Kasih sayang bapa dan anak perempuan yang saling mengambil berat serta sentiasa memikirkan satu sama lain ini benar-benar menyentuh hati.
Baru-baru ini dalam satu hantaran di Facebook, seorang bapa menceritakan yang dia terpaksa memakan kesemua 5 biji pau daging yang disediakan anak perempuannya dalam masa satu setengah jam kerana berpendapat Singapura tidak membenarkan makanan dengan isi daging dibawa masuk ke negara itu.
Bapa yang dikenali sebagai Wen berkata dia yang bekerja sebagai kapten bas di SBS Transit di Singapura selama lapan tahun, terpaksa menghabiskan pau yang dimasak sendiri oleh anak perempuannya kerana bimbang makanan itu tidak boleh dibawa masuk ke Singapura.

Bapa ini menghabiskan roti pau daging itu di Terminal Larkin Sentral di Johor Bahru.
Wen berkongsi anak perempuannya yang berusia 14 tahun bersusah payah memasakkan pau dengan inti kari daging dan kentang untuknya kerana bimbang bapanya akan pulang ke Singapura dengan tiada apa-apa untuk dimakan.
Dalam hantaran Facebook Maxkeong Menkeong Wen menulis:
“Anak perempuan saya bimbang saya tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan apabila saya pulang ke Singapura, jadi dia memutuskan untuk mengukus pau dengan inti kari kentang daging supaya saya boleh membawanya ke Singapura untuk mengisi perut saya dengannya.
Sebagai seorang bapa, saya tidak sampai hati untuk memberitahunya yang Singapura tidak membenarkan roti pau kukus [dengan isi daging] untuk dibawa masuk ke negara ini dan saya tidak memberitahu anak perempuan saya sehingga ke akhir.
Saya hanya boleh makan semua pau ini di Larkin Sentral sendirian.
Anak ayah sayang, lain kali boleh sediakan dua hingga tiga pau sahaja, ayah sudah kenyang.
Apabila saya membuka bekas makanan, saya terus ‘wow’ kerana terdapat lima pau di dalamnya. Saya benar-benar terkejut.
Tapi tidak mengapa, saya telah habiskan kesemuanya dalam masa satu setengah jam. Terima kasih kerana memikirkan ayah, anak ayah sayang.”

Menurut Wen kepada Sin Chew Daily, dia hanya bertemu semula dengan keluarganya di Negeri Sembilan pada setiap satu hingga dua bulan dan anak perempuannya itu adalah anak tunggalnya.
Bapa ini sentiasa berasa berat hati pada setiap kali dia perlu bertolak ke Singapura untuk bekerja.
Pada minggu-minggu yang dia akan bekerja syif pagi, Wen akan pulang ke rumah dengan menaiki bas.
Bagaimanapun, pada minggu-minggu bekerja syif malam, Wen tidak akan pulang ke Malaysia kerana dia hanya akan sampai ke rumah pada jam 1 atau 2 pagi.

Menurut portal Agensi Makanan Singapura, setiap pengembara dibenarkan membawa maksimum 5 kilogram produk daging untuk kegunaan peribadi ke Singapura dari sumber yang diluluskan.
Produk ini termasuk makanan bermasak yang mengandungi daging.
Namun, berdasarkan garis panduan dalam portal agensi itu, produk daging dari Malaysia tidak boleh dibawa masuk berikutan ia bukan dari sumber yang diluluskan setakat ini.
Pilihan Editor: