Kementerian Luar telah mengeluarkan notis segera kepada rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke United Kingdom supaya menjauhi protes anti-pendatang yang sedang berlaku di seluruh United Kingdom, dengan apa yang digelar sebagai rusuhan terburuk dalam tempoh 13 tahun.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata pihaknya memantau rapi siri protes melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, yang dicetuskan oleh insiden tikaman di Southport pada 29 Julai lalu.
Sehubungan itu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjauhi kawasan protes, sambil terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Kementerian Luar amat menggalakkan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk berbuat demikian dengan segera bagi memastikan mereka menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di alamat 45 – 46 Belgrave Square, London, telefon +44 20 3931 6196 atau +44 20 7235 8033, atau e-mel ke [email protected].
Protes anti-pendatang di United Kingdom dicetuskan dengan tularnya maklumat salah oleh sayap kanan.
BBC melaporkan rusuhan bermula apabila 3 kanak-kanak perempuan maut dan 10 lagi cedera pada 29 Julai, antaranya 5 kanak-kanak dan 2 orang dewasa berada dalam keadaan kritikal, selepas tragedi serangan tikaman di Southport oleh suspek berusia 17 tahun, Axel Rudakubana dari Cardiff, Wales.
Bagaimanapun, menurut Al-Jazeera, sayap kanan di United Kingdom mengambil alih dan memutar-belit serangan itu dengan mengubahnya menjadi protes anti-imigresen sambil menyebarkan maklumat salah bahawa suspek adalah pendatang Islam.
Rusuhan itu kini telah merebak ke seluruh United Kingdom, dengan pertempuran antara polis dalam beberapa perhimpunan anti-pendatang telah menyebabkan kerosakan dan kecederaan.