25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 11, 2025
Utama Blog Laman 18

Remaja 14 tahun antara ‘operator’ sindiket penipuan kerja bergaji RM3,500 diberkas polis

0

Remaja berusia 14 dan 16 tahun menikmati gaji RM3,500 sebulan, hasil bekerja sebagai ‘operator’ (pengendali panggilan) dengan sindiket penipuan kerja dalam talian.

Pekerjaan dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan itu terbongkar apabila ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman termasuk lima lelaki warga China menerusi serbuan di sebuah premis kediaman di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Isnin, 22 Julai lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun dipercayai berperanan sebagai operator panggilan dan pengurus data.

Gambar Harian Metro

Katanya, empat remaja terbabit dipercayai sudah tidak bersekolah dan dibayar gaji kira-kira RM3,500 sebulan bagi mencari serta menjerat mangsa dari China.

Dalam serbuan itu, sebanyak 18 telefon bimbit, empat komputer riba, lima set komputer, satu rangkai anak kunci berserta kad akses, satu set skrip perbualan, satu router dan satu beg bagasi telah dirampas.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini disyaki memulakan operasi sekitar Januari tahun ini dan mengendalikan platform ‘LEHUIGOUA’ yang digunakan sebagai laman web yang menyerupai platform e-dagang sebagai tempat yang sah untuk membeli barang atau perkhidmatan namun hakikatnya ia adalah muka hadapan untuk skema penipuan yang lebih besar.

“Sasaran sindiket ini mangsa dalam kalangan rakyat China sementara platform ini mendakwa berkolaborasi dengan platform e-dagang terkenal seperti Taobao, Tmall dan JD.com.

“Melalui skrip komunikasi mereka, sindiket ini mendakwa mangsa-mangsa berpeluang untuk mendapatkan komisen hasil penjualan barangan. Mangsa yang berminat bekerja melalui platform ini akan dimasukkan di dalam kumpulan Telegram dan segala komunikasi serta arahan diberikan melalui kumpulan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ.

Gambar Kosmo!

Menurut Ramli, komisen yang ditawarkan sindiket berubah-ubah dari 0.3 peratus hingga 0.6 peratus dengan janji untuk memperoleh pendapatan tinggi sering digunakan sebagai umpan.

“Siasatan setakat ini turut mendapati, sindiket ini mempunyai akses terhadap akaun mangsa di platform tersebut. Ini membolehkan mereka mengubah data seperti maklumat kredit dan keuntungan serta sering menunjukkan kewujudan transaksi palsu bagi menarik kepercayaan mangsa.

“Lima daripada sembilan individu yang ditahan sedang direman sehingga esok manakala empat yang lain iaitu remaja terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis,” kata Ramli.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Warga emas,92, tamatkan marathon 10 kilometer dengan jayanya

0

KOTA KINABALU: Kejayaan seorang warga emas,92, menamatkan marathon 10 kilometer baru-baru ini membuktikan bahawa umur hanya sekadar angka.

HARIAN METRO

Dua tahun lalu, untuk kali ke-8 menawan puncak Gunung Kinabalu, Buatin Blandong mencatatkan rekod sebagai pendaki tertua pada usia 90 tahun.

Berdasarkan laporan media tempatan, pembabitan Buatin Blandong dalam acara lasak itu adalah yang kedua selepas tahun lalu.

Penyertaan itu menjadikan Buatin Blandong seorang warga emas yang aktif dalam acara yang memerlukan tahap kecergasan tinggi.

Menurut Buatin Blandong, dia mahu menunjukkan kepada cucunya dan generasi muda mengenai perlunya untuk terus bersenam tanpa mengira usia.

“Saya berharap dapat menyertai Borneo Marathon sehingga umur saya 95 tahun,” Katanya yang menyertai acara itu pada 5 Mei lalu bagi edisi 2024 yang kebetulannya jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-92 tahun.

Buatin Blandong mengakui bahawa tarikh tersebut amat istimewa kerana dapat menyertai marathon sempena hari lahirnya.

Walau bagaimanapun, menurut Buatin Blandong penyertaannya bukanlah untuk mencatatkan rekod tetapi hanya untuk menamatkan marathon 10 kilometer tersebut.

“Misi utama saya ialah untuk menyelesaikan larian 10 kilometer itu. Bagi menyelesaikan dalam tempoh masa yang singkat adalah satu bonus,” Katanya.

Buatin Blandong turut berkongsi pengalaman seperti tidak dapat berjalan pantas selain mengalami masalah lutut sepanjang marathon tersebut.

Itulah sebab pentingnya membuat persiapan dan latihan seperti mendaki bukit untuk menguatkan kaki dan berjalan kaki seperti yang kerap dilakukannya, kata Buatin Blandong.

SIN CHEW

Bersama anak perempuannya, Buatin Blandong banyak melakukan latihan dengan berjalan kaki dan cuba untuk melakukannya dua hingga tiga kali seminggu di pantai Tanjung Aru.

Fakta utama kes pegawai kadet Zulfarhan yang dibunuh 6 bekas penuntut UPNM

0

Pada 23 Julai 2024, enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) didapati bersalah dan dijatuh hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan atas pertuduhan membunuh pegawai kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Dalam keputusan sebulat suara, Mahkamah Rayuan menyifatkan kes itu sebagai ‘jenayah kejam paling jarang ditemui’ dan membatalkan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas enam tertuduh pada 2021.

“Mahkamah sebulat suara memutuskan hanya ada satu hukuman yang sesuai untuk dijatuhkan kepada enam tertuduh. Mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati,” kata panel tiga hakim bersidang yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.

@mynewshub/X

Enam tertuduh bekas penuntut UPNM adalah:

  • Muhammad Akmal Zuhairi Azmal
  • Abdoul Hakeem Mohd Ali
  • Muhammad Najib Mohd Razi
  • Muhammad Azamuddin Mad Sofi
  • Muhammad Afif Najmudin Azahat
  • Mohamad Shobirin Sabri

Berikut adalah kronologi kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain:

1 Jun 2017:

Zulfarhan Osman, 21, disahkan meninggal dunia pada jam 9.10 malam di Hospital Serdang akibat kecederaan parah. Mayatnya didapati 80 peratus dipenuhi dengan kesan lebam dan melecur, kerana diikat, dipukul dan ditekap dengan seterika wap selama beberapa hari.

2 hingga 17 Jun 2017:

Sehari kemudian, di tengah-tengah bantahan orang ramai, Menteri Pertahanan ketika itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan siasatan segera oleh angkatan tentera dan UPNM terhadap kematian Zulfarhan.

Ketika keluarga mangsa menuntut keadilan, polis menerima lanjutan reman bagi 32 pelajar UPNM, yang ditahan bersama empat pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi membantu siasatan. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 9 Jun.

14 Jun 2017, seramai 19 pelajar UPNM didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Zulfarhan. Lima pelajar UPNM didakwa atas pertuduhan membunuh dan seorang bersubahat menyebabkan kematian pegawai kadet tentera laut. Kesemuanya mengaku tidak bersalah.

Pada hari yang sama, kesemua pelajar itu dibenarkan membayar ikat jamin RM7,000 setiap seorang.

17 Jun 2017, Menteri Pengajian Tinggi ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan bahawa 13 pelajar UPNM dibenarkan melanjutkan pelajaran di universiti itu sehingga kes mereka diputuskan.

15 September 2017:

Kes lima pelajar UPNM itu, yang didakwa membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana mereka berdepan hukuman mati mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Seorang lagi pelajar, yang didakwa bersubahat dengan mereka, turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang sama.

8 Disember 2017:

Selepas enam pelajar UPNM, yang didakwa atas tuduhan membunuh dan bersubahat, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 10 November, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan ke atas kesemua 19 pelajar UPNM selama 14 hari bermula 29 Januari 2018.

5 Jun 2018:

Nurul Syuhada Md Jamean, teman wanita Zulfarhan, memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  bahawa arwah telah menghubunginya dalam kesakitan, mendakwa rakan-rakan telah menuduhnya mencuri salah satu komputer riba milik mereka dengan menyerang serta memukulnya.

“Dia kata dia sakit. Dia mahu memberitahu saya sesuatu, dia beritahu saya jangan beritahu orang lain… dia beritahu saya dia dipukul. Dia dituduh mencuri komputer riba. Saya bertanya kepadanya sama ada dia telah mengambil komputer riba itu, katanya dia tidak mencurinya, tetapi rakan-rakannya bertegas dia yang mencurinya,” kata Nurul Syuhada semasa keterangan saksi.

31 Julai 2019:

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Mahkamah membebaskan seorang pelajar Muhammad Akmal Akif Alias ​​daripada semua pertuduhan.

2 November 2021:

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah memutuskan enam pelajar UPNM, yang didakwa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh, telah melakukan jenayah tidak berhati perut dan bertindak seperti penjenayah tegar, beliau berkata tidak boleh mensabitkan mereka atas kesalahan membunuh kerana ia bukanlah pembunuhan yang dirancang.

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan bekas pegawai kadet UPNM itu hanya boleh dianggap sebagai membunuh tanpa niat, di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan, dan bukannya membunuh mengikut Seksyen 302.

Enam pelajar itu dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun, manakala baki 12 lagi menerima hukuman penjara tiga tahun, dengan tempoh masing-masing bermula dari tarikh tangkapan atau pada 2 November 2021.

3 November 2021:

Sehari kemudian, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap 6 tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah Rayuan juga mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan dengan gantian hukuman penjara empat tahun.

“Sebarang kesulitan yang dialami tertuduh, seperti dibuang universiti dan lain-lain, bukanlah faktor untuk mengurangkan hukuman mereka. Tertuduh mesti menanggung akibat daripada tindakan mereka,” kata Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam penghakiman itu.

@mynewshub/X

12 bekas penuntut UPNM yang bersubahat mencederakan Zulfarhan adalah:

  • Mohd Hafiz Fauzan Ismail
  • Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain
  • Ahmad Shafwan Berdal
  • Muhammad Amirul Asraff Mala
  • Luqman Hakim Shamsuri Agus
  • Muhammad Sufi Mohd Mustapha
  • Noriznan Izzairi Noor Azhar
  • Muhamad Ashraf Abdullah
  • Muhammad Danial Firdaus Azmir
  • Muhammad Hasif Ismail
  • Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani
  • Mohamad Syazwan Musa

Ketika ibu bapa Zulfarhan menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Mahkamah Rayuan atas keputusan itu, perjuangan mereka untuk menuntut keadilan masih belum selesai.

Menurut bapa, Zulkarnain Idros, dia dan isterinya, Hawa Osman dimaklumkan 6 tertuduh merancang untuk memfailkan rayuan di atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, dan ia akan didengar dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pencatur termuda negara terima gelaran International Master

0

PULAU PINANG: Pencatur termuda negara Poh Yu Tian menerima gelaran International Master (IM) dalam Kejohanan Catur Remaja Asia Timur (EAYCC) Ke-8.

BERNAMA

Poh,15, dari Pulau Pinang diberi gelaran International Master selepas memperoleh rating 2,429 menerusi kejohanan tersebut.

Secara keseluruhan, Poh mempamerkan persembahan cemerlang dan membolehkannya merangkul tempat pertama bagi kategori bawah 18 tahun terbuka, juara acara rapid serta penyertaan dalam acara Blitz (catur kilat).

Kejayaan itu menjadikan Poh sebagai pemain termuda dan ke-10 di Malaysia yang mendapat gelaran IM.

Lantaran kejayaan itu, Poh menjadi penerima pertama trofi piala PMX yang disampaikan oleh anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha pada acara penutupan kejohanan di sini, malam tadi.

Bapa Poh, Poh Leng Pat ketika ditemui Bernama berterima kasih kepada penganjur kerana memilih anaknya untuk menerima piala berkenaan.

“Poh sudah melengkapkan tiga ‘norm’ dengan rating 2,429 untuk gelaran IM dan fokus selepas ini adalah mahu mendapatkan gelaran ‘Grand Master’ pula.”

“Untuk itu dia perlu melengkapkan tiga lagi ‘norm’, tapi kita percaya dia mampu melakukannya,” Kata bapa Poh.

Selain Poh, pemain catur Malaysia di bawah Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) yang turut berjaya mempamerkan kejayaan cemerlang dalam kejohanan itu adalah Ainul Mardhiah Afif (Woman FIDE Master-WFM) pemenang kategori bawah 14 tahun perempuan, Kavin Mohan Chess Master (CM) pemenang tempat kedua kategori bawah 14 tahun terbuka, Chow Yi Chen dan Yap Ray Jin Chess Master (CM) dengan masing-masing memperoleh tempat kedua dan ketiga kategori bawah 10 tahun terbuka.

BERNAMA

Sementara itu, Presiden Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA) See Swee Sie berkata Pulau Pinang terpilih sebagai tuan rumah kejohanan kali ini untuk mencungkil bakat-bakat muda terutama dalam kalangan pemain Malaysia.

“Menerusi pertandingan seperti ini juga, ia dapat membantu dan memberi peluang kepada pemain Malaysia mendapatkan rating untuk menaikkan title masing-masing kerana kalau hendak pergi ke pertandingan di luar negara memakan kos yang tinggi jadi peluang mengadakan kejohanan di sini merupakan satu pendedahan yang baik dan perlu diambil kesempatan sebaik mungkin,” Katanya.

Seramai 358 orang peserta lelaki dan wanita dari 17 buah negara telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang dianjurkan oleh PCA bersama Persatuan Catur Malaysia (MCF) bermula pada 12 Julai lepas.

Malaysia telah menghantar 74 orang pemain untuk bertanding dalam enam kategori iaitu bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 14 tahun, bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun.

Menerusi kejohanan itu, Malaysia menduduki tangga kedua keseluruhan selepas memungut dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Johan menjadi milik pasukan dari China dengan pungutan lima pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Vietnam dengan dua pungutan pingat emas dan dua pingat perak.

Pengamal Malaysia anjur siri aktiviti sempena ulang tahun ke-25 penganiayaan terhadap Falun Gong

0

Sejak 20 Julai 1999, bekas pemimpin Parti Komunis China Jiang Zemin melancarkan penganiayaan terhadap Falun Gong, yang berterusan sehingga hari ini. Pengamal Falun Gong di seluruh dunia telah memerangi penganiayaan ini selama 25 tahun.

Menjelang ulang tahun ke-25 anti-penganiayaan, pengamal Falun Gong Malaysia pada 20 Julai 2024 telah mengadakan beberapa siri aktiviti di ibu negara, Kuala Lumpur, dengan harapan dapat memberitahu lebih ramai orang tentang kebenaran.

Upacara nyalaan lilin diadakan di Kuala Lumpur

Pada 13 Julai 2024, beberapa pengamal Falun Gong Malaysia dari Kuala Lumpur dan Selangor berhimpun aman di Bukit Bintang, di ibu kota Kuala Lumpur, untuk upacara nyalaan lilin sempena ulang tahun ke-25 penganiayaan terhadap Falun Gong, tanda berkabung memperingati rakan pengamal yang dianiaya sehingga mati oleh Parti Komunis China. (Gambar Minghui.org)

Pada 13 Julai, beberapa pengamal Falun Gong dari beberapa daerah di Kuala Lumpur dan Selangor telah berhimpun secara aman di destinasi tumpuan popular di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dan mengadakan upacara nyalaan lilin sempena ulang tahun ke-25 anti-penganiayaan Falun Gong, tanda berkabung untuk pengamal Falun Gong yang dianiaya sehingga mati oleh Parti Komunis China.

Pada 13 Julai 2024, beberapa pengamal Falun Gong Malaysia dari Kuala Lumpur dan Selangor berhimpun aman di Bukit Bintang, di ibu kota Kuala Lumpur, untuk upacara nyalaan lilin sempena ulang tahun ke-25 penganiayaan terhadap Falun Gong, tanda berkabung memperingati rakan pengamal yang dianiaya sehingga mati oleh Parti Komunis China. (Gambar Minghui.org)

Acara bermula pada pukul 7 malam. Tiga pengamal Falun Gong memberi ucapan dalam tiga bahasa: Cina, Melayu dan Inggeris. Ia adalah ulang tahun ke-25 pengamal Falun Gong yang menyatakan tentangan secara aman dan rasional terhadap penganiayaan. Mereka menyeru orang ramai dari semua lapisan masyarakat mempelajari kebenaran tentang Falun Gong dan bekerjasama demi menghentikan penganiayaan kejam PKC terhadap Falun Gong.

Reaksi pengunjung: Falun Gong hebat

Aktiviti Falun Gong sempena memperingati ulang tahun ke-25 anti-penganiayaan telah menarik perhatian ramai pengunjung. Seorang wanita berbangsa Melayu bertanya kepada pengamal Falun Gong, “Kamu semua buat apa?” dan ketika itu juga terdapat beberapa anggota polis berdiri berhampiran. Pengamal Falun Gong memberitahunya ia adalah aktiviti sempena ulang tahun ke-25 anti-penganiayaan “20 Julai”, dan pengamal Falun Gong di seluruh dunia mengadakan aktiviti anti-penganiayaan pada tarikh dan masa yang sama (20 Julai).

Pengamal menjelaskan Falun Gong pertama kali diperkenalkan pada tahun 1992, dan dalam masa beberapa tahun ramai orang mula mengamalkannya. Bagaimanapun, PKC mula menganiaya pengamal Falun Gong pada 20 Julai 1999. Beribu-ribu orang telah dianiaya hingga mati, dan pihak berkuasa PKC juga mengambil organ daripada pengamal Falun Gong yang masih hidup secara paksa. Mereka sama sekali tidak mempunyai hati nurani dan perikemanusiaan.

Jadi pada hari itu, pengamal Falun Gong bangkit memberitahu dunia dan menyeru PKC menghentikan penganiayaan. Wanita itu kemudian berkata, “Saya faham. Falun Gong hebat!” Anggota polis di sebelahnya mengangguk dan berkata, “Mereka (pengamal Falun Gong) sangat berani!”

Anda telah melakukan tugas yang hebat

Pada hari itu, ramai pengunjung yang melalui Bukit Bintang menyatakan keprihatinan mereka terhadap acara nyalaan lilin yang diadakan oleh Falun Gong dan mengambil inisiatif untuk bertanya kepada pengamal tentang acara tersebut. Pengamal memberitahu mereka, upacara nyalaan lilin yang aman diadakan bagi mendedahkan penganiayaan yang telah dilakukan PKC. Parti Komunis China menganiaya Falun Gong, dan Tribunal China memutuskan ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Beri sokongan kepada Falun Gong dan tamatkan jenayah PKC daripada membunuh pengamal Falun Gong. Selepas ramai yang mengetahui kebenaran itu, mereka mengambil bahan dan penjelasan kebenaran mengenai Falun Gong.

Ramai pengunjung yang terkejut apabila mendengar tentang penganiayaan PKC terhadap Falun Gong terutamanya mengenai pengambilan organ secara paksa terhadap pengamal Falun Gong. Beberapa warga kota yang lalu lalang berkata kepada pengamal Falun Gong, “Anda telah melakukan tugas yang hebat!”

Selain itu, pengamal Falun Gong juga menjelaskan kebenaran kepada seorang pegawai polis yang bertugas. Mereka memberitahunya, “Kami berkabung atas puluhan ribu nyawa yang dibunuh oleh PKC. Menghadapi penganiayaan yang tidak berperikemanusiaan dan kejam ini, kami juga menyeru hati nurani orang ramai untuk menghentikan penganiayaan.”

Pengamal itu menambah, “Di China, ini telah berlaku sejak tahun 1999. Bukan sahaja pengamal Falun Gong telah dianiaya dan didera, malahan organ mereka telah dituai semasa mereka masih hidup tanpa persetujuan mereka. Khususnya, organ pengamal Falun Gong telah dituai tanpa ubat bius, dan PKC telah menjual organ mereka untuk menjana keuntungan. Hasrat kami dengan tujuan mengingatkan dan menyeru orang ramai daripada semua lapisan masyarakat untuk memberi perhatian kepada penganiayaan ini dan menghentikannya. Selepas mendengarnya, anggota polis itu turut mengambil salinan maklumat mengenai Falun Gong tersebut.

Pengamal Falun Gong membaca ucapan mereka pada acara di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar Minghui.org)

Pelancong China turut mengambil inisiatif untuk memahami kebenaran

Selepas acara itu, pelancong China yang lalu-lalang bertanya kepada seorang pengamal Falun Gong bernama Yang, tentang insiden membakar diri di Tiananmen. Mereka ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya. Selepas mendengar kebenaran tentang insiden membakar diri, mereka mengucapkan terima kasih kepada pengamal Falun Gong dan mengambil bahan mengenai penjelasan kebenaran Falun Gong.

Selepas acara itu, pengamal Falun Gong bernama Lin juga memberitahu tiga pegawai polis Cina di sekelilingnya tentang kebenaran pengambilan organ secara langsung daripada pengamal Falun Gong. Pada masa ini, seorang pelancong dari China menyertai perbualan itu. Mereka dengan senyap mendengar kebenaran yang disampaikan Lin mengenai penganiayaan kejam PKC terhadap Falun Gong. Selepas itu, pelancong itu memberitahu Lin bahawa dia ada mendengar tentang pengambilan organ secara paksa oleh PKC di China. Katanya, ramai kanak-kanak hilang dan tidak dapat ditemui kemudiannya. Selepas itu, pengamal Falun Gong memberinya bahan penjelasan kebenaran dan memberitahunya tentang ‘Three Withdrawals’. Pelancong China itu mengambilnya dan berkata dia akan cuba mencari untuk mengetahui lebih lanjut.

Perhimpunan Aman di Kedutaan China

Pada 14 Julai, beberapa pengamal Falun Gong dari Kuala Lumpur dan Selangor di Malaysia berkumpul di hadapan Kedutaan China di Kuala Lumpur untuk mengadakan perhimpunan aman bagi memperingati ulang tahun ke-25 anti-penganiayaan dan menyeru Parti Komunis China menghentikan penganiayaan terhadap Falun Gong.(Gambar Minghui.org)

Pada 14 Julai, beberapa pengamal Falun Gong dari Kuala Lumpur dan Selangor telah berkumpul di hadapan Kedutaan China di Kuala Lumpur untuk mengadakan perhimpunan aman bagi memperingati ulang tahun ke-25 anti-penganiayaan dan menyeru Parti Komunis China supaya menghentikan penganiayaan ke atas Falun Gong.

Acara bermula pada pukul 10 pagi. Tiga pengamal Falun Gong bercakap dalam tiga bahasa: Cina, Melayu dan Inggeris. Mereka juga menyerahkan surat kepada Konsulat China, menyeru agar penganiayaan terhadap Falun Gong dihentikan.

Pada 14 Julai, beberapa pengamal Falun Gong dari Kuala Lumpur dan Selangor di Malaysia berkumpul di hadapan Kedutaan China di Kuala Lumpur untuk mengadakan perhimpunan aman bagi memperingati ulang tahun ke-25 anti-penganiayaan dan menyeru Parti Komunis China menghentikan penganiayaan terhadap Falun Gong. (Gambar Minghui.org)

Seorang wanita Melayu berusia 20-an juga seorang pelajar yang kebetulan lalu dengan motosikal, telah berpatah balik dan meletakkannya di tepi jalan. Dia melihat perkataan Falun Gong pada sepanduk yang dipegang oleh pengamal Falun Gong, jadi dia menggunakan telefon pintarnya untuk mencari Falun Gong dan Falun Dafa di dalam talian.

Wanita ini sangat ingin tahu tentang apa itu Falun Gong. Seorang pengamal Falun Gong menyerahkan bahan untuk menjelaskan kebenaran kepadanya dan memberitahunya acara hari ini sebenarnya adalah ulang tahun ke-25 penganiayaan Falun Gong oleh Parti Komunis China. “Kami berkumpul di sini untuk menyerahkan surat kepada Kedutaan China, menyeru Parti Komunis China untuk menghentikan penganiayaan terhadap Falun Gong,” jelas pengamal kepadanya.

Pengamal Falun Gong menyerahkan surat kepada Kedutaan China di Malaysia, menyeru agar penganiayaan terhadap Falun Gong dihentikan. (Gambar Minghui.org)

Pengamal Falun Gong memberitahunya, Falun Gong juga dikenali sebagai Falun Dafa, adalah amalan yang sangat baik. Disebabkan kesannya yang luar biasa dalam menyembuhkan penyakit dan meningkatkan tahap kesihatan, dalam masa tujuh tahun sahaja selepas pengenalannya di China, 100 juta orang mengamalkan Falun Gong, jumlah yang melebihi 60 juta ahli Parti Komunis pada masa itu.

Pengamal Falun Gong menyerahkan surat kepada Kedutaan China di Malaysia, menyeru agar penganiayaan terhadap Falun Gong dihentikan. (Gambar Minghui.org)

Bekas pemimpin PKC Jiang Zemin melancarkan penganiayaan kejam ini kerana cemburu atas alasan peribadi. PKC melancarkan tindakan keras menyeluruh terhadap keluarga Falun Gong. Kanak-kanak terpaksa berhenti sekolah, orang dewasa dipecat daripada jawatan awam mereka, akaun bank disekat, dan mereka dihantar ke kem buruh paksa dan diseksa.

Terdapat lebih daripada 100 jenis penyeksaan. Lebih serius ialah organ mereka dituai hidup-hidup untuk pemindahan organ demi keuntungan, dan perbuatan jenayah PKC masih berterusan sehingga ke hari ini.

Selepas wanita itu memahami kebenarannya, dia telah mengambil bahan yang diserahkan oleh pengamal dan berkata, “Kamu telah melakukan tugas yang hebat dalam menyuarakan hak asasi bagi pihak mereka (pengamal Falun Gong yang dianiaya) dan membantu mereka!”

Kanak-kanak disengat obor-obor ketika mandi di Batu Feringghi

0

Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dikejarkan ke hospital selepas disengat obor-obor ketika mandi di Batu Feringghi.

TIKTOK

Menurut Aleesa Aen sedang mereka sekeluarga seronok bermain pantai, tiba-tiba anak perempuannya menangis kesakitan.

Aleesa Aen terus mengeluarkan anaknya daripada air untuk melihat keadaan anaknya.

Kelihatan bintat-bintat merah pada kulit tangan dan kaki sehingga ke bahagian peha anaknya yang dipercayai kesan disengat obor-obor menurut beberapa pengunjung pantai lain.

TIKTOK

Aleesa Aen bersyukur kerana pengunjung pantai membantu mereka sekeluarga dengan menghubungi ambulans.

Sementara menunggu ambulans sampai, Aleesa Aen pergi ke kedai makan yang berdekatan untuk mendapatkan limau bagi meredakan rasa gatal akibat disengat obor-obor itu.

Sebaik sahaja ambulans sampai, doktor memeriksa keadaan kanak-kanak perempuan tersebut dan memberikan suntikan.

Menurut doktor, keadaan anak Aleesa Aen stabil namun mengambil sedikit masa untuk bintat-bintat tersebut hilang.

TIKTOK

Susulan daripada insiden tersebut, Aleesa Aen mengingatkan orang ramai agar berhati-hati jika hendak bermandi-manda di pantai Batu Feringghi.

Menerusi ruang komen, ramai warga siber mengatakan bahawa memang tidak selamat untuk bermandi-mand di pantai Batu Feringghi.

Hal ini kerana terdapat banyak obor-obor di sekitar pantai Batu Feringghi.

Mereka juga berkongsi pengalaman disengat obor-obor ketika bermandi-manda di pantai Batu Feringghi.

Fakta Mengenai Obor-obor

  1. Merupakan haiwan tidak bertulang belakang dan kebanyakannya terdiri daripada air sekitar 95 peratus.
  2. Datang dalam pelbagai saiz.
  3. Terdapat obor-obor yang hidup lebih daripada 700 juta tahun, menjadikannya antara makhluk tertua di bumi.
  4. Berupaya mengeluarkan cahaya sendiri.
  5. Terdapat spesies obor-obor yang sangat beracun dan boleh membunuh manusia dalam masa beberapa minit jika disengat.

Bahaya Sengatan Obor-obor

  1. Rasa sakit seperti terbakar yang berpanjangan namun bergantung kepada jenis obor-obor.
  2. Sesetengah orang mungkin mengalami reaksi alergi yang teruk termasuk sesak nafas, bengkak dan gatal-gatal yang kuat.
  3. Sengatan obor-obor beracun boleh menyebabkan masalah pada jantung, kesukaran bernafas dan membawa maut.
  4. Sengatan obor-obor boleh meninggalkan parut atau kesan kekal pada kulit.
  5. Mangsa yang disengat berisiko mengalami kekejangan otot yang mana akan menyebabkan mereka sukar bergerak atau berenang yang akhirnya boleh membuatkan mereka lemas.
  6. Terdapat mangsa sengatan obor-obor yang pengsan selepas disengat obor-obor.

Langkah Pertolongan Cemas

  1. Mangsa perlu dikeluarkan daripada air bagi mengelakkan risiko lemas.
  2. Jangan gosok bahagian yang disengat kerana ini boleh menyebabkan lebih banyak racun masuk ke dalam kulit.
  3. Bilas dengan cuka tanpa menggosok bahagian yang disengat.
  4. Rendam bahagian yang terkena sengatan dalam air panas (bukan air mendidih) selama 20-45 minit bagi mengurangkan sakit.
  5. Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika mangsa mengalami gejala serius.

Orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga supaya dapat menikmati waktu santai di pantai dengan lebih selamat.

@aenlufya

Tak sangka sampai ambulans mai ambik..lepas ni kalau p pantai kena bawak cuka siap2..#fyp #penang #batuferinggi #jellyfish

♬ Oh No – Kreepa

Aktivis raikan kemenangan adik Nubhan di Sabah

0

Aktivis raikan kemenangan adik Nubhan di Sabah selepas menonton video kanak-kanak itu yang memenangi pertandingan badminton baru-baru ini.

FACEBOOK

Menurut Adrian Edy, dia berasa terharu selepas mendapati Nubhan sendirian meraikan kemenangannya sebagai naib johan.

Difahamkan kanak-kanak itu ada meminta tolong rakannya yang lain bagi mengambilkan gambar namun tidak diendahkan kerana masing-masing sibuk.

Nubhan akhirnya meminjam telefon ibunya dan merakam sendiri gambar dia bersama hadiah yang dimenanginya.

Adrian Edy berasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut lalu terdetik hati untuk bertemu dan menyampaikan sedikit hadiah kepadanya.

Bersama dengan pasukan aktivisnya, Adrian Edy berangkat ke Tawau untuk bertemu dengan kanak-kanak yang berusia lapan tahun berkenaan.

Menerusi pertemuan itu, Adrian Edy menyampaikan hadiah seperti raket, kasut, baju dan stoking. Ternyata Nubhan begitu gembira sekali menerima hadiah-hadiah tersebut.

Menurut Adrian Edy, Nubhan amat meminati Datuk Lee Chong Wei dan bercita-cita mahu mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik apabila dewasa nanti.

Berkongsi sedikit latar belakang Nubhan, menurut Adrian Edy ayah kanak-kanak itu belum mampu membelikan kasut baharu buat anaknya memandangkan dia hanya bekerja sendiri dan mempunyai anak tanggungan yang lain.

Ayah dan ibu Nubhan tidak henti mengucapkan terima kasih kepada Adrian Edy dan pasukannya kerana sudi menggembirakan anak mereka.

Nurul Aishah Farhana Azni hilang, polis mohon bantu mencarinya

0

HULU SELANGOR: Nurul Aishah Farhana Azni,17, dilaporkan hilang di daerah ini sejak malam tadi. Susulan itu, polis mohon orang ramai bantu mencarinya.

BERITA HARIAN

Bapa Nurul Aishah membuat laporan kehilangan anak perempuannya itu di Balai Polis Batang Kali tengah hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

Terdahulu Nurul Aishah pernah menghilangkan diri pada Januari lalu namun pulang semula ke rumah dalam tempoh 24 jam.

“Lokasi terakhir remaja ini dilihat adalah di sebuah kedai makan di Bandar Utama di Batang Kali pada jam 9.30 malam tadi.”

“Ketika itu remaja berkenaan memakai tudung berwarna hitam, kemeja T lengan panjang berwarna biru gelap, seluar hitam dan sandal coklat cerah,” Katanya.

Menurut Mohd Asri, remaja yang hilang itu berkulit cerah, tidak memakai cermin mata, berketinggian antara 150 hingga 155 sentimeter dengan berat badan sekitar 50 hingga 55 kilogram.

“Polis menyeru orang ramai mempunyai maklumat kedudukan remaja perempuan ini supaya terus menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Saiful Abdul Rahman di talian 03-60641222 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Selangor (03-60641223),” Katanya.

Penembak Trump bukan ahli pasukan penembak dan tidak pernah dibuli, kata bekas sekolah

0

Lelaki yang menembak bekas Presiden Donald Trump pada perhimpunan di Pennsylvania pada 13 Julai tidak pernah menjadi ahli pasukan penembak di sekolah tingginya dan tidak pernah dibuli, walaupun terdapat laporan mengenainya sebelum ini, menurut Bethel Park School District.

Dalam kenyataan terkini yang diterbitkan di laman webnya pada 20 Julai, pejabat pendidikan daerah itu mengeluarkan komen bertajuk “membetulkan rekod,” yang mempertikaikan beberapa dakwaan mengenai Thomas Matthew Crooks, lelaki bersenjata yang dikenal pasti oleh FBI, dalam laporan berita sepanjang minggu lalu. 

Thomas Matthew Crooks, menamatkan pengajian sekolah tinggi dari Bethel Park High School, Kelas 2022, di Bethel Park, Pennsylvania. (Gambar Bethel Park School District / AP)

Sebelum ini, daerah itu mengesahkan Thomas Crooks telah bersekolah di Bethel Park High School di Bethel Park, Pennsylvania, Amerika Syarikat dan telah menamatkan pengajian pada 2022.

“Telah dilaporkan bahawa Thomas Crooks adalah ahli pasukan penembak Bethel Park High School atau mencubanya tetapi telah diberhentikan kerana prestasi buruk atau kerana jurulatih mempunyai kebimbangan terhadap perwatakannya. Thomas Crooks tidak pernah menjadi ahli pasukan penembak di sekolah ini dan kami tidak mempunyai rekod dia mencubanya,” kata kenyataan itu.

Jurulatih pasukan itu, menurut pihak sekolah, tidak mempunyai sebarang ingatan pernah bertemu dengan Thomas Crooks. Suspek mungkin “secara tidak rasmi menghadiri latihan, mengambil gambar, dan tidak pernah kembali,” tetapi pihak sekolah tidak “mempunyai sebarang rekod tentang kejadian itu,” menurut kenyataan itu.

Beberapa rakan sekelas dan bekas pelajar yang mengenali Thomas Crooks, 20, memberitahu media pada minggu lalu yang dia telah dibuli dan mencadangkan perkara itu mungkin memainkan peranan dalam cubaan membunuh Trump.

Walau bagaimanapun, pihak sekolah daerah berpendapat dakwaan tersebut adalah “salah tanggapan yang menyakitkan.” Rekod daerah tentang prestasi akademik Thomas Crooks, sejarah disiplin, kehadiran, dan lain-lain menunjukkan Crooks “cemerlang dari segi akademik, kerap hadir ke sekolah, dan tidak mempunyai insiden disiplin, termasuk yang berkaitan dengan buli atau ancaman,” kata pendidikan daerah.

“Thomas Matthew Crooks dikenali sebagai seorang pemuda yang pendiam dan pintar yang biasanya bergaul dengan guru dan rakan sekelasnya,” kata pendidikan daerah dalam kenyataan itu.

Beberapa laporan, sementara itu, mendakwa Thomas Crooks pernah membuat ugutan terhadap sekolah tingginya. Bagaimanapun, menurut pendidikan daerah, terdapat insiden yang melibatkan ugutan terhadap pentadbiran sekolah oleh pelajar lain pada 2019.

“Kejadian itu telah disiasat dengan teliti dan ditangani dengan segera, dan pelajar terbabit menerima tindakan disiplin yang sewajarnya,” kata kenyataan itu. “Ia tiada kaitan langsung dengan Thomas Crooks.”

Bekas Presiden Donald Trump, dengan balutan di telinganya selepas cedera dalam cubaan membunuh, menghadiri hari pertama Konvensyen Kebangsaan Republikan 2024 di Forum Fiserv di Milwaukee pada 15 Julai 2024. (Gambar oleh Brendan Smialowski/AFP/Getty Images)

Motif belum dapat dikenal pasti

Dalam insiden tembakan di perhimpunan itu, Thomas Crooks didakwa telah melepaskan tembakan ke arah Presiden Amerika Syarikat ke-45, dan menembusi telinga kanannya; membunuh seorang peserta perhimpunan; dan mencederakan dua yang lain. Seorang penembak tepat Perkhidmatan Rahsia berjaya menembak mati lelaki bersenjata itu, yang melepaskan tembakan ke arah perhimpunan dari atas bumbung kira-kira 400 kaki jauhnya, tidak lama selepas dia melepaskan tembakan, menurut pegawai.

Lebih seminggu kemudian, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) masih tidak dapat mengenal pasti secara terbuka motif penembak itu. Setakat ini, pegawai agensi itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau maklumat secara terbuka mengenai kemungkinan kecenderungan ideologi yang boleh membantu menjelaskan tindakannya memulakan cubaan membunuh itu.

Butiran lanjut mengenai penyiasatan itu dijangka akan diumumkan apabila Pengarah FBI Christopher Wray tampil mengemukakan hasil siasatan di hadapan Jawatankuasa Kehakiman Dewan.

Penembak Trump mempunyai peranti letupan padanya, kata polis

0

Lelaki penembak bekas Presiden Donald Trump di Pennsylvania pada 13 Julai mempunyai peranti letupan padanya, kata pegawai tertinggi polis negeri itu pada 23 Julai.

“Kami sedar tentang perkara itu awal-awal lagi dan ia merupakan pertimbangan taktikal yang serius sejurus selepas itu ketika kami menangani kejadian jenayah berkenaan,” kata Kolonel Christopher Paris, Pesuruhjaya Polis Negeri Pennsylvania, kepada sidang Dewan Perwakilan Amerika Syarikat di Washington.

Ahli Perwakilan Michael McCaul (R-Texas) telah meminta Kolonel Paris untuk pengesahan bahawa Thomas Crooks, penembak berusia 20 tahun, mempunyai peranti letupan dan bom di dalam keretanya, yang diletakkan berhampiran perhimpunan itu.

Ejen penguatkuasa undang-undang berdiri berhampiran pentas perhimpunan kempen untuk calon presiden Republikan, bekas Presiden Donald Trump di Butler, Pennsylvania pada 13 Julai 2024. (Gambar oleh Anna Moneymaker/Getty Images)

“Nampaknya pada saya, teori yang baik ialah dia akan membunuh bekas presiden dan kemudian meletupkan keretanya, menyebabkan pengalihan perhatian, dan kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” cadang Rep. McCaul.

Selepas Thomas Crooks melepaskan tembakan ke arah bekas Presiden Trump, dia telah terbunuh oleh penembak tepat Perkhidmatan Rahsia, menurut pegawai.

Pengarah Perkhidmatan Rahsia Kimberly Cheatle, yang mengumumkan peletakan jawatannya lebih awal pada hari Selasa, 23 Julai memberitahu ahli dewan minggu ini bahawa beliau tidak akan menyatakan berapa banyak kelongsong peluru yang ditemui di sekeliling penembak.

Kol. Paris memberitahu pada perbicaraan itu bahawa beliau percaya terdapat lapan kelongsong peluru yang telah ditemui.

Thomas Crooks memanjat di atas sebuah bangunan berhampiran perhimpunan Butler County dan melepaskan tembakan dari atas bumbung, kata pihak berkuasa. Bekas Presiden Trump dan dua yang lain tercedera, manakala individu keempat terbunuh.

Rep. McCaul, salah seorang ahli perwakilan yang baru-baru ini mengadakan lawatan tempat kejadian dan ke bumbung itu, berkata penembak mempunyai “pandangan, mata tertumpu, jelas ke arah presiden” dan bumbung itu adalah kedudukan terbaik di luar perimeter keselamatan untuk menembak bekas presiden, sejauh mana yang diketahuinya.

Crooks “tidak sepatutnya dibenarkan naik ke atas bangunan itu,” katanya.

Patrick Yoes, presiden Fraternal Order of Police, memberitahu ahli perwakilan bahawa beliau percaya bumbung dan kedudukan tinggi lain yang berdekatan sepatutnya dimasukkan dalam perimeter keselamatan.

Kimberly Cheatle memberitahu ahli perwakilan bahawa cerun bumbung menimbulkan kebimbangan keselamatan, menyebabkan tiada kakitangan Perkhidmatan Rahsia ditempatkan di sana.

Kolonel Paris, ditanya mengenai keputusan itu, dan berkata beliau tidak bersetuju dengannya.

Dalam ucapan perasmian yang disediakan, Kolonel Paris berkata Polis Negeri Pennsylvania sedang menjalankan siasatan bersama ke atas kejadian tembakan perhimpunan di Butler dengan FBI. Beliau berkata penyiasat telah menjalankan lebih 100 soal siasat dan mengumpul lebih 1,000 bukti.

Perkhidmatan Rahsia sedang menjalankan siasatan berasingan yang cuba menilai apa yang silap. Siasatan itu dijangka mengambil masa 60 hari, kata Pengarah Cheatle.

Beliau sebahagian besarnya enggan membincangkan secara spesifik perkara yang telah ditentukan oleh penyiasat setakat ini, dengan memetik siasatan sedang dijalankan.

Tapak semasa siasatan polis terhadap tembakan pada perhimpunan kempen calon presiden Republikan dan bekas Presiden Donald Trump, di Butler, Pennsylvania pada 14 Julai 2024. (Gambar oleh Carlos Osorio/Reuters)

Pihak berkuasa menemui Crooks beberapa detik sebelum tembakan dilepaskan

Kol. Paris kemudian berkata beberapa saat berlalu selepas seorang pegawai tempatan bertentang mata dengan Crooks sebelum penembak itu melepaskan tembakan.

“Ia hanya beberapa saat,” Kol. Paris.

Terdahulu dalam perbicaraan, beliau berkata ia tidak lebih daripada tiga minit antara masa pegawai polis itu melihat Crooks dan peluru mula berterbangan.

Pegawai tempatan dan rakan kongsi persekutuan telah mendengar tentang individu yang mencurigakan berada di sekitar bangunan dan mereka pergi mencari individu itu. Mereka akhirnya mendapati seorang lelaki berada di atas bumbung. Seorang pegawai mengangkat seorang lagi. Pegawai yang dinaikkan, menggenggam tebing, dan ternampak Crooks. Penembak itu memalingkan senjatanya dan mengarahkannya ke arah pegawai itu, mendorong pegawai itu melepaskan cengkamannya dan terjatuh ke tanah, menurut Kol. Paris.

Pegawai itu “tidak berada dalam kedudukan … untuk mengeluarkan senjatanya,” kata Kol. Paris.

Michael Slupe, sheriff Butler County, sebelum ini berkata bahawa pegawai itu tidak dapat menggunakan senjatanya dan dengan itu melepaskan pegangannya dari atas bumbung.