NEW DELHI: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang meletak jawatan diberi masa 45 minit oleh tentera untuk meninggalkan negara itu.
Menurut laporan India Today, Hasina yang tiba di pangkalan tentera udara di India petang semalam 5 Ogos, meninggalkan Bangladesh berikutan bantahan besar-besaran menentang kerajaannya.
Hasina berlepas dengan pesawat Tentera Udara Bangladesh sebelum mendarat di pangkalan Tentera Udara India di Ghaziabad, berhampiran New Delhi.
Sumber melaporkan pada mulanya Hasina mahu menyiarkan mesej kepada rakyat sebelum meninggalkan Bangladesh, tetapi dihalang tentera.
Terdapat dua puak tentera Bangladesh, satu memihak kepada Hasina, manakala satu lagi pihak terdiri daripada pegawai rendah dan sekitar 60 pegawai bersara, menentangnya.
Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tentera diadakan kira-kira pada jam 1 tengah hari kelmarin dan pihak tentera memberitahu Hasina bahawa mereka tidak akan menghalang protes yang akan dilakukan pelajar pada Isnin.
Pada mulanya, situasi berada dalam keadaan baik sehingga jam 9 pagi semalam, namun selepas itu, ribuan pelajar memasuki Dhaka dari sempadan Gazipur.
Keadaan bertukar menjadi lebih buruk, sebelum tentera memaksa Hasina meninggalkan negara dalam masa 45 minit, menurut sumber itu.
Terdahulu, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman mengumumkan peralihan kerajaan sementara selepas Hasina melarikan diri dari negara itu di tengah-tengah protes ganas di seluruh negara.
Pihak berkuasa di Dhaka juga menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, menurut akhbar harian nasional Prothom Alo.
Hasina, 76, menerajui pentadbiran sejak 2009, namun dituduh menipu pilihan raya pada Januari lalu, menyebabkan jutaan penduduk berdemonstrasi di jalan raya sepanjang bulan lalu, mendesak beliau meletakkan jawatan.
Ratusan rakyat negara itu maut ketika pasukan keselamatan cuba meredakan keadaan yang menyaksikan tunjuk perasaan semakin berkembang dan Hasina akhirnya menaiki helikopter semalam ketika tentera berpaling tadah terhadapnya.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kerajaan diterajui Hasina menyalahgunakan institusi negara untuk memperkukuh cengkaman kuasa dan menindas suara bantahan, termasuk pembunuhan di luar batas undang-undang terhadap aktivis pembangkang.
AFP melaporkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada polis, pegawai kerajaan, dan doktor di hospital, sekurang-kurangnya 366 terbunuh dalam ketegangan bermula awal bulan lalu.