KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah restoran barbeku yang dikesan mempromosikan budaya komunisme dengan mempunyai peralatan hidangan makanan dan minuman yang memaparkan cetakan gambar pemimpin komunis di Bandar Botanic, Klang, Selangor, pada 5 Disember.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, ke sebuah restoran di Jalan Kasuarina 6, pada jam 10 malam berdasarkan risikan yang dijalankan susulan pendedahan satu video yang tular di YouTube.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya mengambil tindakan segera menyerbu restoran itu selepas didapati terdapatnya elemen yang mempromosikan budaya komunis.
“Pada peringkat awal, kita menerima maklumat ini daripada pautan YouTube atas akaun ‘luiswong90’ sebelum menjalankan risikan lanjut.
“Susulan risikan yang dibuat, Polis Daerah Klang Selatan melakukan serbuan dan menahan seorang lelaki yang juga pengurus restoran terbabit berusia 20 tahun.
“Dalam serbuan sama, polis turut merampas lima mangkuk seramik berwarna putih tercatit tulisan Bahasa Cina dan gambar muka Pemimpin Komunis China, Mao Zedong bersama rakan-rakannya; cawan kaca teh seramik tercatit tulisan Bahasa Cina berserta gambar; sudu sup seramik mempunyai gambar Mao Zedong dan resit perniagaan,” katanya.
Razarudin berkata, hasil soal siasat terhadap suspek yang bekerja sejak Oktober tahun lalu, peralatan hidangan itu dibeli oleh rakan pemilik restoran yang tinggal di negara China untuk digunakan di restoran berkenaan.
“Permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Klang selama dua hari sehingga 7 Disember, untuk siasatan lanjut dan semakan lesen akan dibuat kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Semakan ke atas pemilik akaun ‘luiswong90’ juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memastikan tiada pihak yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian negara selain mendatangkan kegusaran awam.