25.8 C
Kuala Lumpur
Monday, July 21, 2025
Utama Blog Laman 155

Jadi tukang cuci sambilan bertahun supaya ibu bapa boleh terbang rai hari graduasinya di UK, tekad pemuda Kelantan ini jadi inspirasi

0

Kisah pengorbanan seorang pelajar agar ibu bapanya di Kelantan dapat menghadiri graduasinya di UK telah menghangatkan hati ramai warganet.

Kisah Mohammad Afiq Ismail dikongsi di Facebook oleh rakannya, Khairul Aiman ​​Hamdan.

“Ini adalah kisah seorang budak lelaki yang menjaga kambing dan kemudian terbang ke England,” kata kapsyennya.

Facebook

Hantaran itu mendedahkan bapa Afiq yang bekerja di ladang kelapa sawit dan mengembala kambing di Kuala Krai demi tekad untuk mengubah nasib keluarganya.

Semasa dia dan isterinya menjaga adik Afiq yang kurang upaya, mereka juga bekerja sambilan untuk menghantarnya ke sekolah berasrama penuh swasta yang memerlukan bayaran RM300 sebulan.

Namun, dengan keputusan PMR yang lemah, anak ini terpaksa meninggalkan sekolah itu. 

Facebook

Afiq berpindah ke sekolah lain, di mana dia mengambil jurusan perakaunan dan menyedari dirinya amat berminat dengan nombor.

“Apabila saya mendapat 9A dalam percubaan SPM, semua orang memandang saya. Saya tidak menoleh lagi ke belakang,” kata Afiq.

“Dengan izin Allah, saya mendapat 10A dan B untuk SPM saya,” tambahnya.

Facebook

Pemuda ini ditawarkan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk belajar di United Kingdom dalam jurusan perakaunan dan kewangan.

Bapa Afiq menyembelih seekor lembu dan seekor kambing untuk kenduri dan menjamu kampung apabila mendapat tahu anaknya akan belajar di luar negara di Universiti Essex.

Pemuda berusia 23 tahun itu berkata ini adalah satu kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh penduduk kampung lain, dan ibu bapanya tidak pernah berbahasa Inggeris.

Facebook

Walaupun berjaya mencipta sejarah keluarga dan kampung, Afiq bertekad untuk terus bekerja keras demi ibu bapanya.

Sepanjang kursus tiga tahunnya, Afiq bekerja sambilan sebagai tukang cuci supaya mereka akhirnya boleh terbang ke England untuk meraikan hari graduasinya.

Facebook

Menurut catatan Facebook, Afiq baru-baru ini memperoleh Kepujian Kelas Pertama dalam Perakaunan dan Kewangan, dan membeli tiket penerbangan untuk ibu bapanya bagi menyaksikan majlis tamat pengajiannya.

“Ibu dan ayah saya tidak pernah menaiki kapal terbang. Saya mahu membayar tiket penerbangan mereka sebagai hadiah untuk segala yang mereka lakukan untuk saya, kerana membantu saya menamatkan pengajian ini,” katanya.

Facebook

“Sepanjang hidup saya, saya hanya mahu memberikan mereka yang terbaik. Bukan sekadar ijazah, tetapi pengalaman berharga melihat anak mereka menerima ijazah. Saya tahu hanya mahu bersama ibu bapa saya pada masa itu,” tambahnya.

Pencapaian yang mengagumkan buat Mohammad Afiq dan paling penting telah membuat kedua ibu bapa dan ahli keluarganya amat berbangga. Tahniah dan selamat maju jaya buat anda!

Basuh kain buruk tidak perlu rendam lama-lama, ikut petua ini mudah boleh bersih dan wangi

0

Kebersihan kain buruk sering kita abaikan. Ya, maklumlah namanya pun kain buruk. Kita selalu cuci kain buruk atau kain buat lap ikut tangkap muat je.

Kadang-kadang musykil juga untuk dapat idea macam mana hendak membasuh kain lap yang buruk itu supaya menjadi berseri semula dan wangi pula tu.

Ada caranya seperti petua yang dikongsi oleh pengguna Instagram @kekcawan.com.my ini.

Gambar Hiasan / Pixabay

Cuci kain buruk

Entah kenapa ya panggil kain buruk. Ok la, kain lap. Sedap sikit bunyinya kan. Setiap hari kita guna paling tidak 1 hingga 2 helai kain lap kan. 

Yang buat baking lagi la kadang-kadang sampai 5 helai sehari.

Dan biasa la kan bila kain dah kotor kita masuk dalam baldi, letak sabun dan air. Biar rendam semalaman.

Kadang-kadang jadi 2 malam. Kadang-kadang jadi 3 malam. Kadang-kadang tambah bermalam-malam, masih juga tidak bercuci. Maka mulalah sampai berlendir dan berbau!

Instagram

Ini cara cik Ellie@kekcawan.com.my mencuci kain lap a.k.a kain buruk. Katanya tiap petang wajib cuci.

Cara-caranya mudah:

Sediakan satu periuk khas. Belilah dekat mana-mana kedai pun ada.

Masukkan air dan sabun pencuci.

Paling elok pakai sabun serbuk pencuci kain.

Instagram

Selepas itu tambah sedikit serbuk soda bikarbonat.

Kacau-kacau dan sebatikan.

Masakkan rendaman kain sebati sabun dan soda itu di atas api dapur gas.

Rebus kain dalam masa 10 minit.

Instagram

Siapa ada timer, boleh set masa 10 minit. Sambil-sambil itu boleh buat kerja lain, cuci-cuci ke atau kemas-kemas ke..

Selesai masa 10 minit boleh tutup api dan curah air kotor ke dalam singki.

Instagram

Buka air paip dan bilas bersih.

Instagram

Ambil berus dan berus lembut kain itu, tak perlu sental lagi pun macam yang biasa buat tu..

Instagram

Bilas lagi sampai bersih, perah dan sidai.

Terbukti pasti kain lap jadi bersih dan wangi.

Instagram

Senang dan cepat!

Boleh ikut petua ini kalau anda mahu. Selamat mencuba.

Shiba Inu sambil bersiar-siar berjaya selamatkan 14 anak kucing selama 4 setengah tahun, termasuk ambil alih tugas jadi ibu kucing

0

Anjing boleh mendalami jiwa ibu kucing yang terbina dari hati? Selepas Shiba Inu ini diambil sebagai haiwan peliharaan kesayangan, pemiliknya mendapati dia mungkin mempunyai ‘naluri keibuan’ berlainan spesies.

Setiap kali membawanya berjalan-jalan, pemilik itu selalu terserempak dengan kucing jalanan dan gemar mengambil inisiatif bermain dengan kucing-kucing ini.

Apa yang lebih menakjubkan ialah anjingnya lebih cepat dapat mengesan kewujudan anak-anak kucing terbiar.

@Ashahisippo/Twitter

Pemilik itu akhirnya telah menyelamatkan 14 ekor anak kucing terbiar dalam tempoh empat setengah tahun. Kisah mengagumkan ini telah menarik perhatian ramai warganet Jepun.

Shiba Inu itu yang bernama Tonosuke berusia 13 tahun pada tahun ini. Selepas anjing jalanan ini menjadi anjing kesayangan pemiliknya, Yumi sejak 10 tahun lalu, hidupnya lebih bahagia bersama kehadiran dua ekor kucing comel, Chayo dan Hanna setiap hari.

@Ashahisippo/Twitter

Yumi berkata Tonosuke ialah Shiba Inu yang sangat istimewa. Pada tahun 2014, dia membawa Tonosuke berjalan-jalan, dan anjingnya itu mengambil usaha sendiri untuk akhirnya menemui dua ekor anak kucing berusia kira-kira tidak sampai sebulan, lalu segera menarik dan membawanya kepada Yumi.

Wajah selalu tersenyumnya tiba-tiba berubah menjadi sayu meraih simpati seperti mengharapkan, alangkah baik sekiranya tuannya itu dapat menyelamatkan anak-anak kucing ini.

@Asahisippo/Twitter

Yumi mendapati kedua-dua anak kucing itu agak lemah dengan salah seekornya tidak sedarkan diri, lalu dia segera membawa anak-anak kucing berkenaan ke doktor haiwan terdekat bersama Tonosuke. 

Semasa proses menyelamatkan itu, Tonosuke kelihatan agak gugup sambil terus berjalan ke sana ke mari mengelilingi anak-anak kucing, seolah-olah sangat risau sama seperti naluri ibu kucing. Dia amat bimbangkan keselamatan anak-anak kucing itu.

@Asahisippo/Twitter

Yumi mendapati Tonosuke amat menyukai dan jatuh cinta dengan anak-anak kucing yang ditemuinya, dan Yumi akhirnya memutuskan untuk membawa pulang kedua-dua kucing ini. Kini Yumi memelihara kedua-duanya bersama Chayo dan Hanna dalam keluarga.

Walaupun Tonosuke adalah anjing Shiba Inu yang pada mulanya tidak suka bergaul, tetapi sejak bersama Yumi, dia sentiasa menunjukkan sifat naluri keibuan yang istimewa.

@Asahisippo/Twitter

Sejak Yumi memelihara dua ekor kucing itu, Tea Yu dan Bannai, mereka seronok keluar bersiar-siar bersama Tonosuke, dan mereka telah menemui lebih banyak anak kucing terbiar di taman, tempat letak kereta, dan sudut rumah di taman perumahan.

Yumi akhirnya menyelamatkan dan menjaga buat sementara 14 ekor kucing bersama-sama Tonosuke, menyelamatkan kesemuanya dalam masa 4 setengah tahun.

@Asahisippo/Twitter

Memandangkan tiada ruang tambahan di rumahnya, Yumi terpaksa bertindak menukar ruang rumah kepada sebahagiannya untuk kucing.

Sebelum itu, Yumi membawa anak-anak kucing yang ditemuinya tinggal bersama Tonosuke terlebih dahulu untuk Shiba Inu ini menjaganya, dan kemudian baru menghantar anak-anak kucing itu kepada pemilik yang sesuai. 

@Asahisippo/Twitter

Yumi berkata dia tidak tahu bagaimana Tonosuke amat berkebolehan dengan nalurinya mengesan serta menemui kucing terbiar, dan anjing itu sangat baik hati dan mengambil berat menjaga kebajikan kesemua anak-anak kucing yang ditemuinya.

Apabila mereka keluar bersiar-siar, Yumi dapat melihat wajah gembira Tonosuke mahu bermain dengan kucing. 

@Asahisippo/Twitter

Memandangkan kebanyakan kucing tidak menyukai anjing, mereka akan menjadi bengis dan pemarah.

Tonosuke kadangkala tidak faham mengapa kucing suka memperlakukannya dengan dingin, jadi dia akan mula menunjukkan ekspresi wajah bersedih.

Pesawat ringan terhempas di Ipoh, identiti mangsa maut dan cedera sudah dikenal pasti

0

Identiti dua mangsa, masing-masing maut dan cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, di Ipoh, Perak pada 1 Ogos sudah dikenal pasti.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52 tahun yang merupakan juruterbang, manakala yang cedera adalah pembantu juruterbang, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62 tahun.

Kedua-dua mereka yang masing-masing berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur merupakan jurulatih penerbangan sebuah akademi penerbangan yang beroperasi berhampiran kawasan berkenaan.

Facebook

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar daripada bangkai pesawat pesawat jenis Piper PA 28 oleh pasukan bomba yang tiba tidak lama selepas kejadian.

“Mangsa yang selamat telah dibawa keluar daripada bangkai pesawat oleh pasukan penyelamat kira-kira pada jam 9.25 malam.

“Sementara mangsa yang maut, dibawa keluar sekitar jam 9.35 malam. Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Facebook

Ketika mengulas lebih lanjut, beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan.

Sebelum ini, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak dilaporkan berkata, sepasukan anggota dikerah ke tempat kejadian bagi kerja-kerja menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 malam.

Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati terdapat sebuah kapal terbang bersaiz kecil telah terhempas dan kerja menyelamat segera dilakukan.

Sementara itu, seorang saksi melaporkan melihat pesawat itu melanggar tiang lampu berhampiran pintu air sebelum terhempas.

Facebook

Seorang saksi berusia 41 tahun, yang tidak mahu namanya didedahkan, memberitahu New Straits Times semasa kejadian, dia baru meninggalkan stesen minyak berhampiran apabila melihat pesawat terbang terlalu rendah dan terdengar dentuman kuat yang datang dari pesawat berkenaan seolah-olah ia kehabisan minyak.

“Saya segera membuat pusingan U dan mengikut pesawat kerana saya tahu ia akan terhempas. Beberapa saat kemudian, saya melihat pesawat itu melanggar tiang lampu dan salah satu sayapnya terputus sebelum ia berpusing dan merempuh pintu air,” kata saksi itu. 

Dia segera menghubungi 999 dan memaklumkan pihak berkuasa.

Sementara itu, ibu saudara Allahyarham Fajim memberitahu anak saudaranya pernah terlibat dalam nahas kapal terbang pada tahun 2004.

Facebook

Ibu saudara Fajim yang enggan namanya dikenali memberitahu New Straits Times di Unit Forensik HRPB, dia terselamat dari pesawat pejuang MiG-29 yang terhempas akibat masalah enjin di ladang Ketengah Perwira di Kemaman, Terengganu.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak menghalangnya untuk terbang kerana minatnya yang mendalam dalam bidang penerbangan.

“Ayah Fajim turut terkorban dalam nahas Nuri di Sungai Lunda, Sarawak pada 8 Disember 1989,” maklumnya.

Keluarganya sentiasa bimbang akan keselamatannya apabila dia terbang, tetapi mereka percaya dia lebih mengenali dirinya, tambah ibu saudara Allahyarham.

“Doakan Ainul Mardhiah,” Doktor sahkan keadaan adik Ainul kritikal dan tenat akibat jangkitan kuman

0

Nama adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin sebelum ini pernah menjadi tumpuan masyarakat di Malaysia kerana menghidap ketumbuhan dalam mulut.

Kanak-kanak berusia 4 tahun itu sebelum ini menjalani pembedahan di London, United Kingdom bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya pada tahun 2019 yang dibantu oleh pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Terbaru, ibu kepada anak kecil itu memberitahu menerusi laman Instagram yang anaknya kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) kerana muntah-muntah dan cirit birit.

Twitter

Doktor kemudian memaklumkan jangkitan kuman sudah merebak ke seluruh tubuh adik Ainul Mardhiah. Bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak turut mengesahkan kepada media yang anak perempuannya kini sedang tidur dan memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan selepas virus dikesan sudah merebak hampir ke seluruh tubuhnya.

“Ainul berada di PICU sekarang. Doktor ICU beritahu keadaan Ainul kali ni agak kritikal dan tenat. Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni. Mama tak minta banyak. Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ni jadi lagi kuat untuk lawan penyakit,” hantaran ibunya, Nurul Erwani di Instagram pada 1 Ogos.

Menurut Nurul Erwani, anaknya kelihatan sangat tidak bermaya selepas hari pertama muntah dan cirit birit. Ekoran simptom itu, Ainul dikejarkan ke bahagian kecemasan dengan menaiki ambulans.

_nrlerwani/Instagram

Tambah Nurul Erwani lagi, anaknya tenat disebabkan jangkitan kuman di dalam tubuh badannya. 

Erwani turut memberi nasihat kepada ibu bapa lain agar berhati-hati dengan virus yang ada pada masa kini.

“Walaupun Ainul duduk rumah je, jaga kebersihan pun kalau nak jadi memang akan jadi. Virus ni jahat betul kacau anak mama sampai jadi macam ni. Ainul tidur dulu ya sayang, nanti Ainul dah bangun kita main sama-sama lagi,” tambahnya di Instagram.

Sementara itu, Dr Nur Amalina menerusi laman Twitter berkata, beliau baru sahaja mendapat berita mengenai perkembangan Ainul Mardhiah.

Justeru, beliau meminta agar orang ramai mendoakan kesembuhan adik Ainul.

Pada masa sama, Dr Nur Amalina turut menitip doa supaya Ainul Mardhiah kuat melawan penyakit yang dihadapinya, seperti mana dia berjaya mengharungi pembedahan ketumbuhan sebelum ini.

Rakyat Malaysia mendoakan agar adik Ainul Mardhiah cepat sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala. Harapan serta doa juga buat Nurul Erwani, suami dan keluarga agar sentiasa kuat dan tabah menjalani ujian ini.

Industri pengklonan haiwan kesayangan berkembang pesat di China, langgar peraturan alam dan etika

0

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengklonan haiwan peliharaan yang telah mati menjadi perniagaan yang berkembang pesat di China. Permintaan dalam pasaran terus berkembang pesat walaupun pada tanda harga yang tinggi, dengan teknologi yang masih belum matang serta etika yang kontroversi.

Pada Julai 2019, SinoGene, peneraju pengklonan haiwan peliharaan China telah menghasilkan kucing klon pertama China dengan harga 250,000 yuan (RM165,000). Sejak itu, pengklonan haiwan peliharaan komersial di China semakin popular walaupun ia berharga mahal di luar jangkauan dan kemampuan rakyat biasa.

Syarikat itu baru sahaja membuka cawangan baharu di Wilayah Jiangsu di timur China, dengan kilang itu menduduki kawasan seluas 27,000 meter persegi (6.67 ekar) dan jumlah keluasan bangunan 17,000 meter persegi (4.2 ekar).

Gambar AFP

Harga terawal pengklonan yang tinggi tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat China. Tetapi, kos pengklonan telah turun. Harga semasa untuk mengklonkan kucing ialah 118,000 yuan (RM78,000), kurang separuh daripada harga tiga tahun lalu, menurut seorang jurujual SinoGene.

Harga pengklonan anjing peliharaan, adalah berbeza-beza berdasarkan saiz haiwan itu, yang kini antara 168,000 dan 198,000 yuan (kira-kira RM111,000 hingga RM131,000), iaitu 50 peratus kurang berbanding 380,000 yuan (kira-kira RM251,000) pada April 2019.

Walau bagaimanapun, harga pengklonan semasa adalah bersamaan dengan purata pendapatan 2 hingga 3 tahun rakyat China biasa untuk memperolehinya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, SinoGene telah berjaya menghantar lebih daripada 300 haiwan peliharaan klon, termasuk kira-kira 100 kucing dan 200 anjing. Di samping itu, lebih daripada 1,000 pelanggan telah memelihara sel haiwan kesayangan dengan SinoGene untuk keperluan pengklonan masa hadapan.

Pasaran pengklonan haiwan peliharaan di China kini menjadi sangat kompetitif. Selain SinoGene, sebuah lagi syarikat pengklonan haiwan peliharaan ialah PanGene, yang terkenal dengan pengklonan anjing Purebred Mastiff Tibet. Beberapa rumah kucing dan pusat pemeliharaan anjing komersil juga telah memelihara barisan sel daripada kucing dan anjing serta menyediakan perkhidmatan pengklonan untuk memelihara baka terbaik.

Menurut kertas putih 2021 mengenai industri haiwan peliharaan di China, jumlah anjing dan kucing peliharaan di China melebihi 112 juta pada tahun lalu, dan di kawasan bandar di seluruh negara, pasaran penggunaan kucing dan anjing peliharaan meningkat daripada 206.5 bilion yuan (RM136.2 bilion) pada 2020 kepada 249 bilion yuan (RM165 bilion) pada 2021, peningkatan sebanyak 20.6 peratus.

Pasaran haiwan peliharaan di China telah berkembang lebih jauh semasa pandemik COVID-19, kerana haiwan peliharaan memberikan sokongan emosi yang penting kepada ramai orang semasa waktu sukar.

Platform e-dagang terbesar di China, Taobao berkata dalam laporan tahun lepas, pada bulan Februari, bilangan siaran langsung haiwan peliharaan di Taobao meningkat sebanyak 375 peratus dari tahun ke tahun, dengan kira-kira 1 juta orang menontonnya setiap hari.

Gambar oleh Jose Luis Magana/The Canadian Press/AP

Perasaan bercampur baur apabila pemilik melihat haiwan kesayangan mereka diklon

Cerita daripada syarikat pengklonan dan media mendedahkan kebanyakan orang memilih untuk mengklon haiwan peliharaan kerana mereka berharap untuk mendapatkan kembali kenangan dan persahabatan yang hilang. Walau bagaimanapun, haiwan klon, tidak kira betapa canggihnya teknologi, tidak dijamin 100 peratus sama rupa. Lebih-lebih lagi, haiwan peliharaan yang diklon tidak mempunyai sebarang ingatan masa lalu seperti haiwan kesayangan asal. Ia pada asasnya adalah haiwan yang berbeza.

Pada Julai 2019, kucing klon pertama China, yang bernama Garlic dilahirkan. Namun pemiliknya, Huang Yu, mengakui agak kecewa apabila melihat video haiwan berkenaan. Kucing klon ini dan Garlic yang asli kelihatan berbeza dalam pelbagai cara, dan tanda berbentuk ulas bawang putih hitam telah hilang dari rahang kucing itu, walaupun agensi pihak ketiga mengesahkan DNA kedua-dua kucing itu adalah sama. Kerana kita tidak boleh mengatasi kejadian Tuhan.

Lebih penting lagi, Garlic baharu itu tidak memberi respons seperti rakan lamanya seperti yang dia jangkakan ketika pertama kali bertemu.

Zhang Yueyan, pemilik anjing klon bernama Nini, jauh lebih bertolak ansur, walaupun bulu Nini kecil jauh lebih gelap berbanding Nini asal. Zhang masih berharap Nini kecil dapat menjadi seperti Nini asal, dan menemaninya dalam kehidupan untuk 19 tahun lagi.

Gambar Hiasan / Pixabay

Isu etika yang tidak dapat dielakkan

Pada masa ini, tiada undang-undang untuk mengawal pengklonan haiwan peliharaan atau penggantian haiwan peliharaan; jadi masih terdapat tekanan moral dan etika.

Dr Yang Guiyuan, seorang penyelidik yang berpangkalan di Jepun dalam bidang klinikal dan patologi veterinar selama bertahun-tahun, memberitahu The Epoch Times, tubuh badan fizikal sama ada manusia atau haiwan mempunyai aspek yang lebih tinggi dan lebih mikroskopik.

Barat memanggilnya “jiwa” dan orang Cina memanggilnya “Yuanshen” atau semangat sejak azali. Dari sudut pandangan ini, haiwan klon, tidak kira betapa serupa rupanya, adalah makhluk kehidupan yang bebas dan berbeza.

“Selain itu, cara saintifik dan teknologi mungkin akan memperkenalkan kecacatan genetik. Jika haiwan klon itu terus membiak untuk beberapa generasi, adakah ia akan menghasilkan raksasa genetik pada akhirnya? Sukar untuk dikatakan,” kata Yang.

Sehingga hari ini, masih banyak masalah dalam teknologi pengklonan yang perlu diselesaikan. Kadar kejayaan yang rendah juga meningkatkan bilangan haiwan yang diperlukan dalam proses pengklonan, dan sesetengah haiwan ini mungkin dikenakan rawatan yang tidak berperikemanusiaan.

Sebagai contoh, apabila kucing klon pertama China akhirnya dihasilkan, sekurang-kurangnya 40 telur daripada 5 kucing telah digunakan dan ditanam ke dalam 4 kucing pengganti. Mengambil telur daripada ibu kucing dan menanam embrio ke dalam kucing pengganti semuanya melibatkan prosedur pembedahan.

Pada masa ini, pemakaian pengklonan haiwan yang diterima di peringkat antarabangsa adalah terutamanya dalam bidang penyelidikan asas dan bioperubatan, atau untuk menyelamatkan spesies terancam.

Perintis dalam pengklonan haiwan telah menyimpang daripada amalan

Tidak seperti perniagaan pengklonan haiwan peliharaan yang berkembang pesat di China, Institut Roslin di United Kingdom, yang menghasilkan biri-biri klon pertama di dunia, Dolly, tidak lagi melakukan pengklonan haiwan. Di Amerika Syarikat, BioArts, sebuah syarikat di California Utara, menawarkan perkhidmatan pengklonan anjing pada tahun 2008, tetapi menutup perniagaan itu setahun kemudian.

“Kami tidak mengklon haiwan lagi. Teknik ini mempunyai kadar kejayaan yang sangat rendah. Dolly adalah hasil penyelidikan berbulan-bulan yang melibatkan pasukan berkemahiran tinggi,” jelas Institut Roslin di laman webnya.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Apakah risiko yang berkaitan dengan pengklonan? Embrio klon lebih berkemungkinan hilang semasa kehamilan berbanding embrio biasa, yang menyumbang kepada kadar kejayaan pengklonan yang rendah. Sindrom Keturunan Besar (LOS) juga boleh menjejaskan beberapa haiwan klon. Haiwan dengan LOS mempunyai kecacatan pertumbuhan dan jauh lebih besar semasa lahir daripada haiwan yang terhasil daripada mengawan semula jadi,” tambah institut itu.

Dalam temu bual eksklusif dengan media Mirror pada April 2014, Lou Hawthorne, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bioarts, mendedahkan sebab beliau berhenti daripada perniagaan pengklonan adalah kerana berasa muak dengan penderitaan yang dialami oleh beribu-ribu anjing setiap tahun.

“Saya tidak peduli jika dunia perniagaan pengklonan runtuh, tetapi saya mengambil berat tentang penderitaan,” kata Lou kepada wartawan Mirror.

Dr. Yang percaya pengklonan haiwan peliharaan secara komersil di China adalah amalan yang melanggar undang-undang alam dan etika untuk faedah kewangan. “Orang-orang ini fikir mereka boleh memanipulasi kehidupan secara santai dan tidak menghormati kehidupan,” katanya.

Asteroid sebesar bangunan Chrysler New York berkelajuan 13,100 batu sejam melintasi bumi

0

Asteroid yang mungkin sebesar bangunan Chrysler New York City melepasi bumi dengan selamat pada 30 Julai lalu.

Batu angkasa lepas itu yang dikenali sebagai 2013 CU83, diramalkan menghampiri planet bumi dengan selamat, menurut kiraan dari pangkalan data NASA Center for Near Earth Studies. Asteroid itu berada dalam jarak kira-kira 4.3 juta batu dari bumi pada Sabtu, 30 Julai.

4.3 juta batu adalah bersamaan dengan 18 kali jarak purata antara bumi dan bulan. Walaupun ini mungkin terdengar seperti jarak yang jauh, pada skala sistem suria, ahli astronomi menganggapnya sebagai jarak lintasan yang dekat. Tetapi trajektori objek ini diketahui umum dan tiada kemungkinan CU83 2013 akan bertembung dengan planet bumi kali ini.

Pixabay

Asteroid ialah objek berbatu yang mengorbit matahari, sama seperti planet, walaupun ia jauh lebih kecil.

Batuan angkasa lepas ini berbeza dari segi saiz secara dramatik. Asteroid terbesar yang diketahui adalah Vesta, yang berukuran sekitar 329 batu (530 kilometer). Tetapi kebanyakan asteroid jauh lebih kecil, dengan beberapanya berukuran kurang daripada 33 kaki.

Sehingga kini, lebih daripada 1.1 juta asteroid telah dikenal pasti dan kebanyakannya boleh ditemui di tali pinggang asteroid utama yang terletak di antara orbit Marikh dan Musytari, menurut NASA.

Twitter

CU83 2013 akan bergerak hampir melintasi bumi pada kelajuan kira-kira 13,100 batu sejam (21,000 km/j), iaitu enam kali lebih pantas daripada peluru senapang, atau tujuh belas kali lebih pantas daripada kelajuan bunyi, kiraan CNEOS menunjukkan.

Saiz asteroid dianggarkan berada di antara 459 kaki dan 1,050 kaki berdasarkan magnitud yang diperhatikan di langit. Saiz 2013 CU83 adalah kira-kira setinggi Bangunan Chrysler di New York City.

“Mengukur saiz objek jauh di angkasa adalah sukar,” Greg Brown, seorang ahli astronomi di Royal Observatory Greenwich di United Kingdom berkata. “Oleh kerana selalunya kita tidak dapat melihat secara fizikal betapa besar saiznya, ia sering muncul sebagai titik yang tidak dapat diselesaikan dalam teleskop – ahli astronomi sering dibiarkan untuk mengetahui betapa besar asteroid melalui kecerahannya.”

Pixabay

“Semakin besar ia, lebih banyak cahaya ia akan dipantulkan dan dengan itu kelihatan lebih terang. Walau bagaimanapun, ini memerlukan andaian tentang sejauh mana bahan itu dibuat daripada bahan reflektif, yang boleh berbeza-beza. Tambah beberapa komplikasi lain dan saiz sebenar objek boleh menjadi sangat berbeza berbanding kiraan yang dibuat,” jelas Brown.

2013 CU83 ialah salah satu daripada lebih 29,000 objek berhampiran bumi, atau NEO, yang telah ditemui saintis setakat ini, yang mana sebahagian besar daripadanya adalah asteroid. 

Istilah ini digunakan bagi merujuk kepada mana-mana objek atau badan astronomi yang melalui sekitar 30 juta batu dari orbit planet bumi.

Para saintis temui kolam maut di dasar Laut Merah yang membunuh apa sahaja berenang ke dalamnya

0

Para saintis dari Universiti Miami telah menemui kolam maut di dasar Laut Merah yang membunuh apa sahaja yang berenang ke dalamnya. Menurut penyelidikan, kolam air garam itu ditemui 1.7 kilometer di bawah permukaan menggunakan kenderaan bawah air yang dikendalikan dari jauh. 

Para saintis terserempak dengan kolam maut itu dalam lima minit terakhir setelah menyelam selama sepuluh jam.

Para penyelidik menjelaskan kolam air garam adalah lekukan di dasar laut yang dipenuhi dengan air masin yang sangat pekat dan unsur kimia lain yang lebih masin daripada air laut masin di sekitarnya. 

YouTube

Mereka berkata kolam di bawah air ini boleh membuatkan apa sahaja haiwan menjadi pegun atau membunuh malah menjerut mereka hidup-hidup.

Bercakap kepada Live Science, ketua penyelidik Sam Purkis menyifatkan kolam maut itu sebagai “antara persekitaran paling ekstrem di Bumi” dan berkata, “Mana-mana haiwan yang tersesat ke dalam air garam akan terus terpegun atau terbunuh.”

YouTube

Selanjutnya, Sam Purkis memaklumkan ikan, udang dan belut muncul menggunakan laut masin untuk memburu. Beliau menjelaskan makhluk ini mengintai berhampiran kolam maut itu untuk “memberi makan kepada makhluk malang” yang secara tidak sengaja berenang ke dalamnya.

Penyelidik utama itu berkata penemuan kolam sedemikian boleh membantu saintis mengetahui bagaimana lautan mula-mula terbentuk di planet kita. Beliau juga seterusnya mengatakan kolam air garam adalah rumah kepada sejumlah besar mikrob dan kaya dengan kepelbagaian. 

YouTube

Beliau turut menekankan penemuan ini adalah penting kerana ia boleh membantu menentukan sama ada planet asing dengan keadaan bertentangan yang sama boleh menjadi hos kepada mana-mana makhluk hidup.

“Sehingga kita memahami had kehidupan di Bumi, sukar untuk menentukan sama ada planet asing boleh menjadi hos kepada mana-mana makhluk hidup,” kata Sam Purkis.

Sementara itu, New York Post melaporkan ini bukan kolam air garam pertama yang ditemui oleh saintis. Sejak 30 tahun lalu, ahli oseanografi telah berjaya menemui beberapa kolam maut di Laut Merah, Laut Mediterranean dan Teluk Mexico.

Dua spesies ikan air tawar terbesar di dunia penghuni Sungai Yangtze diisytihar pupus

0

Sturgeon Yangtze dan ikan dayung China, yang dikenali sebagai ‘gergasi terakhir Yangtze’ telah dianggap pupus di alam liar oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Sturgeon Yangtze menghuni Sungai Yangtze selama 140 juta tahun. Kini ikan itu tiada lagi dan begitu gergasi lain yang berkongsi laluan sungai terpanjang di China itu sejak sekian lama, ikan dayung China. 

IUCN mengemas kini Senarai Merah Spesies Terancam buat pertama kalinya pada 21 Julai lalu dalam tempoh 13 tahun dengan mengisytiharkan kedua-dua spesies itu, yang dikenali sebagai gergasi terakhir Yangtze sebagai pupus di alam liar.

Gambar Field&Stream

Pernah menjadi ikan air tawar terbesar di dunia, sturgeon Yangtze atau nama saintifik Acipenser dabryanus, boleh mencapai panjang 8 meter dan berat 680 kilogram. Sejarah kewujudannya meluas ke seluruh Asia, termasuk Jepun, Korea, dan Sungai Kuning di China.

Juga digelar “fosil hidup”, sturgeon Yangtze mempunyai muncung bulat, sirip dada yang besar, dan barisan rabung tinggi pada tulang belakang dan rusuknya. Walaupun masih terdapat ikan tawanan dalam program pembiakan oleh pihak berkuasa dengan pelbagai usaha dilakukan, namun ia telah gagal untuk berjaya memperkenalkan semula ikan itu ke dalam ekosistem sungai, dan kini dianggap pupus di alam liar.

Twitter

Ikan dayung China atau Psephurus gladius, boleh mencapai 7 meter panjang dan berat 508 kilogram. Ia mempunyai badan kelabu perak yang panjang, penglihatan yang kurang berkembang, dan muncung seperti pedang yang digunakan untuk mencari mangsa dengan mengesan aktiviti elektrik. 

Menurut National Geographic, tiada ikan dayung wujud dalam kurungan dan tiada tisu hidup ikan itu telah dipelihara, maka tiada harapan untuk masa depannya.

Kedua-dua ikan ini terancam dengan mendadak selepas pembinaan empangan pertama Yangtze, Empangan Gzehouba, pada akhir 1980-an. Ikan sturgeon Yangtze menurut sejarah boleh mengembara sejauh 2,000 batu dari Laut China Timur ke tempat bertelurnya di atas empangan. Ikan dayung China terakhir yang pernah dilihat serta ditangkap dan ditanda adalah pada tahun 2003, pada tahun yang sama Empangan Three Gorges dibina.

Twitter

Kedua-dua spesies itu dianggap sebagai makanan istimewa dan sejarah merakam kedua-dua ikan ini telah banyak ditangkap. Ikan dayung pernah menjadi makanan kegemaran maharaja purba, manakala kaviar sturgeon amat bernilai tinggi. 

Pencemaran dan perjalanan kapal juga menyumbang kepada kematian ikan. Sturgeon Yangtze sangat sensitif kepada bunyi bising dan menurut National Geographic, saintis percaya air larian industri mungkin menyebabkan sesetengah ikan sturgeon menukar jantina mereka daripada jantan kepada betina.

Senarai terbaharu spesies terancam IUCN, menyatakan 100 peratus daripada baki 26 spesies sturgeon di dunia kini menghadapi risiko kepupusan, meningkat daripada 85 peratus yang dilaporkan pada tahun 2009.

Harga empati: Pelanggan masih boleh beli nasi lemak RM1, roti canai 90 sen dan nasi ayam RM3

0

Ketika negara berdepan inflasi, tiga pengusaha gerai makan di Johor Bahru masih mengekalkan harga jualan makanan mereka pada kadar rendah bagi meringankan beban pelanggan.

Pengunjung gerai roti canai di Kampung Pasir masih boleh menikmati minuman panas seperti kopi dan teh tarik pada harga hanya RM1 secawan.

Pengusaha gerai Madi Umar, 61 tahun, telah mengekalkan harga yang sama selama bertahun-tahun kerana tahu ramai yang menghadapi masalah kewangan, terutama ketika pandemik.

Twitter

“Kos sara hidup semakin tinggi dan jika saya menaikkan harga, ia akan membebankan pelanggan saya.

“Ada yang mengunjungi gerai saya sejak kecil dan kini membawa anak-anak mereka juga.

“Saya mahu menyediakan pilihan sarapan pagi dan makan tengah hari yang murah untuk mereka,” jelas Madi.

Beliau mengusahakan gerai itu dengan bantuan isterinya Tuti Warni dan beberapa saudara mara.

Disebabkan harga yang ditawarkan rendah, Madi tidak mampu untuk mengambil pekerja, jadi gerai itu beroperasi berkonsepkan layan diri.

Selain minuman murah, Madi menjual roti canai kosong pada harga 90 sen sekeping manakala roti canai bawang berharga RM1 dan roti canai telur berharga RM1.50.

Twitter

Pelanggannya juga bebas mengambil kuah dhal mengikut suka untuk roti canai mereka. Tinjauan mendapati pada hari ini, kebanyakan gerai lain menjual roti canai kosong pada harga RM1.50 dan roti canai telur sehingga RM3.

Madi berkata roti canai kosong miliknya telah dijual pada harga 50 sen selama 19 tahun sebelum diselaraskan kepada 90 sen pada Julai tahun ini berikutan harga barangan seperti tepung gandum dan minyak masak yang melambung tinggi.

“Setelah memikirkannya, saya memutuskan untuk menaikkan harga untuk sekurang-kurangnya menampung kos operasi saya, tetapi saya percaya makanan saya masih lebih murah berbanding kedai makan lain.

“Kepuasan pelanggan adalah keutamaan dan saya lebih suka memperoleh keuntungan yang kurang sedikit daripada membebankan mereka dengan makanan yang mahal.

“Ia juga satu bentuk sedekah, cara saya membantu orang lain,” kata bapa kepada tiga anak itu sambil menambah beliau menjual sehingga 300 keping roti canai setiap hari dan lebih banyak lagi pada hujung minggu.

Pemilik gerai makanan S. Kalaiarasi, yang mula menjual nasi lemak Kedah di Taman Tampoi Indah ketika pandemik COVID-19 bermula pada 2020, merancang untuk mengekalkan harga asasnya pada RM1 sebungkus.

Wanita berusia 38 tahun itu, yang pernah bekerja di Singapura dan memiliki perniagaan percetakan, beralih kepada menjual makanan apabila perniagaannya terjejas oleh perintah kawalan pergerakan kerana pandemik itu.

“Saya orang Kedah, jadi saya ambil keputusan untuk menjual nasi lemak ala Kedah yang dimasak dengan kunyit, jadi ia berwarna kuning.

“Saya mahu menyediakan makanan murah kepada mereka yang mengalami pendapatan terjejas akibat pandemik dan saya berhasrat untuk mengekalkannya,” katanya.

Selepas menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan gerainya, Kalaiarasi berkata dia menyedari peningkatan pelanggan dari sejauh Kuala Lumpur dan jualannya meningkat sehingga 200 bungkus setiap hari.

Twitter

S. Kalaiarasi berkata sebungkus nasi lemak dengan telur dan sambal berharga RM1 manakala hidangan vegetarian dengan tauhu berharga RM1.50. Pilihan ayam, ikan atau udang berharga RM2 setiap satu.

“Sajian nasi lemak berlauk ayam saya dulu RM1.50 tetapi saya naikkan harga apabila harga ayam naik, tetapi saya tambah nasi pada setiap bungkus.

“Saya bermula dengan hanya satu khemah sementara dan dengan bantuan ahli keluarga. Kini, saya menambah satu lagi khemah untuk menawarkan lebih banyak variasi seperti teh masala pada harga RM3.50 secawan,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Di Taman Ungku Tun Aminah, sebuah gerai yang terletak dalam restoran di sepanjang Jalan Perkasa 4, pengusaha makanan menawarkan sepinggan nasi ayam dengan harga serendah RM3.

Pengusaha gerai Chong Wu, 40, berkata empati kepada golongan kurang bernasib baik adalah alasan beliau untuk mengekalkan harga rendah.

“Ketika saya mula-mula mengusahakan gerai itu kira-kira lima tahun lalu, sepinggan nasi ayam bertimun dan sos hanya RM2.50 kerana terdapat banyak rumah pangsa kos rendah di kawasan itu.

“Saya juga berasal dari isi rumah sederhana jadi saya memahami keperitan mereka, terutama mereka yang bekerja keras untuk menyara keluarga, dan saya ingin menawarkan mereka harga makanan yang berpatutan.

“Apabila saya menaikkan harga saya sebanyak 50 sen dua bulan lalu, ada pelanggan yang memberitahu saya untuk meletakkan harga lebih tinggi kerana sepinggan nasi ayam boleh dijual dengan mudah pada harga RM7 di tempat lain,” katanya.

Chong yang dibantu isteri dan seorang lagi pekerja menambah, kebanyakan pelanggannya adalah pelanggan tetap yang mempunyai keluarga.

Twitter

Hari mereka bermula seawal jam 3 pagi di mana mereka menyediakan makanan, termasuk membakar ayam dan daging lain pada waktu perniagaan bermula 6 pagi hingga 3 petang.

Chong berkata nasi char siew miliknya juga berharga RM3 setiap satu manakala sepinggan nasi daging khinzir panggang bermula dari RM4.

“Kami kadangkala boleh menjual sehingga 500 pinggan nasi pada hari yang baik dan saya rasa ini menunjukkan ramai pelanggan mencari makanan yang murah dan berpatutan.

“Kepuasan melihat pelanggan yang kembali sudah cukup untuk memastikan perniagaan saya terus maju,” katanya.