Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin bahawa Datuk Mohd Azizulhasni Awang mampu memberikan aksi terbaiknya kelak.
“Beliau telah menyatakan mahu buru emas itu, saya rasa tiada isu tekanan atau apa-apa, kerana dari mula lagi kita semua tahu mengenai hasratnya.”
“Bagi pihak kami, kita akan bantu mana-mana atlet yang mempunyai hasrat itu,” Kata Hannah dalam satu kenyataan yang ditulis Bernama.
Menerusi Road to Gold (RTG), pakar dari Jantung Negara (IJN) Profesor Datuk Seri Jeffry Jeswant Dillon turut diterbangkan bagi memantau keadaan Azizulhasni di Paris.
Menurut Jeffry Jeswant, tahap kesihatan Azizulhasni berada dalam keadaan terbaik setelah menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.
“Beliau telah pulih dengan sangat baik sejak pembedahan itu untuk capai sasaran dalam dua tahap – sebagai orang biasa yang menjalani pembedahan dan atlet elit.”
“Sejak itu, tiada apa-apa masalah yang membimbangkan.” Kata Jeffry Jeswant.
Jelas Jeffry Jeswant, mereka telah memantau keadaan Azizulhasni dan melakukan ujian-ujian yang sepatutnya di IJN mahupun di Australia.
“Kita yakin beliau ada pada tahap kesihatan yang optimum untuk capai apa yang beliau sasarkan. Kita mahu memberi semangat kepada beliau dan semua atlet berbasikal supaya lakukan yang terbaik dan insya-Allah akan berjaya,” Kata Jeffry Jeswant.
Pocket Rocketman Azizulhasni yang berusia 36 tahun ini telah menjalani pembedahan akibat mengalami masalah jantung jarang ditemui.
Masalah jantung jarang ditemui yang dimaksudkan itu dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggall / ganjil (AAORCA).
Acara berbasikal trek yang akan berlangsung pada Rabu ini diwakili tiga orang atlet negara iaitu:
Mohd Azizulhasni Awang – pusingan kelayakan lelaki pecut.
Muhammad Shah Firdaus Sahrom – pusingan kelayakan lelaki pecut.
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – pusingan pertama wanita Keirin.
NEW DELHI: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang meletak jawatan diberi masa 45 minit oleh tentera untuk meninggalkan negara itu.
Menurut laporan India Today, Hasina yang tiba di pangkalan tentera udara di India petang semalam 5 Ogos, meninggalkan Bangladesh berikutan bantahan besar-besaran menentang kerajaannya.
Hasina berlepas dengan pesawat Tentera Udara Bangladesh sebelum mendarat di pangkalan Tentera Udara India di Ghaziabad, berhampiran New Delhi.
Sheikh Hasina yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 5 Ogos 2024 diberi masa 45 minit meninggalkan negaranya. (Gambar Reuters)
Sumber melaporkan pada mulanya Hasina mahu menyiarkan mesej kepada rakyat sebelum meninggalkan Bangladesh, tetapi dihalang tentera.
Terdapat dua puak tentera Bangladesh, satu memihak kepada Hasina, manakala satu lagi pihak terdiri daripada pegawai rendah dan sekitar 60 pegawai bersara, menentangnya.
Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tentera diadakan kira-kira pada jam 1 tengah hari kelmarin dan pihak tentera memberitahu Hasina bahawa mereka tidak akan menghalang protes yang akan dilakukan pelajar pada Isnin.
Pada mulanya, situasi berada dalam keadaan baik sehingga jam 9 pagi semalam, namun selepas itu, ribuan pelajar memasuki Dhaka dari sempadan Gazipur.
Keadaan bertukar menjadi lebih buruk, sebelum tentera memaksa Hasina meninggalkan negara dalam masa 45 minit, menurut sumber itu.
Terdahulu, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman mengumumkan peralihan kerajaan sementara selepas Hasina melarikan diri dari negara itu di tengah-tengah protes ganas di seluruh negara.
Pihak berkuasa di Dhaka juga menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, menurut akhbar harian nasional Prothom Alo.
Seorang lelaki berdiri di hadapan kediaman Perdana Menteri di Ganahaban, Bangladesh selepas Sheikh Hasina mengumumkan peletakan jawatan pada 5 Ogos 2024. (Gambar Reuters)
Hasina, 76, menerajui pentadbiran sejak 2009, namun dituduh menipu pilihan raya pada Januari lalu, menyebabkan jutaan penduduk berdemonstrasi di jalan raya sepanjang bulan lalu, mendesak beliau meletakkan jawatan.
Ratusan rakyat negara itu maut ketika pasukan keselamatan cuba meredakan keadaan yang menyaksikan tunjuk perasaan semakin berkembang dan Hasina akhirnya menaiki helikopter semalam ketika tentera berpaling tadah terhadapnya.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kerajaan diterajui Hasina menyalahgunakan institusi negara untuk memperkukuh cengkaman kuasa dan menindas suara bantahan, termasuk pembunuhan di luar batas undang-undang terhadap aktivis pembangkang.
AFP melaporkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada polis, pegawai kerajaan, dan doktor di hospital, sekurang-kurangnya 366 terbunuh dalam ketegangan bermula awal bulan lalu.
Pada set pertama dalam aksi akhir penentuan pingat gangsa, Zii Jia dikalahkan Sen Lakshya dari India dengan mata 13-21.
Namun sebaik sahaja masuk babak kedua, Zii Jia bangkit dan akhirnya berjaya mengalahkan Sen dengan mata 21-16 yang mengheret permainan ke set ketiga.
Debaran sepanjang set ketiga ini bukan sahaja dirasakan Zii Jia dan penonton di Paris, malah di mana-mana juga berharap agar Zii Jia memenangi set ketiga ini.
Akhirnya selepas 71 minit bertarung, Zii Jia berjaya menewaskan Sen dengan mata akhir 21-11. Satu keputusan yang sangat baik daripada Zii Jia.
Dengan kemenangan ini, maka Malaysia secara rasminya memperoleh dua pingat gangsa iaitu menerusi beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.
Memetik laporan daripada wartawan Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani, Lee Zii Jia,26, mengakui terlalu banyak perkara yang berlaku selepas dia memilih untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.
“Ia merupakan detik hitam dalam kerjaya saya sebagai pemain badminton selain menempuh masa yang sangat buruk sepanjang tiga tahun ini.”
“Saya menghadapi kesukaran di mana saya bergelut dengan persembahan sendiri, ranking jatuh dan tidak percaya bahawa saya akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.”
“Namun saya sedikit pun tidak menyerah kalah dan membutirkan pingat gangsa kedua untuk negara meskipun impian sebenar hadir di sini ialah untuk menggondol pingat emas.” Kata Zii Jia.
Untuk makluman, Zii Jia sebenarnya merupakan perseorangan lelaki badminton ketiga yang menghadiahkan pingat buat Malaysia pada Sukan Olimpik.
Terdahulu, Rashid Sidek dengan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Atlanta 1996. Manakala Lee Chong Wei pula dengan pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.
Menariknya lagi, dengan status terkini sebagai pemain profesional Zii Jia adalah perseorangan lelaki pertama yang mendapat pingat pada Sukan Olimpik.
Walaupun hanya memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik Paris 2024, namun bagi Zii Jia kejayaan ini amat bermakna buat dirinya.
Menurut Zii Jia, dia akan kembali di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, LA28, dan cuba mendapatkan pingat emas untuk Malaysia dan dirinya.
Sementara itu, pingat perak diraih oleh pemain Thailand, Kunlavut setelah ditewaskan oleh pemain Denmark, Viktor Axelsen yang meraih pingat emas.
Pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, jaguh renang Thomas Ceccon dari Itali tular di media sosial selepas dia dilihat terpaksa tidur di atas rumput di sebuah taman.
Gambar itu mula tular selepas atlet pendayung daripada Arab Saudi, Husein Alireza, berkongsi gambar Ceccon sedang tidur nyenyak di atas tuala putih di bawah pokok yang berdekatan dengan penginapan atlet dalam Perkampungan Olimpik.
Husein Alireza / Instagram
Menurut Sky News, perenang Itali yang memenangi emas dalam acara 100 meter kuak lentang, sebelum ini sudah mengemukakan aduan secara terbuka mengenai hal penginapan di Perkampungan Olimpik.
Gambar New York Times
“Tiada pendingin hawa di perkampungan sukan, ia panas, dan makanannya tidak sedap. Ia realiti yang tidak semua orang tahu,” kata Ceccon.
“Di rumah, saya selalu tidur di waktu tengah hari, di sini amat sukar kerana keadaan panas dan bising,” keluhnya kerana berasa tidak selesa.
Husein Alireza / Instagram
Thomas Ceccon menarik perhatian ramai terutama peminatnya ekoran gambarnya yang memaparkan dia terpaksa tidur di atas rumput menjadi tular di media sosial.
Sebelum ini, atlet polo air dari Australia, Matilda Kearns mengkritik keadaan tilam di perkampungan Olimpik diperbuat daripada kadbod.
Pertarungan sengit antara Aaron-Wooi Yik dengan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark itu bermula daripada babak pertama lagi.
Namun begitu, kelebihan berpihak pada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk menghabiskan permainan dengan mata 21-16.
Masuk ke babak kedua, Aaron-Wooi Yik mengatur pergerakan dengan lebih baik dan akhirnya mereka berjaya mengheret perlawanan ke babak ketiga dengan mata kemenangan 22-20.
Setiap saat pada babak ketiga bagaikan bernafas dalam air apabila pasangan beregu Malaysia dan Denmark ini saling merapatkan jurang mata.
Selepas 74 minit bermain, akhirnya Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk muncul sebagai pemenang pingat gangsa.
Pingat gangsa ini merupakan pingat pertama daripada atlet Malaysia buat negara pada temasya Olimpik Paris 2024.
Aaron dalam satu kenyatakan bersama Bernama mengatakan bahawa mereka tidak yakin boleh menang ketika itu disebabkan hanya satu mata sahaja yang membezakan dengan pihak lawan.
Walau bagaimanapun, atas semangat juang yang tinggi, Aaron-Wooi Yik akhirnya berjaya menewaskan pihak lawan.
“Perlawanan tadi bukan mengenai corak permainan atau lain tetapi tentang mental. Kita tidak pernah putus asa dan percaya antara satu sama lain, itu sahaja.”
“Kita memang tidak yakin walaupun pernah buat kebangkitan di kejohanan Jelajah Dunia kerana ini Olimpik.”
“Namun kita tetap mahu lawan walaupun satu mata, kita tidak mahu putus asa sampai mata terakhir. Ia merupakan satu kebangkitan luar biasa dalam kejohanan besar ini.”
“Mungkin ada yang kata pingat gangsa lagi, tiada peningkatan dan konsisten menang gangsa, tapi ia bergantung kepada cara anda menyatakannya,” Kata Aaron.
Jelas Aaron lagi, mereka tidak berniat untuk meraikan kejayaan tersebut secara besar-besaran kerana sasaran sebenar mereka adalah pingat emas.
Difahamkan selepas Olimpik Paris 2024 ini mereka akan berehat selama beberapa hari. Setelah itu, mereka akan terus beraksi dalam baki kejohanan Jelajah Dunia tahun ini.
“Selepas itu, saya rasa tahun depan sudah kena mulakan persiapan (untuk Olimpik) Los Angeles 2028 (LA28),” Katanya.
Bagi Wooi Yik pula, peningkatan variasi dan kekebalan dalam pertahanan membolehkan mereka menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
“Dari situ mereka pun dah sangat gementar dan kita pun dapat rasakan juga, jadi kita lepaskan (mengembalikan bulu tangkis) dan tidak buat kesilapan mudah.”
“Apabila mereka rasa tekanan itu, kita ada peluang untuk dapatkan mata. Kepada semua penyokong yang sentiasa berada bersama kami, sejak kali pertama dapat gangsa di Tokyo, saya harap akan lebih baik di LA28.”
“Mungkin kita tak capai apa yang Malaysia inginkan, tapi bagaimana kita hadapi kekalahan di separuh akhir, dan lawan untuk gangsa hari ini, bukan semua orang boleh lakukan,” Kata Wooi Yik.
Dalam pada itu, jurulatih beregu lelaki kebangsaan Tam Bin Shen berkata, Aaron-Wooi Yik telah mempamerkan aksi lebih berkualiti sepanjang temasya Olimpik kali ini.
“Mereka dapat belajar cara menangani sendiri permainan, corak permainan dan bagaimana untuk mengatasi benda mereka tak suka yang mereka kena main.”
“Mereka faham itulah standard yang mereka perlukan untuk menang kejohanan utama.”
“Bagi saya, sejak gangsa 2020, persiapan mereka ke Paris 2024 memang dah beri terbaik sebab sasarkan emas.”
“Mereka betul-betul berikan segalanya, saya memang nampak pengorbanan dan usaha mereka dalam dan luar gelanggang,” Kata Tan.
Sementara itu, dalam penentuan pingat emas dan perak pula menyaksikan pertempuran antara pasangan Wang Chang-Liang Wei Keng dari China dan Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan.
Permainan yang berlangsung selama 76 minit itu akhirnya disudahkan dengan mata kemenangan 21-17,18-21 dan 21-19 oleh Taiwan ke atas China. Maka secara rasminya Taiwan menjadi juara Olimpik edisi Paris 2024.
Jika diteliti, kejayaan Malaysia, China dan Taiwan menerusi acara beregu lelaki badminton kali ini seperti mengulangi sejarah Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Terdahulu masing-masing memenangi pingat yang sama dengan Aaron-Wooi Yik (Malaysia) pingat gangsa dan Lee Yang-Wang Chi-Lin (Taiwan) pingat emas. Manakala China dengan pingat perak tetapi menerusi pasangan Yu Chen Liu-Jun Hui Li.
Sekarang mari kita beri tumpuan pada Lee Zii Jia yang akan menentang Sen Lakshya bagi penentuan pingat gangsa.
Kementerian Luar telah mengeluarkan notis segera kepada rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke United Kingdom supaya menjauhi protes anti-pendatang yang sedang berlaku di seluruh United Kingdom, dengan apa yang digelar sebagai rusuhan terburuk dalam tempoh 13 tahun.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata pihaknya memantau rapi siri protes melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, yang dicetuskan oleh insiden tikaman di Southport pada 29 Julai lalu.
Sehubungan itu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjauhi kawasan protes, sambil terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Kementerian Luar amat menggalakkan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk berbuat demikian dengan segera bagi memastikan mereka menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di alamat 45 – 46 Belgrave Square, London, telefon +44 20 3931 6196 atau +44 20 7235 8033, atau e-mel ke [email protected].
Protes anti-pendatang di United Kingdom dicetuskan dengan tularnya maklumat salah oleh sayap kanan.
BBCmelaporkan rusuhan bermula apabila 3 kanak-kanak perempuan maut dan 10 lagi cedera pada 29 Julai, antaranya 5 kanak-kanak dan 2 orang dewasa berada dalam keadaan kritikal, selepas tragedi serangan tikaman di Southport oleh suspek berusia 17 tahun, Axel Rudakubana dari Cardiff, Wales.
Bagaimanapun, menurut Al-Jazeera, sayap kanan di United Kingdom mengambil alih dan memutar-belit serangan itu dengan mengubahnya menjadi protes anti-imigresen sambil menyebarkan maklumat salah bahawa suspek adalah pendatang Islam.
Rusuhan itu kini telah merebak ke seluruh United Kingdom, dengan pertempuran antara polis dalam beberapa perhimpunan anti-pendatang telah menyebabkan kerosakan dan kecederaan.
Beregu wanita negara ini tewas kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuya-Chiharu Shida selepas 44 minit bermain.
Pearly-Thinaah dilihat berterusan menangkis hantaran bulu tangkis daripada pihak lawan namun terpaksa akur dengan pungutan mata 11-21 pada set pertama dan kedua.
Dengan kekalahan itu, maka terlepaslah impian Pearly-Thinaah untuk membawa balik pingat gangsa bagi edisi Olimpik Paris 2024.
Memetik laporan Bernama, Thinaah berkata ramai yang tidak percaya mereka mampu sampai ke tahap sekarang sementelah prestasi tidak konsisten sejak awal tahun.
“Saya rasa ini masih pencapaian yang bagus dan kita kena berbangga dan harapnya ini memberi inspirasi kepada pemain junior bahawa segalanya mungkin.”
“Untuk kami capai ke tahap ini, saya rasa kami juga perlu memuji diri sendiri, kami tak boleh ambil perkara negatif sahaja, kami ambil yang positif dan teruskan perjuangan.”
“Kami berdua mahu memenangi pingat itu. Tetapi, pada ketika ini, ia adalah tentang mental dan menyerap tekanan, mereka betul-betul menggasak kami dan bermain dengan agresif.”
“Ambil masa untuk terima semua ini, jadi kami mahu menggunakan masa ini untuk bersama keluarga dan rakan-rakan yang ada di sini,” Katanya.
Bagi Pearly pula, kehebatan beregu wanita dari Jepun tersebut sukar untuk ditandingi.
“Mereka sangat agresif, pantas dan kawal seluruh permainan hari ini, kita ada cuba banyak strategi untuk atasi (mereka) tapi memang sangat susah untuk walau ambil satu mata daripada mereka.”
“Selepas itu kita dah terburu-buru (rush) dan hilang kesabaran, kerana tak tahu macam mana nak ambil mata dan mula buat kesilapan.”
“Kita sangat sedih tapi kena terima kekalahan ini kerana masih ada banyak jurang dengan mereka hari ini. Kita kena balik dan berlatih lebih keras,” Kata Pearly.
Sementara itu, pasukan dari China pula berentap sesama sendiri bagi penentuan pingat emas.
Pusingan separuh akhir ini menyaksikan ketangkasan Kunlavut ternyata sukar dipatahkan Zii Jia apabila setiap hantaran bulu tangkis tidak dapat ditepisnya dengan baik.
Babak pertama menyaksikan Kunlavut dan Zii Jia saling merapatkan jurang mata namun kelebihan yang dimiliki Kunlavut membolehkannya menamatkan permainan dengan mata kemenangan 21-14.
Lee Zii Jia kemudiannya bangkit pada awal babak kedua bagi mengejar kemenangan namun ketinggalan agak jauh pada mata 3-10 ke atas Kunlavut.
Mata demi mata dikutip Kunlavut yang dilihat lebih menguasai permainan pada babak kedua ini sementara Zii Jia pula bagai sudah hilang rentak permainannya.
Selepas bertarung selama 24 minit, Kunlavut akhirnya menang dengan pungutan mata 21-15.
Maka dengan itu Kunlavut berjaya melayakkan diri dalam penentuan pingat emas atau perak manakala Zii Jia pula perlu bekerja keras untuk merebut pingat gangsa.
Sementara itu, perseorangan lelaki dari Denmark, Viktor Axelsen pula berjaya melayakkan diri untuk merebut pingat emas selepas menewaskan Sen Lakshya dari India.
Biarpun Viktor menang tipis 22-20 pada babak pertama, namun dia berjaya menewaskan Sen dengan mata akhir 21-14 pada babak kedua.
Sungguhpun terlepas pingat emas, Lee Zii Jia kini fokus pada pingat gangsa dan sebagai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama doakan kemenangan buat pemain berusia 26 tahun ini.
PUTRAJAYA: Lesen B Penuh, program khas peralihan yang diperkenalkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) kelas B1, B2 akan bermula 1 Oktober ini.
BERITA HARIAN Foto fail Bernama: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke
Memetik laporan daripada Bernama dan Berita Harian, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata terdapat syarat yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) itu.
Antara syarat bagi menduduki program khas tersebut ialah pemohon telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun.
Pemohon juga hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau apa-apa perkara yang belum selesai di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Pemohon juga perlu membuat pengesahan sihat tubuh badan, fizikal dan minda secara deklarasi kendiri.”
“Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa sebenar.”
Loke berkata demikian dalam sidan media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2024 peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat.
Menurut Loke lagi, calon yang menjalani program khas peralihan lesen B penuh itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM160.
Bayaran itu bertujuan bagi menampung kos operasi di institut memandu (IM).
Selain itu, calon juga perlu menghadiri latihan litar selama dua jam dan lulus penyesuaian kenderaan.
Calon juga akan terlibat dengan amali penunggangan, informasi pemanduan selamat serta pengoperasian motosikal berkuasa besar.
Terdahulu, kos bagi mendapatkan LMM kelas B adalah RM900, membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar.
Jelas Loke, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan.
Hal ini termasuklah melaksanakan perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM.
Dalam pada itu, bagi pemegang lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) pula akan digabungkan dengan kelas B (motosikal melebihi 500cc).
Penggabungan itu ditetapkan setelah mengambil kira permintaan terhadap LMM kelas B1 yang terlalu rendah pada setiap tahun.
Hal ini berikutan ramai yang memilih untuk mendapatkan kelas B sahaja berbanding kelas B1.
“Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai.”
“Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal.”
“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” Kata Loke.
Menerusi pertemuan di Porte de La Chapelle Arena, Zii Jia dengan jayanya menumpaskan pemain nombor empat dunia dari Denmark, Anders Antonsen.
Walaupun saingan pada set pertama agak sengit, namun pemain kelahiran Alor Setar ini terus berhempas-pulas hingga mencapai kemenangan dengan mata 21-17.
Babak pada set kedua pula menyaksikan ketangkasan Zii Jia yang cukup bertenaga hingga meninggalkan Antonsen jauh ke belakang dengan mata akhir 21-15.
Kemenangan ini sekali gus membenarkan Zii Jia untuk memperbaiki rekod pertemuan antara mereka.
Hal ini dikatakan demikian apabila Zii Jia mencatatkan empat kemenangan daripada sembilan pertemuan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan lagenda badminton China, Lin Dan meramal Zii Jia akan bertemu dengan rakan senegaranya Shi Yu Qi di pentas akhir.
Namun sebaliknya berlaku apabila pemain nombor satu dunia itu ditewaskan dengan mudah oleh pemain nombor lapan dunia, Kunlavut dari Thailand.