Pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, jaguh renang Thomas Ceccon dari Itali tular di media sosial selepas dia dilihat terpaksa tidur di atas rumput di sebuah taman.
Gambar itu mula tular selepas atlet pendayung daripada Arab Saudi, Husein Alireza, berkongsi gambar Ceccon sedang tidur nyenyak di atas tuala putih di bawah pokok yang berdekatan dengan penginapan atlet dalam Perkampungan Olimpik.
Menurut Sky News, perenang Itali yang memenangi emas dalam acara 100 meter kuak lentang, sebelum ini sudah mengemukakan aduan secara terbuka mengenai hal penginapan di Perkampungan Olimpik.
“Tiada pendingin hawa di perkampungan sukan, ia panas, dan makanannya tidak sedap. Ia realiti yang tidak semua orang tahu,” kata Ceccon.
“Di rumah, saya selalu tidur di waktu tengah hari, di sini amat sukar kerana keadaan panas dan bising,” keluhnya kerana berasa tidak selesa.
Thomas Ceccon menarik perhatian ramai terutama peminatnya ekoran gambarnya yang memaparkan dia terpaksa tidur di atas rumput menjadi tular di media sosial.
Sebelum ini, atlet polo air dari Australia, Matilda Kearns mengkritik keadaan tilam di perkampungan Olimpik diperbuat daripada kadbod.