PARIS: Pingat gangsa sah milik Aaron-Wooi Yik selepas mereka berjaya menewaskan pasangan dari Denmark pada pusingan akhir beregu lelaki di sini.
Pertarungan sengit antara Aaron-Wooi Yik dengan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark itu bermula daripada babak pertama lagi.
Namun begitu, kelebihan berpihak pada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk menghabiskan permainan dengan mata 21-16.
Masuk ke babak kedua, Aaron-Wooi Yik mengatur pergerakan dengan lebih baik dan akhirnya mereka berjaya mengheret perlawanan ke babak ketiga dengan mata kemenangan 22-20.
Setiap saat pada babak ketiga bagaikan bernafas dalam air apabila pasangan beregu Malaysia dan Denmark ini saling merapatkan jurang mata.
Selepas 74 minit bermain, akhirnya Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk muncul sebagai pemenang pingat gangsa.
Pingat gangsa ini merupakan pingat pertama daripada atlet Malaysia buat negara pada temasya Olimpik Paris 2024.
Aaron dalam satu kenyatakan bersama Bernama mengatakan bahawa mereka tidak yakin boleh menang ketika itu disebabkan hanya satu mata sahaja yang membezakan dengan pihak lawan.
Walau bagaimanapun, atas semangat juang yang tinggi, Aaron-Wooi Yik akhirnya berjaya menewaskan pihak lawan.
“Perlawanan tadi bukan mengenai corak permainan atau lain tetapi tentang mental. Kita tidak pernah putus asa dan percaya antara satu sama lain, itu sahaja.”
“Kita memang tidak yakin walaupun pernah buat kebangkitan di kejohanan Jelajah Dunia kerana ini Olimpik.”
“Namun kita tetap mahu lawan walaupun satu mata, kita tidak mahu putus asa sampai mata terakhir. Ia merupakan satu kebangkitan luar biasa dalam kejohanan besar ini.”
“Mungkin ada yang kata pingat gangsa lagi, tiada peningkatan dan konsisten menang gangsa, tapi ia bergantung kepada cara anda menyatakannya,” Kata Aaron.
Jelas Aaron lagi, mereka tidak berniat untuk meraikan kejayaan tersebut secara besar-besaran kerana sasaran sebenar mereka adalah pingat emas.
Difahamkan selepas Olimpik Paris 2024 ini mereka akan berehat selama beberapa hari. Setelah itu, mereka akan terus beraksi dalam baki kejohanan Jelajah Dunia tahun ini.
“Selepas itu, saya rasa tahun depan sudah kena mulakan persiapan (untuk Olimpik) Los Angeles 2028 (LA28),” Katanya.
Bagi Wooi Yik pula, peningkatan variasi dan kekebalan dalam pertahanan membolehkan mereka menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
“Dari situ mereka pun dah sangat gementar dan kita pun dapat rasakan juga, jadi kita lepaskan (mengembalikan bulu tangkis) dan tidak buat kesilapan mudah.”
“Apabila mereka rasa tekanan itu, kita ada peluang untuk dapatkan mata. Kepada semua penyokong yang sentiasa berada bersama kami, sejak kali pertama dapat gangsa di Tokyo, saya harap akan lebih baik di LA28.”
“Mungkin kita tak capai apa yang Malaysia inginkan, tapi bagaimana kita hadapi kekalahan di separuh akhir, dan lawan untuk gangsa hari ini, bukan semua orang boleh lakukan,” Kata Wooi Yik.
Dalam pada itu, jurulatih beregu lelaki kebangsaan Tam Bin Shen berkata, Aaron-Wooi Yik telah mempamerkan aksi lebih berkualiti sepanjang temasya Olimpik kali ini.
“Mereka dapat belajar cara menangani sendiri permainan, corak permainan dan bagaimana untuk mengatasi benda mereka tak suka yang mereka kena main.”
“Mereka faham itulah standard yang mereka perlukan untuk menang kejohanan utama.”
“Bagi saya, sejak gangsa 2020, persiapan mereka ke Paris 2024 memang dah beri terbaik sebab sasarkan emas.”
“Mereka betul-betul berikan segalanya, saya memang nampak pengorbanan dan usaha mereka dalam dan luar gelanggang,” Kata Tan.
Sementara itu, dalam penentuan pingat emas dan perak pula menyaksikan pertempuran antara pasangan Wang Chang-Liang Wei Keng dari China dan Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan.
Permainan yang berlangsung selama 76 minit itu akhirnya disudahkan dengan mata kemenangan 21-17,18-21 dan 21-19 oleh Taiwan ke atas China. Maka secara rasminya Taiwan menjadi juara Olimpik edisi Paris 2024.
Jika diteliti, kejayaan Malaysia, China dan Taiwan menerusi acara beregu lelaki badminton kali ini seperti mengulangi sejarah Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Terdahulu masing-masing memenangi pingat yang sama dengan Aaron-Wooi Yik (Malaysia) pingat gangsa dan Lee Yang-Wang Chi-Lin (Taiwan) pingat emas. Manakala China dengan pingat perak tetapi menerusi pasangan Yu Chen Liu-Jun Hui Li.
Sekarang mari kita beri tumpuan pada Lee Zii Jia yang akan menentang Sen Lakshya bagi penentuan pingat gangsa.