PARIS: Pocket Rocketman, Azizulhasni kini jadi tumpuan selepas acara badminton tamat dengan dua pingat gangsa pada Olimpik Paris baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin bahawa Datuk Mohd Azizulhasni Awang mampu memberikan aksi terbaiknya kelak.
“Beliau telah menyatakan mahu buru emas itu, saya rasa tiada isu tekanan atau apa-apa, kerana dari mula lagi kita semua tahu mengenai hasratnya.”
“Bagi pihak kami, kita akan bantu mana-mana atlet yang mempunyai hasrat itu,” Kata Hannah dalam satu kenyataan yang ditulis Bernama.
Menerusi Road to Gold (RTG), pakar dari Jantung Negara (IJN) Profesor Datuk Seri Jeffry Jeswant Dillon turut diterbangkan bagi memantau keadaan Azizulhasni di Paris.
Menurut Jeffry Jeswant, tahap kesihatan Azizulhasni berada dalam keadaan terbaik setelah menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.
“Beliau telah pulih dengan sangat baik sejak pembedahan itu untuk capai sasaran dalam dua tahap – sebagai orang biasa yang menjalani pembedahan dan atlet elit.”
“Sejak itu, tiada apa-apa masalah yang membimbangkan.” Kata Jeffry Jeswant.
Jelas Jeffry Jeswant, mereka telah memantau keadaan Azizulhasni dan melakukan ujian-ujian yang sepatutnya di IJN mahupun di Australia.
“Kita yakin beliau ada pada tahap kesihatan yang optimum untuk capai apa yang beliau sasarkan. Kita mahu memberi semangat kepada beliau dan semua atlet berbasikal supaya lakukan yang terbaik dan insya-Allah akan berjaya,” Kata Jeffry Jeswant.
Pocket Rocketman Azizulhasni yang berusia 36 tahun ini telah menjalani pembedahan akibat mengalami masalah jantung jarang ditemui.
Masalah jantung jarang ditemui yang dimaksudkan itu dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggall / ganjil (AAORCA).
Acara berbasikal trek yang akan berlangsung pada Rabu ini diwakili tiga orang atlet negara iaitu:
- Mohd Azizulhasni Awang – pusingan kelayakan lelaki pecut.
- Muhammad Shah Firdaus Sahrom – pusingan kelayakan lelaki pecut.
- Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – pusingan pertama wanita Keirin.
Mari kita sama-sama doakan agar atlet-atlet negara ini berjaya mencapai pingat yang diidamkan untuk diri sendiri dan negara.