Gajah merupakan makhluk pintar yang mampu menunjukkan kecerdasan dan emosi menakjubkan.
Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan seekor gajah memulangkan kasut kanak-kanak yang terjatuh secara tidak sengaja ke dalam kandangnya.
Video itu dirakam di wilayah Shandong di China yang dimuat naik di laman Instagram NowThis yang menerima lebih 15 juta tontonan netizen di seluruh dunia.
Rakaman berdurasi 32 saat itu memaparkan seekor gajah mengambil kasut seorang kanak-kanak yang telah jatuh secara tidak sengaja ke dalam kandang dengan menggunakan belalainya.
Sejak disiarkan, video ini telah mendapat perhatian ramai. Kebanyakan netizen memuji kepintaran gajah itu manakala ada yang berharap haiwan itu tidak dipelihara di zoo.
Semasa permainan sedang berlangsung di stadium, beberapa situasi yang tidak dijangka mungkin berlaku menyebabkan ia tidak dapat dielakkan. Tahun lalu, ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung, situasi yang tidak dijangka telah berlaku melibatkan seorang budak lelaki berusia 2 tahun dan ibunya.
Kejadian berlaku di Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat, yang menarik perhatian dan mengejutkan para penonton. Pada separuh masa kedua perlawanan bola sepak liga utama, penonton bersorak dan menjerit menyokong pasukan mereka.
Bagaimanapun, apabila pemain yang memakai jersi hitam putih menendang bola ke gawang lawan, seorang penonton yang tidak dijangka muncul di tengah padang bola sepak. Pelbagai reaksi terdengar daripada penonton!
Semasa perlawanan sedang berlangsung, seorang budak kecil berbaju biru muda tiba-tiba berlari ke padang seolah-olah sedang mengejar pemain besar. Nasib baik, kebanyakan pemain sedang berlari ke arah bertentangan, dan mereka tidak bertembung dengan anak kecil itu.
Apabila ibunya berlari mengejarnya, penonton terkejut! Kejadian berlaku dengan pantas sehinggakan penyampai perlawanan pun tidak perasan…
Apabila anak kecil itu berlari ke tengah padang, dia menoleh ke belakang untuk melihat sama ada ibunya berlari mengejarnya. Ibunya berjaya mengatasi situasi mendebarkan itu.
Media 9gag melaporkan wanita itu bernama Morgan Tucker. Dia dan anak kecilnya sedang teruja menonton perlawanan, apabila tiba-tiba mendapati anak lelakinya yang berusia 2 tahun, Zaydek Carpenter, telah terlepas berlari ke tengah padang.
Terkedu, dia tergesa-gesa mengejar anaknya dan merangkulnya bagai pemain pro, dan segera kembali ke tempat duduk mereka, dengan harapan insiden ‘selingan pantas’ itu tidak menjejaskan permainan.
Walaupun Morgan Tucker berjaya mendapatkan anaknya, dia tergelincir sedikit sebelum mendakap si kecil Zaydek kerana rumput padang yang basah.
Sambil mengangkat anaknya, Morgan sempat mengambil semula cermin matanya yang terjatuh sebelum mereka bergegas kembali ke tempat duduk. Sorakan dan gelak tawa kedengaran daripada hadirin. Macam satu acara selingan yang menghiburkan!
Ibu itu mendedahkan kepada media yang dia terlalu gementar pada masa itu. Dia takut anaknya akan menjejaskan permainan, dan sebaliknya juga, dia takut mereka berdua akan terkena bola sepak.
“Saya sangat malu sehingga saya tersipu-sipu!” Morgan Tucker mengakui.
Morgan tidak tahu sebab sebenar mengapa anaknya tiba-tiba berlari ke padang, walaupun dia membuat spekulasi si kecil Zaydek mahu berada berhampiran atlet dan bermain dengan mereka.
Bagaimanapun, selepas beberapa siri video dikongsi di media sosial, para netizen terus berasa terhibur dan meninggalkan komen:
Baby pitch invader steals the show during FC Cincinnati-Orlando City match at TQL Stadiumhttps://t.co/wxeZ5rPSTp
Tahukah anda tumbuhan kangkung yang biasa dijadikan sajian kegemaran ramai di Malaysia sebenarnya adalah tumbuhan haram di Amerika Syarikat?
Pendedahan ini dibuat oleh salah seorang pencipta kandungan di TikTok dan berjaya menarik pelbagai reaksi kalangan warganet.
Melalui ciapan Mohamad Yusof bin Yahya di akaun Twitter miliknya, beliau memuat naik sebuah video daripada akaun TikTok dengan nama Agrotonomy yang menerangkan mengenai spesies tumbuhan kangkung yang ditanam olehnya.
Dalam penerangan Agrotonomy, beliau menceritakan bagaimana tanaman ini telah dijadikan sajian utama di Asia terutamanya Indonesia, Malaysia dan Filipina. Tambah beliau lagi, walaupun tumbuhan ini popular di negara Asia, namun di Amerika Syarikat, tumbuhan ini adalah diharamkan dan menyalahi undang-undang.
Memetik laporan AZCentral.com, tumbuhan yang turut dikenali sebagai bayam air ini mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1970-an, menurut rekod Jabatan Pertanian Amerika Syarikat.
Namun, disebabkan oleh sifat-sifat agresif tumbuhan yang tumbuh empat inci sehari ini, ia telah diharamkan di Amerika Syarikat kerana didakwa mengancam laluan air dan spesies tumbuhan asli yang lain.
Disebabkan itu, Amerika Syarikat meletakkan kangkung dalam senarai tumbuhan berbahaya.
Robert Smook, jurucakap Jabatan Pertanian Arizona, mengesahkan pada zaman dahulu, pihak berkuasa negeri dan kerajaan persekutuan telah menjalankan pemeriksaan di mana-mana premis makanan yang meletakkan kangkung dalam menu. Pihak berkuasa akan bertindak merampas, menghapus dan memusnahkan tumbuhan ini.
“Saya tidak tahu mengapa ada orang asal menanam tumbuhan itu pada mulanya,” kata Andrew Brischke, pakar pertanian dan sumber asli di Universiti Arizona.
“Ia boleh menjadi tumbuhan yang mengganggu. Walaupun ditanam belakang rumah, jika terlalu lama ia boleh mengambil alih seluruh laman anda dalam masa kurang beberapa tahun. Tumbuhan ini sangat sukar untuk dibuang,” jelas Andrew Brischke.
Seringkali apabila berlaku kemalangan yang menyebabkan kereta seseorang tercalar atau rosak, bukan ramai yang mahu bertanggungjawab mengaku melainkan terdapat beberapa saksi jujur ketika kejadian. Walau bagaimanapun, sebenarnya masih ada ramai individu yang bersikap jujur serta bertanggungjawab di atas perbuatan mereka sama ada dengan sengaja atau tidak.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook dari Singapura bernama Tong Yee berkongsi kisah bagaimana seorang lelaki meninggalkan sekeping nota di cermin depan keretanya selepas melanggar kereta Tong Yee secara tak sengaja.
Menurut Tong Yee, selepas pulang dari sarapan pagi, dia ternampak sekeping nota kecil di cermin hadapan keretanya. Tambahnya, dia sedar seseorang telah melanggar keretanya dan meninggalkan nota tersebut. Oleh kerana terlalu sibuk, dia bertindak menghubungi pemandu tersebut pada keesokan harinya yang kemudian telah menyentuh hatinya.
“Semalam selepas mesyuarat waktu pagi dan sarapan, saya berjalan kembali ke kereta dan mendapati terdapat sekeping kertas kecil di cermin depan. Selepas sering trauma mendapat tiket saman, saya menyedari ia hanya satu nota yang menyatakan seseorang telah melanggar kereta saya. Saya pergi untuk memeriksa dan hatchback telah kemek dengan bumper sekitarnya sedikit lekuk. Saya hanya sempat menghubungi orang itu hari ini. Pertukaran mesej adalah di bawah. Tapi saya nak cakap juga..
Shamsul yang dikasihi, saya belum bertemu dengan anda lagi tetapi saya ingin mengatakan anda sangat memberi dorongan kepada saya. Saya agak tertekan baru-baru ini. Tetapi anda membawa satu kelegaan yang saya perlukan. Saya akan melakukan yang terbaik dalam memastikan anda mendapat penghormatan kerana integriti anda. Dan jika anda benar-benar warga asing yang bekerja di sini, maka diharap anda akan sentiasa diberkati. Ia adalah satu keistimewaan apabila anda bekerja bersama kami. Rasa kesyukuran untuk anda. Dan saya akan melakukan yang terbaik dalam memastikan masa anda bersama kami akan sentiasa dihormati.”
Jelas Tong Yee, dia berasa sangat gembira dan bersyukur apabila dapat bersembang dengan pemandu tersebut yang dikenali sebagai Shamsul. Tong Yee memberitahu lelaki itu seorang yang bertanggungjawab dan berterus terang. Ini kerana, dia mengaku tentang kesalahan yang dilakukan serta jujur memberitahu tentang pendapatan dan pekerjaannya.
Susulan insiden itu, Tong Yee telah memberi ruang dan masa buat Shamsul untuk membayar kos pembaikian tersebut. Di samping itu, dia turut mengajak Shamsul untuk makan malam.
“Bertemu dengan Shamsul pagi tadi untuk bersarapan. Nama penuhnya Shamsul Osman dan dia adalah warga Malaysia yang bekerja di Singapura. Dia kelihatan menyukai nama barunya Car Dude. Dia berkongsi tentang sikap yang telah diajar oleh bapanya dan benar-benar percaya ketika mengambil tanggungjawab. Dan perbuatan baik itu akan sentiasa kembali kepada kita semua. Kami makan Mee Rebus dan berbual. Saya berkongsi berita baik tiada kos pembaikan sama sekali yang diperlukan. Beberapa bengkel pembaikan telah menawarkan kerja pembaikan dan yang lain menawarkan untuk melakukannya secara percuma.
Ramai juga telah menawarkan untuk membayar untuknya. Dan ya, orang lain telah melangkah ke hadapan untuk menawarkan pembayaran kos kerosakan itu bagi pihaknya. Kami bercakap mengenainya dan bersetuju saya akan pergi ke bengkel baik pulih yang menawarkan pembaikan untuk semua kos, untuk turut menghormati mereka yang membuat kerja pembaikan kereta. Akan mengembalikan sebarang sumbangan yang ditawarkan setakat ini. Dan saya akan membayar kos pembaikan itu sendiri. Shamsul berterima kasih kepada rakyat Singapura yang menghulurkan bantuan. Shamsul telah menawarkan untuk membawa saya ke gerai nasi lemak bapanya apabila saya berada di Kuala Lumpur. Sangat gembira untuk berbuat demikian apabila saya melawat bapa mertua saya kelak.”
Dalam pertemuan mereka itu, Tong Yee memberitahu Shamsul yang dia tidak perlu membayar apa-apa kos. Sejak hantaran Tong Yee menjadi tular, ada beberapa orang yang mahu membantu membayarkan kos baik pulih keretanya dan tidak kurang juga bengkel yang menawarkan untuk membantu membaiki kerosakan kereta itu.
Semoga kisah dua sahabat baru Tong Yee dan Shamsul ini boleh dijadikan teladan, kerana kita sebenarnya boleh berbincang dengan baik apabila berlaku sesuatu insiden seperti dalam kes ini.
Dan yang paling penting, semua orang perlu bertanggungjawab dan jujur atas segala tindakan diri sendiri sama ada ia disengajakan atau tidak, bagi tujuan untuk tidak merumitkan lagi keadaan dan memperoleh hati yang tenang.
Kemarau terik yang melanda telah mengeringkan sungai-sungai di Eropah, memperlihatkan batu-batu yang diukir berabad-abad lalu sebagai amaran kepada generasi baharu bahawa saat-saat genting akan berlaku tidak lama lagi.
Menurut penduduk tempatan, batu-batu besar yang berusia berkurun lamanya itu dikenali sebagai “batu kelaparan”. Ia muncul semula minggu lalu apabila sungai-sungai di Eropah semakin kering akibat keadaan kemarau seperti yang dilaporkan oleh Miami Herald.
Salah satu batu yang ditemui di tebing Sungai Elbe, adalah batu yang berasal dari Republik Czech yang kemudiannya hanyut hingga ke Jerman. Pada batu besar tersebut terukir tahun 1616 dengan nota amaran dalam bahasa Jerman yang bermaksud, “Jika awak lihat saya, maka menangislah”.
Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Czech pada tahun 2013 menunjukkan batu-batu besar ini adalah “dipahat dengan bertahun-tahun kesusahan dan parap pengarang hilang ditelan sejarah,” sambil menambah bahawa “inskripsi asas memberi amaran berkenaan akibat kemarau”. (rujukan PRPM: parap ialah singkatan tandatangan)
Tambah penyelidik-penyelidik lagi, “ia menunjukkan bahawa kemarau membawa keburukan pada tanaman, kekurangan makanan, harga tinggi dan kebuluran dalam kalangan orang miskin”. Sebelum 1900, bukti kemarau telah berlaku dicatatkan pada batu seperti tahun 1417, 1616, 1707, 1746, 1790, 1800, 1811, 1830, 1842, 1868, 1892 dan 1893.
NPR melaporkan, kali terakhir “tanda-tanda hidrologi” ini muncul ialah semasa kemarau pada tahun 2018.
Namun, menurut Andrea Toreti, seorang penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah, kemarau yang sedang melanda Eropah pada saat ini mungkin merupakan kemarau terburuk dalam masa 500 tahun.
Euronews melaporkan, dalam satu persidangan pada 9 Ogos lalu, Toreti berkata tiada kejadian yang seumpama ini berlaku pada 500 tahun dahulu yang “sama dengan kemarau pada 2018. Tetapi tahun ini, saya jangkakan, ia adalah yang terburuk”. Kata Toreti lagi, terdapat “risiko tinggi akibat keadaan kering” yang akan berterusan untuk tiga bulan lagi.
Satu badan penyelidikan yang sedang berkembang menghubungkan kekerapan dan terik kemarau dengan perubahan iklim. Peningkatan suhu sejagat menyebabkan perubahan dalam mendakan dan peningkatan pengewapan. Menurut Balai Cerap Eropah, 47% kawasan Eropah berada dalam keadaan amaran kemarau, yang bermaksud kekurangan lembapan dalam tanah; 17% lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga, yang bermaksud tanam-tanaman mungkin terjejas.
Batu-batu tersebut bukanlah semata-mata tinggalan tersembunyi yang muncul di sungai-sungai di Eropah yang disebabkan kemarau. Perairan yang surut akibat perubahan iklim di Sungai Po di Itali juga turut mendedahkan sejumlah besar khazanah arkeologi.
Kapal karam yang tenggelam pada era Perang Dunia II kelihatan semula pada bulan Jun lalu selepas sungai yang terbesar di negara itu mencapai paras rendah ekoran kemarau terburuk berlaku dalam tempoh 70 tahun. Baru-baru ini, pada akhir Julai, sebanyak 1000 paun bom tinggalan Perang Dunia II kelihatan ketika sungai Itali dilanda kemarau.
Menurut seorang pegawai tempatan kepada Reuters, bom tersebut ditemui oleh nelayan di tebing Sungai Po ekoran penurunan paras air yang disebabkan kemarau. Pakar terpaksa mengeluarkan bom-bom tersebut dengan selamat.
Selain itu, kerajaan Itali mengisytiharkan darurat kemarau di lima wilayah utara, dengan catuan air minuman, pada awal Julai. Trak digunakan untuk membekalkan air ke kampung-kampung di sekitar Tasik Maggiore.
Ketiadaan hujan yang berterusan di rantau ini sejak November lalu telah menyebabkan pengeluaran beras risotto di lembah Po terancam. Lembah Po menyumbang kira-kira 40% daripada keluaran pertanian Itali. Petani telah memberi amaran bahawa hampir 60% daripada tanaman mungkin akan hilang kerana sawah padi kering dan bertukar masin, dengan rekod paras air rendah membolehkan lebih banyak air laut masuk ke delta.
Sementara itu, media tempatan Eropah turut melaporkan sungai-sungai besar di Jerman, Itali dan England seperti Sungai Rhine, Po dan Thames masing-masing surut. Sungai-sungai itu “sangat kering, sangat rendah dan sangat hangat,” yang turut memberi kesan kepada hidupan liar, ekonomi dan manusia.
Paras air di Sungai Rhine adalah separuh daripada kedalaman biasa untuk tahun ini, dengan beberapa bahagian mengalami paras air yang lebih rendah. Ini membuatkan kos penghantaran dengan kapal lima kali lebih mahal kerana kapal kargo terpaksa mengurangkan muatan demi memastikan kapal tidak terdampar di dasar sungai.
Sumber lain mengatakan bahawa Belanda telah mengisytiharkan secara rasmi isu kekurangan air pada minggu lepas. Namun begitu, kerajaan belum memperkenalkan sekatan ke atas penggunaan isi rumah, namun meminta rakyatnya berfikir adakah mereka perlu membasuh kereta atau memenuhkan kolam dengan air.
Para saintis mengatakan bahawa gangguan iklim yang membawa kepada kemarau musim panas akan kerap berlaku di barat Eropah. Ini berikutan keadaan cuaca yang terlalu panas yang sebelum ini berlaku sekali dalam sedekad kini berlaku dua atau tiga tahun sekali. Keadaan ini akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah berjaga-jaga seperti penyekatan aktiviti pelepasan karbon.
Genda Bai tidak menyangka akan menemui sebutir batu permata yang berharga selepas keluar ke dalam hutan di India untuk mengumpul kayu api.
Ibu enam anak itu menerima kejutan terbesar seumur hidup apabila menemui berlian yang dianggarkan bernilai AS$25,067 (kira-kira RM112,187) di dalam hutan dan akan menggunakan hasil jualan batu permata itu untuk membaik pulih rumah daifnya dan membiayai perkahwinan anak-anak.
Wanita ini menemui batu berlian pada 27 Julai lalu selepas keluar ke hutan untuk mengumpul kayu api di Kampung Purushottampur di daerah Panna, Madhya Pradesh.
Selepas terkejut dengan penemuannya, Genda Bai segera berlari pulang untuk memberitahu suaminya mengenai batu permata yang belum dapat dipastikan itu.
Pasangan suami isteri itu kemudian telah meminta bantuan seorang pakar berlian yang dikenali sebagai Anupam Singh untuk mengesahkan keaslian berlian tersebut.
Terbukti selepas pemeriksaan lanjut oleh Anupam, batu berlian itu sememangnya berlian asli seberat 4.39 karat dan ia dianggarkan bernilai AS$25,067 (RM122,187).
Berlian itu kini akan dijual pada lelongan berlian akan datang, di mana ia diharapkan akan mendapat jumlah yang besar untuk pembeli yang layak.
Selepas mendapat rezeki terpijak dengan penemuan berlian, wanita ini berkata keadaan rumahnya sangat daif, jadi dia mahu membaik pulihnya dengan wang jualan itu.
Genda Bai juga berharap dapat menggunakan wang hasil jualan berlian itu untuk membantu anak-anaknya.
Wanita ini mempunyai empat anak lelaki dan dua anak perempuan yang sudah cukup umur untuk berkahwin kelak, jadi dia dan suaminya merancang untuk membantu anak-anak mereka dalam melangsungkan perkahwinan.
Dengan jumlah wang yang diterima daripada lelongan berlian itu, Genda Bai berharap ia mencukupi untuk majlis perkahwinan anak-anak dan membina semula rumahnya.
Daerah Panna di Madhya Pradesh dilaporkan amat dikenali dengan perlombongan berlian di India.
Beberapa hari lepas saya ada tuai kunyit dan cuba buat serbuk kunyit sendiri. Inilah hasilnya. Dapat la 1 botol serbuk kunyit daripada isi kunyit yang tak seberapa banyak tu.
Warna dan aroma kunyit buatan sendiri lebih terang dan wangi. Yang pasti ia lebih bersih dan bebas bahan pewarna, bebas pengawet dan asli. Tak sabar nak guna untuk masak hari ini.
Ikan yu paus atau nama saintifiknya Rhincodon typus adalah spesies jerung terbesar, dan sememangnya yang terbesar dalam kalangan mana-mana ikan.
Yu paus boleh ditemui di semua lautan tropika di dunia tetapi penampakannya jarang dilihat, yang menjadikan penemuan dan usaha menyelamatkannya ketika ditemui terperangkap di dalam pukat menjadi luar biasa.
Baru-baru ini, sepasukan penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Bintawa, Kuching, membebaskan seekor ikan yu paus ketika mereka sedang menjalankan kajian di perairan Sarawak.
Insiden berlaku pada 10 Ogos lalu apabila makhluk laut mengagumkan sepanjang 10 meter itu telah tersesat memasuki pukat penyelidik ketika menjalankan kajian Tuna FSI di lokasi kira-kira 50 batu nautika dari Santubong, Sarawak.
Sebuah video yang memaparkan usaha menyelamat yu paus itu telah tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan dua lelaki di dalam air telah berusaha bersungguh-sungguh dengan memotong pukat mereka menggunakan pisau bagi membebaskan ikan yu paus berkenaan.
Pada satu ketika, salah seorang daripada lelaki itu bahkan memanjat dan duduk di atas ikan yu paus berkenaan untuk mencapai pukat yang dia tidak akan dapat mencapainya jika dia berada di dalam air.
World Wildlife Fund (WWF) melaporkan “ikan yu paus sangat berharga tinggi di pasaran antarabangsa.”
“Permintaan untuk daging, sirip dan minyak ikan yu paus kekal menjadi ancaman yang mengerikan kepada spesies itu, terutamanya oleh perikanan yang tidak terkawal,” menurut WWF.
Tahniah kepada pasukan penyelidik FRI kerana mengutamakan kelangsungan hidup yu paus berbanding pekerjaan penting mereka.
Ketika banyak negara selama beberapa bulan ini telah membuka semula sempadan untuk pelancong luar, maka ramailah pelancong dari pelbagai negara yang telah datang.
Tidak terkecuali di Malaysia, banyak destinasi pelancongan utama berjaya menarik ramai pelancong dari luar negara datang semula ke negara ini.
Antara yang menjadi destinasi terkenal para pelancong ketika berada di Malaysia ialah ke Langkawi di Kedah.
Tular di TikTok baru-baru ini apabila sekumpulan pelancong dari India yang bertandang ke Langkawi, sedang berada di Dataran Lang yang ikonik telah meminta tolong seorang lelaki untuk merakam gambar mereka.
Ingatkan mereka meminta merakam gambar yang biasa-biasa, posing serba sedikit gitu-gitu, rupa-rupanya minta tolong abang ni rakam video tarian, tarian rancak macam filem Hindustan dan Tamil tu..
Pengguna TikTok dikenali Nels@__na9403 telah berjaya merakam dan berkongsi gelagat sekumpulan pelancong dari India itu yang seronok sungguh bercuti di Langkawi.
Mereka kemudian meminta tolong untuk merakam video.
Tetapi apa yang menarik perhatian ramai termasuk sekumpulan abang basikal yang turut merakam video ialah mereka tiba-tiba menari cerita Hindustan membuatkan semua orang yang berada di lokasi itu tersenyum lebar dan ketawa.
Apa yang lebih menghiburkan sampai buat netizen geli hati ialah lagu latar dalam video TikTok pun macam kena dan seirama je dengan tarian para pelancong dari India itu.
Pelakon terkemuka antarabangsa, Tom Holland memutuskan untuk berehat daripada aktif di media sosial lantaran masalah kesihatan mental yang dialaminya. Berita tergempar itu dikongsi sendiri oleh Tom Holland menerusi satu video yang kemudiannya dimuat naik di Instagram miliknya pada Ahad lalu.
Bintang filem Spider-Man: Homecoming yang berusia 26 tahun itu mengatakan dia mengambil keputusan sebegitu disebabkan dia terlalu banyak membaca cerita mengenai dirinya sehingga mendatangkan kemudaratan.
“Saya mahu berehat daripada media sosial demi kesihatan mental kerana saya mendapati Instagram dan Twitter mencelarukan minda”.
“Saya terperangkap dan terkeliru apabila saya membaca cerita mengenai diri saya dalam talian dan akhirnya ia memudaratkan keadaan mental saya”.
“Kerana itu, saya memutuskan untuk berundur dan memadamkan aplikasi-aplikasi itu”.
Menerusi video yang sama, Tom Holland turut berkongsi nasihat agar tidak malu untuk mendapatkan nasihat jika ada mana-mana individu lain yang turut mengalami masalah yang sama sepertinya. Katanya, “terdapat stigma buruk terhadap masalah kesihatan mental dan kita tidak perlu malu untuk mendapatkan bantuan”.
Seterusnya, dia bercerita mengenai kerja amal yang dilakukan bersama Stem4, sebuah badan amal kesihatan mental remaja yang berpangkalan di United Kingdom. Badan amal tersebut disokong dan mendapat kerjasama daripada The Brothers Trust.
Tom Holland mengakhiri video tersebut dengan memohon orang ramai agar memberi sokongan kepadanya atau sesiapa sahaja yang berada di situasi sepertinya. Sumbangan wang juga turut dialu-alukan demi memastikan aktiviti badan amal dapat terus dijalankan sekali gus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan bantuan terutama berkenaan kesihatan mental.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada para peminatnya atas kasih sayang yang ditunjukkan kepadanya.
“Saya sayang anda semua dan kita akan bertemu lagi”.
Semoga Tom Holland mendapat ketenangan yang dicarinya dan kembali bersemangat untuk meneruskan kerjayanya.