Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 pada 28 Julai berkata pihaknya “amat menyesali” atas sebarang kelemahan yang berlaku semasa upacara pembukaan temasya sukan berprestij tersebut sambil menafikan sebarang niat untuk “tidak menghormati” mana-mana agama selepas menerima aduan daripada kumpulan agama di Perancis dan beberapa negara lain.
Beberapa kumpulan Katolik dan biskop di Perancis telah mengkritik dengan apa yang mereka lihat sebagai “adegan yang mencemuh dan mengejek agama Kristian” dalam persembahan pada 26 Julai yang dikoreografi oleh pengarah kreatif Thomas Jolly.

Kontroversi dan kecaman tertumpu kepada persembahan yang melibatkan para penari dan seorang DJ yang seolah-olah memaparkan adegan “The Last Supper”.
“Jelas sekali tidak ada niat untuk menunjukkan rasa tidak hormat terhadap mana-mana kumpulan agama,” kata jurucakap Sukan Olimpik Paris 2024 Anne Descamps kepada para wartawan dalam kenyataannya.
“Sekiranya terdapat sebarang kesalahan dan kelemahan, kami sudah tentu benar-benar menyesalinya,” tambah beliau.

Sementara itu, Thomas Jolly menafikan mengambil inspirasi daripada “The Last Supper” untuk upacara perasmian selama hampir empat jam itu, yang berlangsung dalam hujan lebat di Sungai Seine.
Adegan itu, bertujuan untuk menggalakkan sikap toleransi terhadap identiti seksual dan jantina yang berbeza, yang turut menampilkan pelakon Perancis Philippe Katerine.
“Ideanya adalah untuk mengadakan pesta besar-besaran yang dikaitkan dengan dewa-dewa Olympus,” kata Jolly.
Video rasmi upacara pembukaan Paris 2024 telah pun dipadam dari akaun Olympics kerana menerima terlalu banyak komen negatif.
Memetik Dailymail UK, para pengguna media sosial dilihat berkongsi tangkap skrin yang menunjukkan video tersebut juga telah dipadam di semua akaun media sosial Olympics.
Bukan setakat itu, tayangan persembahan pembukaan itu juga tidak lagi kelihatan di saluran YouTube Olympics meskipun terdapat liputan tentang sukan sebelum dan selepas upacara pembukaan.

Ramai yang menyelar gimik pembukaan yang memaparkan persembahan Drag Queen iaitu lelaki berpakain wanita yang kononnya ingin mengetengahkan nilai-nilai Perancis tentang kebebasan, persaudaraan dan kesaksamaan.
Tidak hanya itu, penganut agama Kristian juga turut mengecam penutup persembahan itu yang didakwa mencipta parodi ‘woke’ berhubung lukisan Leonardo da Vinci, “The Last Supper” yang dikaitkan dengan makan malam terakhir Jesus bersama sahabat-sahabatnya.
Malah, ada segelintir individu yang berpendapat video persembahan pembukaan acara terbabit tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.
Selain itu, acara pembukaan terbabit juga digelar sebagai yang terburuk pernah diadakan penganjur Olimpik kerana ia berlangsung dalam keadaan hujan lebat.
Para penonton mendakwa tidak disediakan tempat duduk berbumbung menyebabkan mereka terpaksa berdiri dalam keadaan basah kuyup.

Pembukaan tirai acara itu juga dicemari oleh beberapa kesilapan, termasuk masalah nama negara tersalah umum dan bendera Olimpik yang secara tidak sengaja dinaikkan secara terbalik.
Dalam kenyataan permohonan maaf pada 28 Julai itu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut memohon maaf kepada Korea Selatan selepas delegasi mereka dilabelkan sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) dalam siaran langsung semasa acara pembukaan temasya sukan itu di Sungai Seine.