Sturgeon Yangtze dan ikan dayung China, yang dikenali sebagai ‘gergasi terakhir Yangtze’ telah dianggap pupus di alam liar oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Sturgeon Yangtze menghuni Sungai Yangtze selama 140 juta tahun. Kini ikan itu tiada lagi dan begitu gergasi lain yang berkongsi laluan sungai terpanjang di China itu sejak sekian lama, ikan dayung China.
IUCN mengemas kini Senarai Merah Spesies Terancam buat pertama kalinya pada 21 Julai lalu dalam tempoh 13 tahun dengan mengisytiharkan kedua-dua spesies itu, yang dikenali sebagai gergasi terakhir Yangtze sebagai pupus di alam liar.
Gambar Field&Stream
Pernah menjadi ikan air tawar terbesar di dunia, sturgeon Yangtze atau nama saintifik Acipenser dabryanus, boleh mencapai panjang 8 meter dan berat 680 kilogram. Sejarah kewujudannya meluas ke seluruh Asia, termasuk Jepun, Korea, dan Sungai Kuning di China.
Juga digelar “fosil hidup”, sturgeon Yangtze mempunyai muncung bulat, sirip dada yang besar, dan barisan rabung tinggi pada tulang belakang dan rusuknya. Walaupun masih terdapat ikan tawanan dalam program pembiakan oleh pihak berkuasa dengan pelbagai usaha dilakukan, namun ia telah gagal untuk berjaya memperkenalkan semula ikan itu ke dalam ekosistem sungai, dan kini dianggap pupus di alam liar.
Ikan dayung China atau Psephurus gladius, boleh mencapai 7 meter panjang dan berat 508 kilogram. Ia mempunyai badan kelabu perak yang panjang, penglihatan yang kurang berkembang, dan muncung seperti pedang yang digunakan untuk mencari mangsa dengan mengesan aktiviti elektrik.
Menurut National Geographic, tiada ikan dayung wujud dalam kurungan dan tiada tisu hidup ikan itu telah dipelihara, maka tiada harapan untuk masa depannya.
Kedua-dua ikan ini terancam dengan mendadak selepas pembinaan empangan pertama Yangtze, Empangan Gzehouba, pada akhir 1980-an. Ikan sturgeon Yangtze menurut sejarah boleh mengembara sejauh 2,000 batu dari Laut China Timur ke tempat bertelurnya di atas empangan. Ikan dayung China terakhir yang pernah dilihat serta ditangkap dan ditanda adalah pada tahun 2003, pada tahun yang sama Empangan Three Gorges dibina.
Kedua-dua spesies itu dianggap sebagai makanan istimewa dan sejarah merakam kedua-dua ikan ini telah banyak ditangkap. Ikan dayung pernah menjadi makanan kegemaran maharaja purba, manakala kaviar sturgeon amat bernilai tinggi.
Pencemaran dan perjalanan kapal juga menyumbang kepada kematian ikan. Sturgeon Yangtze sangat sensitif kepada bunyi bising dan menurut National Geographic, saintis percaya air larian industri mungkin menyebabkan sesetengah ikan sturgeon menukar jantina mereka daripada jantan kepada betina.
Senarai terbaharu spesies terancam IUCN, menyatakan 100 peratus daripada baki 26 spesies sturgeon di dunia kini menghadapi risiko kepupusan, meningkat daripada 85 peratus yang dilaporkan pada tahun 2009.
Ketika negara berdepan inflasi, tiga pengusaha gerai makan di Johor Bahru masih mengekalkan harga jualan makanan mereka pada kadar rendah bagi meringankan beban pelanggan.
Pengunjung gerai roti canai di Kampung Pasir masih boleh menikmati minuman panas seperti kopi dan teh tarik pada harga hanya RM1 secawan.
Pengusaha gerai Madi Umar, 61 tahun, telah mengekalkan harga yang sama selama bertahun-tahun kerana tahu ramai yang menghadapi masalah kewangan, terutama ketika pandemik.
“Kos sara hidup semakin tinggi dan jika saya menaikkan harga, ia akan membebankan pelanggan saya.
“Ada yang mengunjungi gerai saya sejak kecil dan kini membawa anak-anak mereka juga.
“Saya mahu menyediakan pilihan sarapan pagi dan makan tengah hari yang murah untuk mereka,” jelas Madi.
Beliau mengusahakan gerai itu dengan bantuan isterinya Tuti Warni dan beberapa saudara mara.
Disebabkan harga yang ditawarkan rendah, Madi tidak mampu untuk mengambil pekerja, jadi gerai itu beroperasi berkonsepkan layan diri.
Selain minuman murah, Madi menjual roti canai kosong pada harga 90 sen sekeping manakala roti canai bawang berharga RM1 dan roti canai telur berharga RM1.50.
Pelanggannya juga bebas mengambil kuah dhal mengikut suka untuk roti canai mereka. Tinjauan mendapati pada hari ini, kebanyakan gerai lain menjual roti canai kosong pada harga RM1.50 dan roti canai telur sehingga RM3.
Madi berkata roti canai kosong miliknya telah dijual pada harga 50 sen selama 19 tahun sebelum diselaraskan kepada 90 sen pada Julai tahun ini berikutan harga barangan seperti tepung gandum dan minyak masak yang melambung tinggi.
“Setelah memikirkannya, saya memutuskan untuk menaikkan harga untuk sekurang-kurangnya menampung kos operasi saya, tetapi saya percaya makanan saya masih lebih murah berbanding kedai makan lain.
“Kepuasan pelanggan adalah keutamaan dan saya lebih suka memperoleh keuntungan yang kurang sedikit daripada membebankan mereka dengan makanan yang mahal.
“Ia juga satu bentuk sedekah, cara saya membantu orang lain,” kata bapa kepada tiga anak itu sambil menambah beliau menjual sehingga 300 keping roti canai setiap hari dan lebih banyak lagi pada hujung minggu.
Pemilik gerai makanan S. Kalaiarasi, yang mula menjual nasi lemak Kedah di Taman Tampoi Indah ketika pandemik COVID-19 bermula pada 2020, merancang untuk mengekalkan harga asasnya pada RM1 sebungkus.
Wanita berusia 38 tahun itu, yang pernah bekerja di Singapura dan memiliki perniagaan percetakan, beralih kepada menjual makanan apabila perniagaannya terjejas oleh perintah kawalan pergerakan kerana pandemik itu.
“Saya orang Kedah, jadi saya ambil keputusan untuk menjual nasi lemak ala Kedah yang dimasak dengan kunyit, jadi ia berwarna kuning.
“Saya mahu menyediakan makanan murah kepada mereka yang mengalami pendapatan terjejas akibat pandemik dan saya berhasrat untuk mengekalkannya,” katanya.
Selepas menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan gerainya, Kalaiarasi berkata dia menyedari peningkatan pelanggan dari sejauh Kuala Lumpur dan jualannya meningkat sehingga 200 bungkus setiap hari.
S. Kalaiarasi berkata sebungkus nasi lemak dengan telur dan sambal berharga RM1 manakala hidangan vegetarian dengan tauhu berharga RM1.50. Pilihan ayam, ikan atau udang berharga RM2 setiap satu.
“Sajian nasi lemak berlauk ayam saya dulu RM1.50 tetapi saya naikkan harga apabila harga ayam naik, tetapi saya tambah nasi pada setiap bungkus.
“Saya bermula dengan hanya satu khemah sementara dan dengan bantuan ahli keluarga. Kini, saya menambah satu lagi khemah untuk menawarkan lebih banyak variasi seperti teh masala pada harga RM3.50 secawan,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Di Taman Ungku Tun Aminah, sebuah gerai yang terletak dalam restoran di sepanjang Jalan Perkasa 4, pengusaha makanan menawarkan sepinggan nasi ayam dengan harga serendah RM3.
Pengusaha gerai Chong Wu, 40, berkata empati kepada golongan kurang bernasib baik adalah alasan beliau untuk mengekalkan harga rendah.
“Ketika saya mula-mula mengusahakan gerai itu kira-kira lima tahun lalu, sepinggan nasi ayam bertimun dan sos hanya RM2.50 kerana terdapat banyak rumah pangsa kos rendah di kawasan itu.
“Saya juga berasal dari isi rumah sederhana jadi saya memahami keperitan mereka, terutama mereka yang bekerja keras untuk menyara keluarga, dan saya ingin menawarkan mereka harga makanan yang berpatutan.
“Apabila saya menaikkan harga saya sebanyak 50 sen dua bulan lalu, ada pelanggan yang memberitahu saya untuk meletakkan harga lebih tinggi kerana sepinggan nasi ayam boleh dijual dengan mudah pada harga RM7 di tempat lain,” katanya.
Chong yang dibantu isteri dan seorang lagi pekerja menambah, kebanyakan pelanggannya adalah pelanggan tetap yang mempunyai keluarga.
Hari mereka bermula seawal jam 3 pagi di mana mereka menyediakan makanan, termasuk membakar ayam dan daging lain pada waktu perniagaan bermula 6 pagi hingga 3 petang.
Chong berkata nasi char siew miliknya juga berharga RM3 setiap satu manakala sepinggan nasi daging khinzir panggang bermula dari RM4.
“Kami kadangkala boleh menjual sehingga 500 pinggan nasi pada hari yang baik dan saya rasa ini menunjukkan ramai pelanggan mencari makanan yang murah dan berpatutan.
“Kepuasan melihat pelanggan yang kembali sudah cukup untuk memastikan perniagaan saya terus maju,” katanya.
Persaingan menghantar manusia dan haiwan ke angkasa lepas ketika Perang Dingin, pada era 1950-an dan 60-an turut membabitkan negara Perancis, selain kuasa besar Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet (Rusia).
Perancis pada masa itu turut tidak mahu ketinggalan untuk menghantar ‘angkasawan’ mereka sendiri yang bernama Felicette.
Felicette bukan angkawasan biasa tetapi dia adalah kucing pertama di dunia yang dihantar ke angkasa lepas dengan berat hanya 2.5 kilogram.
Asalnya Felicette merupakan kucing jalanan terbiar yang dilatih untuk dihantar ke angkasa lepas, tetapi sumbangannya membantu kajian umat manusia demi perkembangan sains dan teknologi angkasa lepas tidak mendapat pengakhiran yang menggembirakan.
Sebagai kucing angkasa pertama dan satu-satunya dalam sejarah manusia, Felicette telah dilupakan selama beberapa dekad.
Walaupun kemudian Felicette akhirnya mendapat penghormatan yang sepatutnya, pengakhiran hidupnya yang tragis telah dibangkitkan kembali ke mata umum.
Semuanya bermula apabila Perancis membuat pelaburan yang tinggi dalam program angkasa lepas pada akhir 1950-an di bawah doktrin De Gaulle, dan negara itu bermimpi untuk menghantar angkasawan Perancis pertama ke angkasa lepas dengan menggunakan roket berteknologi Perancis.
Selepas Perancis berjaya menghantar tikus bernama Hector ke angkasa pada Februari 1961, ia secara rasmi menjadi negara ketiga selepas Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat, menghantar haiwan ke angkasa lepas. Kesatuan Soviet berjaya menghantar Laika, seekor anjing, manakala Amerika Syarikat berjaya menghantar Ham, seekor cimpanzi.
Saintis Perancis kemudian dengan segera memindahkan objek penyelidikan mereka daripada tikus kepada haiwan comel, kucing.
Untuk pengetahuan, matlamat utama haiwan dihantar ke angkasa lepas adalah untuk memahami kesan penerbangan angkasa lepas terhadap psikologi manusia.
Sebelum ini, kucing telah banyak digunakan untuk kajian neurofisiologi atau kajian saraf, jadi adalah munasabah apabila haiwan lebih besar digunakan untuk lebih difahami oleh para saintis.
Pada tahun 1963, kucing jalanan betina Felicette yang ketika itu tidak dinamakan telah ditangkap oleh pengedar kucing dan telah dijual kepada Pusat Penyelidikan Perubatan Aeronautik Perancis bersama-sama dengan 13 kucing betina lain pada tahun yang sama, dan mereka menerima kod percubaan C341.
Juga sebab mengapa saintis memilih kucing betina juga sangat mudah, kerana kucing betina ringan dan jinak, dan merupakan haiwan eksperimen bersaiz kecil dan sederhana paling ideal.
Felicette dan rakan-rakannya telah dipilih sebagai ‘kucing pertama’ program angkasa lepas Perancis. Mereka melengkapkan eksperimen nadi elektrik dengan 9 elektrod yang ditanam di dalam badan mereka, serta didedahkan dengan bunyi roket yang kuat serta pelbagai latihan selama beberapa bulan.
Felicette akhirnya terpilih menjadi angkasawan daripada enam calon akhir kerana dia berjaya mengekalkan berat badan, sentiasa tenang dan mudah dikendalikan.
Salah seekor lagi kucing yang melakukan ujian yang sama telah terbunuh akibat kepanasan melampau dalam kapsul angkasa dan gagal menjadi kucing angkasawan bersama Felicette.
Felicette telah dihantar dalam misi angkasa lepas pada julung kalinya buat seekor kucing menggunakan roket Veronique AG1 yang dilancarkan pada 18 Oktober 1963 tepat jam 8.09 pagi.
Roket itu berjaya terbang menghampiri jarak 157 kilometer, dan Felicette berada di ruang angkasa lepas selama 15 minit.
Kemudian Felicette berjaya kembali hidup-hidup ke bumi sebagai wira Perancis.
Kucing Felicette kemudian telah digelar sebagai ‘Astrocat’ oleh Perancis.
Media Perancis sejak mula telah tersalah menamakan kucing angkasa lepas itu sebagai ‘Felix’ berdasarkan kartun popular ‘Felix The Cat’. Setelah mengetahui dia sebenarnya kucing betina, mereka baru mengubahnya kepada panggilan asal Felicette.
Malahan, kerajaan Perancis juga turut melakukan kesilapan apabila mengeluarkan setem untuk memperingati jasa Felicette, tetapi pihak mereka mencetaknya dengan nama Felix kerana menyangka ia adalah kucing jantan.
Malang juga pada akhirnya, saat kegemilangan Felicette tidak pernah bertahan lama. Tidak lama selepas kembali ke bumi, para saintis mematikan kucing ini supaya mereka boleh mengkaji otaknya.
Felicette hilang begitu sahaja tanpa jejak dan semakin dilupakan. Dan Perancis juga tidak pernah menghantar manusia ke angkasa lepas.
Selepas hampir lebih 50 tahun dilupakan, seorang lelaki bernama Matthew Serge Guy memulakan kempen untuk misi pengebumian terhormat Felicette pada tahun 2017.
Matthew berjaya mengumpul dana AS$57,000 untuk membina tugu peringatan kucing angkasa lepas pertama Felicette di Universiti Angkasa Antarabangsa di Strasbourg, Perancis.
Malahan, Universiti Toulouse III juga mengumumkan akan menamakan balai cerap mereka dengan nama Felicette dan logo ‘Astrocat’ pada tahun 2023.
Pada hari ini, Felicette telah mendapat penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya, dan seluruh rakyat Perancis amat berbangga dengan sumbangan besar kucing ini kepada bidang sains angkasa.
Seorang penari mengalami kecederaan serius apabila pemegang sebuah panel video besar LED telah terputus dan terjatuh di atas pentas ketika konsert kumpulan popular Hong Kong, Mirror sedang berlangsung pada 28 Julai.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan skrin LED itu terjatuh dan terkena pada kepala dan badan hadapan seorang penari sebelum ia melantun ke arah seorang lagi penari.
Insiden itu menyebabkan yang lain turut terperangkap dan mendorong pihak berkuasa memulakan siasatan segera.
Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya dua penari cedera, dengan seorang berada dalam keadaan kritikal dan seorang lagi dilaporkan stabil selepas dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth.
Salah seorang penari mengalami kecederaan di bahagian kepala dan seorang lagi berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan serius di bahagian leher, SCMP melaporkan.
Tiga penonton turut dilaporkan cedera, dengan ramai peminat beremosi selepas adegan kemalangan yang mengerikan itu berlaku.
“Saya terkejut dengan kejadian itu. Saya bersimpati dengan mereka yang cedera dan berharap mereka akan pulih segera,” kata Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee pada 29 Julai.
Katanya, kerajaan akan menyiasat dan mengkaji semula prosedur keselamatan untuk melindungi penghibur, kakitangan dan orang ramai.
Setiausaha Kebudayaan Hong Kong, Kevin Yeung berkata jadual konsert akan ditangguhkan atau dibatal sehingga struktur pentas itu dipastikan selamat.
Dalam satu kenyataan, biro riadah kerajaan, Jabatan Riadah dan Perkhidmatan Kebudayaan Hong Kong sudah menghubungi penganjur konsert berhubung insiden pentas lain sejak kebelakangan ini.
Gambar SCMP
Kumpulan Mirror yang amat popular di Hong Kong ditubuhkan pada tahun 2018 melalui rancangan realiti televisyen dan telah merancang 12 siri konsert di Coliseum Hong Kong, bersebelahan pelabuhan Victoria.
Lebih 13,000 peminat Mirror telah menandatangani petisyen dalam talian meminta penganjur konsert menyelesaikan masalah dan memastikan keselamatan untuk semua penghibur, menurut laman web petisyen itu.
Penganjur konsert, MakerVille yang dimiliki taikun Hong Kong Richard Li dari PCCW Media Group berkata pihaknya sedang menyiasat secara menyeluruh punca kemalangan itu.
Sepasang suami isteri dari South Dakota, Amerika Syarikat yang berkahwin selama 70 tahun, dan masih dilamun cinta seperti ketika pertama kali mengikat tali pertunangan, telah berkongsi rahsia kebahagiaan dan hubungan cinta sejati mereka yang kekal sehingga hari ini.
Pasangan Lubbers, Melvin, 92 tahun dan Nancy, 87 tahun, pertama kali bertemu di gelanggang luncur tempatan di Mitchell pada tahun 1951.
“Datuk saya sering berkata dia ‘membelok ke arah nenek dengan kakinya’ semasa mereka bermain luncur,” kata cucu pasangan itu, Anna Behning, 24 tahun.
Mereka jatuh cinta dan bertunang beberapa bulan kemudian.
Melvin mengimbau telah melamar Nancy di taman tempatan, dan bergurau dia “tidak pasti sama ada dia akan berkata ya!” Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 6 Januari 1952, di Gereja First Lutheran di Mitchell.
Nancy mengingati detik membeli gaun pengantinnya dari Jarold’s Shop, sebuah kedai milik ibu jirannya, di pusat bandar Mitchell. Dia menjelaskan pakaian pengantinnya berharga AS$35 dan vel AS$15.
Mengimbas kembali pada hari itu, Nancy teringat “jambak bunga ros merah yang cantik,” manakala Melvin mengingati makan kek dan ais krim selepas majlis di gereja bersama seluruh keluarga besar mereka yang hadir.
Menurut Melvin, majlis perkahwinan itu tidaklah terlalu glamor.
Beberapa minggu selepas hari istimewa mereka, Melvin telah dikerahkan dengan Tentera Amerika Syarikat untuk berkhidmat dalam Perang Korea. Komunikasi dengan isteri barunya begitu terhad.
“Kami tiada telefon dengan mudah untuk menghubungi satu sama lain,” kata Nancy. “Kami terpaksa menunggu surat sampai, dan itu satu-satunya bentuk komunikasi yang kami ada.”
Apabila Melvin pulang dengan selamat ke Mitchell, dia menjadi jurujual dan menjalankan ternakan biri-biri sebagai hobi dan menjana pendapatan sampingan. Nancy bekerja di kedai runcit tempatan dan membesarkan lima orang anak pasangan itu.
Hari ini, 70 tahun kemudian, keluarga mereka telah berkembang menjadi 12 cucu dan 21 cicit.
“Memiliki lima anak yang membesar di rumah dan terus mempunyai keluarga sendiri adalah sesuatu yang sangat kami banggakan,” kata Nancy. “Keluarga kami amat bermakna buat kami, dan kami amat gembira apabila mereka datang melawat.”
Sebagai meraikan tujuh dekad Melvin dan Nancy bersama, cucu pasangan itu, Anna yang bekerja sebagai jurugambar perkahwinan sepenuh masa, mencetuskan idea untuk mengadakan sesi fotografi romantik buat datuk dan neneknya.
Anna, yang dibesarkan berhampiran Sioux Falls, South Dakota, dan kini tinggal di Marshall, memberitahu The Epoch Times, “Ibu dan saya memandu ke Mitchell pada suatu petang apabila kami membincangkan topik pakaian perkahwinan. Saya sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan saya sendiri, iaitu kira-kira sebulan selepas penggambaran ini berlangsung, jadi saya mempunyai idea perkahwinan di dalam kepala!”
Anna menyedari neneknya masih menyimpan pakaian perkahwinannya, jadi dia bertanya kepada ibunya jika dia boleh mencetus idea sama ada neneknya boleh memakainya sekali lagi.
“Satu kejutan buat kami, nenek berasa sangat teruja untuk memakai gaun pengantinnya semula,” kata Anna.
Duo ibu dan anak perempuan itu kemudiannya mempunyai idea untuk meyakinkan Melvin kembali memakai seragam tenteranya yang lama. “Dia tidak begitu teruja untuk memainkan permainan ‘berdandan’,” kata Anna, “jadi anda akan lihat dalam gambar kami mengikat uniformnya itu!”
Penggambaran fotografi impromptu itu berlangsung di halaman rumah Melvin dan Nancy pada 3 April 2021, kira-kira sembilan bulan sebelum ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70. Anna mendakwa pasangan merpati dua sejoli itu “sangat comel bersama” dan dia akan mengabadikan gambar itu buat selama-lamanya.
Semasa Melvin membuat jenaka ringan semasa penggambaran gambar itu, Nancy “sangat memikat” yang dia masih sesuai dengan pakaiannya.
Apabila melihat Nancy dalam gaun pengantin itu, Melvin membunyikan siulan dan memanggil isterinya cantik.
“Tujuh puluh tahun kemudian dan datuk masih menganggap nenek adalah perkara yang paling cantik berjalan di planet Bumi, walaupun dia tidak memakai gaun pengantinnya,” kata Anna.
Untuk ulang tahun perkahwinan mereka pada bulan Januari, ibu Anna dan kakaknya membawa kek dan aiskrim ke rumah Melvin dan Nancy untuk meraikannya.
“Sebagai jurugambar perkahwinan, saya hampir boleh meramalkan sama ada pasangan itu akan kekal bersama seumur hidup,” fikir Anna. “Petunjuk utama ialah cara mereka melayan satu sama lain pada hari perkahwinan mereka, dan sebelum hari perkahwinan ketika saya bekerja dengan mereka.
“Jika mereka meletakkan keperluan pasangan mereka di hadapan diri mereka sendiri dan menunjukkan cinta yang tidak mementingkan diri sendiri, mereka pasti akan kekal bersama selama-lamanya.”
Gambar ulang tahun Melvin dan Nancy yang menyentuh hati bertukar menjadi catatan blog Anna di laman web peribadinya, yang telah menerima banyak komen “manis dan bermakna” daripada para netizen dan dia berkongsi yang terbaik daripada mereka dengan datuk dan neneknya.
Menjadi saksi cinta mereka yang telah lama terjalin, Anna mengagumi pasangan yang tabah ini kerana saling menghormati dan keupayaan mereka menyelesaikan pelbagai masalah. Dia juga menghargai datuk dan neneknya kerana mewariskan kebijaksanaan serta pegangan Kristian mereka mengendalikan segala masalah pasangan kepada keluarga.
Tujuh puluh tahun bersama juga telah memberi Melvin dan Nancy gambaran tentang apa yang menjadikan perkahwinan mereka berkekalan dan bahagia.
“Melupakan dan memaafkan, dan buat yang terbaik dalam situasi hidup anda,” kata Nancy kepada The Epoch Times, sambil menambah, “Melvin kadang-kadang boleh menjadi sangat degil, dan saya terpaksa belajar bagaimana untuk menerima usikannya.”
Walaupun hati Nancy mungkin bertambah sakit dengan situasi itu, dia tahu Melvin amat menyayanginya.
Sementara itu, Melvin menambah, “Setiap kali anda mempunyai perselisihan faham, pastikan anda duduk dan mencari penyelesaian. Sebaik sahaja anda mempunyai penyelesaian, jangan bangkitkannya semula.”
Pasangan itu juga berkongsi nasihat untuk pasangan muda yang sedang bercinta, dengan berkata, “Sentiasa letakkan Tuhan sebagai pusat perkahwinan anda dan fikirkan orang lain sebelum diri anda sendiri.”
Menerusi satu rakaman video TikTok yang tular dengan hampir 3 juta tontonan oleh @nekliddeya, seekor kucing telah berjalan pulang ke rumah tuannya sambil menggonggong sebuku roti Gardenia di mulut.
Apa yang lebih melucukan, secara kebetulan seekor lembu berdiri di tepi jalan sambil memerhatikan kucing itu berjalan tergesa-gesa seperti berlari membawa roti Gardenia tersebut.
Tahukah anda meninggalkan barang-barang sedemikian boleh mengundang bahaya terutama apabila kereta kerap diparkir dan didedahkan di bawah sinaran terik matahari atau cuaca panas?
Berikut adalah antara barangan yang anda perlu elakkan daripada ditinggalkan di dalam kereta.
Penyala api atau ‘lighter’ menjadi barang wajib bagi mereka yang merokok.
Amat berbahaya meninggalkan penyala api di dalam kereta anda di bawah terik matahari kerana haba yang terkurung di dalam kereta boleh menjadi gas di dalam ‘lighter’ dan ini boleh mendatangkan risiko berlaku letupan.
Barangan elektronik ini termasuk telefon pintar, vape, power bank dan kamera mempunyai bateri di dalamnya dan ia boleh menyebabkan letupan apabila suhu menjadi terlalu panas.
Asid atau alkali dari sel bateri tersebut boleh mengakibatkan kulit melecur dan meninggalkan kesan parut kecederaan yang lama pada badan pemandu atau penumpang kereta yang terdedah kepadanya.
Ubat-ubatan juga antara salah satu benda yang kerap disimpan di dalam kereta. Sesetengah pemilik kereta berpendapat adalah lebih mudah jika berlaku apa-apa kesakitan atau kecemasan di masa hadapan, ubat-ubatan telah tersedia di dalam kereta.
Namun, sebenarnya ubat-ubatan menjadi tidak baik terdedah di bawah cuaca panas. Anda perlu menyimpan ubat-ubatan pada suhu bilik. Jadi jangan menyimpannya di dalam kereta.
Bagi minuman ringan soda dalam tin akan mengembang dan seterusnya meletup jika terdedah kepada suhu yang tinggi.
Bagi minuman di dalam botol plastik pula, ia amat sensitif terhadap haba dan akan membebaskan bahan beracun ke dalam cecair yang berada di dalam botol berkenaan.
Segelintir pemandu sangat gemar meninggalkan makanan di dalam kereta. Bermula pelbagai snek sehingga ke gula-gula. Memanglah sedap menjadi kudapan semasa memandu.
Tetapi tahukah anda, sesetengah makanan akan luput tarikh dalam masa seminggu dan ia boleh mengakibatkan keracunan makanan.
Kemudahan asas yang terhad menyebabkan murid dan pelajar yang tinggal di Kampung Mansiang Baru, Keningau, Sabah menyeberangi sungai dengan hanya meniti batang paip.
Rakaman video yang telah tular di media sosial pada 26 Julai lalu memaparkan sekumpulan pelajar sekolah kelihatan memberanikan diri dan mempertaruh nyawa ketika meniti batang paip untuk merentasi Sungai Mansiang yang deras, malah berhati-hati ketika melangkah.
Video berkenaan mendapat perhatian ramai apabila ia menunjukkan air sungai melambung tinggi pada musim hujan, dan bergelora.
Para pelajar lelaki dan perempuan memanjat pagar batang paip dengan berpaut kuat mengguna tangan sambil meniti, sementara ibu bapa mereka memerhati dengan cemas di tepi sungai.
Bagi yang tidak biasa melihat, tindakan para pelajar ini pasti membahayakan, namun bagi penduduk kampung berkenaan, ia hanyalah cabaran kehidupan mereka di kawasan pedalaman yang kekurangan infrastruktur asas.
Kampung Mansiang Baru terletak kira-kira 120 kilometer dari Kota Kinabalu di bawah DUN Tulid dan dalam kawasan Parlimen Pensiangan.
ADUN Tulid, Flovia Ng berkata beliau sudah mendapatkan peruntukan bagi membina jambatan merentasi Sungai Mansiang di perkampungan berkenaan.
Katanya, peruntukan untuk membina jambatan itu diperolehi melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 23 Jun lalu dan kini sedang dalam proses dokumentasi untuk cabutan tender.
Beliau melawat kampung berkenaan pada Januari lalu dan memberitahu penduduk akan kemungkinan menggunakan peruntukan khas Adun untuk pembinaan jambatan gantung.
Flovia berkata situasi yang dilihat dalam video yang tular itu hanya berlaku ketika air sungai melimpah disebabkan hujan lebat.
“Sebelum ini ada ‘Low River Crossing’ merentasi Sungai Mansiang sebagai laluan penduduk untuk menyeberangi sungai yang airnya cetek ketika tahap normal. Cuma ia tidak dapat dilalui ketika banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Kini, keutamaan Flovia adalah memastikan jambatan segera dibina demi memastikan kebajikan penduduk terpelihara.
Isu kesukaran perhubungan akibat ketiadaan jambatan atau jambatan usang di perkampungan sebelum ini dilaporkan di Nabawan, Sandakan dan Pitas.
Pada April lalu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan di Nabawan terpaksa menggunakan rakit buluh dan kaedah ‘zip line’ menggunakan tong dram untuk menyeberang sungai selepas jambatan rosak dihanyutkan arus deras ketika banjir awal tahun ini.
Bagaimanapun, tindakan telah diambil untuk membina semula jambatan gantung yang hanyut itu.
Makanan ringan sebenarnya tidak semuanya dikategorikan sebagai tidak sesuai untuk diberikan ibu bapa kepada anak-anak kerana merasakan kandungan nutrisinya adalah tidak sihat.
Dr. Mazliana Mazlan menerusi laman Facebooknya berkongsi, ibu bapa boleh memilih makanan ringan versi sihat dengan memberikan buah-buahan kering.
7 jenis jajan sihat untuk anak yang ibu bapa patut beli
Ada banyak sangat jajan berkhasiat rupanya. Cuma kita je yang tak perasan. Contohnya, buah kering macam ni, antara jajan yang kita boleh bagi untuk anak buat makanan snek.
Dari kita bagi makanan tinggi proses, yang langsung tiada nutrisi untuk tubuh anak, baik kita bagi makanan sebenar daripada buah yang dikeringkan macam ini kan.
Walau nutrisi tidak sama macam anak makan buah sebenar, tapi ia antara pilihan lebih baik berbanding jajan tinggi gula, garam, MSG dan pengawet.
Berikan anak buah kering dalam kuantiti yang sederhana. Buah yang dikeringkan, kandungan air sudah tiada, jadi buah akan tinggi dengan kandungan gula semula jadi.
Sebaiknya, cari buah kering yang tiada tambahan gula, supaya bayi pun boleh makan sekali. Baca ramuan kalau hendak tahu ada tambahan gula atau tidak.
Di Aeon semua jenis buah kering ini ada. Boleh cari di Shopee juga kalau ibu bapa berminat hendak cuba beri makanan ringan berkhasiat ini kepada anak-anak.
Banyakkan makanan sebenar untuk anak-anak makan di rumah.
Tingkah laku kucing memang tidak boleh dijangka walaupun selebihnya memanglah kucing itu haiwan peliharaan yang comel dan sentiasa menghiburkan.
Baru-baru ini tular di TikTok apabila sebuah video menunjukkan seekor kucing berwarna putih tiba-tiba mengamuk dan mula menerkam dan mencakar-cakar seorang pekerja di rumah kucing.
Namun, secara tiba-tiba kucing dalam sangkar itu hilang kawalan dan mula naik angin lalu menyerang pekerja wanita terbabit, sehingga menyebabkannya terpaksa keluar dari bilik kucing tersebut untuk menyelamatkan diri.
“Kucing ni On Heat, bila letak luar sangkar untuk bersihkan sangkar dia terus mengamuk bila ada kucing jantan lain provoke dia,” kapsyen pengguna TikTok@abang_kucing dari Whiskers Pet House dalam video itu.