Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran untuk sebilangan besar Kepulauan Pasifik susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.3 melanda ibu kota luar pantai negara kepulauan Vanuatu, Port Vila.
Gempa berlaku pada pukul 12.47 tengah hari, 17 Disember waktu Vanuatu pada kedalaman 57 kilometer (km), kira-kira 30 km dari pantai Efate, pulau utama Vanuatu, menurut Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Negara-negara Pasifik iaitu Fiji, Kiribati, New Caledonia, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Tuvalu juga telah diberi amaran.
Pakar klimatologi Vanuatu, Philip Malsale dalam hantaran di X berkata masyarakat di sekitar wilayah Efate telah terjejas, dengan kediaman mereka mengalami kemusnahan teruk dalam runtuhan di mana kelihatan perabot, kabinet dan perkakas bertaburan.
Laporan awal menunjukkan terdapat kerosakan ketara pada bangunan juga infrastruktur, dengan rakaman video dan imej di media sosial memaparkan kerosakan bangunan yang menempatkan Kedutaan Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan New Zealand.

Penyiar Vanuatu VBTC menunjukkan video rakaman gempa bumi yang berlaku telah menyebabkan bangunan dan kenderaan rosak teruk, manakala seorang dilaporkan terperangkap dalam bangunan yang runtuh.
Sementara itu, wartawan jenayah dan rasuah yang berpangkalan di Vanuatu, Dan McGarry, berkata beliau melihat tiga mangsa cedera parah di dalam kereta api dan sedang menunggu rawatan.
“Terdapat kerosakan besar di sekitar bandar dan bangunan yang runtuh, jalan yang menghubungkan Port Vila ke pelabuhan utamanya terhalang oleh tanah runtuh,” katanya.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan angka sebenar mangsa korban, dengan pihak berkuasa di Vanuatu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sistem Amaran Tsunami AS kemudian membatalkan amaran tsunami awal untuk Vanuatu.
Juga tiada amaran tsunami kepada New Zealand atau Australia, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan New Zealand (NEMA) dan Biro Meteorologi Australia (BOM).