PARIS: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar satu lagi kejutan buat Malaysia apabila berjaya menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping untuk mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selaku juara Kumpulan D, dalam perlawanan pagi tadi, waktu tempatan.
Pertarungan selama 70 minit di Porte de La Chapelle Arena itu menyaksikan beregu campuran negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu meraih kemenangan menakjubkan 17-21, 21-15, 21-16.

Setelah tewas di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bangkit menggegar venue pertandingan yang dibanjiri kira-kira 8,000 penonton seawal 8.30 pagi waktu tempatan, dengan mempamerkan permainan terbaik mereka untuk mendominasi dua set berikutnya.
Berdasarkan format perlawanan, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan berdepan naib juara kumpulan dan hanya akan diketahui dalam undian esok, selepas semua aksi peringkat kumpulan acara beregu selesai.
Naib juara Terbuka Switzerland dan Thailand Masters itu memulakan kempen pada Sabtu dengan menewaskan pasangan Singapura Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12, sebelum meraih kemenangan kedua mengatasi wakil Amerika Syarikat Vinson Chiu-Jennie Gai 21-15, 24-22.

Mengenai kemenangan hari ini, Ee Wei berkata keberanian mereka untuk melawan secara berhabis-habisan menentang Yan Zhe-Dong Ping tanpa mempedulikan status juara bertahan seteru mereka itu, berjaya mengubah keputusan ‘atas kertas’.
“Sebagai juara bertahan, permainan mereka sangat baik dan menyukarkan kami. Tapi kunci kejayaan kami adalah percaya satu sama lain dan komunikasi yang baik dalam gelanggang, kita tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Ee Wei.
“Mereka beregu utama dunia dan mempunyai kualiti permainan sangat bagus. Tapi kali hari ini, kita tidak terlalu ikutkan perasaan apabila ketinggalan seperti dulu, kita lawan balik dengan mereka,” tambahnya.
Dong Ping merangkul pingat emas di Tokyo 2020 bersama gandingannya ketika itu Wang Yi Lyu, yang mengumumkan persaraan tahun lalu kerana kecederaan.
Sementara itu, Tang Jie berkata mereka tidak mahu terlalu teruja dengan kemenangan hari ini tetapi mahu meneruskan momentum kemenangan mereka di peringkat suku akhir kelak.
“Pada perlawanan hari ini, kita cuba cari bagaimana cara untuk mengatasi kehebatan mereka, dan strategi kita berjalan lancar hingga menang. Kita akan gunakan sehari rehat esok untuk pemulihan dan mempersiapkan diri untuk perlawanan suku akhir nanti,” katanya.