Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak kini telah diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pada 27 Julai lalu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) mengumumkan 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia memberikan pengiktirafan berprestij itu semasa sesi mesyuarat ke-46 di New Delhi, India, yang berlangsung pada 21 Julai hingga 31 Julai 2024.

Proses pencalonan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bermula sejak 2019, dengan senarai tentatif dokumen diserahkan kepada UNESCO pada 22 Januari 2021.
Dokumen rasmi telah diserahkan kepada Sekretariat UNESCO di Paris pada 31 Januari 2023.
Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Negara Niah, juga dikenali sebagai Gua Niah merupakan tapak rangka manusia tertua yang ditemui di Asia Tenggara, menjadikannya mercu tanda bersejarah dan tapak warisan arkeologi yang penting.
Kompleks gua batu kapur itu telah meninggalkan rangka dan tengkorak manusia yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 50,000 tahun, serta artifak berbentuk lukisan di dinding gua, keranda berbentuk bot, dan perhiasan yang diperbuat daripada tulang, batu, atau tanah liat.
Dengan pengiktirafan terbaru ini, Malaysia kini mempunyai lima Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Ini termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka dan George Town (2008), dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).
Menurut MOTAC, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia UNESCO menjadi idaman oleh seluruh negara di dunia kerana ia adalah pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.
“Selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan, memperlihatkan Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong,” kata MOTAC.
Malaysia kini sedang berusaha mencalonkan beberapa lagi kawasan lain sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk Taman Hutan FRIM Selangor, Taman Negeri Royal Belum, dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).