PARIS: Impian Pearly-Thinaah untuk bawa balik pingat tidak kesampaian apabila mereka tewas pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena.
Beregu wanita negara ini tewas kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuya-Chiharu Shida selepas 44 minit bermain.
Pearly-Thinaah dilihat berterusan menangkis hantaran bulu tangkis daripada pihak lawan namun terpaksa akur dengan pungutan mata 11-21 pada set pertama dan kedua.
Dengan kekalahan itu, maka terlepaslah impian Pearly-Thinaah untuk membawa balik pingat gangsa bagi edisi Olimpik Paris 2024.
Memetik laporan Bernama, Thinaah berkata ramai yang tidak percaya mereka mampu sampai ke tahap sekarang sementelah prestasi tidak konsisten sejak awal tahun.
“Saya rasa ini masih pencapaian yang bagus dan kita kena berbangga dan harapnya ini memberi inspirasi kepada pemain junior bahawa segalanya mungkin.”
“Untuk kami capai ke tahap ini, saya rasa kami juga perlu memuji diri sendiri, kami tak boleh ambil perkara negatif sahaja, kami ambil yang positif dan teruskan perjuangan.”
“Kami berdua mahu memenangi pingat itu. Tetapi, pada ketika ini, ia adalah tentang mental dan menyerap tekanan, mereka betul-betul menggasak kami dan bermain dengan agresif.”
“Ambil masa untuk terima semua ini, jadi kami mahu menggunakan masa ini untuk bersama keluarga dan rakan-rakan yang ada di sini,” Katanya.
Bagi Pearly pula, kehebatan beregu wanita dari Jepun tersebut sukar untuk ditandingi.
“Mereka sangat agresif, pantas dan kawal seluruh permainan hari ini, kita ada cuba banyak strategi untuk atasi (mereka) tapi memang sangat susah untuk walau ambil satu mata daripada mereka.”
“Selepas itu kita dah terburu-buru (rush) dan hilang kesabaran, kerana tak tahu macam mana nak ambil mata dan mula buat kesilapan.”
“Kita sangat sedih tapi kena terima kekalahan ini kerana masih ada banyak jurang dengan mereka hari ini. Kita kena balik dan berlatih lebih keras,” Kata Pearly.
Sementara itu, pasukan dari China pula berentap sesama sendiri bagi penentuan pingat emas.
Meskipun senegara, pasangan Qing Chen-Yi Fan dan Sheng Shu-Tang Ning masing-masing saling mengejar mata untuk mendapatkan pingat emas.
Selepas 58 minit bermain, Sheng Shu-Tang Ning terpaksa akur dengan pingat perak apabila Qing Chen-Yi Fan akhirnya berjaya menewaskan mereka.
Pingat emas bagi beregu wanita sah menjadi milik Qing Chen-Yi Fan dari China.