebihi 2 tahun untuk mendapatkan hasil sebanyak itu.

Vicky berkata lelaki itu pada mulanya berkeras untuk membayar hanya RM5. Dia akhirnya tidak mempunyai pilihan selain membayar jumlah yang Vicky mahukan.

“Dia hanya ada RM10 bersamanya dan dia meminta saya baki lima ringgitnya. Saya memberitahunya daun kari yang diambil terlalu banyak untuk RM5, jadi saya berkeras dan dia membayar saya RM10.”

Vicky berkata dia merasakan lelaki itu dikenakan bayaran yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Kata Vicky, dia pergi ke pasar pada 25 Julai dan bertanyakan harga daun kari, di mana RM10 untuk sekilogram. Katanya lelaki itu telah dikenakan bayaran yang terlalu sedikit.

Rupa-rupanya ia bukan lawatan kejiranan pertama lelaki itu di kawasan perumahan yang didiami Vicky.

Facebook

Semasa berdepan dengannya, Vicky telah meminta lelaki itu supaya pergi sahaja ke rumah lain untuk memetik daun kari, dan lelaki itu memberitahu dengan penuh jujur, “Oh! maksud kamu ke rumah di hujung jalan tu? Saya telah pergi ke sana hari tu..”

Apabila ditanya sama ada lelaki itu mahu meniaga atau mahu menanam daun kari yang diambilnya, Vicky berkata dia tidak pasti tentang perkara itu.

Biasa juga dalam dunia hari ini, ada orang yang tidak faham pun diri mereka agak keterlaluan atau melampau apabila diberi peluang untuk mengambil kesempatan di atas kebaikan hati orang lain.

Pemuda OKU segan hidang kopi sebab penampilannya, pelanggan baik hati beri semangat yakin diri

0

Satu hantaran tular perkongsian Tracy Truong di laman Facebook Hospitality Problems baru-baru ini menyentuh hati ramai apabila memaparkan gambar seorang pemuda OKU yang bekerja di sebuah kedai kopi di Vietnam.

Tracy menulis, “Pemuda ini datang bekerja sebagai pelayan kedai kopi untuk menjana wang bagi rawatan perubatan ibunya. Pada mulanya, dia takut untuk menghidangkan kopi memandangkan dia bimbang dengan penampilannya yang berlainan, tetapi saya memanggilnya dan memberitahunya tidak mengapa. Dia melakukan kerja dengan baik dan terpuji.”

Hospitality Problems / Facebook

“Tiada siapa yang boleh memilih bagaimana datang bentuk kehidupan kita, tetapi kita boleh sentiasa berusaha untuk mengubah nasib hidup kita sendiri,” tulisnya.

Pemuda dalam gambar hantaran di Facebook itu bekerja di CAPA Coffee di Ho Chi Minh City, Vietnam.

CAPA Coffee merupakan kedai kopi pertama di Vietnam yang menjadi model projek, “Small Coffee Beans, Big Dreams”, yang bertujuan untuk memperjuangkan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan mewujudkan persekitaran pekerjaan yang menggalakkan dan diterima masyarakat.

Hospitality Problems / Facebook

Sebahagian daripada keuntungan mereka juga digunakan untuk mengumpul dana bagi menyokong golongan OKU untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Kami berbangga dapat mewujudkan persekitaran kerja yang mesra dan gembira serta sangat dinamik di mana setiap ahli berpeluang untuk menunjukkan kebolehan mereka dengan rasa berkeyakinan. Pasukan kami bekerja tanpa jemu untuk membina kepercayaan dan keyakinan kepada orang kurang upaya, membantu mereka bukan sahaja untuk bekerja dengan cekap tetapi juga untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan memuaskan,” kata hantaran itu.

Hospitality Problems / Facebook

“Kami percaya dengan sokongan dan rasa bersatu hati masyarakat, orang kurang upaya akan berdaya maju dan menemui sinar!” tambahnya.

Syukur kerana Malaysia sudah lama memperjuangkan nasib golongan OKU dan mereka yang bekerja mendapat layanan dan persekitaran yang baik tanpa banyak diskriminasi.

Keluarga Nur Farah Kartini puas hati proses siasatan, pendakwaan

0

HULU SELANGOR: Keluarga Nur Farah Kartini mengatakan mereka berpuas hati terhadap proses siasatan polis dan pendakwaan di mahkamah setakat ini.

BERNAMA

Dalam satu kenyataan, sepupu kepada Nur Farah Kartini, Suzursofia Smeth Jaya,33, berharap agar pihak pendakwaan akan memberikan pembelaan dan keadilan terhadap Allahyarham Nur Farah.

“Setakat ini, semua positif dan kita tunggu untuk sebutan kes seterusnya.”

“Keluarga kami akan hadir untuk sebutan pada 30 Ogos ini. Sama-sama kita berdoa untuk Allahyarham,” Katanya.

Suzursofia bersama dua orang ahli keluarga Nur Farah Kartini datang dari Miri, Sarawak untuk mengikuti prosiding pendakwaan tertuduh terhadap mangsa.

Turut hadir pada prosiding itu ialah keluarga tertuduh termasuk ayah, adik-beradik dan rakan-rakannya.

Terdahulu, Bernama melaporkan tertuduh Lans Koperal Muhammad Alif Monjani,26, didakwa atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini,25.

BERNAMA

Tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna hitam tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada pukul 9.05 pagi diiringi anggota polis.

Sebelum prosiding bermula, seorang anggota polis mengingatkan agar ahli keluarga Muhammad Alif dan Nur Farah Kartini mengawal emosi semasa prosiding kes berlangsung.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sakit kesalahan.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Hal ini kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya.

“Saya mohon tarikh sebutan seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi,” Katanya pada prosiding yang dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan mangsa serta media.

Muhammad Alif diwakili peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos untuk sebutan semula kes.

Nur Farah Kartini,25, ditemukan pada 15 Julai dalam keadaan sudah meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam setelah dilaporkan hilang pada 10 Julai.

Si kecil beri kejutan lawat ‘Uncle Mamak’ kegemarannya di tempat kerja baru

0

Sebut sahaja kedai mamak, perut memang secara tiba-tiba boleh terasa lapar, maka tidak hairanlah jika ia menjadi lokasi kegemaran rakyat Malaysia.

Budaya menjamu selera di kedai mamak memang tidak dapat dipisahkan apabila kita memperkatakan tentang Malaysia.

Restoran mamak kebiasaannya menjadi pilihan ramai kerana pilihan makanannya yang pelbagai bermula waktu sarapan, makan tengah hari, makan malam hingga ke makan lewat malam, semuanya ada.

TikTok

Bila sudah bertahun-tahun terbiasa makan di kedai mamak, pekerjanya pun mesti sudah kenal dan tahu menu kegemaran kita. Sampai kalau sudah lama tidak berjumpa boleh mengundang rindu.

Bercerita pasal kedai mamak, seorang wanita @moonlightflower7_ berkongsi di TikTok baru-baru ini apabila anak kecilnya akhirnya dapat bertemu semula dengan pekerja kedai mamak kegemarannya setelah lelaki itu berpindah kerja ke cawangan restoran baru.

TikTok

Menerusi video tersebut, wanita berkenaan memberitahu anaknya Luth menjadi agak rapat dengan seorang pekerja di kedai mamak yang sering dikunjunginya.

Difahamkan, mereka sudah berkenalan selama hampir empat tahun dan pasti akan bertegur sapa jika mereka sekeluarga datang ke kedai mamak berkenaan.

Namun, pekerja tersebut dikatakan sudah berpindah ke cawangan lain membuatkan anaknya tertanya-tanya keberadaan ‘uncle mamak’ kegemarannya itu.

TikTok

“Sebelum ni hari-hari dia minta pergi mamak sebab ada uncle mamak dia ni. Bila uncle dia pindah cawangan, dia tercari-cari,” kapsyen video @moonlightflower_ berbunyi.

Selepas mendapat tahu cawangan kerja baru uncle mamak kesayangan Luth, wanita itu dan suaminya membawa anak mereka pergi ke kedai berkenaan untuk memberi kejutan.

TikTok

Luth dilihat teruja selepas sekian lama tidak berjumpa dengan uncle mamak itu dan sambil tersipu-sipu malu cuba menyapanya.

Uncle Mamak pun turut terkejut apabila tiba-tiba melihat kehadiran Luth dan segera memeluk cium si kecil ini sambil berkata mereka sudah lama tidak berjumpa.

TikTok

Terubat rindu masing-masing akhirnya.

Tonton video di sini.

Senarai baju rasmi kontinjen Malaysia bagi acara pembukaan temasya Olimpik sejak 2008

0

Baru-baru ini, baju rasmi untuk kontinjen Malaysia ke acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 telah diperkenalkan.

Pada temasya Olimpik kali ini, busana untuk acara pembukaan yang dipakai oleh kontinjen Malaysia “The Malaya” telah direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini. 

@bernamadotcom / X

Sukan Olimpik ialah temasya sukan terbesar dunia yang diadakan pada setiap empat tahun sekali.

Berikut adalah busana rasmi untuk atlet Malaysia bagi acara pembukaan Sukan Olimpik sejak 2008:

1. Sukan Olimpik Paris 2024

@olympicmas / Instagram
@NicolDavid / X

2. Sukan Olimpik Tokyo 2020

@olympicmas / Instagram
Gambar Astro Awani
@olympicmas / Instagram

3. Sukan Olimpik Rio 2016

@olympicmas / Instagram
@olympicmas / Instagram
@olympicmas / Instagram

4. Sukan Olimpik London 2012

@olympicmas / Instagram
@olympicmas / Instagram
Atlet Malaysia MSN

5. Sukan Olimpik Beijing 2008

@olympicmas / Instagram
@olympicmas / Instagram

Semoga atlet Malaysia berjaya beroleh pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024 kali ini.

Permohonan MyKid akan dibuka semula mulai 29 Julai

0

KUALA LUMPUR: Permohonan MyKid akan dibuka semula di semua Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mulai 29 Julai ini.

FACEBOOK

Menerusi kenyataan media yang dikongsi di Facebook, JPN memaklumkan permohonan MyKid sebelum ini ditangguhkan sementara pengeluarannya berikutan kekurangan bekalan cip bagi kad mentah berkenaan.

“Bagi yang sudah membuat permohonan sebelum ini (mempunyai resit permohonan MyKid), namun cetakannya ditangguhkan, pemohon diminta untuk membuat pengesahan cetakan di portal rasmi JPN di www.jpn.gov.my sebelum hadir membuat kutipan di Pejabat JPN yang dipilih.”

“Tempoh semakan adalah tiga bulan bermula 29 Julai sehingga 31 Oktober ini.”

“Selepas tempoh ini, status permohonan MyKid akan terbatal dan permohonan baharu perlu dibuat semula,” Katanya.

Pemohon yang telah membuat permohonan terdahulu perlu menuntut MyKid bagi mengelakkan lambakan MyKid yang kemudiannya akan merugikan pihak kerajaan.

www.jpn.gov.my

Terdahulu, media melaporkan isu cetakan MyKid yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik COVID-19 dijangka dapat diselesaikan pada Julai ini secara berperingkat di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, ia sekali gus menyelesaikan 136,238 permohonan MyKid yang tertunggak dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu.

“Buat masa ini kita masih lagi menunggu bekalan kad MyKid, yang mana kita memberi surat setuju terima dari pembekal pada April lalu dan sesi pengujian sudah dilakukan.”

“Untuk itu, kita harap ibu bapa dapat bersabar dan apabila sampai masanya permohonan yang dibuat akan dicetak dan ibu bapa boleh mengambilnya selepas diberitahu kelak,” Katanya.

Pemohon yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Unit Koperasi Korporat, JPN di talian 03-88807077 atau e-mel kepada [email protected].

Anak tauke restoran dilaporkan hilang empat hari ditemukan maut dipercayai dibunuh

0

SANDAKAN: Misteri seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu terjawab apabila dia ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kawasan semak berhampiran sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan, Sabah pada pagi 25 Julai.

Dalam penemuan kira-kira pukul 11 pagi itu, mayat mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, ditemui sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Facebook

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, penemuan mayat terbabit susulan laporan awal diterima pihaknya berkaitan sebuah trak pikap ditemukan dalam keadaan terbakar di kawasan terbabit.

“Sepasukan polis digerakkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut. Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati memang terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar namun tiada individu di dalam kenderaan terbabit.

Facebook

“Anggota polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu sebelum menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu laporan orang hilang pada Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi media.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan untuk tujuan bedah siasat.

Facebook

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan seorang lelaki yang juga anak pemilik restoran Supreme dikenali Naufal Abdul Rashid kira-kira jam 3 petang pada Ahad lalu.