Sebut sahaja kedai mamak, perut memang secara tiba-tiba boleh terasa lapar, maka tidak hairanlah jika ia menjadi lokasi kegemaran rakyat Malaysia.
Budaya menjamu selera di kedai mamak memang tidak dapat dipisahkan apabila kita memperkatakan tentang Malaysia.
Restoran mamak kebiasaannya menjadi pilihan ramai kerana pilihan makanannya yang pelbagai bermula waktu sarapan, makan tengah hari, makan malam hingga ke makan lewat malam, semuanya ada.
Bila sudah bertahun-tahun terbiasa makan di kedai mamak, pekerjanya pun mesti sudah kenal dan tahu menu kegemaran kita. Sampai kalau sudah lama tidak berjumpa boleh mengundang rindu.
Bercerita pasal kedai mamak, seorang wanita @moonlightflower7_ berkongsi di TikTok baru-baru ini apabila anak kecilnya akhirnya dapat bertemu semula dengan pekerja kedai mamak kegemarannya setelah lelaki itu berpindah kerja ke cawangan restoran baru.
Menerusi video tersebut, wanita berkenaan memberitahu anaknya Luth menjadi agak rapat dengan seorang pekerja di kedai mamak yang sering dikunjunginya.
Difahamkan, mereka sudah berkenalan selama hampir empat tahun dan pasti akan bertegur sapa jika mereka sekeluarga datang ke kedai mamak berkenaan.
Namun, pekerja tersebut dikatakan sudah berpindah ke cawangan lain membuatkan anaknya tertanya-tanya keberadaan ‘uncle mamak’ kegemarannya itu.
“Sebelum ni hari-hari dia minta pergi mamak sebab ada uncle mamak dia ni. Bila uncle dia pindah cawangan, dia tercari-cari,” kapsyen video @moonlightflower_ berbunyi.
Selepas mendapat tahu cawangan kerja baru uncle mamak kesayangan Luth, wanita itu dan suaminya membawa anak mereka pergi ke kedai berkenaan untuk memberi kejutan.
Luth dilihat teruja selepas sekian lama tidak berjumpa dengan uncle mamak itu dan sambil tersipu-sipu malu cuba menyapanya.
Uncle Mamak pun turut terkejut apabila tiba-tiba melihat kehadiran Luth dan segera memeluk cium si kecil ini sambil berkata mereka sudah lama tidak berjumpa.
Terubat rindu masing-masing akhirnya.
Tonton video di sini.