Kajian Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) mencadangkan bahawa lebih 40 peratus permukaan air telah tercemar teruk.
Penyelidik berkata bersamaan 2,000 lori sampah penuh dengan plastik yang dibuang ke lautan, sungai, dan tasik di dunia.
Manakala sisa plastik sahaja telah menyumbang kepada 80 peratus daripada semua pencemaran laut dan air.
Mungkin kini anjing lebih faham untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dan pencemaran bumi angkara tangan manusia, kepada manusia itu sendiri.
Dan inilah saat yang menyentuh hati apabila seekor anjing nampaknya rela membantu mengutip serta mengumpul sisa pencemaran dari laut di China.
Anjing coklat itu sanggup terjun dan menyelam ke dalam air laut beralun ombak untuk mengutip sampah yang hanyut naik ke pantai di Shandong pada 3 November.
Rakaman video tular menunjukkan anjing itu berenang ke arah cawan Styrofoam terapung. Mungkin dia geram dan sakit hati melihat terdapat banyak sampah yang dibuang merata sehingga mencacatkan pemandangan indah di pantai.
Dia kemudian berenang kembali ke tebing dan menaiki tangga untuk membuang sampah yang mencemarkan laut itu ke dalam tong sampah yang disediakan.
Perakam video berkata dengan kapsyennya: “Anjing ini lebih bersikap kemanusiaan berbanding kita. Dia anjing tersangat pintar yang menjaga alam sekitar.”
Rasa malunya menjadi manusia kerana kita yang membuang sampah merata-rata dan mencemarkan alam sekitar, tetapi anjing pula yang mengutip sampah dan membersihkannya untuk kita.
Tonton video di sini.