Dalam masakan Melayu dan India, bahan penting dalam masakan iaitu kunyit hidup dan kunyit serbuk memang biasa digunakan.
Tetapi kebiasaannya ramai yang gemar membeli kunyit dalam bentuk serbuk di pasar atau kedai kerana ia lebih mudah dan cepat.
Tahukah anda serbuk kunyit sebenarnya boleh dibuat sendiri di rumah dan rasanya lebih sedap berbanding beli?

Menerusi perkongsian Puan Suez Tiez di laman Facebook, mereka yang berminat jom boleh cuba membuat serbuk kunyit sendiri!
Berikut perkongsian Puan Suez Tiez di bawah:

Beberapa hari lepas saya ada tuai kunyit dan cuba buat serbuk kunyit sendiri. Inilah hasilnya. Dapat la 1 botol serbuk kunyit daripada isi kunyit yang tak seberapa banyak tu.
Warna dan aroma kunyit buatan sendiri lebih terang dan wangi. Yang pasti ia lebih bersih dan bebas bahan pewarna, bebas pengawet dan asli. Tak sabar nak guna untuk masak hari ini.

Cara-cara penyediaan:
1. Cuci sebersih-bersihnya kunyit tu guna berus. Tak perlu kupas kulitnya. Kalau guna berus macam berus gigi tu pasti bersih.

2. Potong nipis-nipis dan jemur kering kan. Saya ambil masa 2 hari saja untuk keringkan sebab panas terik dari pagi sampai petang.
3. Nak cuba keringkan guna oven atau air fryer pun boleh. Ada kawan-kawan kata boleh. Saya lebih suka cara semula jadi.

4. Selepas kunyit betul-betul kering gunakan pengisar untuk bahan-bahan kering dan kisarkan kunyit tu sampai halus.

5. Kemudian tapis guna pengayak tepung. Kalau perlu ulang berkali-kali proses-proses ini sampai dapat serbuk kunyit yang dikehendaki.

Aroma dan rasa makanan memang sedap menggunakan serbuk kunyit buatan sendiri ini.
Selamat mencuba!