Ikan yu paus atau nama saintifiknya Rhincodon typus adalah spesies jerung terbesar, dan sememangnya yang terbesar dalam kalangan mana-mana ikan.
Yu paus boleh ditemui di semua lautan tropika di dunia tetapi penampakannya jarang dilihat, yang menjadikan penemuan dan usaha menyelamatkannya ketika ditemui terperangkap di dalam pukat menjadi luar biasa.

Baru-baru ini, sepasukan penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Bintawa, Kuching, membebaskan seekor ikan yu paus ketika mereka sedang menjalankan kajian di perairan Sarawak.
Insiden berlaku pada 10 Ogos lalu apabila makhluk laut mengagumkan sepanjang 10 meter itu telah tersesat memasuki pukat penyelidik ketika menjalankan kajian Tuna FSI di lokasi kira-kira 50 batu nautika dari Santubong, Sarawak.

Sebuah video yang memaparkan usaha menyelamat yu paus itu telah tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan dua lelaki di dalam air telah berusaha bersungguh-sungguh dengan memotong pukat mereka menggunakan pisau bagi membebaskan ikan yu paus berkenaan.
Pada satu ketika, salah seorang daripada lelaki itu bahkan memanjat dan duduk di atas ikan yu paus berkenaan untuk mencapai pukat yang dia tidak akan dapat mencapainya jika dia berada di dalam air.

World Wildlife Fund (WWF) melaporkan “ikan yu paus sangat berharga tinggi di pasaran antarabangsa.”
“Permintaan untuk daging, sirip dan minyak ikan yu paus kekal menjadi ancaman yang mengerikan kepada spesies itu, terutamanya oleh perikanan yang tidak terkawal,” menurut WWF.
Tahniah kepada pasukan penyelidik FRI kerana mengutamakan kelangsungan hidup yu paus berbanding pekerjaan penting mereka.

Rakaman video berkenaan telah mendapat pujian para warganet yang memberi pujian serta ucapan tahniah dan usaha terbaik buat pasukan penyelidik.



Penyelidik ini amat bertuah kerana dapat bertemu dan berinteraksi dengan spesies yu paus yang jarang-jarang boleh ditemui.

Pasti perasaan bertemu dengan ikan yu paus amat menakjubkan dan tambah bersyukur kerana satu nyawa telah berjaya diselamatkan.
Tonton video di sini.