Nampaknya Moo Deng, anak badak air tular, mempunyai persaingan serius untuk merebut mahkota haiwan paling comel di Thailand, negara yang ada banyak haiwan comel-comel belaka.
Terbaru Eva dan Luna, dua beradik harimau emas baka jarang ditemui yang menakjubkan telah berjaya mencuri hati para pengunjung di Chiang Mai Night Safari, Thailand.
Eva, anak harimau emas berusia 3 tahun, menjadi tular selepas safari itu berkongsi gambarnya pada 19 November 2024, mendapat lebih 37,000 reaksi dan 29,000 perkongsian di Facebook.
Daya tarikannya dengan wajah unik dan bermata comel, seperti rupa anak patung memberikan perasaan hangat memikat kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.
Sebelum itu kakaknya Luna, pertama kali diperkenalkan kepada umum pada 29 Oktober 2024 dalam satu hantaran yang menggambarkannya sebagai “harimau emas berwajah manis.”
Walaupun penampilan sulungnya lebih senyap berbanding Eva, Luna masih memikat hati dengan sifatnya yang tenang dan anggun.
Hantaran Chiang Mai Night Safari yang memaparkan Luna berehat di tepi kolam dan berendam di bawah sinaran matahari menerima 4,800 reaksi dan 1,500 perkongsian, membuktikan kuasa bintangnya yang tersendiri.
Eva dan Luna adalah sebahagian daripada kumpulan baka harimau yang sangat jarang ditemui dikenali “harimau emas” atau “harimau strawberi.”
Warna unik mereka disebabkan oleh gen resesif yang mempengaruhi pigmentasi bulu.
Menurut Bangkok Post, walaupun harimau putih berlaku kira-kira 1 dalam setiap 10,000 kelahiran harimau, harimau emas lebih jarang berlaku, dengan kurang daripada 100 ekor dipercayai wujud di seluruh dunia.