PARIS: Terlepas pingat emas selepas ditewaskan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, Lee Zii Jia kini fokus sepenuhnya pada pingat gangsa.
Pusingan separuh akhir ini menyaksikan ketangkasan Kunlavut ternyata sukar dipatahkan Zii Jia apabila setiap hantaran bulu tangkis tidak dapat ditepisnya dengan baik.
Babak pertama menyaksikan Kunlavut dan Zii Jia saling merapatkan jurang mata namun kelebihan yang dimiliki Kunlavut membolehkannya menamatkan permainan dengan mata kemenangan 21-14.
Lee Zii Jia kemudiannya bangkit pada awal babak kedua bagi mengejar kemenangan namun ketinggalan agak jauh pada mata 3-10 ke atas Kunlavut.
Mata demi mata dikutip Kunlavut yang dilihat lebih menguasai permainan pada babak kedua ini sementara Zii Jia pula bagai sudah hilang rentak permainannya.
Selepas bertarung selama 24 minit, Kunlavut akhirnya menang dengan pungutan mata 21-15.
Maka dengan itu Kunlavut berjaya melayakkan diri dalam penentuan pingat emas atau perak manakala Zii Jia pula perlu bekerja keras untuk merebut pingat gangsa.
Sementara itu, perseorangan lelaki dari Denmark, Viktor Axelsen pula berjaya melayakkan diri untuk merebut pingat emas selepas menewaskan Sen Lakshya dari India.
Biarpun Viktor menang tipis 22-20 pada babak pertama, namun dia berjaya menewaskan Sen dengan mata akhir 21-14 pada babak kedua.
Tamat sudah pusingan separuh akhir dan fokus kini pada peringkat akhir yang akan berlangsung pada 5 Ogos seperti berikut:
- Lee Zii Jia akan menentang Sen Lakshya bagi penentuan pingat gangsa.
- Kunlavut Vitidsarn akan menentang Viktor Axelsen bagi merebut pingat emas.
Sungguhpun terlepas pingat emas, Lee Zii Jia kini fokus pada pingat gangsa dan sebagai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama doakan kemenangan buat pemain berusia 26 tahun ini.