Jurugambar marin terkenal Rachel Moore telah berjaya merakam gambar jarak dekat mata ikan paus Humpback, mendedahkan pandangan mata biru galaksi makhluk mengagumkan itu dalam perincian yang menakjubkan.
Rachel mengambil gambar itu pada 6 Oktober 2024, di pulau Mo’orea, French Polynesia berhampiran Tahiti. Tangkap gambar jarak dekat diambil dari sisi kepala ikan paus betina, menyerlahkan bidang penglihatan yang luas difokuskan oleh mata paus itu.

Mata ikan paus dilindungi oleh lapisan lemak tebal, penebat unik yang ditemui dalam mamalia marin, yang membantu mengawal suhu di samping berfungsi sebagai pemberi perlindungan.
Menurut IFLScience, Rachel secara tidak sengaja terlihat ikan paus betina berusia antara tiga atau empat tahun yang dinamakan Sweet Girl sedang bermain dengan ikan lumba-lumba Spinner muncung panjang lalu bertindak pantas merakam detik itu.

“Cara dia memandang saya begitu terpahat dalam ingatan. Ia adalah salah satu momen paling mendalam dalam hidup saya,” katanya dan diilhamkan oleh hubungan istimewa ini, Rachel bertekad untuk merakam mata Sweet Girl.
“Menyelam bersama makhluk hebat ini adalah satu keistimewaan, dan menghormati ruang mereka adalah sangat penting – tidak perlu mengejar atau memaksa interaksi. Pada masa yang jarang-jarang berlaku, ikan paus boleh memilih untuk berinteraksi menurut syarat yang ditentukan mereka. Detik bertentang mata ini adalah di luar impian saya yang tidak terbayangkan. Saya tidak pernah bertemu ikan paus dengan cara seperti ini, dan ia adalah pengalaman terpaling indah dalam hidup saya. Rasa diri sangat istimewa kerana dia membenarkan saya merakam keindahan dan kehidupan di matanya,” tulis Rachel Moore di Instagram.

Gambar itu adalah tanda perpisahan dan kali terakhir Sweet Girl meluahkan keindahan kewujudannya kepada dunia.
Secara tragis, ikan paus muda itu telah terbunuh apabila cedera parah di rahangnya akibat dilanggar oleh kapal yang sedang bergerak laju dua hari kemudian.
“Sangat menyedihkan, akibat rempuhan tragis oleh kapal yang bergerak laju, nyawanya tidak panjang dan dia tidak lagi bersama kita. Sejak beberapa minggu lalu, dia menyentuh hati begitu banyak nyawa, dan terima kasih kepada sokongan anda terhadap foto matanya yang hebat, kisahnya kini telah mencecah jutaan orang. Saya berharap kisah tragisnya akan mencetuskan perubahan nyata dan bermakna terutamanya berkisar ancaman had laju kapal di kawasan ini di mana ikan paus ditemui terutamanya ketika musim penghijrahan ikan paus,” kata Rachel.

Suruhanjaya Ikan Paus Antarabangsa (IWC) melaporkan rempuhan kapal telah menjadi ancaman besar kepada populasi ikan paus. Antara 1992 dan 2012, kira-kira 20,000 ikan paus mati setiap tahun akibat rempuhan kapal. Paus Humpback (Megaptera novaeangliae) disenaraikan sebagai antara spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan nasib malang Sweet Girl melambangkan krisis ini.
Tragedi Sweet Girl mendorong petisyen dilancarkan bagi menyeru pihak berkuasa tempatan untuk menyekat kelajuan kapal dan bot di sekitar pulau itu. Rachel juga mengambil bahagian secara aktif dengan harapan dapat belajar daripada pengalaman di California dalam mempromosikan pelaksanaan peraturan melindungi haiwan marin.

“Di California, walaupun tiada peraturan mandatori, kebanyakan kapal akan memperlahan kelajuan kepada kurang 10 knot sejam semasa penghijrahan ikan paus ke kawasan makanan mereka. Sekiranya syarikat perkapalan boleh memperlahankan kelajuan dalam 322 kilometer dari California, ia akan menjadi undang-undang yang juga boleh dilaksanakan di mana-mana kawasan tumpuan ikan paus. Hanya dengan mengambil langkah yang lebih proaktif kita dapat mengelak tragedi ini berulang,” kata Rachel.
Langkah seperti memperlahan kelajuan kapal atau mengalihkan laluan pelayaran, mungkin secara signifikan dapat mengurangkan kematian ikan paus serta spesies marin terancam lain, yang dapat melindungi mereka daripada terus kepupusan dan perkara ini perlu menjadi perhatian di peringkat global.