33.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 19, 2025
Utama Blog Laman 15

Impian Pearly-Thinaah bawa balik pingat tidak kesampaian

0

PARIS: Impian Pearly-Thinaah untuk bawa balik pingat tidak kesampaian apabila mereka tewas pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Beregu wanita negara ini tewas kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuya-Chiharu Shida selepas 44 minit bermain.

Pearly-Thinaah dilihat berterusan menangkis hantaran bulu tangkis daripada pihak lawan namun terpaksa akur dengan pungutan mata 11-21 pada set pertama dan kedua.

Dengan kekalahan itu, maka terlepaslah impian Pearly-Thinaah untuk membawa balik pingat gangsa bagi edisi Olimpik Paris 2024.

OLYMPIC.COM

Memetik laporan Bernama, Thinaah berkata ramai yang tidak percaya mereka mampu sampai ke tahap sekarang sementelah prestasi tidak konsisten sejak awal tahun.

“Saya rasa ini masih pencapaian yang bagus dan kita kena berbangga dan harapnya ini memberi inspirasi kepada pemain junior bahawa segalanya mungkin.”

“Untuk kami capai ke tahap ini, saya rasa kami juga perlu memuji diri sendiri, kami tak boleh ambil perkara negatif sahaja, kami ambil yang positif dan teruskan perjuangan.”

“Kami berdua mahu memenangi pingat itu. Tetapi, pada ketika ini, ia adalah tentang mental dan menyerap tekanan, mereka betul-betul menggasak kami dan bermain dengan agresif.”

“Ambil masa untuk terima semua ini, jadi kami mahu menggunakan masa ini untuk bersama keluarga dan rakan-rakan yang ada di sini,” Katanya.

Bagi Pearly pula, kehebatan beregu wanita dari Jepun tersebut sukar untuk ditandingi.

“Mereka sangat agresif, pantas dan kawal seluruh permainan hari ini, kita ada cuba banyak strategi untuk atasi (mereka) tapi memang sangat susah untuk walau ambil satu mata daripada mereka.”

“Selepas itu kita dah terburu-buru (rush) dan hilang kesabaran, kerana tak tahu macam mana nak ambil mata dan mula buat kesilapan.”

“Kita sangat sedih tapi kena terima kekalahan ini kerana masih ada banyak jurang dengan mereka hari ini. Kita kena balik dan berlatih lebih keras,” Kata Pearly.

Sementara itu, pasukan dari China pula berentap sesama sendiri bagi penentuan pingat emas.

OLYMPIC.COM

Meskipun senegara, pasangan Qing Chen-Yi Fan dan Sheng Shu-Tang Ning masing-masing saling mengejar mata untuk mendapatkan pingat emas.

Selepas 58 minit bermain, Sheng Shu-Tang Ning terpaksa akur dengan pingat perak apabila Qing Chen-Yi Fan akhirnya berjaya menewaskan mereka.

Pingat emas bagi beregu wanita sah menjadi milik Qing Chen-Yi Fan dari China.

Terlepas pingat emas, Lee Zii Jia kini fokus pada pingat gangsa

0

PARIS: Terlepas pingat emas selepas ditewaskan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, Lee Zii Jia kini fokus sepenuhnya pada pingat gangsa.

OLYMPIC.COM

Pusingan separuh akhir ini menyaksikan ketangkasan Kunlavut ternyata sukar dipatahkan Zii Jia apabila setiap hantaran bulu tangkis tidak dapat ditepisnya dengan baik.

Babak pertama menyaksikan Kunlavut dan Zii Jia saling merapatkan jurang mata namun kelebihan yang dimiliki Kunlavut membolehkannya menamatkan permainan dengan mata kemenangan 21-14.

Lee Zii Jia kemudiannya bangkit pada awal babak kedua bagi mengejar kemenangan namun ketinggalan agak jauh pada mata 3-10 ke atas Kunlavut.

Mata demi mata dikutip Kunlavut yang dilihat lebih menguasai permainan pada babak kedua ini sementara Zii Jia pula bagai sudah hilang rentak permainannya.

MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Selepas bertarung selama 24 minit, Kunlavut akhirnya menang dengan pungutan mata 21-15.

Maka dengan itu Kunlavut berjaya melayakkan diri dalam penentuan pingat emas atau perak manakala Zii Jia pula perlu bekerja keras untuk merebut pingat gangsa.

Sementara itu, perseorangan lelaki dari Denmark, Viktor Axelsen pula berjaya melayakkan diri untuk merebut pingat emas selepas menewaskan Sen Lakshya dari India.

Biarpun Viktor menang tipis 22-20 pada babak pertama, namun dia berjaya menewaskan Sen dengan mata akhir 21-14 pada babak kedua.

OLYMPIC.COM

Tamat sudah pusingan separuh akhir dan fokus kini pada peringkat akhir yang akan berlangsung pada 5 Ogos seperti berikut:

  1. Lee Zii Jia akan menentang Sen Lakshya bagi penentuan pingat gangsa.
  2. Kunlavut Vitidsarn akan menentang Viktor Axelsen bagi merebut pingat emas.
OLYMPIC.COM

Sungguhpun terlepas pingat emas, Lee Zii Jia kini fokus pada pingat gangsa dan sebagai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama doakan kemenangan buat pemain berusia 26 tahun ini.

Lesen B Penuh, program khas peralihan bermula 1 Oktober

0

PUTRAJAYA: Lesen B Penuh, program khas peralihan yang diperkenalkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) kelas B1, B2 akan bermula 1 Oktober ini.

BERITA HARIAN Foto fail Bernama: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

Memetik laporan daripada Bernama dan Berita Harian, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata terdapat syarat yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) itu.

Antara syarat bagi menduduki program khas tersebut ialah pemohon telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun.

Pemohon juga hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau apa-apa perkara yang belum selesai di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Pemohon juga perlu membuat pengesahan sihat tubuh badan, fizikal dan minda secara deklarasi kendiri.”

“Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa sebenar.”

Loke berkata demikian dalam sidan media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2024 peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat.

Menurut Loke lagi, calon yang menjalani program khas peralihan lesen B penuh itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM160.

Bayaran itu bertujuan bagi menampung kos operasi di institut memandu (IM).

Selain itu, calon juga perlu menghadiri latihan litar selama dua jam dan lulus penyesuaian kenderaan.

Calon juga akan terlibat dengan amali penunggangan, informasi pemanduan selamat serta pengoperasian motosikal berkuasa besar.

Terdahulu, kos bagi mendapatkan LMM kelas B adalah RM900, membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar.

Jelas Loke, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan.

Hal ini termasuklah melaksanakan perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM.

Dalam pada itu, bagi pemegang lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) pula akan digabungkan dengan kelas B (motosikal melebihi 500cc).

Penggabungan itu ditetapkan setelah mengambil kira permintaan terhadap LMM kelas B1 yang terlalu rendah pada setiap tahun.

Hal ini berikutan ramai yang memilih untuk mendapatkan kelas B sahaja berbanding kelas B1.

“Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai.”

“Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal.”

“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” Kata Loke.

Harapan Lee Zii Jia untuk bawa balik pingat semakin bersinar

0

PARIS: Harapan Lee Zii Jia untuk bawa balik pingat semakin bersinar apabila pemain perseorangan negara ini layak ke pusingan separuh akhir.

OLYMPIC.COM

Menerusi pertemuan di Porte de La Chapelle Arena, Zii Jia dengan jayanya menumpaskan pemain nombor empat dunia dari Denmark, Anders Antonsen.

Walaupun saingan pada set pertama agak sengit, namun pemain kelahiran Alor Setar ini terus berhempas-pulas hingga mencapai kemenangan dengan mata 21-17.

Babak pada set kedua pula menyaksikan ketangkasan Zii Jia yang cukup bertenaga hingga meninggalkan Antonsen jauh ke belakang dengan mata akhir 21-15.

Kemenangan ini sekali gus membenarkan Zii Jia untuk memperbaiki rekod pertemuan antara mereka.

Hal ini dikatakan demikian apabila Zii Jia mencatatkan empat kemenangan daripada sembilan pertemuan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lagenda badminton China, Lin Dan meramal Zii Jia akan bertemu dengan rakan senegaranya Shi Yu Qi di pentas akhir.

Namun sebaliknya berlaku apabila pemain nombor satu dunia itu ditewaskan dengan mudah oleh pemain nombor lapan dunia, Kunlavut dari Thailand.

OLYMPIC.COM

Pada aksi suku akhir, jaguh dari Thailand, Kunlavut dengan mudah menundukkan Yu Qi dengan mata kemenangan 21-12 dan 21-10.

Keputusan rasmi itu sekali gus membawa maksud bahawa Zii Jia tidak akan bertemu dengan Yu Qi seperti yang diramalkan Lin Dan.

Walau apa pun, tumpuan kini perlu dialihkan kepada perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung pada 4 Ogos nanti.

Aksi separuh badminton perseorangan lelaki ini akan mempertemukan Zii Jia dengan Kunlavut.

Sementara itu, Lakshya dari India pula akan bertemu dengan Viktor dari Denmark.

OLYMPIC.COM

Menerusi laman web ranking badminton dunia, berikut adalah kedudukan semasa bagi empat pemain berkenaan.

  1. Kunlavut di kedudukan ke-8
  2. Zii Jia di kedudukan ke-7
  3. Lakshya di kedudukan ke-22
  4. Viktor di kedudukan ke-2

Untuk pengetahuan, sekiranya Zii Jia menang, dia akan ke peringkat akhir bagi penentuan pingat emas atau perak.

Namun jika kecundang, Zii Jia akan berlawan sama ada dengan Lakshya atau Viktor untuk penentuan pingat gangsa pula.

Mari kita sama-sama mendoakan agar harapan Lee Zii Jia untuk bawa balik pingat tercapai.

Tolak isteri dalam gaung, lelaki ditahan atas cubaan membunuh

0

GERIK: Tolak isteri dalam gaung, seorang lelaki ditahan atas cubaan membunuh dalam satu kejadian di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli.

SINAR HARIAN

Suspek berusia 39 tahun itu diberkas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah pada Rabu selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Menerusi laporan yang dikongsi Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mangsa yang berusia 32 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan berseorangan di tepi jalan sekitar pukul 2 petang.

Hasil siasatan mendapati mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik dari gaung ke bahu jalan.

“Berdasarkan keterangan, sekitar jam 5.30 petang pada Jumaat, mangsa telah dibawa suaminya menaiki kenderaan dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak dengan alasan mahu pulang ke kampung.”

“Sepanjang perjalanan telah berlaku pertengkaran mulut mengakibatkan suspek memberhentikan kereta dan bertindak mencekik leher serta mengugut mahu membunuh mangsa dengan pisau.”

“Mangsa yang ketakutan keluar dari kereta, namun berjaya dihalang suspek sebelum kenderaan dipandu memecut sehingga sampai ke laluan JRTB di Gerik,” Kata Zulkifli.

Tambah Zulkifli lagi, apabila tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 5 pagi, pasangan terbabit bertengkar sekali lagi hingga membawa kepada pergelutan di bahu jalan.

Suspek kemudiannya telah bertindak di luar kawalan dengan menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.

X SINAR HARIAN Illustrasi Sinar Harian / Epic – Kronologi kejadian lelaki tolak isteri dalam gaung.

“Mangsa yang mengalami kesan calar, luka dan lebam pada tubuh badan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping,” Kata Zulkifli.

Penahanan suspek dibuat kerana terdapat kes melibatkan lelaki yang tolak isteri dalam gaung itu di kawasan pentadbiran polis berkenaan.

Jelas Zulkifli lagi, sebaik sahaja siasatan kes di Baling selesai, suspek akan ditangkap semula oleh IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan bersangkutan kes ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” Kata Zulkifli.

Dalam pada itu, Zulkifli turut memaklumkan bahawa suspek turut memiliki beberapa rekod lampau termasuk dadah.

Hajat Aaron-Wooi Yik untuk miliki pingat emas tidak kesampaian

0

PARIS: Hajat Aaron-Wooi Yik untuk miliki pingat emas tidak kesampaian apabila pasangan beregu lelaki negara itu ditewaskan pasangan dari China.

OLYMPICS.COM

Pada set pertama, pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah tipis kepada pasangan China Liang Wei Keng dan Wang Chang dengan mata 19-21.

Wakil Malaysia ini bangkit dan meninggalkan pasangan China hingga membolehkan mereka menang dengan mata 21-15 pada set kedua.

Namun selepas bermain selama 26 minit pada set ketiga, pasangan China kembali menguasai perlawanan hingga menewaskan pasangan Malaysia dengan mata 21-17.

Secara keseluruhan, perlawanan selama 72 minit itu bukanlah perjuangan yang sia-sia bagi pasukan negara.

Hal ini kerana pemenang pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu tidak beri laluan mudah kepada pihak lawan untuk mencapai kemenangan.

ASTRO ARENA

Menerusi temu bual dengan wartawan daripada Astro Arena, Aaron menegaskan bahawa mereka telah memberi yang terbaik dan berjuang habis-habisan.

Sementara Wooi Yik pula berkata, “Match begini sememangnya sengit, kita tidak tahu apa yang akan berlaku.”

“Kami berharap permainan yang seterusnya akan lebih baik,” Tambah Wooi Yik.

Meskipun tewas, Aaron-Wooi Yik masih berpeluang untuk membawa pulang pingat gangsa menerusi pertemuan dengan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen kelak.

OLYMPICS.COM

Sementara itu, bagi merebut pingat emas pula pasangan China akan menentang pasangan dari Taiwan iaitu Lee Yang dan Wang Chi-Lin.

OLYMPICS.COM

Mari doakan agar hajat Aaron-Wooi Yik untuk memiliki pingat gangsa tercapai.

Teruskan mengikuti perkembangan pencapaian atlet Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Olimpik Paris, tewaskan jaguh India

0

PARIS: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menundukkan pasangan India yang berada di ranking ketiga dunia, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy pada Khamis, 1 Ogos.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik meneruskan hari gemilang kem badminton negara selepas beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke separuh akhir menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong.

@AtletMalaysia / X

Perlawanan suku akhir di Porte de la Chapelle Arena menyaksikan pertarungan sengit pada set pertama apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata sehingga ke mata 10-10.

Namun, selepas itu Shetty-Rankireddy mula membuka langkah hasil kesilapan beberapa pukulan beregu negara untuk menamatkan saingan set pertama 13-21.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah mengalah apabila tampil dengan persembahan lebih bertenaga pada set kedua untuk menang 21-14 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

@olympicmas / X

Tempo permainan semakin rancak pada set ketiga apabila menyaksikan kedua-dua gandingan terus menyaingi mata demi mata dan ternyata pasangan negara yang berada di ranking kelima dunia lebih berhak untuk meraih kemenangan 21-16.

Kemenangan ini menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengulangi pencapaian yang dilakukan di Olimpik Tokyo 2020 apabila mara sehingga ke perlawanan separuh akhir.

Aaron-Wooi Yik akan bertemu pilihan utama Liang Weikeng-Wang Chang dari China, yang menewaskan Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia dengan mata kemenangan 24-22, 22-20.

Olimpik Paris: Pearly-Thinaah cipta sejarah melangkah ke separuh akhir

0

PARIS: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terus menampilkan sensasi tersendiri dan perlawanan hebat apabila menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Olimpik Paris 2024 pada Khamis, 1 Ogos.

Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir temasya sukan terbesar dunia itu.

@olympicmas / X

Dalam aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Pearly-Thinaah dengan mudah mengatasi gandingan Korea Selatan yang berada di ranking ke-10 dunia dengan kemenangan 21-12, 21-13.

Tampil penuh bersemangat dengan pengawalan kemas apabila tidak memberi ruang kosong kepada lawan, menyaksikan Pearly-Thinaah meninggalkan lawan dengan jarak cukup selesa 7-1 di set pertama dan mendahului 10 mata di hadapan ketika di kedudukan 19-9 sebelum menamatkan perlawanan 21-12 di set pertama.

Bermula di set kedua, pasangan Korea Selatan mula memberi tentangan untuk cuba membawa aksi di set penentuan apabila saling mengejar mata demi mata sehingga berjaya mengikat mata di kedudukan 8-8.

Namun langkah Pearly-Thinaah mula konsisten selepas itu apabila berjaya menjarakkan kedudukan.

Keadaan sedikit membimbangkan ketika di kedudukan 13-12 apabila Pearly meminta sokongan perubatan akibat mengalami ketegangan di bahagian paha.

@olympicmas / X

Namun dengan ketenangan dan kekal fokus yang dipamerkan Pearly-Thinaah telah berjaya menamatkan perlawanan dengan noktah kemenangan 21-13 di set kedua.

Kini mereka sudah membuktikan tiada yang mustahil boleh diciptakan ketika berada di pentas Olimpik apabila berjaya melepasi halangan ‘kumpulan maut’.

Pearly-Thinaah dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan di pusingan separuh akhir, dalam perjalanan meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Kurang protein, atlet kesal dengan menu di Perkampungan Olimpik

0

Atlet Olimpik Paris mengadu menu yang disediakan kurang protein lantas menggesa pihak penganjur untuk membuat perubahan drastik.

THE EUROPEAN CONSERVATIVE Gambar: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Jerman Thomas Bach mencuba makanan yaang disediakan di Perkampungan Olimpik.

Antara perubahan drastik itu adalah pihak penganjur terpaksa memesan tambahan 700 kilogram telur dan beratus-ratus kilogram daging untuk dimasukkan ke dalam menu.

Isu makanan itu bukan hanya mencetus kemarahan malah terdapat atlet yang menjadikan keadaan itu sebagai penyebab prestasi mereka kurang cemerlang.

Sebelum Olimpik bermula, penganjur dengan bangga mengumumkan bahawa 60 peratus daripada pilihan makanan untuk atlet adalah berasaskan tumbuhan.

Mereka bertindak sedemikian sebagai usaha untuk menjadikan sukan tersebut yang paling “lestari” pernah berlaku dalam sejarah Sukan Olimpik.

Namun pihak penganjur terpaksa akur dengan permintaan atlet yang mahukan lebih banyak daging, tenusu dan telur.

Bekas perenang Olimpik Australia, James Magnussen turut mengkritik menu yang disediakan.

Magnussen beranggapan ia boleh menjadi sebahagian daripada sebab kekurangan rekod dunia di Olimpik Paris.

Menerusi Australian Daily Telegraph, Magnussen berkata, “Kekurangan rekod dunia adalah disebabkan oleh mentaliti mesra alam, jejak karbon dan mengutamakan gaya hidup vegan berbanding prestasi tinggi.”

Tambah Magnussen lagi, penganjur pasti tidak menyangka ramai atlet yang akan memilih makanan berasaskan protein berbanding menu vegan.

Hal ini kerana, sehari sebelum upacara pembukaan penganjur kehabisan makanan berprotein seperti daging dan tenusu.

Lantaran daripada itu, pihak penyedia makanan terpaksa mengira semula dan membawa masuk lebih banyak produk berprotein.

MSN Gambar: Restoran di Perkampungan Olimpik menyajikan makanan sekitar 40,000 hidangan sehari dengan 500 menu vegan

Sementara itu, perenang Australia Ariarne Titmus pula menyalahkan keadaan “tidak masuk akal” di Perkampungan Olimpik.

Titmus mengatakan sedemikian kerana usahanya untuk mencatat rekod dunia dalam acara renang 400 meter gaya bebas pada hari Sabtu tidak tercapai.

“Ia mungkin bukan masa yang saya fikir saya mampu capai, tetapi tinggal di Perkampungan Olimpik menyukarkan usaha untuk mencapai prestasi cemerlang,” Kata Titmus.

MSN berkongsi kisah mengenai bekas pemain kriket Australia, Michael Clarke yang mendakwa bercakap dengan petinju yang tidak berpuas hati dengan hidangan yang diberikan kepadanya.

Menurut Michael, petinju berkenaan hanya boleh makan sejumlah kecil daging sahaja.

Keadaan ini tidak mencapai keperluan dietnya yang memerlukan maksimum dua keping daging kambing panggang.

Selain isu menu vegan, beberapa atlet turut mengadu mengenai tempat tinggal yang tidak mempunyai penyaman udara hingga menyebabkan mereka terpaksa membawanya sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Australia, Matt Carroll berkata, “Kami menghargai konsep tidak mempunyai penyaman udara kerana jejak karbon.”

Namun Matt Carroll menambah bahawa acara tersebut adalah sukan yang berprestasi tinggi dan mereka bukannya datang untuk berkelah.

Selain itu, terdapat atlet mengadu mengenai katil yang keras.

Menerusi video di TikTok, pemain polo air Tilly Kearns berkata, “Beginilah malam pertama di katil kadbod.”

Rakan sepasukan Tilly Kearns, Gabi Palm pula menambah, “Belakang saya hampir tercabut.”

Difahamkan, perabot rasmi ini digunakan sebagai penambahbaikan daripada katil “tiada seks” di Olimpik Tokyo 2021 tetapi nampaknya atlet berpendapat ia tidaklah begitu selesa.

Selain isu makanan kurang protein, keadaan tempat tinggal yang kurang memuaskan hanyalah masalah terbaru yang melanda di Sukan Olimpik Paris.

Unsur-unsur yang dianggap menghina agama menerusi upacara pembukaan telah mendapat kritikan meluas di seluruh dunia.

Sementara keadaan Sungai Seina yang kotor telah menyebabkan acara triatlon terpaksa ditangguhkan selama sehari.

Teruskan mengikuti perkembangan Sukan Olimpik Paris 2024 yang pasti ada kejutan dan “drama”.

Swafoto di podium Olimpik menyatukan atlet Korea Utara dan Korea Selatan

0

Imej pemain ping pong Olimpik dari Korea Utara dan Korea Selatan mengambil swafoto bersama di podium selepas meraih pingat di Paris menjadi tular di Korea Selatan pada Rabu lalu, dan ia menerima pujian ramai sebagai momen perpaduan rentas sempadan yang jarang berlaku.

Korea Utara negara bersenjata nuklear mengisytiharkan Korea Selatan sebagai musuh utamanya awal tahun ini dan ketegangan antara kedua-dua negara berada pada satu titik tertinggi dalam beberapa tahun.

Gambar AFP / FRANCE 24

Tetapi selepas Korea Selatan memenangi pingat gangsa dan Korea Utara memenangi perak dalam acara beregu campuran di belakang China, atlet Korea Selatan Lim Jong-hoon mengambil inisiatif untuk mengambil gambar kumpulan bersama selepas acara penyampaian pingat selesai.

Ri Jong Sik dan Kim Kum Yong dari Korea Utara, Shin Yu-bin dari Korea Selatan dan pasukan China diwakili pemenang emas Wang Chuqin dan Sun Yingsha semuanya tersenyum gembira ketika berswafoto menggunakan telefon Samsung buatan Korea Selatan milik Lim Jong-hoon.

“Swafoto dengan kedua-dua bendera kebangsaan Korea dan telefon Samsung,” kata akhbar harian JongAng Ilbo yang dibaca secara meluas.

Gambar Stadium Astro

Ia adalah kali pertama Korea Utara berada di podium Olimpik sejak 2016, kerana negara itu tidak menghantar atlet ke Sukan Olimpik Tokyo akibat pandemik COVID-19.

“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka selepas dinobatkan sebagai pemenang pingat Perak,” kata Lim kepada media Korea selepas majlis selesai.

Sementara itu, apabila wartawan bertanya sama ada pasukan Korea Utara merasakan sebarang “persaingan” terhadap rakan atlet dari Korea Selatan, pemain Korea Utara Kim Kum-yong hanya berkata, “Tidak, kami tidak rasa begitu.”

Gambar oleh Jared C.Tilton / Getty Images / TIME

Penyiar Korea Selatan telah berulang kali menyiarkan video swafoto itu, dengan ramai pengulas merenung tentang kepentingan detik perpaduan yang jarang berlaku.

“Inilah semangat sebenar Sukan Olimpik,” kata seorang pengulas.