31.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 28, 2022

INSPIRASI ANDA SETIAP HARI

UtamaBerita UtamaKemarau di Eropah memperlihatkan "Batu Kelaparan" dibeberapa sungai di Eropah, memberi amaran...

Kemarau di Eropah memperlihatkan “Batu Kelaparan” dibeberapa sungai di Eropah, memberi amaran petanda buruk bakal berlaku

Kemarau terik yang melanda telah mengeringkan sungai-sungai di Eropah, memperlihatkan batu-batu yang diukir berabad-abad lalu sebagai amaran kepada generasi baharu bahawa saat-saat genting akan berlaku tidak lama lagi.

INSIDER

Menurut penduduk tempatan, batu-batu besar yang berusia berkurun lamanya itu dikenali sebagai “batu kelaparan”. Ia muncul semula minggu lalu apabila sungai-sungai di Eropah semakin kering akibat keadaan kemarau seperti yang dilaporkan oleh Miami Herald.

Salah satu batu yang ditemui di tebing Sungai Elbe, adalah batu yang berasal dari Republik Czech yang kemudiannya hanyut hingga ke Jerman. Pada batu besar tersebut terukir tahun 1616 dengan nota amaran dalam bahasa Jerman yang bermaksud, “Jika awak lihat saya, maka menangislah”.

INSIDER

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Czech pada tahun 2013 menunjukkan batu-batu besar ini adalah “dipahat dengan bertahun-tahun kesusahan dan parap pengarang hilang ditelan sejarah,” sambil menambah bahawa “inskripsi asas memberi amaran berkenaan akibat kemarau”. (rujukan PRPM: parap ialah singkatan tandatangan)

Tambah penyelidik-penyelidik lagi, “ia menunjukkan bahawa kemarau membawa keburukan pada tanaman, kekurangan makanan, harga tinggi dan kebuluran dalam kalangan orang miskin”. Sebelum 1900, bukti kemarau telah berlaku dicatatkan pada batu seperti tahun 1417, 1616, 1707, 1746, 1790, 1800, 1811, 1830, 1842, 1868, 1892 dan 1893.

NPR melaporkan, kali terakhir “tanda-tanda hidrologi” ini muncul ialah semasa kemarau pada tahun 2018.

Namun, menurut Andrea Toreti, seorang penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah, kemarau yang sedang melanda Eropah pada saat ini mungkin merupakan kemarau terburuk dalam masa 500 tahun.

Euronews melaporkan, dalam satu persidangan pada 9 Ogos lalu, Toreti berkata tiada kejadian yang seumpama ini berlaku pada 500 tahun dahulu yang “sama dengan kemarau pada 2018. Tetapi tahun ini, saya jangkakan, ia adalah yang terburuk”. Kata Toreti lagi, terdapat “risiko tinggi akibat keadaan kering” yang akan berterusan untuk tiga bulan lagi.

Satu badan penyelidikan yang sedang berkembang menghubungkan kekerapan dan terik kemarau dengan perubahan iklim. Peningkatan suhu sejagat menyebabkan perubahan dalam mendakan dan peningkatan pengewapan. Menurut Balai Cerap Eropah, 47% kawasan Eropah berada dalam keadaan amaran kemarau, yang bermaksud kekurangan lembapan dalam tanah; 17% lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga, yang bermaksud tanam-tanaman mungkin terjejas.

Batu-batu tersebut bukanlah semata-mata tinggalan tersembunyi yang muncul di sungai-sungai di Eropah yang disebabkan kemarau. Perairan yang surut akibat perubahan iklim di Sungai Po di Itali juga turut mendedahkan sejumlah besar khazanah arkeologi.

Kapal karam yang tenggelam pada era Perang Dunia II kelihatan semula pada bulan Jun lalu selepas sungai yang terbesar di negara itu mencapai paras rendah ekoran kemarau terburuk berlaku dalam tempoh 70 tahun. Baru-baru ini, pada akhir Julai, sebanyak 1000 paun bom tinggalan Perang Dunia II kelihatan ketika sungai Itali dilanda kemarau.

Menurut seorang pegawai tempatan kepada Reuters, bom tersebut ditemui oleh nelayan di tebing Sungai Po ekoran penurunan paras air yang disebabkan kemarau. Pakar terpaksa mengeluarkan bom-bom tersebut dengan selamat.

Selain itu, kerajaan Itali mengisytiharkan darurat kemarau di lima wilayah utara, dengan catuan air minuman, pada awal Julai. Trak digunakan untuk membekalkan air ke kampung-kampung di sekitar Tasik Maggiore.

Ketiadaan hujan yang berterusan di rantau ini sejak November lalu telah menyebabkan pengeluaran beras risotto di lembah Po terancam. Lembah Po menyumbang kira-kira 40% daripada keluaran pertanian Itali. Petani telah memberi amaran bahawa hampir 60% daripada tanaman mungkin akan hilang kerana sawah padi kering dan bertukar masin, dengan rekod paras air rendah membolehkan lebih banyak air laut masuk ke delta.

Sementara itu, media tempatan Eropah turut melaporkan sungai-sungai besar di Jerman, Itali dan England seperti Sungai Rhine, Po dan Thames masing-masing surut. Sungai-sungai itu “sangat kering, sangat rendah dan sangat hangat,” yang turut memberi kesan kepada hidupan liar, ekonomi dan manusia.

Paras air di Sungai Rhine adalah separuh daripada kedalaman biasa untuk tahun ini, dengan beberapa bahagian mengalami paras air yang lebih rendah. Ini membuatkan kos penghantaran dengan kapal lima kali lebih mahal kerana kapal kargo terpaksa mengurangkan muatan demi memastikan kapal tidak terdampar di dasar sungai.

Sumber lain mengatakan bahawa Belanda telah mengisytiharkan secara rasmi isu kekurangan air pada minggu lepas. Namun begitu, kerajaan belum memperkenalkan sekatan ke atas penggunaan isi rumah, namun meminta rakyatnya berfikir adakah mereka perlu membasuh kereta atau memenuhkan kolam dengan air.

Para saintis mengatakan bahawa gangguan iklim yang membawa kepada kemarau musim panas akan kerap berlaku di barat Eropah. Ini berikutan keadaan cuaca yang terlalu panas yang sebelum ini berlaku sekali dalam sedekad kini berlaku dua atau tiga tahun sekali. Keadaan ini akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah berjaga-jaga seperti penyekatan aktiviti pelepasan karbon.

MIAMI HERALD
INSIDER

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

TREN TERKINI