Perjalanan meredah trafik di pusat pemeriksaan dan kastam Malaysia-Singapura adalah menjadi lumrah kepada mereka yang sering berulang-alik di antara kedua-dua negara.
Mungkin cara mengatasi kesesakan di pusat pemeriksaan Singapura menuju ke Malaysia ialah dengan menampalkan nota kecemasan pada kenderaan anda yang menyatakan isteri anda hendak bersalin, dan ini bukan satu gurauan atau helah.
Tular di kumpulan Facebook “Geng Motorbike Kerja Singapore” pada 31 Mei lalu apabila satu gambar memaparkan seorang penunggang motosikal lelaki yang sedang berbaris di pusat pemeriksaan imigresen dan kastam menyeberangi Tambak Johor, dengan nota di belakang motosikalnya yang menarik perhatian.
Nota bukan kebiasaan dan berbunyi cemas: “Beri laluan; Isteri nak bersalin; Terima Kasih”
Bukan untuk suka-suka hati memotong barisan di pusat pemeriksaan Singapura ya..
Sin Chew Daily melaporkan petugas penyelenggaraan kolam renang berusia 31 tahun itu sedang bekerja di Singapura apabila tiba-tiba menerima panggilan daripada isterinya pada waktu petang.
Isterinya memberitahu yang dia sudah memasuki bilik bersalin dan akan bersalin tidak lama lagi. Pada mulanya, isterinya dijadualkan melahirkan anak mereka pada 6 Jun.
Apa lagi, kelam-kabut dibuatnya hati suami ini untuk berada di sisi isterinya.
Lelaki itu segera memohon untuk meninggalkan tugasnya dan bergegas pulang ke Johor Bahru dengan siap-siap menyediakan papan tanda pemberitahuan kecemasan itu terlebih dahulu.
Mengetahui ia adalah waktu puncak di pusat pemeriksaan, rakan sekerjanya telah mencadangkan supaya dia menampal nota kecemasan di belakang motosikalnya yang meminta penunggang motosikal lain di pusat pemeriksaan Singapura memberi laluan kepadanya.
Dia telah mencetak papan tanda itu pada kertas putih dengan font merah supaya penunggang lain dapat melihatnya dengan jelas dan mudah di pusat pemeriksaan.
Idea itu berjaya dan urusannya dipermudahkan apabila para penunggang lain di pusat pemeriksaan melihat papan tanda itu dan memutuskan untuk memberi laluan kepadanya, membolehkan dia tiba tepat pada masanya di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk bersama isterinya.
Katanya, dia mengambil masa 30 minit untuk melalui pusat pemeriksaan, berbanding secara kebiasaan memakan masa satu jam ketika waktu puncak.
Bapa ini mengucapkan terima kasih kepada semua penunggang motosikal yang memberi laluan kepadanya kerana papan tanda itu.
Dalam hantaran di kumpulan Facebook “Geng Motorbike Kerja Singapore”, isterinya meninggalkan komen dan berterima kasih kepada semua: “Ini suami saya. Alhamdulillah dia sempat sampai tadi. Saya telah selamat bersalin, dan dia tiba semasa saya tengah kontraksi dan melahirkan. Terima kasih semua yang mendoakan baik-baik untuk kami.”
Berkat kemurahan hati dan timbang rasa para rider di pusat pemeriksaan Singapura, bapa ini sempat sampai untuk menemani isterinya melahirkan anak keenam mereka iaitu seorang bayi perempuan. Tahniah!