Baru-baru ini kisah seorang pekedai memberikan selonggok durian udang merah bantu warga emas mencuri perhatian ramai.
Menurut pemilik Restoran Mr Patin House yang terletak di Balok Kuantan, Pahang, seorang lelaki warga emas datang ke kedainya ketika kedai hampir tutup.
Lelaki berusia sekitar 70-an itu datang dan menghulurkan sekeping nota berbunyi, “Pakcik nak minta buah satu biji anak pakcik nak makan tapi pakcik tak ada duit. Terima Kasih.”
Menurut pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Rizal, dia tidak berada di kedai ketika warga emas itu datang ke kedainya. Hanya pekerjanya sahaja yang membantu warga emas tersebut.
Mengikut cerita Rizal kepada Mstar, sebaik sahaja menerima nota tersebut, pekerjanya terus memberikan selonggok durian udang emas.
Difahamkan warga emas tersebut hanya mahukan durian yang murah harganya namun mereka memberikan durian yang lebih berkualiti kepada warga emas berkenaan.
Bagi mengelakkan salah faham, warga emas tersebut turut menunjukkan kad orang kurang upaya (OKU) bisu yang dimilikinya.
Rizal bersyukur kerana pekerjanya pantas membantu warga emas tersebut.
Ramai warga siber yang membaca kisah tersebut memuji sikap pekedai tersebut yang sudi berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan pertolongan.